Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 22 March 2012

Dilema pelaksanaan pembelajaran kumpulan kecil (kumpulan koperatif)

(oleh Akhiar Pardi)


Setelah mempelajari dan memahami elemen dan prosedur melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kumpulan kecil atau lebih dikenali dengan istilah kumpulan pembelajaran koperatif, semangat guru-guru untuk mencubanya meningkat disebabkan banyak bukti daripada kajian silam menunjukkan keberkesanan pembelajaran koperatif telah dapat meningkatkan pencapaian akademik murid / pelajar. Bagaimanakah dengan guru-guru yang tidak atau kurang pengetahuan tentang pembelajaran koperatif? Mereka agak skeptikal mengenainya. Sikap ini sedikit sebanyak menjatuhkan semangat guru-guru yang ingin melaksanakannya. Terdapat pertembungan antara keinginan sendiri dengan realiti persekitaran yang dihadapi sehingga menimbulkan dilema pelaksanaan.

“Bukan senang hendak melaksanakannya!”
“Macam mana nak laksanakan kalau bilangan murid dalam kelas dah sampai 50 orang!”
“Dah pasti banyak menggunakan masa untuk laksanakannya. Ini akan menjejaskan pelaksanaan sukatan pelajaran. Pasti tidak dapat habiskan sukatan pelajaran”
“Ada buktikah murid belajar lebih baik dalam kumpulan kecil?”

Kita mungkin biasa mendengar soalan dan pernyataan di atas yang dilontarkan oleh rakan sejawat tempat kita bekerja. Adakah persoalan sebegitu benar-benar mematahkan semangat seorang guru yang dedikatif dan inovatif? Sebenarnya tidak ada masalah bagi guru yang bersedia untuk menerima segala bentuk isu yang timbul sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta pengalaman mengajar. Pertama sekali, seperti yang telah dikatakan, terdapat banyak bukti daripada kajian silam menunjukkan keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif. Bertitik tolak daripada pernyataan ini, guru boleh membuat persediaan untuk melaksanakan dan membuktikan mengikut situasi dan keadaan persekitaran. Sudah pasti tidak semua perkara boleh diajar menggunakan kaedah kumpulan kecil. Di sinilah letaknya kebijaksanaan guru untuk memilih tajuk yang tepat dan sesuai. Malah, berpandukan kaedah (lihat Slavin, Johnson & Johnson, .....) dan struktur (lihat Kagan ....) pembelajaran koperatif, pembelajaran individu tidak ditolak sama sekali.

Malah, pembelajaran koperatif tidak memaksakan pembelajaran berlaku hanya di dalam bilik darjah. Masih terdapat pembelajaran berasaskan tugas dan projek (Task-based dan Project-based learning) melibatkan antara 4 hingga 6 orang murid yang boleh dilaksanakan di luar bilik darjah. Bagi guru-guru mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, surau atau musolla yang lebih luas boleh dijadikan tempat belajar. Perpustakaan merupakan pilihan lain untuk dijadikan tempat belajar. Para ulama silam menjadikan alam  sebagai bilik darjah (waktu itu tidak ada bilik darjah seperti sekarang). Ayat-ayat yang bermula dengan “Tidakkah kamu perhatikan .....” menunjukkan pembelajaran tidak semestinya berlaku dalam bilik darjah. Namun begitu adalah tidak bijak kalau guru sengaja meninggalkan bilik darjah hanya semata-mata ingin membuat pemerhatian.

Berbalik kepada pembelajaran koperatif, sebagai guru yang efektif, pendekatan dan kaedah lain tidak akan ditinggalkan. Penjelasan melalui kuliah, perbincangan, sumbangsaran.... semuanya tetap dilaksanakan bergantung kepada tajuk pelajaran serta situasi dan syarat. Seperti kaedah-kaedah lain, aplikasi kaedah pembelajaran koperatif juga perlu dibuat perancangan awal terlebih dahulu. Sama sahaja, guru perlu memilih tajuk, menyediakan tugasan dan latihan, merancang masa dan sebagainya. Dalam pelaksanaannya kaedah kumpulan kecil boleh diintegrasikan dengan kaedah lain apabila diperlukan berbuat demikian. Apabila guru melaksanakan kaedah pembelajaran kumpulan kecil, tidak bermakna guru memusuhi kaedah-kaedah yang lain.

Barr dan Tagg (1995) telah berjaya mengajak guru-guru menganjakkan paradigma pengajaran kepada pembelajaran. Aliran pendidikan telah lama beralih daripada pemindahan ilmu kepada pembinaan ilmu. Guru perlu memikirkan proses pengajaran dan pembelajaran dari perspektif faedah yang akan diterima oleh murid dalam tempoh satu atau dua waktu pengajaran menurut jadual waktu dan bukannya dari perspektif berapa banyak konten yang guru dapat ajarkan. Kejayaan sebenar guru diukur daripada pencapaian murid (kognitif, afektif dan psikomotor) dan bukan daripada volume konten yang diajar. Ketika mengajar Matematik Tambahan kepada anak-anak saya di rumah, saya bertanyakan kepada mereka tajuk manakah yang paling sukar dikuasai dan tajuk mana pula yang tidak begitu memeningkan mereka. Apa yang saya lakukan ialah meninggalkan sama sekali satu hingga tiga tajuk yang amat menyukarkan mereka (Tajuk yang sukar adalah tidak sama mengikut individu). Masa untuk tajuk-tajuk itu dipindahkan kepada pengajaran dan pembelajaran tajuk yang tidak begitu memeningkan dan hasilnya ialah anak-anak dapat menguasai tajuk-tajuk tersebut. If we give them tiny bits of everything, they will have rubble. If we give them the framework, they will fill the floor plan (Hauslein, 1998).   

Seorang guru pernah berkata, “Saya dah ajarkan mereka semuanya. Kalau saya tak habiskan sukatan, mereka tentulah tak dapat bersedia untuk menghadapi peperiksaan”. Setelah peperiksaan dijalankan, keputusan yang diperolehi ialah tidak seorang pun daripada murid-murid tersebut mendapat keputusan baik dan cemerlang. Saya pernah menyelia di sebuah sekolah jauh di pedalaman yang telah tiga tahun mendapat keputusan 0% (UPSR) secara berturut-turut. Peluang telah saya gunakan untuk berbincang dengan guru pelatih dan guru-guru tetap di sekolah berkenaan (hanya lima orang sahaja) untuk beranjak daripada matlamat pengajaran (menghabiskan sukatan) kepada matlamat pembelajaran (menguasai ilmu dan kemahiran). Seperti yang dijangkakan, pada tahun berkenaan, daripada 16 orang murid yang menduduki UPSR, 3 daripadanya mendapat lulus dalam semua mata pelajaran (5 subjek dan kelulusan C dan D sahaja). Jika dihitung 3 daripada 16 bersamaan 18.5%. Sebaliknya jika dihitung daripada 0 murid yang lulus kepada 3, ia bermaksud 300%. Andainya dihitung perubahan daripada 0 kepada 18.5, maka maknanya menjadi lebih besar.

Ia bermakna, hujah mengatakan pembelajaran koperatif lebih banyak menggunakan masa sehingga guru gagal menghabiskan sukatan pelajaran, bukanlah hujah yang baik untuk diambilkira dari perspektif pembelajaran dan pendidikan.

Kualiti pembelajaran murid adalah lebih baik sekiranya mereka belajar dalam kumpulan kecil. Namun begitu, terdapat ramai guru yang mempertikaikan pengukuran nilai kualitatif ini. Malangnya, guru-guru ini adalah guru-guru yang tidak pernah menggunakan kaedah kumpulan kecil. Tidak mungkin mereka dapat membuat pertimbangan yang adil sebelum mengemukakan pertikaian dan hujah. Bagaimana kalau guru-guru ini menjalankan kajian tindakan ke atas amalan pembelajaran kumpulan kecil yang mereka laksanakan sendiri? Mungkin jawapannya berlainan.

Terdapat hujah yang mengatakan bahawa pembelajaran merupakan aktiviti individu. Oleh itu kaedah kumpulan kecil tidak diperlukan. Lischner (1998) mengatakan “Jauhkan guru berkenaan daripada murid”. Kita biasa dengan ungkapan yang dinyatakan oleh pakar pembelajaran iaitu “Two heads are better than one”. Guru berkenaan sebenarnya merendah-rendahkan kebolehan murid. Telah dinyatakan lebih awal bahawa pembelajaran bersifat individu dan kumpulan. Memilih individu sahaja atau kumpulan kecil sahaja adalah satu kesilapan. Gabungan keduanya adalah diperlukan. Kita perlu sedar bahawa sekolah juga merupakan agen sosialisai. Melalui kumpulan kecil, murid belajar untuk berinteraksi dan berkomunikasi. Kita tidak mahu menjadikan murid kita sebagai kera sumbang yang tinggal sendirian.

Apakah bentuk halangan-halangan daripada murid?

Murid sebenarnya tidak menghalang kaedah pembelajaran kumpulan kecil. Apa yang berlaku ialah pengalaman pahit yang mereka lalui akibat daripada kegagalan perancangan yang dibuat oleh guru. Murid perlu diberikan tempoh penyesuaian dalam kumpulan (lihat proses pembentukan kumpulan dinamik daripada sumber yang sah dan boleh dipercayai). Guru perlu terlebih dahulu mengajak murid untuk melakukan anjakan paradigma seperti yang dinyatakan oleh MacGregor (1990):
1.       Daripada pendengar yang pasif kepada pelaku yang aktif
2.       Daripada berekspektasi rendah kepada ekspektasi yang lebih tinggi
3.       Daripada berseorangan dalam bilik darjah kepada berkumpulan dan bersosial
4.       Daripada pertandingan kepada kerjasama
5.       Daripada melihat guru sebagai satu-satunya sumber pengetahuan kepada sumber yang lebih luas termasuk rakan sebaya (lihat Teori Social Constructivism yang dikemukakan oleh Vygotsky tentang Zone of Proximal Development dan More Knowledgable Others)

Bagaimana sekiranya kelas terlalu besar?

Murid sentiasa boleh bertanya kepada guru andainya mereka menghadapi kesukaran pemahaman selepas menjalankan tugasan atau projek bersama. Tidakkah peranan guru ialah sebagai fasilitator. mentor dan pemantau? Apa juga alasan daripada orang yang tidak mahu melaksanakan sebenarnya adalah memang mereka tidak mahu mencuba untuk melaksanakannya atau tidak bersedia untuk menambahbaik amalan bekerja.

Rujukan

Barr, R. B dan Tagg, J. (1995). From Teaching to Learning: A New Paradigm for Undergraduate Students. Change.

Johnson, D. W. dan Johnson, R. T. (1989) Cooperation and Competition: Theory and Research. Edina, Minn: Interaction Books.

Mc Gregor, J.. Collaborative Learning: Shared Inquiry as a Process of Reform. Dalam  Svinicki, M. (1990). The Changing Face of College Teaching. San Francisco. Jossey Bass.
   

No comments:

Post a Comment