Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday 26 September 2011

Pasal Kaedah Sumbangsaran

Kaedah dan teknik sumbangsaran digunakan secara meluas di sekolah kerana kaedah ini mampu menggalakkan murid untuk melibatkan diri secara aktif semasa menjalani latihan penjanaan idea untuk mendapatkan pelbagai dimensi penyelesaian masalah atau membuat pilihan. Dengan bertanyakan soalan-soalan interpretif, dan bukan soalan tertutup (memerlukan jawapan ya atau tidak) sumbangsaran dapat dilakukan secara produktif.

Kaedah dan teknik sumbangsaran boleh diaplikasikan untuk semua tahap keupayaan murid dan dalam semua senario pengajaran – dalam bilik darjah, makmal, semasa berdiskusi atau memberi kuliah. Sumbangsaran boleh dilaksanakan dengan beberapa cara seperti berikut:

Berstruktur: Topik atau tajuk pelajaran akan diberikan kepada seluruh ahli kelas dan setiap murid diminta untuk menyumbangkan idea. Kebaikan cara ini ialah kesemua murid akan terlibat untuk meyumbangkan idea dan tidak akan ada mana-mana murid yang mendominasi semasa sesi sumbangsaran dilaksanakan. Kelemahannya pula adalah seringkali perbincangan tidak berlaku secara bebas dan mungkin membuatkan murid merasa kurang selesa kerana belum sampai atau terlepas giliran untuk menyumbangkan idea.

Kumpulan berstruktur: Murid akan dibahagikan ke dalam kumpulan-kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan diberikan subtopik yang berlainan untuk dilakukan sumbangsaran dalam kumpulan dalam tempoh yang ditetapkan. Setiap kumpulan itu seterusnya akan membentangkan hasil sumbangsaran mereka kepada kelas. Cara ini dapat memberi ruang untuk murid mengemukakan idea dengan lebih bebas dan cepat kerana beberapa aktiviti sumbangsaran berlaku serentak. Cara ini juga akan menggalakkan sinergi dan komunikasi di kalangan murid.  

Tidak berstruktur: Murid dibenarkan untuk menyumbangkan idea apabila mereka merasakan demikian. Dengan cara ini idea akan dapat disumbangkan secara lebih bebas tanpa perlu mengikut giliran. Kelemahan menjalankan sumbangsaran tidak berstruktur ialah akan terdapat murid yang langsung tidak menyumbang apa-apa idea. 

Sumbangsaran Negatif: cara ini melibatkan proses menganalisis senarai pendek idea yang telah ada. Ada kalanya dengan melihat kelemahan sesuatu, idea yang lebih baik akan muncul untuk memastikan kelemahan tersebut dapat diatasi. Sumbangsaran negatif menggunakan soalan seperti “Apakah perkara yang mungkin dilihat sebagai kelemahan mendirikan solat fardu secara sendirian di rumah?”, “Bagaimana masalah ini boleh timbul”. Sumbangsaran negatif baik digunakan dalam keadaan sukar untuk mencari penyelesaian terus kepada sesuatu masalah.  

Panduan
1.    Pastikan setiap murid bersetuju dengan soalan yang dikemukakan. Tuliskannya di
papan tulis.
2.    Tidak mengkritik mana-mana idea yang disumbangkan.

Wednesday 21 September 2011

Pasal Kaedah Penerangan

Bagi kebanyakan pakar pendidikan, kaedah penerangan tidak dilihat sebagai kaedah yang terpisah daripada kaedah kuliah. Namun begitu, terdapat segelintir pendidik yang masih mengekalkan kaedah penerangan sebagai satu kaedah yang tersendiri dan tidak disinonimkan dengan kaedah kuliah. Malah kaedah kuliah itu sendiri merupakan elemen kecil dalam kaedah penerangan. Saya tidak berhasrat untuk menimbulkan kontroversi. Bagi saya, kaedah penjelasan akan dapat dilakukan sekiranya guru-guru benar-benar mematuhi peraturan kaedah kuliah seperti yang telah saya kemukakan dalam Pasal Kaedah Kuliah.


Walau bagaimanapun, untuk tujuan perkembangan ilmu, saya kemukakan sedikit tentang kaedah penerangan (kaedah ini telah saya kemukakan di bawah tajuk Kaedah Pengajaran Ibadah  - diposkan pada 18 Ogos 2011).


Penerangan merupakan kaedah pendidikan tradisional. Ia digunakan secara meluas oleh para guru dan pensyarah dan disampaikan secara lisan. Struktur kaedah penerangan merupakan pengucapan yang mengandungi semua bahagian  ciri yang diikuti dengan hujjah dan pandangan (arguments) serta penyoalan retorikal (metaforikal, simbolik, tidak literal dan abstrak). Ia boleh dibina dalam bentuk menyatakan, kuliah, narration, mendedahkan, menjelaskan atau ucapan mudah  (simple speech).


Menyatakan merupakan satu bentuk narration yang mudah dan lazimnya dilaksanakan oleh guru-guru peringkat tadika atau sekolah rendah (tahap satu). Menyatakan hampir menyerupai bercerita yang bertujuan untuk menarik minat murid terhadap pelajaran. Menyatakan dicirikan dengan mudah, jelas, menggunakan frasa-frasa yang dapat menggambarkan pemikiran secara linear.


Menjelaskan pula mewakili penemuan kebenaran (truth) dengan berdasarkan kepada hujjah deduktif (deductive arguments). Kaedah menjelaskan ini akan membentuk operasi logic seperti induksi, deduksi, perbandingan, analisis, sintesis dan analogi.


Kuliah merupakan pendedahan maklumat yang luas dan banyak yang telah dibuat analisis dan sintesis oleh guru terlebih dahulu. Kaedah pengajaran ini dicadangkan untuk guru yang mengajar murid peringkat tinggi (tingkatan enam, pelajar kolej dan university) di mana muridnya mempunyai tahap tanggungjawab dan independent yang tinggi. Mungkin boleh digunakan kepada murid menengah atas yang terpilih seperti mereka yang belajar di asrama penuh terpilih. (Untuk huraian lanjut sila lihat Pasal Kaedah Kuliah)


Pendedahan  merujuk kepada bagaimana guru member peluang kepada murid untuk mengemukakan hujah menyokong dan menentang (pros dan cons), kebaikan (faedah) dan keburukan sesuatu (seperti dalam perdebatan dan perbahasan). Guru akan mengemukakan soalan-soalan menggalakkan atau mendorong murid untuk berfikir.


Pendedahan didaktik merupakan saluran mudah dan terus kepada maklumat yang baru. Ia dapat membantu murid mendapatkan kesimpulan akhir sesuatu tajuk yang diajarkan. Kaedah ini walau bagaimanapun merupakan kaedah yang pasif pada pihak murid yang hanya menerima maklumat kasar. Tiada analisis atau sintesis dibuat terhadap isi kandungan pelajaran dan murid akan mudah melupakannya.


Seperti yang saya sarankan dalam Pasal Kaedah Kuliah, adalah baik sekiranya guru menggabiungkan beberapa kaedah lain dengan kaedah penerangan untuk membolehkan murid menjadi aktif dan seronok mengikuti pelajaran.

Tuesday 20 September 2011

Pasal Kaedah Kuliah

Sering dikatakan bahawa pengajaran secara kuliah (melibatkan penerangan dan penjelasan sehala) merupakan kaedah pengajaran yang paling lemah serta menjadi pilihan terakhir guru-guru yang kreatif dan inovatif. Masih terdapat ramai tenaga pengajar (guru dan pensyarah) yang masih belum menguasai bagaimana menyampaikan maklumat dengan berkesan atau dapat merangsang (stimulate)  minat murid secara berkesan. Akibatnya kuliah mereka disampaikan secara lemah, tidak tersusun dengan baik, membosankan dan tidak bertenaga (inspiring). Walaupun kuliah dapat disampaikan dengan baik dan tersusun, guru atau pensyarahnya berkarismatik, masih ramai para pendidik yang akan terus berhujjah dengan mengatakan bahawa kaedah kuliah masih lemah disebabkan murid berkeadaan pasif. Tujuan utama pengajaran ialah untuk membolehkan murid berfikir (sama ada pada tahap rendah atau tinggi) untuk mencari jawapan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Untuk itu murid perlu terlibat dengan aktiviti pembelajaran secara aktif.

Sekiranya guru mendapatkan maklum balas tentang ciri dan gaya pengajaran sendiri melalui kuliah yang dapat menarik minat murid, itu adalah lebih baik daripada terus memberikan kuliah secara sembrono atau  mengikut kehendak dan kepuasan sendiri. Cuba perhatikan peraturan berikut:

Peraturan Pertama: Catatkan
Gunakan masa awal (selepas doa mengajar dan belajar) untuk review perkara utama dalam kuliah yang lalu (sekiranya masih dalam tajuk yang sama atau berkaitan). Seterusnya catatkan panduan idea utama pelajaran yang baru (outline) di papan tulis tentang apa yang ingin dikuliahkan (boleh gunakan peta minda yang mudah). Langkah ini boleh dijadikan langkah set induksi atau anticipatory set yang akan mengawal murid terhadap kandungan pelajaran. Murid boleh mengimbas garis panduan tersebut ketika kuliah dijalankan untuk mengetahui aspek manakah yang sedang dikuliahkan oleh guru.
Amalan mencatatkan garis panduan ini sedikit bertentangan dengan amalan kuliah yang biasa dilakukan secara tradisional (guru hanya merujuk kepada bahan kuliah atau kitab seperti di masjid dan surau). Implikasi al lamabil qalam tidak hanya kepada murid dalam bentuk catatan nota yang perlu dibuat. Ia juga mempunyai implikasi yang besar ke atas guru dengan cara menunjukkan teladan mencatat (aplikasi pengurusan grafik dan peta minda) serta cara mencatat isi-isi utama yang baik (penggunaan kata kunci).

Tentu sekali guru tidak perlu meninggalkan perkara mekanikal seperti menggunakan suara yang boleh didengari oleh semua murid, menulis di papan tulis dengan saiz tulisan yang besar serta boleh dibaca, mengadap kelas (ada kontak mata), membuat rumusan-rumusan pendek secara berkala untuk mengekalkan kadar pembelajaran yang berlaku.

Satu bentuk pengajaran menggunakan kaedah kuliah yang tidak berkesan ialah apabila guru bergantung sepenuhnya kepada OHP / slaid persembahan dan tiada apa pun yang dicatatkan di papan tulis. Transparensi dan slaid (penuh dengan tulisan) ditukar dengan cepat tanpa murid berkesempatan untuk menyerap pelajaran yang diajarkan. Guru boleh atasi kelemahan ini dengan mencetak dan memperbanyakkan bahan untuk diedarkan kepada murid. Andainya garis panduan telah dicatatkan di papan tulis, k osnya akan menjadi lebih murah dan murid boleh mencatatkan panduan isi kandungan tersebut kerana ia tidak akan dipadamkan sehingga kelas ditamatkan.

Peraturan Kedua : Bersedia
Bersedia merupakan moto yang sangat popular digunakan oleh banyak orang dan organisasi. Mengapa? Elakkan daripada masuk ke kelas tanpa membuat persediaan yang lengkap dengan huraian dan bahan-bahan tambahan melebihi apa yang terkandung dalam sukatan. Adakalanya murid akan bertanyakan sesuatu melewati isi kandungan (beyond) atau meminta penjelasan serta tamsilan lebih konkrit dan terperinci yang tidak terdapat di dalam buku (peristiwa atau keadaan yang baru). Guru yang tidak bersedia atau sekadar bersedia mengikut apa yang telah disediakan dalam teks, akan gagal menyampaikan maklumat sepenuhnya. Malah gagal menyediakan diri sebagai pelengkap kepada scaffolding atau More Knowledgeable Others (untuk tujuan kolaborasi dan rujukan)

Sekiranya guru akan mengajar  topik yang sama untuk kelas lain pada waktu yang lain (atau pada tahun berikutnya), sebaiknya guru telah memasukkan isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh murid sebelumnya dan menyemaknya semula dengan membuat rujukan yang sepatutnya (saya pernah terjumpa ada guru yang cuba menipu apabila gagal mendapatkan jawapan yang betul semasa sedang mengajar). Ini menjadikan ilmu guru sentiasa berkembang dengan keperincian maklumat. Amalan yang jumud adalah amalan menggunakan buku teks atau nota kuliah yang tidak pernah berubah atau berkembang. Sekiranya guru mengajar selama 10 tahun menggunakan bahan yang sama tanpa perubahan, bermakna pengalaman mengajar guru hanyalah setahun . Tahun-tahun seterusnya hanya merupakan ulangan perkara yang sama tanpa inovasi dan kreativiti. Tidak ada yang baru.
Sebenarnya kesalahan terbesar yang dilakukan oleh guru yang mengamalkan kaedah kuliah ialah tidak bersedia dengan nota sendiri dan hanya bergantung kepada daya ingatan (kerana telah berulangkali mengajar perkara yang sama). Seringkali perkara begini menyebabkan berlakunya ralat serta kecelaruan isi kandungan atau terlupa dengan beberapa fakta atau huraian, tidak konsisten dan tidak koheren serta tidak menggalakkan murid untuk belajar. Mungkin terdapat guru yang hebat tanpa melakukan kesilapan tetapi bilangannya amat sedikit sekali. Elakkan daripada mengambil risiko sebegini.

Penyediaan nota bukan bermakna guru akan membacakan nota semasa menyampaikan kuliah tetapi nota itu perlu ada di hadapan guru sebagai rujukan dan panduan. Selebihnya guru perlu menggunakan papan tulis untuk mencatatkan isi utama. Sekiranya guru menggunakan transparensi atau slaid, nota huraian masih diperlukan kerana slaid tidak perlu dipenuhkan dengan segala keperincian maklumat.

Peraturan ketiga: Pastikan kuliah anda bermakna kepada murid
Tidak ada makna bagi murid untuk berada dalam kelas mendengarkan kuliah sekiranya mereka tidak dapat menilai kepentingan isi kandungan kuliah kepada dirinya (untuk membolehkan digunakan semula pada suatu ketika dalam kehidupan sebenar atau ketika menyelesaikan masalah dan tugasan). Murid sebenarnya agak sibuk adan mempunyai banyak tugasan (yang diberikan oleh guru-guru lain dan tanggungjawabnya sebagai murid dan anak dalam keluarga). Adalah lebih baik mereka mengulangkaji pelajaran daripada menghadiri atau mengikuti kuliah yang tidak bermakna kepada dirinya.

Bagaimanakah menjadikan kuliah guru itu bermakna sedangkan guru memang mengajar dengan berpandukan sukatan yang telah disediakan? Sekiranya murid merasakan mereka boleh mempelajari perkara yang sama dengan lebih baik di tempat lain atau dengan cara yang lain, ini merupakan petunjuk bahawa pengajaran guru menggunakan kaedah kuliah adalah tidak bermakna dan boleh ditinggalkan. Oleh itu, guru perlu membuatkan murid merasakan penyampaian dan pengajaran guru adalah penting dan sukar untuk digantikan dengan kaedah yang lain. Mereka (murid) akan merasakan tidak patut ketinggalan daripada mengikuti kuliah guru hanya disebabkan bahan pengajaran tersebut terdapat di dalam buku teks atau buku latihan dan mereka boleh membacanya sendiri. Apabila murid merasakan bahawa mereka tidak boleh ketinggalan kuliah, guru sebenarnya guru telah berjaya mengenepikan satu masalah: ponteng (minda atau fizikal).

Peranan guru adalah memantapkan pengetahuan tentang topik yang diajar beserta dengan bahan-bahan sokongan supaya guru dapat melakukan sintesis yang bernilai dan bermakna untuk murid menumpukan perhatian kepada kuliah.

Peraturan Keempat: Tahap yang sesuai
Kenalpasti dan dapatkan maklumat tentang pengetahuan sedia ada murid. Pensyarah atau guru pengamal kaedah kuliah terbaik di dunia sekalipun akan gagal sekiranya tahap isi kandungan yang ingin dikuliahkan berada jauh daripada keupayaan murid atau terlalu rendah sehingga boleh membosankan.Ini tidak bermakna guru akan meninggalkan tajuk-tajuk yang sukar. Pastikan tajuk-tajuk berkaitan yang menjadi asas pengetahuan sedia ada murid telah terlebih dahulu dikuasai. Sukatan pelajaran telahdisusun agar pengajaran aspek asas disampaikan terlebih dahulu sebelum beralih kepada perkara yang lebih kompleks dan abstrak.
Peraturan Kelima: Menunjukkan minat
Pastikan guru sendiri tidak menunjukkan kebosanan untuk mengajar sesuatu tajuk berkenaan (mungkin telah terlalu lama mengajar perkara yang sama). Murid akan dapat mengesan guru yang tidak berminat dengan pelajarannya. Sekiranya guru tidak berminat untuk megajar mata pelajaran berkenaan, ada baiknya guru beralih kepada mata pelajaran yang diminati atau bertukar profesyen. Kesungguhan dan minat adalah umpama virus yang boleh tersebar kerana kesungguhan dan minat guru mengajar akan mempengaruhi kesungguhan dan minat murid belajar.

Saya pernah terjumpa guru yang akan mengatakan “Jangan ganggu saya!” ketika murid cuba mendapatkan bantuan tentang pelajaran di luar jadual waktu guru tersebut. Bagi guru seumpama ini, tanggungjawabnya hanya ketika berada dalam kelas. Ia bukan satu sikap profesional.

Sekali murid merasakan bahawa mereka boleh meninggalkan kelas(ponteng) tanpa merasa rugi, guru sebenarnya telah kehilangan elemen terpenting dalam tugas dan tanggungjawabnya : murid. Seharusnya guru mencari jalan untuk memastikan muridnya hadir (fisikal dan minda). Ini perlu diterjemahkan sebagai guru perlu menyediakan diri dengan pelbagai sumber dan tidak sekadar bergantung pada buku teks atau nota kuliah yang tidak pernah berubah dan berkembang.

Peraturan Keenam: Gabungkan beberapa kaedah
Meskipun dalam satu waktu mengajar (mengikut jadual), sebaiknya guru dapat menggunakan strategi menggabungkan dua atau lebih kaedah semasa mengajar. Kaedah kuliah (atau penerangan) boleh diselang-selikan dengan demonstrasi, soal jawab dan sebagainya. Pilihlah kaedah yang dapat melibatkan murid secara aktif tanpa menolak bulat-bulat kaedah kuliah.

Sebuah kuliah yang baik, seperti esei yang mengandungi ilustrasi dan gambarajah, tidak sekadar menyampaikan isi-isi utama. Sebaliknya ia disertakan dengan demonstrasi. Demonstrasi boleh disampaikan dengan pelbagai bentuk dan sebaik-baik demonstrasi ialah dengan melibatkan murid. Contohnya, melalui penyoalan murid boleh demonstrate kefahaman mereka dengan menuliskannya di papan tulis (boleh disaksikan dan dibuat penilaian oleh murid lain) atau demonstrate kefahaman dengan menyatakan isi-isi penting yang telah dipelajari sebagai kesimpulan pelajaran.

Monday 5 September 2011

Bagaimana menggalakkan murid untuk belajar

Sesetengah murid secara semulajadi memang meminati bidang ketuhanan dan keagamaan tetapi kebanyakan murid kita memerlukan orang lain (guru) untuk mencetuskan keinginan, minat, tanggungjawab, dorongan serta cabaran untuk belajar. Keberkesanan pembelajaran dalam bilik darjah bergantung kepada keupayaan guru pada peringkat awal untuk mengekalkan minat terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam. Apa juga tahap motivasi yang dibawa bersama oleh murid ke dalam bilik darjah akan berubah (proses transformasi) sama ada menjadi lebih baik atau lebih buruk, dengan apa yang berlaku di dalam bilik darjah. 

Malangnya, tidak terdapat satu formula yang paling baik untuk memotivasikan murid. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi murid untuk belajar: minat dalam mata pelajaran (isi kandungannya), persepsi ke atas kebergunaannya semasa (current) atau pada masa akan datang (future), keinginan umum untuk mencapai sesuatu kejayaan, keyakinan dan harga diri, daya ketahanan, kesabaran dan keinginan yang bersungguh (determination). Sudah pasti tidak semua murid akan bermotivasi disebabkan oleh nilai-nilai yang serupa, keperluan, kehendak atau keinginan yang sama. Terdapat juga murid yang akan bermotivasi sekiranya usaha mereka untuk belajar dihargai oleh orang lain atau dapat menunjukkan keupayaan mereka untuk menyahut cabaran.

Para penyelidik pendidikan telah mencuba untuk mengenalpasti aspek-aspek situasi pembelajaran yang dapat mendorong motivasi kendiri murid. Untuk menggalakkan murid agar mempunyai motivasi kendiri untuk belajar, guru boleh melakukan perkara berikut:

1.      Berikan maklumbalas yang agak kerap, lebih awal adalah lebih baik, serta positif agar dapat menyokong kepercayaan murid bahawa mereka boleh mencapai tahap yang lebih baik (ilmu pengetahuan, kemahiran atau amalan berakhlaq dan bermoral).
2.      Pastikan tentang peluang-peluang untuk kejayaan murid dengan menyediakan tugasan yang tidak terlalu mudah atau terlalu sukar. Sebaiknya tugasan itu melibatkan aplikasi kemahiran berfikir tahap tinggi serta sedikit mencabar.
3.      Bantu murid mencari “makna” peribadi serta nilai-nilai bermakna dalam bahan yang dipelajari.
4.      Wujudkan persekitaran pembelajaran yang bersifat terbuka serta positif.
5.      Bantu murid agar mereka rasa dihargai sebagai ahli kumpulan (kelas atau bilik darjah).

Kajian juga telah menunjukkan bahawa amalan mengajar yang baik setiap hari dapat mengatasi masalah kurang mengambil berat serta kurang minat murid terhadap pelajaran jika dibandingkan dengan membebel tentang sikap tidak mengambil berat murid terhadap pelajaran. Kebanyakan murid akan memberikan respons positif kepada penyampaian maklumat secara tersusun dan teratur oleh guru yang bersungguh-sungguh, mempunyai minat yang tulen terhadap murid serta apa yang mereka pelajari. Oleh itu, apa juga aktiviti yang dilaksanakan oleh guru, bukan sekadar dapat menggalakkan pembelajaran, malah dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar.

Strategi Umum

Pergunakan keperluan murid. Murid akan belajar dengan lebih baik apabila insentif untuk belajar dalam kelas dapat memberikan kepuasan motif mereka mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam. Terdapat murid yang memerlukan jawapan kepada masalah berkaitan keagamaan yang mereka hadapi, perlu menyelesaikan tugasan yang diberi, mendapatkan pengalaman baru, memantapkan pengetahuan dan kemahiran tertentu (contohnya, tentang haid, solat, sembelihan), keperluan menjadi lebih kompeten, keperluan untuk berjaya dalam ujian dan peperiksaan (membanggakan ibu bapa serta guru), keperluan untuk terlibat sebagai anggota masyarakat (sosialisasi). Sila rujuk hirarki keperluan yang dikemukakan oleh Erickson.   

Pastikan murid aktif dalam pembelajaran. Murid belajar dengan berbuat, menulis, melakukan (amali), menghasilkan (menambahbaik amalan), menyelesaikan masalah dan mereka cipta. Kelas yang pasif akan melembabkan motivasi dan rasa ingin tahu murid. Guru perlu banyak mengemukakan soalan (secara sokratik dengan melibatkan aras pemikiran tinggi, sederhana dan rendah). Elakkan daripada menyampaikan maklumat sekiranya maklumat itu boleh diberikan oleh murid melalui jawapan kepada soalan yang diberikan. Galakkan murid untuk mengemukakan jalan-jalan penyelesaian masalah secara terkawal (isu muamalah harian). Gunakan kaedah kumpulan kecil (koperatif dan kolaboratif)yang dapat menggalakkan penyertaan murid.

Minta murid membuat analisis tentang perkara yang dapat memotivasikan atau membosankan mereka untuk belajar mata pelajaran Pendidikan Islam. Minta murid menyenaraikan aspek yang mempengaruhi tahap motivasi / kebosanan mereka. Secara umum, terdapat lapan ciri yang menjadi penyumbang utama motivasi murid (Sass, 1989).

1.      Kesungguhan guru mengajar
2.      Kerelevanan bahan
3.      Penyusunan pengajaran dan pembelajaran (sila kenalpasti langkah-langkah pengajaran dalam rancangan pengajaran dan bukan sekadar menulis dalam benmtuk yang kabur dan tidak jelas seperti langkah 1, 2 dan sebagainya tetapi gunakan istilah seperti yang terdapat dalam proses 5E, 7E, penyelesaian masalah dan sebagainya).
4.      Kesesuaian tahap kesukaran bahan yang dikemukakan
5.      Keterlibatan murid secara aktif
6.      Kepelbagaian (strategi, kaedah dan teknik)
7.      Hubungan guru-murid yang “rapport”
8.      Penggunaan contoh (tamsilan) yang konkrit, sesuai dan boleh difahami.

Menggabungkan pengajaran tingkahlaku yang dapat memotivasikan murid

Berpegang kepada ekspektasi yang realistik dan tinggi untuk murid anda. Kajian yang telah dilakukan menunjukkan ekspektasi guru mempunyai kesan yang baik ke atas pencapaian murid. Sekiranya guru mengajar dengan jangkaan / andaian murid bermotivasi tinggi, bersungguh-sungguh dan berminat dengan mata pelajaran yang diajar, murid juga akan membuat tindakan yang sama iaitu bermotivasi, bersungguh-sungguh dan berminat kepada pelajaran. Tetapkan ekspektasi yang realistik untuk murid ketika memberikan tugasan, membuat persembahan, mengendalikan perbincangan serta menggred peperiksaan. Realistik dalam konteks ini bermaksud piawaian yang ditetapkan oleh guru adalah agak tinggi untuk membolehkan murid bermotivasi untuk melakukan yang terbaik dalam kerja-kerja mereka tetapi tidak terlalu tinggi yang boleh menyebabkan murid menjadi kecewa untuk mencapai ekspektasi tersebut. Untuk membentuk dorongan kejayaan, murid perlu percaya bahawa kejayaan itu tidak mustahil untuk dicapai. Ini bermakna guru perlu menyediakan peluang-pelkuang awal mencapai kejayaan (American Psychological Association, 1992; Bligh, 1971; Forsyth dan McMillan, 1991; Lowman, 1984).

Bantu murid menetapkan matlamat mereka. Kegagalan untuk mencapai matlamat boleh menyebabkan kekecewaan. Guru perlu menggalakkan murid untuk memfokuskan penambahbaikan berterusan, bukan sekadar pada skor atau gred pada satu ujian, peperiksaan atau tugasan sahaja. Bantulah muirid untuk menilai peningkatan / penambahbaikan mereka dengan menggalakkan mereka membuat kritikan ke atas kerja atau amalan mereka sendiri, menganalisis kekuatan mereka dan memperbaiki kelamahan diri. Contohnya, galakkan murid menyertakan borang penilaian mereka sendiri beserta tugasan yang telah diselesaikan (Cashin, 1979; Forsyth and McMillan, 1991)

Maklumkan kepada murid apa yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Elakkan daripada membiarkan murid bertungkus lumus berusaha tanpa menggunakan strategi menguasai mata pelajaran untuk mencapai kejayaan yang diharapkan. Kongsikan kaedah terbaik serta apa yang perlu mereka lakukan untuk meningkatkan minat dan menguasai mata pelajaran Pendidikan Islam.

Menstrukturkan mata pelajaran
Tingkatkan tahap kesukaran dari semasa ke semasa. Mulakan pengajaran dengan tajuk yang mudah agar murid dapat merasakan kejayaan mereka dalam latihan dan tugasan yang diberikan. Kejayaan pada peringkat awal mampu meningkatkan harga diri dan motivasi. Apabila murid telah dapat merasakan keseronokan mencapai kejayaan, secara beransur-ansur guru boleh meningkatkan tahap kesukaran dalam latihan dan tugasan.

Mempelbagaikan kaedah pengajaran. Kepelbagaian kaedah dalam pengajaran dapat menyedarkan dan meningkatkan penglibatan serta motivasi murid. Elakkan daripada menggunakan kaedah dan teknik yang sama setiap kali mengajar. Libatkan murid secara aktif melalui perbincangan, perkongsian pendapat, kolaborasi, kumpulan kecil, kajian kes dan sebagainya.

Bermula dengan kekuatan dan minat murid. Dapatkan maklumat daripada murid tentang tajuk-tajuk yang ingin mereka pelajari dahulu (tanpa menyeleweng daripada sukatan pelajaran), perasaan mereka mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam dan jangkaan serta harapan mereka. Setelah mendapatkan maklumat yang diperlukan, guru perlu merancang dan membina tamsilan, kajian kes atau tugasan yang dapat dikaitkan dengan tajuk-tajuk dalam mata pelajaran yang diminati murid serta berklait dengan pengalaman sebenar mereka. Jelaskan kepada murid bagaimana objektif tajuk-tajuk atau mata pelajaran dapat membantu murid berjaya dalam pelajaran, kehidupan peribadi, kerjaya dan profesionalisme.

Tidak menumpukan kepada pencapaian skor dan gred.  

Bersambung …………..

Sunday 4 September 2011

Strategi membina hubungan positif guru-murid

Bahan dipetik daripada buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkahlaku tulisan Shamsina Shamsuddin

1. Bertindak selaku ketua pegawai eksekutif (CEO)

Murid akan mencari sebab untuk menghormati dan mematuhi guru. Oleh itu guru perlu menyampaikan mesej bahawa gurulah yang sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengawal bilik darjah dan tingkahlaku murid serta layak dihormati. Walau bagaimana pun mesej ini tidak seharusnya disampaikan kepada murid dalam nada menyombong atau bongkak, autoritatif atau menggunakan pendekatan yang tidak telus. Untuk mendapatkan keseimbangan antara boleh didekati tanpa menjadi kawan merupakan satu cabaran dan ia merupakan satu seni dalam bidang pengajaran.

Guru perlu memaklumkan kepada murid tentang hak mutlak dirinya sebagai guru. Wujudkan sempadan hubungan tanpa kesediaan untuk melanggarnya. Guru perlu menggunakan peluang untuk membentuk peraturan perhubungan sejak awal sesi persekolahan setiap tahun.

2. Menerima keindividualan murid 

Sekiranya guru bersikap jujur terhadap diri sendiri pasti guru akan mengakui bahawa dengan menerima murid sebagai dirinya dan sebagai individu merupakan satu lagi cabaran yang sukar. Setiap seorang murid mempunyai ciri unik yang tersendiri dan guru tidak seharusnya membuat generalisasi untuk mengatakan bahawa semua murid adalah sama. Guru boleh cuba memahami dan menerima murid-murid melalui pengumpulan maklumat menggunakan borang profil pada awal tahun. Maklumat yang dikumpulkan meliputi hobi, keluarga, impian, bakat, minat, perkara yang disukai dan tidak disukai. Gunakan masa untuk membaca profil murid dan gunakan maklumat yang diperolehi untuk mewujudkan hubungan dan berbicara secara casual dengan murid.

Dengan cara menunjukkan minat untuk mengenali kehidupan murid, kebiasaan mereka serta membenarkan mereka “menari mengikut paluan gendang sendiri” merupakan strategi paling berkesan yang boleh digunakan untuk sampai dan membuka pintu hubungan dengan murid.  

3. Wujudkan komuniti di dalam bilik darjah.

Bantu murid untuk mengenali rakan mereka dan juga diri guru sendiri. Semakin cepat guru dapat memberi kesedaran tentang banyaknya ciri kesamaan berbanding perbezaan di antara ahli kelas, semakin selesa pula murid dengan keadaan serta suasana bilik darjah dan kelas mereka.

4. Beri peluang kepada murid untuk mengenali diri guru.

Sesetengah guru tidak bersetuju dengan konsep ini kerana khuatir persamaan mungkin menyebabkan murid dan suasana jadi lebih tidak berdisiplin di dalam bilik darjah. Faktanya ialah semakin murid merasa selesa dengan gurunya, mereka akan merasa lebih selesa dan bersifat lebih terbuka dan boleh menerima.

Beri peluang kepada murid untuk mengemukakan soalan yang mereka ingin tanyakan tentang guru. Pilih soalan-soalan yang boleh dikongsikan jawapannya. Gunakan sedikit waktu sebelum waktu pembelajaran tamat untuk menjawab soalan-soalan secara rawak. Guru boleh berseronok dengan aktiviti ini dan murid akan melihat guru sebagai seorang manusia sebenar dan bukan berpura-pura.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya guru dapat meluangkan sedikit waktu untuk bersama dalam aktiviti kokurikulum seperti perkhemahan, bermain bola di padang, menghias sekolah dengan bunga-bungaan dan pokok hiasan sambil berhibur, berbual atau berbincang atau memasukkan isi kandungan pelajaran secara santai. Bagi sesetengah murid, aktiviti bersama di sekolah menjadi pendorong untuknya hadir dan terus belajar di sekolah.

 

5. Ingat nama kesemua murid dalam kelas dalam tempoh 48 jam.

Kebanyakan murid merasakan diri mereka seumpama tidak wujud semasa berjalan di koridor sekolah tanpa berkomunikasi dengan seseorang. Lazimnya apabila berselisih dengan guru, muridlah yang memulakan komunikasi. Bagi murid yang pemalu, komunikasi permulaan ini tidak mungkin berlaku. Apabila guru boleh menegur murid, khususnya mereka yang pemalu dan pendiam dengan menggunakan nama mereka dan menunjukkan hubungan yang baik, murid akan merasa diri mereka wujud dan dihormati.  Murid pula tidak akan merasakan guru sebagai seorang superior yang sombong atau autoriti yang menakutkan mereka.

Setelah mengenali dan menghafal nama-nama murid, guru boleh gunakannya di mana-mana dan tidak lagi menggunakan gantinama ketika memulakan komunikasi seperti “Hei awak! boleh tolong cikgu angkatkan buku ini tak?” Sebaliknya penghormatan akan wujud apabila guru mengatakan “Qatratun Nada, boleh tolong saya bawakan buku ini ke kelas?”. Sesetengah murid akan merasa sungguh seronok apabila guru berupaya memanggil mereka menggunakan nama-nama mereka setelah dua hari berjumpa. Kesannya adalah amat besar terhadap perhubungan yang positif dan harga diri murid-murid.

 

6. Perhatikan dan perbaiki elemen komunikasi bukan lisan.

Kita semua tahu bahawa betapa lemah dan mengecewakan apabila seorang penceramah atau pembentang gagal menggunakan komunikasi bukan lisan dan bercakap umpama sebatang tiang yang tidak menarik minat serta terasing dan tidak ada hubungan dengan pendengar. Seorang guru yang mengajar dan memberikan penerangan umpama sebatang tiang yang tidak menimbulkan rasa ingin tahu, motivasi dan minat untuk memberikan perhatian kepada murid adalah seorang guru yang gagal dalam profesionnya. Bahasa badan, nada dan intonasi suara, kekuatan volume suara, mimik wajah dapat menyampaikan mesej tentang kesungguhan, keseronokan dan kepuasan murid. Sesetengah gerak bahasa badan dapat memudahkan kefahaman tentang perkara yang dibincangkan.

Senyuman adalah sedekah dan tenaga yang digunakan untuk senyum adalah lebih kecil berbanding tenaga yang digunakan untuk menunjukkan raut wajah marah, bermuka masam dan merunsingkan. Senyuman merupakan satu petanda kesediaan untuk menerima dan bertenaga. Murid, khususnya mereka yang datang dari latar belakang sosioekonomi yang rendah, bergantung tinggi kepada komunikasi bukan lisan dan akan mendapatkan isyarat bukan lisan di sekeliling mereka. 

 

7. Layan semua murid dengan hormat sepanjang waktu.

Apakah yang akan dirasakan oleh guru sekiranya bilik darjah menjadi sebuah tempat yang bebas daripada bising, jeritan dan laungan? Sebagai seorang dewasa yang matang guru boleh berperanan sebagai rol model kepada murid-muridnya. Walau bagaimana kecewa sekali seorang guru di dalam bilik darjah, guru tidak seharusnya menjerit atau merendah-rendahkan martabat murid dengan suara yang lantang dan tinggi. Apabila seorang guru menyelitkan adab dan akhlak yang baik dalam bilik darjah dan mengekalkan sikap secara konsisten, guru sebenarnya menunjukkan rasa hormat dan membantu murid untuk memahami kuasa positiviti dan interaksi yang sihat.

Faktor-faktor yang mempengaruhi hubungan guru-murid

Dipetik daripada buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkahlaku oleh Shamsina Shamsuddin

Niat dan salam
Niat yang baik dan disusuli dengan tindakan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik. Guru yang memulakan hubungan dengan niat untuk mendidik, membimbing dan mengajar dengan tujuan memperkembangkan ilmu, kemahiran serta potensi diri murid secara jujur dan ikhlas akan lebih disenangi oleh murid. Apabila hubungan itu dikaitkan dengan ”kerana Allah”, maka hubungan itu akan dapat dipertanggungjawabkan. Masuklah ke kelas dengan memberi salam terlebih dahulu dan bukannya berdiri dan menanti murid-murid memberi salam seperti yang menjadi amalan lazim. Ini dapat mengelakkan rasa superior guru dan inferior murid.  

Penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regards)
Penerimaan tanpa syarat merujuk kepada sikap menerima dengan mesra serta menghormati guru dan murid sebagai individu dan ahli kelompok dalam bilik darjah secara ikhlas. Guru dan murid adalah manusia yang mungkin sebelumnya pernah tersilap dan berbuat salah. Namun begitu, secara fitrah, manusia sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik dan positif daripada sebelumnya. Apabila guru dan murid sama-sama menjadi ahli komuniti bilik darjah, berbaik sangka tanpa membuat pertimbangan untuk menghukum berdasarkan peristiwa atau pengalaman lalu, mereka akan dapat mewujudkan hubungan interpersonal yang baik. Suasana rapport akan membuatkan murid merasa selamat untuk belajar. Apa yang paling utama, melalui penerimaan tanpa syarat ini, sikap saling menghormati akan berkembang. Guru yang dapat menghormati murid-muridnya akan membuatkan murid-murid menghormati guru seterusnya akan mula menghargai ruang, harta dan masa ahli komuniti bilik darjah, sekolah dan masyarakat sekolah amnya.

Empati
Empati murujuk kepada keupayaan guru untuk memahami perasaan murid-muridnya seolah-olah guru berada dalam keadaan itu. Keupayaan untuk berempati bergantung kepada keupayaan guru mengenalpasti dan merasakan perasaannya sendiri. Tidak semua murid datang ke sekolah dengan keadaan gembira. Tekanan, gangguan serta peristiwa tertentu boleh mempengaruhi perasaan murid yang akan dibawa bersama ke sekolah lalu menjejaskan proses pembelajaran. 
Empati juga melibatkan pendengaran yang baik atau lebih dikenali sebagai pendengaran reflektif. Ia merupakan satu bentuk kemahiran komunikasi yang melibatkan pendengaran penggunaan perkataan-perkatan melibatkan perasaan yang menyokong bahasa badan. Dengan mengumpulkan lebih banyak maklumat tentang perasaan murid, guru akan lebih mengenali dan memahami mereka. Murid pula pada masa yang sama merasakan diri mereka difahami dan dihargai. Hal ini dapat meningkatkan harga diri murid ketika berada dalam kecelaruan perasaan.

Ketulenan  dan kongruen 
Ketulenan dan kongruen pula bermaksud sebenar, jujur dan tidak bermaksud jahat dalam perhubungan interpersonal. Guru perlu menjadi dirinya yang sebenar dan tidak berpura-pura atau cuba menjadi seperti orang lain yang lebih berkuasa. Seperti murid, guru juga mempunyai kelemahan-kelemahan diri. Akuilah kelemahan-kelemahan diri walau pun kelemahan-kelemahan tersebut tidak dikongsikan dengan murid. Keadaan ini akan merapatkan jrang perbezaan antara guru dan murid. Murid pula akan merasakan dirinya selamat, diterima, diberikan perhatian dan dipercayai. 

Kehadiran guru
Guru perlu menghadirkan diri setiap kali ia perlu berada di dalam bilik darjah atau ketika menjalankan aktiviti pembelajaran luar bilik darjah bersama murid. Guru juga perlu hadir semasa menjalankan kegiatan kokurikulum atau semasa aktiviti lain yang diperlukan bersama seperti jamuan kelas, kelas tutorial atau kelas-kelas tambahan yang diadakan. Ketiadaan guru menggambarkan bahawa guru tidak prihatin serta tidak mengambil berat tentang perkembangan dan pertumbuhan murid-muridnya. Sekiranya guru tidak dapat menghadirkan diri, sebab dan puncanya perlu diperjelaskan kepada murid. Elakkan daripada membuatkan murid tertanya-tanya sedangkan mereka telah pun hadir. Seperti mana murid dianggap melanggar prosedur, guru yang tidak hadir tanpa diketahui sebab yang dapat diterima, sebenarnya telah melanggar prosedur kelas yang dibuat bersama.

Kehadiran guru atau ketidak hadiran dengan sebab yang boleh diterima sebenarnya akan memperkukuhkan kepercayaan murid bahawa guru sememangnya menyayangi dan mengambil berat tentang mereka. Sebaiknya, sekiranya guru tidak dapat hadir, murid dimaklumkan lebih awal atau sediakan guru ganti yang akan memantau aktiviti murid-murid.

Kesegeraan guru (Teacher immediacy)
Kesegeraan guru didefinisikan dari perspektif komunikasi oleh Andersen (1979) sebagai satu set tingkahlaku lisan dan bukan lisan yang mendedahkan kesediaan guru untuk mendekati serta didekati oleh murid. Penggunaan tingkahlaku kesegeraan guru dapat meningkatkan kedekatan hubungan (closeness) dan menghasilkan sikap positif dengan mengurangkan faktor jarak fizikal dan psikologikal antara dua pihak yang berkomunikasi (Mehrabian, 1969). Guru yang menunjukkan tingkahlaku kesegeraan dapat mengurangkan jarak psikologikal dengan menghargai dan mengakui pandangan serta ide murid, menggunakan maklumbalas serta input daripada murid ke dalam pengajarannya, kesediaan untuk berkomunikasi dan kesediaan untuk melibatkan diri dalam bentuk interaksi bersemuka. Guru yang menggunakan kesegeraan lisan dan bukan lisan lebih bercirikan kemanusiaan (more human) dan boleh didekati oleh murid.

Komunikasi Guru - Murid
Komunikasi merupakan satu bentuk hubungan dua hala. Adalah amat penting untuk guru mengamalkan komunikasi yang jelas dan ringkas semasa berhubung dengan murid ketika menyampaikan pelajaran, peraturan dan ekspektasi. Apabila guru berkomunikasi secara jelas, murid akan memperolehi panduan ke arah kejayaan. Komunikasi juga melibatkan proses mendengar dengan baik.


Saturday 3 September 2011

Refleksi Guru Pendidikan Islam

Setelah mengajar dalam sebuah kelas, saya mencadangkan agar guru Pendidikan Islam akan bertanya kepada diri sendiri beberapa soalan yang jarang dimasukkan ke dalam senarai soalan ketika membuat refleksi. Soalan-soalan tersebut adalah:

Apakah pada hari ini saya telah....
1. memohon pada Allah agar pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar?
2. menunaikan amanah dengan merancang pengajaran sebaik-baiknya?
3. melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengajar secara jujur dan ikhlas?
4. benar-benar telah membantu murid yang menghadapi masalah memahami pelajaran?
5. mengurus tingkahlaku bermasalah murid secara berhikmah dan bijaksana?
6. menyedarkan murid dengan mengaitkan pelajaran dengan Allah yang memberikan hidayah dan ilmu (tentang kebesaran Allah)?
7. menyemak kerja-kerja yang telah diberikan kepada murid?
8. berusaha menambahbaik amalan bekerja saya sebagai hamba Allah?
9. mencari / memikirkan / menggunakan teknik serta kaedah secara inovatif?
10. melakukan sesuatu yang lebih baik pada hari ini berbanding semalam?
11. menyedari kesilapan-kesilapan sendiri ketika melaksanakan tugas sebagai guru?
12. mengingatkan murid-murid tentang tanggungjawab mereka sebagai murid serta kewajipan mereka menuntut ilmu?
13. meningkatkan ilmu dan kemahiran sebagai seorang guru Pendidikan Islam?
14. mensyukuri Allah setelah dapat melaksanakan tugas mengajar dan mendidik?
15. memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w?