Followers

Tuesday, 19 July 2011

Bagaimana menggunakan kaedah soaljawab dan perbincangan dalam pembelajaran kooperatif?


Tahukah anda bahawa pengajaran sains (bukan mata pelajaran sains dan bukan konten sains) sama ada sains sosial mahupun sains natural, sering mencari bukti melalui pembelajaran penyelidikan bersifat inkuiri atau eksperimen sehingga lupa kepada sumber mutlak (ultimate) bukti-bukti itu sendiri. Akibatnya memang amat mengecewakan apabila bukti sains yang tidak dikaitkan secara langsung dengan aspek ketuhanan menyebabkan anak-anak hilang keyakinan dengan kekuasaan Tuhan. Contohnya, konten pergerakan plat tektonik di bawah paras laut boleh mengakibatkan gempa bumi, letusan gunung dan tsunami. Tanpa mengaitkan dengan kuasa Allah, murid akan beranggapan bahawa pergerakan bumi (gunung dan plat tektonik) hanya merupakan fenomena alam. Guru pendidikan Islam seharusnya menggunakan bukti kejadian alam (fenomena alam ini) sebagai contoh ketuhanan Allah. Terdapat dalil naqli yang menyatakan bahawa gunung digerakkan oleh Allah (satu kuasa yang dapat dilihat melalui fenomena alam). Pengajaran dapat dilakukan dengan rentasan mata pelajaran serta penggabungjalinan. Ini bermakna, guru Pendidikan Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak isi pelajaran sains natural dan sains sosial.Tidak dapat tidak!!!


Telah diketahui bahawa kaedah soaljawab boleh digunakan untuk menggalakkan murid berfikir menggunakan pengetahuan sedia ada yang digabungkan dengan pandangan (penilaian, justifikasi, andaian, inferens, jangkaan dan sebagainya) untuk membolehkan murid melihat sesuatu fenomena secara lebih luas. Penggunaan penyoalan Sokratik (pelbagai soalan pelbagai dimensi dikemukakan untuk menggalakkan murid berfikir secara aktif dan mencari jawapannya) pelbagai aras domain kognitif Taksonomi Anderson  dan Krathwohl (2000) {mengingat, memaham, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta}, akan dapat meningkatkan daya berfikir murid (pembelajaran berfikrah). Soalan-soalan yang baik (melibatkan kata tanya 5W1H) akan membuat murid meneroka maklumat baru (melalui perbincangan, perkongsian, pencarian maklumat, berkolaborasi) untuk mendapatkan jawapan terbaik. Penggunaan tujuh lingkaran soalan akan memantapkan lagi pemahaman murid tentang sesuatu tajuk atau konsep yang dipelajari.

Pembelajaran kooperatif menyediakan peluang kepada murid untuk berbincang, menyemak dan menilai kefahaman rakan, berkolaborasi dengan orang lain serta melakukan refleksi pembelajaran.

Saya memilih teknik Number-Head-Together (pembelajaran kooperatif) sebagai contoh. Murid akan berada dalam kumpulan masing-masing seramai empat orang setiap kumpulan (sebaiknya untuk peringkat rendah, guru menentukan ahli-ahli kumpulan melibatkan pelbagai gaya belajar dan keupayaan). Setiap ahli dalam kumpulan akan ditandai dengan nombor 1 hingga 4. Guru akan mengemukakan soalan kepada kelas (pastikan soalan-soalan telah disediakan terlebih awal dengan turutan yang betul).

Contoh soalan untuk tajuk aqidah Allah Maha Kuasa.


Apakah maksud kuasa? Apakah yang kamu faham dengan maksud berkuasa? Soalan mencabar konsep (aras mengingat /memaham) lingkaran satu: perkara
Apakah perbezaan antara kuasa dan berkuasa? Soalan mencabar konsep dan interpretasi (aras memaham / menganalisis) lingkaran satu: perkara
Siapakah yang mempunyai kuasa? Soalan meminta penjelasan (aras mengingat) lingkaran tujuh: perkara dan luar
Apakah perbezaan kuasa manusia dan kuasa Allah? Soalan meminta pandangan, penjelasan dan interpretasi tentang konsep (aras memaham) lingkaran lima: perkara dan luar
Sejauh manakah manusia dapat menunjukkan kuasanya? Soalan mengenai pandangan (aras menilai) lingkaran lima: perkara dan luar
Mengapakah kuasa manusia dikatakan bergantung kepada kuasa Allah? Soalan meminta alasan dan penjelasan (aras menganalisis) lingkaran lima: perkara dan luar
Bagaimanakah caranya Allah menunjukkan kuasaNya ke atas manusia dan alam semesta? Soalan meminta penjelasan (aras memaham) lingkaran lima: perkara, dan luar
Apakah contoh-contoh kuasa Allah ke atas manusia dan alam semesta?.Soalan meminta alasan dan bukti (aras memaham)
Bilakah manusia dapat menjadi saksi kepada kekuasaan Allah? Soalan meminta penjelasan (aras mengingat)
Mengapakah percaya kepada Allah Maha Berkuasa menjadi penting dalam kehidupan anda? Soalan implikasi dan akibat (aras menganalisis) lingkaran empat
Apakah kemungkinan akan berlaku sekiranya anda tidak percaya dengan kekuasaan Allah? Soalan implikasi dan akibat (aras menilai)
lingkaran empat


Nota: Lebih banyak soalan boleh dikemukakan dan ia bergantung kepada tahap murid. 
Bagaimanakah kepercayaan kepada kuasa Allah dapat mengukuhkan iman?


Guru akan memberikan waktu untuk murid berbincang dalam kumpulan. Kemudian guru akan memanggil nombor secara rawak (antara nombor 1 hingga 4) dan murid dengan nombor yang dipanggil akan menjawab bagi pihak kumpulannya. Untuk menjimatkan masa atau untuk melatih murid meningkatkan kemahiran mendengar, guru boleh mengemukakan dua atau tiga soalan sekaligus (bergantung kepada tahap murid) dan murid yang dipanggil nombornya akan menjawab soalan-soalan yang berlainan walaupun semua murid telah membincangkan soalan yang sama. Harus diingat bahawa dengan berfikir dan berbincang untuk mencari  jawapan secara aktif, proses ingatan akan dapat bertahan lebih lama berbanding sekadar mendengar fakta dan maklumat daripada guru secara pasif.

Guru boleh mengakhiri kelas dengan mengedarkan borang pengurusan grafik banding beza antara kuasa makhluk dan kuasa Allah. Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, murid akan membuat rumusan sendiri tentang Allah Maha Berkuasa.

2 comments:

  1. Blog ini banyak membantu saya menambah ilmu tentang pedagogi. Terima kasih puan..

    ReplyDelete
  2. Semoga Allah merahmati ustazah.

    ReplyDelete