Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Wednesday 22 February 2012

Model Rekabentuk Sistem Pengajaran

Model Rekabentuk Sistem Pengajaran
Shamsina Shamsuddin
Feb 2012
 
Model ADDIE
Model Rekabentuk Sistem Pengajaran ini mengandungi 5 fasa iaitu  Analysis (analisis), Design (rekabentuk), Development (perbangunan atau pembinaan), Implementation (pelaksanaan), dan Evaluation (penilaian).  Hasil pembentukan dan pelaksanaan dari setiap fasa akan memberi maklumat berguna untuk fasa-fasa seterusnya. Terdapat pelbagai variasi model ADDIE bergantung kepada penggunaannya. Dalam tulisan ini, model yang dikemukakan oleh Clark (1995) digunakan. 
                           
Fasa Analisis
Pada peringkat ini beberapa keperluan dikenalpasti melalui analisis perkara-perkara berikut:
·         Analisis objektif eksplisit dan hasil pembelajaran: memastikan objektif khas dan hasil pembelajaran dibina secara spesifik, boleh diukur, realistik  serta boleh dicapai dalam jangka waktu yang diperuntukkan.
·         Analisis pencapaian: menentukan cadangan langkah penyelesaian (kayu ukur) yang dapat membezakan antara tingkahlaku sekarang dengan tingkahlaku yang ingin dicapai.
·         Analisis sasaran: mengenalpasti ciri-ciri dan latar belakang murid termasuk gaya pembelajaran, keperluan dan pengetahuan sedia ada mereka.
·         Analisis Tugasan: mengenalpasti dan menetapkan bentuk tugasan atau aktiviti yang perlu dilaksanakan oleh murid-murid sesuai dengan objektif khas atau hasil pembelajaran yang dibina.
·         Analisis Masalah Pembelajaran: mengenalpasti kekangan yang dihadapi untuk membolehkan pengajaran terlaksana dengan lancar seperti masalah prasarana dan peralatan.
·         Analisis Media Pengajaran: memilih atau membina media pengajaran yang dapat membantu mempermudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
·         Analisis Kos: menentukan kos sesuatu projek dengan memastikannya dalam lingkungan keupayaan peruntukan budget yang ada.
·         Analisis pilihan-pilhan kaedah penyampaian: mengambilkira kaedah yang akan digunakan dalam pengajaran.
·         Analisis pertimbangan pedagogikal dan teori pembelajaran: ambilkira semua aspek pedagogikal (pengetahuan konten, isu, model, kemahiran, strategi, kaedah) dan teori pembelajaran yang dijadikan asas dalam penyampaian pengajaran.
·         Analisis tempoh masa pengajaran: ambilkira tempoh waktu yang diperuntukkan berdasarkan jadual waktu serta pemberatan topik dalam kurikulum yang telah ditetapkan.
·         Analisis persekitaran: ambilkira persekitaran pembelajaran (bilik darjah, makmal, bengkel atau bilik-bilik khas seperti dewan, surau dan sebagainya).

Reka bentuk (Design)
Dengan menggunakan maklumat daripada fasa analisis di atas, satu rekabentuk pengajaran dan/atau bahan pengajaran akan dibina meliputi:
  • Dokumentasi atau penulisan perancangan pengajaran melibatkan langkah-langkah (ambil kira model-model pengajaran), cadangan bahan bantu dan strategi pelaksanaan.
  • Aplikasi strategi bermatlamatkan pencapaian domain hasil pembelajaran atau objektif khas (kognitif, afektif dan psikomotor)
  • Merancang dan menyusun langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran secara berturutan untuk tajuk-tajuk yang berlainan (mengikut turutan model pengajaran yang dipilih).
  • Merekabentuk ujian rujukan norma / kriteria.

Pembangunan/Pembinaan (Development)
Fasa ini merupakan fasa penulisan rancangan pengajaran dan pembinaan sebenar bahan pengajaran yang akan digunakan berdasarkan tajuk yang akan diajar.
·         Pemilihan isi kandungan dibuat berpandukan huraian sukatan pelajaran dan (pemilihan bahan melalui proses adoptasi dan adaptasi) bahan bantu pelajaran berkaitan seperti edaran, lembaran kerja, slaid pembentangan dan sebagainya dihasilkan termasuklah mengesahkan kesesuaian dan kebolehpercayaan bahan-bahan tersebut
·         Penyenaraian langkah-langkah serta aktiviti pelajaran yang membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar (rujuk kepada model pengajaran yang dipilih dalam fasa reka bentuk).
·         Membina pelan pengajaran meliputi pemilihan pendekatan, strategi, kaedah serta teknik yang akan digunakan.
·         Semakan semula untuk memastikan isi kandungan, bahan yang dibina serta pendekatan yang dipilih mengarah kepada pencapaian objektif khas atau hasil pembelajaran yang dijangkakan.

Pelaksanaan (Implementation)
Fasa ini merupakan fasa yang menjelaskan tentang proses aplikasi untuk kali pertama pengajaran dan penggunaan bahan bantu yang menyokong pembelajaran. Selepas pelaksanaan kali pertama ini, guru boleh membuat refleksi pengajaran dan pembelajaran yang berlaku seterusnya melaksanakan kajian tindakan untuk dibuat penyesuaian dan penambahbaikan pada mana-mana bahagian perancangan, bahan bantu atau pelaksanaan sekiranya perlu.

Penilaian (Evaluation)
Sebenarnya fasa penilaian berlaku pada keempat-empat fasa terdahulu. Pada setiap fasa (analisis, reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaan) akan dibuat penilaian formatif untuk memastikan perancangannya telah dibuat dengan sebaik mungkin. Penilaian sumatif terhadap keberkesanan pengajaran, bahan bantu serta pencapaian objektif khas atau hasil pembelajaran dilaksanakan setelah keempat-empat fasa awal dilaksanakan. Maklumbalas yang diperolehi akan digunakan untuk menambahbaik perancangan pengajaran untuk topik yang sama atau berlainan atau untuk pengajaran mata pelajaran lain yang sepadan. Aktiviti dalam fasa penilaian ini meliputi:
·         Membuat penilaian formatif dan sumatif untuk memastikan murid-murid dapat melaksanakan tugasan pembelajaran secara optima. Setiap langkah yang dilaksanakan perlu dinilai semula untuk tujuan penambahbaikan.
·         Membuat refleksi kendiri.
Contoh Aplikasi ADDIE Dalam Pengajaran Pendidikan Agama Islam
Fasa Analisis
Analisis tajuk: Taharah (fiqh) asas – tayamum
Analisis sasaran: Murid tahun 3, aplikasi gaya pembelajaran VARK, telah biasa dalam amalan harian membersihkan diri daripada kotoran fizikal seperti mandi serta mencuci tangan dan kaki menggunakan media air.
Analisis objektif: membolehkan murid menunjukcara bertayamum menggunakan debu mengikut tertib turutan bertayamum dalam tempoh masa pengajaran.
Analisis tugasan: murid membuat penerokaan bahan tentang tayamum serta melakukan demonstrasi cara bertayamum
Analisis masalah pembelajaran: tempoh peruntukan masa yang terbatas untuk membolehkan semua murid terlibat dengan demonstrasi secara individu
Analisis media pembelajaran: perlu menyediakan klip video cara-cara bertayamum atau boleh dimuat turun daripada youtube
Analisis pertimbangan pedagogikal dan teori pembelajaran: kaedah demonstrasi, pendekatan pengajaran berpusatkan murid, model 5E konstruktivisme
Analisis tempoh masa pengajaran: 2 waktu X 30 minit = 60 minit
Analisis persekitaran: musolla

Fasa rekabentuk dan pembangunan
      Ranc pengajaran:
Langkah
(Model Konstruktivisme 5E)

Isi Pelajaran

Aktiviti Pengajaran dan pembelajaran

Catatan
Pendahuluan
Doa belajar
Murid berdoa secara kelas

Set Induksi
(Langkah Penglibatan / Engagement)
Bersuci atau berwudhuk menggunakan air mutlak dan tayamum
Guru mengemukakan soalan berkenaan taharah atau bersuci menggunakan air.

Guru meminta murid mengaitkan amalan bersuci sekiranya tidak terdapat air.
Mengaitkan topik dengan pengetahuan sedia ada murid.
Langkah Penerokaan  (Exploration)
Bahan untuk bertayamum (debu tanah)

Rukun tayamum

Gambar pegun menunjukkan sekuen melakukan tayamum (cara)

Syarat dan sebab bertayamum

Perkara yang membatalkan tayamum
Murid berkumpul dalam kumpulan pembelajaran koperatif 4 orang setelah menerima arahan guru.

Wakil setiap kumpulan diminta mengambil 4 bahan bantu yang berlainan dan mengagihkan kepada setiap ahli

Setiap murid akan mendapatkan maklumat berlainan berkaitan tayamum berpandukan bahan yang diperolehi.

Murid berkongsi maklumat dalam kumpulan untuk melengkapkan maklumat tentang tayamum.

Pembelajaran koperatif “Jigsaw”


Langkah Penjelasan (Explain)
Rukun tayamum

-     Niat tayamum
-     Menyapu muka dengan debu tanah
-     Menyapu dua tangan hingga ke siku
-     Tertib

Guru menayangkan klip video tayamum (suara disenyapkan) dan meminta wakil kumpulan menjelaskan proses bertayamum berpandukan klip vodeo.

Guru mengedarkan 2 salinan senarai semak dan mengagihkan debu tanah kepada setiap kumpulan.

Murid bekerja secara berpasangan. Secara individu seorang murid diminta menunjuk cara, manakala rakannya menyemak serta menandakan “ya” atau “tidak” dengan merujuk senarai semak.

Bahan: Klip video tentang tayamum










Penilaian formatif oleh  rakan sebaya dengan bimbingan guru
Langkah Penghuraian (Elaborate)
Menunaikan solat adalah wajib walaupun tidak diperolehi air untuk berwudhuk.

Penggunaan debu tanah sebagai ganti air ketika ketiadaan air.

Jenis-jenis debu yang boleh digunakan untuk bertayamum

Wajib patuh kepada perintah Allah.

Bersuci adalah wajib sebelum menunaikan solat

Murid diminta mengaitkan tayamum dengan solat dan taharah.

Guru mengemukakan permasalahan berkaitan tayamum seperti keadaan ketiadaan air dan tanah berdebu, contohnya dalam kapal terbang atau di angkasa lepas, dan meminta murid memberikan pandangan mereka. Guru membimbing murid ketika membuat penjelasan.

Langkah Penilaian (Evaluate)
Dapatan daripada senarai semak
Beberapa orang murid dipilih untuk membuat penilaian tayammum berpandukan dapatan daripada senarai semak dan membandingkan dengan apa yang mereka tonton daripada klip video

Kemahiran berfikir banding beza
Penutup

Rumusan oleh murid yang dipilih tentang pelajaran.



      Penilaian: Penilaian guru dan rakan sebaya ke atas demonstrasi yang dilakukan oleh murid berpandukan senarai semak yang dibina.
Bil
Perkara
Ya
Tidak
1
Membaca basmallah dengan lengkap


2
Niat tayammum yang lengkap


3
Menepuk dua tapak tangan ke debu tanah


4
Menipiskan debu pada tapak tangan


5
Menyapu kedua tapak tangan ke seluruh muka


6
Menepuk dua tapak tangan ke debu pasir kali kedua


7
Menipiskan debu pada tapak tangan


8
Menyapu kedua tangan hingga ke paras siku


 
      Pembinaan dan penyediaan bahan bantu:
1.    Debu tanah yang secukupnya
2.    Klip video tayammum yang dimuat turun daripada youtube.
3.    Komputer riba, projektor LCD dan layar besar
Fasa pelaksanaan
      Melaksanakan rancangan dalam kelas, mencatatkan dalam diari isu-isu berkaitan kekuatan dan kelemahan semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Fasa penilaian
      Refleksi dan cadangan penambahbaikan

Model ASSURE 
Heinich, Molenda, Russell, Smaldino (1999) telah mengemukakan satu model yang boleh digunakan oleh guru untuk merancang pengajaran yang menekankan kepelbagaian gaya pembelajaran murid serta pendekatan konstruktivisme di mana murid dikehendaki berinteraksi dengan persekitaran dan bukan bersikap pasif dengan hanya menerima penerangan dan penjelasan daripada guru. Untuk menghasilkan sebuah perancangan pelajaran perlu guru menentukan:
·         Objektif khas yang eksplisit atau hasil pembelajaran yang spesifik, boleh dicapai, boleh diukur, sebenar dan boleh dilaksanakan dalam lingkungan masa yang ditetapkan mengikut aras-aras tertentu.
·         kemahiran, pengetahuan dan sikap yang ingin dibentuk.
·         bahan dan strategi yang akan digunakan.
·         penstrukturan, turutan, penyampaian, pengukuhan dan pengayaan isi kandungan..
·         kaedah penilaian menjurus kepada pencapaian hasil pembelajaran.

            Model Rekabentuk Sistem Pengajaran ASSURE merupakan satu proses perancangan yang telah diubahsuai untuk membolehkan guru merekabentuk dan membina persekitaran pembelajaran yang sesuai dengan kumpulan murid yang menjadi sasaran seperti yang dikehendaki oleh syarat-syarat di atas.  Guru boleh menggunakan proses ini untuk menghasilkan rancangan pelajaran serta memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.
           
            Model ASSURE menggabungkan garis panduan langkah-langkah pelajaran dan hubungannya dengan proses kognitif yang dikemukakan oleh Robert Gagne untuk memastikan berlakunya pembelajaran berkesan seperti di bawah:
(1) mendapatkan perhatian (penglibatan)
(2) memaklumkan kepada murid tentang hasil pembelajaran yang ingin dicapai (jangkaan)
(3) merangsang ingatan semula pembelajaran lalu (perolehan semula)
(4) mengemukakan rangsangan pelajaran baru (persepsi terpilih)
(5) menyediakan panduan pembelajaran (mengenkod secara semantik)
(6) menampakkan pencapaian (membuat respons)
(7) memberi maklumbalas (pengukuhan)
(8) menilai pencapaian (perolehan semula)
(9) meningkatkan penggunaan dan pemindahan (generalisasi).


Analisis Murid (Analyze learners)
Sebelum memulakan mereka bentuk pengajaran, seseorang guru perlu mengetahui tentang ciri-ciri murid-muridnya yang menjadi sasaran pengajaran dan pembelajaran. Beberapa maklumat tertentu perlu diketahui terlebih dahulu sebelum sesuatu rancangan dibina. Antara ciri-ciri tersebut adalah:
·         Ciri umum murid – umur, kumpulan etnik, jantina, tahap pencapaian, keupayaan fizikal dan sebagainya.
·         Kecekapan tertentu – pengetahuan sedia ada, kemahiran dan sikap.
·         Gaya pembelajaran - verbal, logikal, visual, kinestetik, berstruktur dan sebagainya (rujuk Model Kolb, MBTI, Memlethic, VARK, LSP atau model Gregorc).
·         Kecerdasan – rujuk Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner.
Dengan memahami latar belakang murid, guru akan mampu melaksanakan ushanya untuk membantu murid agar mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Menyatakan hasil pembelajaran (State learning outcomes)
Setelah mengenali dan mengetahui latar belakang murid-murid, guru boleh mula menulis objektif eksplisit atau hasil pembelajaran pelajaran.  Objektif eksplisit atau hasil pembelajaran ialah hasil atau apa yang guru hendak murid capai dan bukan apa yang guru hendak capai setelah tamat sesuatu pengajaran. Objektif khas atau hasil pembelajaran dibina berdasarkan kepada komponen SMART merangkumi tiga bahagian iaitu tingkahlaku, syarat serta kriteria.

Pada akhir pelajaran murid dapat:
Aras 1: menggunakan kata panggilan yang sesuai semasa berbual dengan rakan sebaya dengan betul dan tepat.
Aras 2: mengemukakan pandangan tentang cita-cita masing-masing kepada rakan sebaya tanpa merujuk kepada teks.
Aras  3: mengucapkan terima kasih ke atas kesemua teguran yang dibuat oleh rakan sebaya ketika menggunakan kata panggilan yang salah.

Memilih kaedah pengajaran, media dan bahan bantu (Select instructional methods, media, and materials)
Dua fasa awal di atas membantu guru untuk membuat pilihan bagi membolehkan berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Fasa ketiga seterusnya memerlukan guru membuat pilihan berikut:
·         Kaedah pengajaran yang dirasakan sangat sesuai untuk membolehkan pencapaian objektif khas atau hasil pembelajaran bagi kelompok murid berkenaan.
·         Media yang sesuai dengan kaedah pengajaran, hasil pembelajaran serta murid. Media yang dipilih boleh dalam bentuk teks, gambar pegun, video, audio atau komputer multimedia.
·         Bahan-bahan yang dapat membantu murid mencapai objektif khas secara eksplisit atau dapat menguasai hasil pembelajaran. Bahan-bahan boleh dibeli dan dibuat penyesuaian atau dibina oleh guru sendiri. Bahan-bahan boleh jadi dalam bentuk program perisian tertentu, muzik, pita video, gambar, dan juga peralatan seperti overhead projector, komputer, pencetak, pengimbas, televisyen, pemain cakera laser, VCR, dan sebagainya.

Menggunakan media dan bahan bantu (Utilize media and materials)
Setelah membuat pilihan media, peralatan dan bahan bantu, guru akan mula membina rancangan pelajaran. Guru perlu mencuba peralatan serta menggunakan bahan-bahan yang telah dibina terlebih dahulu untuk memastikannya dapat berfungsi dengan baik serta guru benar-benar tahu menggunakannya sebelum dibawa masuk ke dalam bilik darjah. Sekiranya menggunakan peralatan elektronik, elakkan daripada beranggapan peralatan itu sentiasa dalam keadaan baik kerana peralatan dan perisian yang akan digunakan mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik.

Memerlukan Penglibatan murid (Require learner participation)
Perlu diingat bahawa murid akan dapat belajar dengan baik apabila mereka terlibat sepenuhnya dalam proses pembelajaran. Murid yang pasif akan menghadapi lebih banyak masalah ketika guru menyampaikan pelajaran dan ketika guru cuba memaksakan penerimaan serta penyimpanan maklumat ke dalam memori mereka. Walau apa juga strategi pengajaran yang dipilih, guru boleh menggunakan kemahiran penyoalan, perbincangan, kerja kumpulan, aktiviti perbengkelan, dan cara-cara lain untuk melibatkan murid secara aktif. Bagaimana cara hendak memberikan peluang kepada murid agar terlibat dalam aktiviti pelajaran yang dirancang sebenarnya bergantung kepada guru.

Menilai dan mengulangkaji (Evaluate and revise)
Fasa akhir ini merupakan fasa paling penting. Sesiapa pun boleh menghasilkan perancangan pelajaran tetapi seorang guru yang benar-benar baik akan membuat refleksi tentang objektif eksplisit atau hasil pembelajaran yang dibina, strategi pengajaran, bahan pengajaran dan penilaian pelajaran sambil menentukan sama ada elemen-elemen ini sangat berkesan atau perlu diubah atau ditukar ganti dalam pengajaran pada masa akan datang.   Ada masanya sesuatu perancangan kelihatan baik di atas kertas tetapi apabila dilaksanakan kepada murid-murid dari kumpulan tertentu didapati kesemuanya tidak dapat berjalan dengan lancar disebabkan ekspektasi guru itu terlalu tinggi atau pun terlalu rendah. Bahan serta peralatan yang digunakan mungkin tidak sesuai untuk tahap murid berkaitan atau bahan serta peralatan tersebut tidak menggalakkan berlakunya pembelajaran. Strategi pengajaran yang dipilih mungkin gagal untuk menarik minat murid atau ada kemungkinan guru itu sendiri gagal melaksanakan strategi tersebut. 

            Penilaian pelajaran mungkin tidak menggambarkan murid-murid dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Ini bermakna guru gagal menguji objektif khas atau hasil pembelajaran yang hendak dicapai. Perubahan atau penambahbaikan terhadap kaedah penilaian pelajaran perlu dibuat. Mungkin guru memerlukan masa yang lebih panjang untuk membolehkan kumpulan murid tersebut mencapai objektif khas atau hasil pembelajaran yang diinginkan. Sekiranya sesuatu pengajaran itu gagal dilaksanakan dengan berkesan, ini tidak bermakna guru tersebut tidak baik. Guru yang tidak baik adalah guru yang tidak membuat refleksi tentang pengajarannya atau tidak merenung semula elemen-elemen yang dapat membantu murid-muridnya untuk berjaya dalam pelajaran.

Model Kemp
Model Kemp (1994) terdiri daripada 9 langkah seperti berikut:
1.    Mengenalpasti masalah pengajaran dan menetapkan matlamat merekabentuk sesuatu pengajaran.
2.    Mengenalpasti ciri-ciri murid yang perlu diberikan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
3.    Mengenalpasti isi kandungan pelajaran dan menganalisis komponen tugasan sejajar dengan objektif pengajaran yang ingin dicapai.
4.    Menyatakan objektif pengajaran yang perlu dicapai oleh murid.
5.    Susun atur isi kandungan mengikut langkah-langkah pengajaran secara logik.
6.    Merekabentuk strategi pengajaran untuk membolehkan murid mencapai dan menguasai objektif pembelajaran
7.    Rancangkan langkah-langkah penyampaian pengajaran.
8.    Bina alat penilaian untuk menilai pencapaian objektif pembelajaran.
9.    Memilih sumber untuk menyokong pengajaran dan aktiviti pembelajaran.

Model Dick dan Carey
Dick dan Carey (1996) telah mengemukakan 10 proses utama dalam model pengajaran mereka mengandungi 9 peringkat dalam gelungan yang berulang dan berakhir dengan proses penilaian keberkesanan pengajaran.

 


9 peringkat dalam model rekabentuk pengajaran Dick dan Carey

Peringkat 1: Mengenalpasti matlamat pengajaran

Peringkat 2. Mengendalikan analisis pengajaran

Peringkat 3. Mengenalpasti Pengetahuan Sedia Ada dan ciri-ciri murid

Peringkat 4: Menulis objektif pencapaian

Peringkat 5. Membina / menggubal item-item ujian rujukan kriteria

Peringkat 6. Membina strategi pengajaran

Peringkat 7: Membina dan memilih bahan-bahan pengajaran

Peringkat 8: Membina dan melaksanakan penilaian formatif

Peringkat 9: Membina dan melaksanakan penilaian sumatif



Sumber Rujukan:
Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2010). Rancangan Pengajaran Harian. Puchong. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Dick, W., & Carey, L. (1996). The Systematic Design of Instruction (4th Ed.). New York: Haper Collins College Publishers.
Leshin, C. B., Pollock, J., & Reigeluth, C. M. (1992). Instructional Design Strategies and Tactics. Englewood Cliffs, NJ: Education Technology Publications.


10 comments:

  1. salam puan, minta izin ambil bahan untuk siapkn assgnmnt prtama sy. trima kasih. hanya Allh y dpt mmblsnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan. Terima kasih dan semoga anda akan mendapat manfaat dan rahmat dari Allah

      Delete
  2. assalamualaikum puan, mintak izin amik bahan puan u rujukan asgment sy.. syukran.. baarakallahu 3alaik :)

    ReplyDelete
  3. sangat bermanfaat ustazah.....terima kasih

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas perkongsian ustazah..:)

    ReplyDelete
  5. Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat ini..

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum..perkongsian yang sangat bermanafaat..terima kasih

    ReplyDelete
  7. Mohon share ye. Terima kasih

    ReplyDelete