Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 10 November 2011

Pasal Kaedah Demonstrasi (Tunjuk cara)

…merupakan kaedah menunjukkan apa dan bagaimana (cara) sesuatu proses atau perlakuan (peristiwa) dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan tentang sesuatu objek, peristiwa (proses) atau kemahiran.

Keperluan untuk sebuah demonstrasi yang baik
1.      Ia seharusnya dirancang dan dibuat latihan lebih awal untuk memastikan proses demonstrasi boleh dilakukan
2.      Segala peralatan yang digunakan perlu cukup besar untuk boleh dilihat oleh semua murid. Sekiranya disiplin murid dapat dikawal, murid boleh dibenarkan untuk duduk atau berdiri berhampiran (tidak melibatkan sesuatu yang boleh membahayakan) agar mereka dapat melihat dengan jelas.
3.      Pencahayaan yang cerah diperlukan.
4.      Semua peralatan perlua dipastikan telah siap untuk digunakan dan disusun untuk memudahkan digunakan.
5.      Sebelum memulakan demonstrasi, pastikan penerangan ringkas mengenai demonstrasi tersebut dilakukan.
6.      Pastikan kaedah tunjukcara memberi ruang untuk murid mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran.
7.      Demonstrasi perlu dilakukan mengikut kadar yang sesuai. Elakkan daripada membazir masa yang tidak berfaedah.
8.      Demonstrasi perlu menarik untuk menarik perhatian murid.
9.      Guru perlu menuliskan ringkasan prinsip-prinsip yang diperolehi melalui kaedah demonstrasi di papan tulis. Selain carta bahan bantu, papan tulis boleh digunakan untuk melakarkan gambarajah berkenaan.

Langkah menggunakan gabungan kaedah kuliah dan tunjukcara

1. Perancangan dan persediaan: Guru perlu berhati-hati ketika membuat perancangan dan persediaan untuk proses demonstrasi. Pastikan guru telah bersedia dengan tiga perkara berikut:
a. Kandungan pelajaran
b. Soalan-soalan yang ingin ditanyakan
c. Bahan untuk tujuan demonstrasi

Untuk memastikan ketiga-tiga perkara dapat disediakan dengan baik, guru perlu memastikan dirinya menyemak sukatan pelajaran, buku teks, buku rujukan dan mendapatkan maklumat serta bahan yang relevan dengan pelajaran. Seterusnya rancanglah pelajaran dengan melibatkan prinsip-prinsip yang perlu dibuat penjelasan, latihan demonstrasi serta soalan-soalan yang ingin ditanyakan kepada murid. Sediakan alternatif sekiranya demonstrasi yang dirancang tidak dapat dijalankan atas pelbagai faktor penghalang atau pengganggu.

2.Pengenalan pelajaran: Perkenalkan pelajaran untuk memotivasikan murid. Cuba kemukakan permasalahan untuk membolehkan murid sedar tentang kepentingan topik yang akan dipelajari.

3. Persembahan: Kaedah untuk mempersembahkan isi kandungan pelajaran merupakan aspek yang penting. Guru perlu mempersembahkan pengajaran dengan cara yang menarik dan tidak membosankan. Sesi soal jawab yang mengiringi demonstrasi secara kerap memainkan peranan penting untuk memastikan sesi demonstrasi menjadi lebih bermakna.

4. Pencapaian demonstrasi amali: Seorang pemerhati yang baik dikatakan merupakan individu yang mampu belajar menggunakan deria sentuh, lihat, bau (hidu) secara bijak. Melalui kaedah pencapaian demonstrasi amali ini murid dikehendaki untuk membuat pemerhatian tentang turutan peristiwa yang berlaku dan dapat menyatakannya dengan betul dan hati-hati. Guru yang baik tidak akan membiarkan murid membuat generalisasi tanpa melanggar peraturan dan syarat amali. Berikut merupakan langkah-langkah panduan yang boleh diikuti:
a.      Senaraikan, kumpul dan susun peralatan yang akan digunakan.
b.      Senaraikan langkah-langkah atau prosedur yang perlu diikuti supaya semua murid menyedarinya.
c.       Guru perlu mencuba terlebih dahulu (contohnya amali sembelihan).
d.      Bantu murid membuat refleksi isi kandungan dan generalisasi yang mungkin boleh dibuat.
             
5. Rumusan di papan tulis: Satu rumusan penting perlu dicatatkan di papantulis (atau nayatakan secara lisan). Gunakan juga papan tulis untuk melakar gambar sekiranya berkaitan (contoh, kedudukan imam dan makmum lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan dan perempuan dewasa). Keseluruhan prosedur yang terlibat perlu ditunjukkan kepada selepas sesi demonstrasi.

6. Penasihatan: Murid dinasihatkan untuk mencatat nota berpandukan gambarajah serta prosedur yang ditulis di papan tulis untuk membolehkan murid membuat ulangkaji pelajaran di rumah. Guru perlu memastikan catatan nota ini dibuat oleh murid dengan melakukan semakan buku nota dengan agak kerap.

Kesilapan umum semasa melaksanakan kaedah demonstrasi
·         Peralatan dan bahan tidak sedia untuk digunakan (Contoh, LCD yang tidak berfungsi).
·         Rumusan di papan tulis (atau secara lisan) tidak dibuat dengan baik.
·         Guru tergesa-gesa ingin menamatkan demonstrasi tanpa member peluang kepada murid menguasai maklumat dan kemahiran yang diharapkan.
·         Guru terlalu banyak bercakap sehingga tumpuan murid beralih dari memerhatikan apa yang didemonstrasikan kepada penerangan guru.
·         Guru mungkin gagal bertanyakan soalan yang sepatutnya dengan cukup.

No comments:

Post a Comment