Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 15 May 2012

Pembelajaran Abad 21: Pembelajaran berasaskan inkuiri

(Bahan ini telah dibentangkan kepada guru-guru SM Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Hotel Klana, Port Dickson)


Teknik inkuiri bukan merupakan satu teknik baru yang dikenali dalam abad 21 ini. Ia merupakan satu teknik, atau mungkin juga kaedah, yang telah lama diguna pakai. Bezanya dengan zaman Dewey dahulu ialah kaedah ini pada masa kini adalah lebih berstruktur, setelah berlaku proses penambahbaikan yang dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan.

Sejak zaman Socrates lagi, soalan telah digunakan untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan jawapan. Sebab itu dikatakan, ilmu sebenarnya bermula daripada soalan yang timbul dalam pemikiran individu. Ironisnya, guru sekarang agak kurang menggunakan soalan atau melatih murid bagaimana menjana pelbagai bentuk soalan. Guru memang banyak menyoal tetapi soalan-soalan yang dikemukakan merupakan soalan-soalan yang telah ada jawapannya dalam buku teks. Bagi murid, proses inkuiri mendalam tidak berlaku. Malah murid juga tidak pandai untuk menjana soalan-soalan yang membolehkan mereka berfikir pada tahap tinggi. Guru hanya menggunakan Taksonomi Bloom untuk membina soalan yang telah ada jawapannya. Keupayaan untuk ‘think beyond’ kurang mendapat perhatian walhal ilmu yang kita perolehi pada hari ini, empat tahun kehadapan, akan menjadi kolot, kuno atau ketinggalan.

Oleh itu, untuk menghadapi abad 21 ini, kaedah inkuiri perlu melibatkan daya pemikiran pada aras atau tahap tinggi hingga membolehkan murid memikirkan ‘beyond’. Bertanyakan soalan merupakan jantung pembelajaran berasaskan inkuiri. Matlamat guru bukan sesuka hati bertanyakan apa juga jenis soalan tetapi soalan-soalan yang secara jujurnya amat diperlukan jawapannya oleh murid, untuk mereka menghadapi dunia mereka pada ketika itu dan kemungkinan untuk masa hadapan yang terdekat. Peranan guru ialah membimbing murid untuk mendapatkan jawapannya dan menggalakkan mereka bertanyakan soalan-soalan baru. Elakkan daripada menyalahkan murid yang bertanyakan soalan dengan kenyataan seperti ‘banyak songe’ atau ‘mengada-ngada’. Komen seperti itu biasanya diberikan oleh orang yang tidak tahu jawapannya.

Lazimnya, proses inkuiri dilakukan dalam makmal khususnya untuk mata pelajaran sains. Scientiific inquiries bukan dihalatujukan hanya untuk mata pelajaran sains tulen. Ia juga melibatkan sains sosial.Ia juga boleh digunakan untuk bidang-bidang lain. Plato dan Socrates telah bertanyakan soalan-soalan yang lebih jauh daripada sains tulen dan sains sosial. Mereka melanjutkan hingga ke bidang falsafah. Ahli konstruktivisme (juga para penyelidik interpretivists) bertanyakan soalan untuk mendapatkan ‘makna’ sesuatu itu kepada dirinya dan masyarakatnya.

Prinsip utama pembelajaran berasaskan inkuiri.


Pendokong mazhab konstruktivisme menegaskan bahawa terdapat pelbagai cara menggunakan soalan-soalan inkuiri untuk membina makna berbanding pengumpulan longgokan isi kandungan. Oleh itu, kemahiran belajar (belajar cara belajar) sangat ditekankan. Perlu diingat bahawa bukan semua pendokong konstruktivisme merupakan pengamal pembelajaran berasaskan inkuiri dan pembelajaran berasaskan inkuiri bukan semuanya konstruktivism. Namun begitu, falsafahnya tetap sama.

Proses pembelajaran berasaskan inkuiri.


Seni menyoal.


Soalan bagaimanakah yang dikatakan baik untuk projek berasaskan inkuiri? Pertama sekali  mestilah soalan yang benar-benar murid inginkan jawapannya dan bermakna untuk kehidupan mereka pada ketika itu dan untuk masa hadapan yang terdekat.

Soalan yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:

·         Soalan-soalan tersebut mestilah boleh dijawab. Memang terdapat soalan-soalan yang agak sukar untuk dijawab kecuali oleh orang yang bertanya itu sendiri. Oleh itu, elakkan daripada soalan-soalan yang terlalu abstrak atau kompleks. Pilihlah soalan yang setara dengan keupayaan murid.

·         Jawapan kepada soalan seharusnya merupakan fakta yang tidak terlalu kompleks atau abstrak. Apakah solat yang telah difardukan kepada orang Islam? Soalan ini terlalu mudah untuk proses inkuiri. Apakah syarat wajib solat? Soalan ini juga agak direct. Bagaimana kalau ditukarkan kepada Apakah perkara-perkara yang mewajibkan seseorang Islam menunaikan solat? Bagaimana kalau murid jawab ‘hidup’? Jawapan ini tidak ada dalam buku tetapi jawapan ini bermakna. Orang mati tidak diwajibkan mendirikan solat tetapi disolatkan oleh orang yang ‘hidup’.

·         Jawapannya tidak seharusnya telah diketahui. Apakah yang dimaksudkan dengan arak? Soalan ini straight forward. Bagaimana dengan “Apakah ciri-ciri mkinuman yang boleh dikategorikan sebagai arak?" Soalan kedua lebih bercirikan inkuiri.

·         Soalan mestilah berasaskan kepada jawapan yang objektif. "Mengapa warna langit biru?" boleh dicari jawapannya melalui penyelidikan. “Mengapa Tuhan (Allah) menciptakan langit berwarna biru?” Soalan kedua ini bermakna, sah, merupakan soalan benar tetapi kurang sesuai untuk projek berasaskan inkuiri. Tetapi seandainya ditanyakan “Apakah pandangan ulamak tentang mengapa Allah menciptakan langit berwarna biru?”. Soalan ini lebih sesuai untuk projek inkuiri. Soalan-soalan yang melibatkan pertimbangan nilai tidak boleh digunakan untuk tujuan inkuiri. Contohnya, “Azan telah dilaungkan. Mengapa masih ada orang yang tidak terus pergi ke masjid untuk menunaikan solat?” Soalan begini mempunyai banyak kemungkinan jawapan bergantung kepada pertimbangan nilai individu. Umumnya kita boleh menjawab “Sepatutnya mereka pergi tunaikan solat” tetapi realitinya tidak semua akan bersegera ke masjid. Elakkan daripada menimbulkan kekeliruan murid.

·         Soalannya tidak terlalu personal. "Mengapa anda sukakan kucing?” akan membuatkan murid berfikir tentang pertimbangan dirinya. Adalah lebih baik meminta murid fokuskan eksperimen mereka tentang “Mengapakan kucing digolongkan dalam kumpulan haiwan mamalia?” Adakah anda sayangkan ibu anda? Soalan ini baik tetapi bersifat personal. Apakah faktor-faktor mengapa seorang ibu perlu disayangi?’ adalah lebih relevan untuk tujuan inkuiri.


2 comments: