Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday 8 August 2011

Kaedah Paling Popular Guru Pelatih

Sepanjang karier saya sebagai pensyarah pembimbing praktikum, kaedah yang menjadi pilihan pelatih yang paling popular ialah perbincangan yang berakhir dengan pembentangan. Kaedah ini memang mampu melibatkan kebanyakan murid ke dalam proses pembelajaran. Hasilnya juga dapat dilihat daripada pembentangan wakil-wakil kumpulan murid.

Apa yang menjadi perhatian saya ialah majoriti pelaksanaan kaedah ini dilaksanakan tanpa struktur yang teratur. Malah aktiviti perbincangan kumpulan kecil juga berjalan tanpa struktur yang jelas. Murid diberikan arahan umum untuk membincangkan tajuk, persoalan, masalah tertentu dan.... murid pun berbincanglah. Lazimnya, apabila diminta pelatih membuat refleksi selepas tamat pengajaran, mereka akan katakan kelas terganggu, bising, murid berjalan, banyak bertanya, guru terpaksa mengulang arahan, dan ..... diikuti dengan projeksi iaitu menyalahkan BUKAN kepada diri sendiri tetapi kepada murid. Tidak mengapa!!! kerana amalan refleksi TIDAK semudah yang disangkakan.

Saya lebih suka, dan mungkin juga para pembimbing lain, sekiranya pelatih dapat melaksanakan aktiviti perbincangan berstruktur kerana struktur itu sendiri akan mengawal aktiviti murid. Sama ada murid akan bergerak, senyap, bertukar pandangan, memindahkan nota, berbisik atau sebagainya dalam lingkungan pembelajaran, semuanya akan dapat dikawal melalui penstrukturan. Sebaiknya penstrukturan aktiviti merupakan penstrukturan ke arah pencapaian objektif pembelajaran.

Dalam penulisan saya, seringkali saya akan kaitkan dengan pembelajaran koperatif dan kolaboratif yang dikaitkan dengan pendekatan konstruktivisme sosial. Insyallah, saya akan cuba muatkan dalam tulisan saya seterusnya beberapa teknik perbincangan kumpulan kecil yang boleh menjurus kepada pembelajaran aktif. Dan saya cadangkan agar pembaca akan lebih banyak meneroka lebih lanjut tentang cadangan-cadangan Kagan untuk melaksanakan aktiviti perbincangan kumpulan kecil.

Rajin-rajinlah membaca dalam bulan Ramadhan ini kerana membaca (selain Al Quran) yang bertujuan kebaikan dan kebajikan juga adalah ibadah.

No comments:

Post a Comment