Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 26 June 2012

Pedagogi: Konsep Strategi Pembelajaran


Mata pelajaran Pendidikan Islam adalah mata pelajaran yang melibatkan aqidah dan sistem kepercayaan (rukun iman) serta sifat kontennya menjadi “teras kehidupan”/ “core of living” (amalan hidup berterusan dari kehidupan di dunia membawa ke akhirat –kehidupan sebenar dan bukan sekadar “life after death” seperti yang difahamkan oleh kebanyakan fahaman beragama tetapi “a continuous life in spiritual form” kerana kehidupan kerohanian tetap ada sama ada dalam kehidupan di dunia atau di alam akhirat). Oleh itu pengajarannya bermaksud menyediakan manusia dengan nilai-nilai kehidupan yang membawa kepada kesejahteraan lima dimensi: spiritual, fizikal, intelek, emosi dan sosial. Kelima-lima dimensi ini dipengaruhi oleh sistem kepercayaan yang dipegang. Meskipun sistem kepercayaan yang berhubung kait dengan ketuhanan ini merupakan hidayah Tuhan (Allah), pembentukan sistem ini bermula dengan iqra’ atau pembacaan (pembelajaran). Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu berpegang kepada nilai-nilai kesejahteraan sejagat (universal values in humanity / universal law atau sunnatullah) dan perlu direalisasikan dalam pengajaran untuk mengelakkan daripada berlaku “living contradiction” serta mengelakkan hipokrit.  


Sebagai guru profesional, apa juga yang dilakukan perlu mempunyai asas sokongan yang kuat, kukuh, benar dan betul tentang konsep-konsep pengajaran dan pembelajaran. Diperturunkan di sini beberapa perkara yang perlu dibuat pertimbangan sebelum mula mengajar. 



Strategi pembelajaran 

Istilah strategi berasal dari bahasa Yunani stratogos yang bererti keseluruhan usaha termasuk perancangan, kaedah dan teknik yang digunakan untuk mencapai hasil yang maksimum. Strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Kamus Dewan, 1998). Ringkasnya, strategi bolehlah dimaksudkan sebagai garis panduan utama untuk bertindak dalam usaha mencapai sasaran yang telah ditentukan. Dalam konteks pendidikan, garis panduan tersebut merujuk kepada garis panduan pengajaran dan pembelajaran.


Strategi pembelajaran digunakan oleh murid untuk membantu mereka memahami maklumat yang dipelajari dan untuk tujuan menyelesaikan masalah. Strategi pengajaran yang digunakan oleh guru akan menentukan pendekatan yang akan digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran. Strategi pengajaran selalunya berkait rapat dengan keperluan dan minat murid untuk meningkatkan pembelajaran dengan berdasarkan kepada pelbagai gaya pembelajaran (Ekwensi, Moranski, &Townsend-Sweet, 2006).


Menurut Weinstein & Mayer, 1986, (dalam Chamot & O Malley, 1994), strategi pembelajaran didefinisikan sebagai pemikiran dan aktiviti yang membantu untuk meningkatkan pembelajaran dan pencapaian murid. Idea asasnya ialah murid akan mempelajari isi kandungan (konten) dan bahasa dengan lebih efektif apabila menggunakan stratregi pembelajaran.


Nisbet dan Shucksmith (1986) mendefinisikan strategi pembelajaran sebagai proses yang menjadi dasar pelaksanaan tugas berfikir. Strategi bukan sekadar turutan atau pengumpulan kemahiran tetapi melewati rangkaian atau rutin yang menyokong manual pengajian. Strategi berorientasikan matlamat tetapi tidak selalu pula dilaksanakan secara sedar atau bebas. Pelaksanaan strategi m ungkin mengambil masa yang agak lama atau terlalu cepat sehingga seseorang itu tidak sedar bahawa ia telah pun menggunakan strategi, dan tidak pula berupaya untuk mengingat kembali. Strategi pembelajaran bergerak ke arah pendekatan metakognisi yang menunjukkan terhadapatnya hirarki strategi yang dikaitkan dengan metakognisi atau pengetahuan mengenai proses mental seseorang. Ini  bermakna penggunaan istilah stratetegi pembelajaran adalah tidak sama dari aspek penggunaannya serta perolehannya.


Masters, Mori dan Mori (1993) lebih cenderung menggunakan istilah strategi kognitif daripada istilah strategi pembelajaran. Mereka menggunakan definisi yang digunakan oleh Alley dan Deshler (1979) iaitu strategi kognitif merupakan teknik, prinsip atau peraturan yang memudahkan perolehan, manipulasi, integrasi, penyimpanan dan pengeluaran semula maklumat merentas situasi dan seting. Menurut Masters, Mori dan Mori lagi, strategi kognitif merupakan bahagian yang penting dalam proses memperolehi ilmu pengetahuan, termasuk kemahiran membaca, menulis, mengira, bertutur, mencatat nota, menyoal, menguasai kosa kata, pengurusan masa, mentaakul, menyelesaikan masalah dan mengingat serta menghafal.


Daripada kesemua definisi yang telah dikemukakan oleh para penyelidik seperti di atas, boleh dirumuskan bahawa strategi pembelajaran merupakan tindakan yang diambil oleh murid / pelajar untuk membantu dirinya belajar dengan lebih berkesan.


Jika diperhatikan, dalam tulisan ini saya lebih menitikberatkan strategi pembelajaran dan bukan strategi pengajaran (dan saya tidak menafikan kepentingannya) kerana tumpuan pendidikan Abad 21 telah beranjak daripada pengajaran (teaching) kepada pembelajaran (learning). Guru, pada masa yang sama, dituntut untuk berperanan sebagai pelajar dalam konteks perkembangan profesionalisme dirinya.


Chamot dan O’Malley (1994) telah menegaskan tentang kepentingan strategi pembelajaran atas sebab-sebab berikut:

1.    Strategi merupakan proses dinamik yang menjadi asas kepada pembelajaran

2.    Murid aktif adalh lebih baik daripada murid pasif

3.    Strategi boleh dipelajari

4.    Pembelajaran bahasa akademik akan menjadi lebih berkesan dengan strategi pembelajaran

5.    Strategi pembelajaran memindahkan tugas-tugas baru (Learning strategies transfer to new tasks).


Chamot dan rakan-rakan (1999) menjelaskan bahawa semua strategi pembelajaran menunjuk kepada asas proses metakognisi termasuk perancangan, pemantauan, penyelesaian masalah dan penilaian.

·        
     Strategi perancangan akan dapat membantu murid / pelajar untuk terus berkembang dengan berfikir dahulu sebelum bertindak termasuklah penetapan matlamat, perhatian yang terarah (directed attention), mengaktifkan pengetahuan sedia ada, menjangka, merancang penyusunan / pengorganisasian dan pengurusan kendiri. 

·        
   Strategi pemantauan pula akan menggalakkan murid untuk mengukur sejauh mana pencapaian / kejayaan mereka semasa melaksanakan / menyelesaikan sesuatu tugas pembelajaran. Contoh strategi pemantauan termasuklah perhatian secara selektif, penyoalan kendiri, memperibadikan (personalizing), mencatat nota, penggunaan imageri dan percakapan kendiri (self-talk).

·   
     Strategi penyelesaian masalah merupakan strategi yang dapat membantu murid ketika menghadapi kesukaran-kesukaran melaksanakan tugas pembelajaran. Termasuk dalam strategi penyelesaian masalah ialah melakukan inferens, menukar, bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan dan menggunakan pelbagai sumber.

·        
      Strategi penilaian akan menggalakkan murid melakukan refleksi untuk mengesan sebaik mana tugas pembelajaran telah dilaksanakan. Contoh strategi penilaian mengesahkan ramalan, membuat rumusan, menyemak matlamat dan menilai diri serta strategi yang digunakan. 


Strategi tambahan seperti membayangkan dengan menggunakan kata kunci, mengumpul atau mengkalsifikasi, menggunakan perkataan bahasa lain yang mempunyai sama makna (cognates) seperti dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab (contohnya; niat, zakat dan sebagainya), akan dapat membantu pelajar mengingat kosa kata serta maklumat berkaitan yang lain.


Mengapa menggunakan strategi pembelajaran?

Daripada penerangan di atas, kita telah pun jelas tentang maksud strategi pembelajaran.  Seterusnya adalah berfaedah sekiranya kita tahu mengapa perlu menggunakan strategi pembelajaran (tanpa meninggalkan strategi pengajaran).


Menurut Weinstein dan Mayer (dalam Wittrock, 1986) pengajaran yang baik  melibatkan pengajaran bagaimana cara murid belajar, bagaimana mereka mengingat dan bagaimana memotivasikan diri sendiri. Pengajaran begini lebih menepati konsep pembelajaran sepanjang hayat kerana guru akan mengajar murid-muridnya tentang strategi pembelajaran yang boleh dan akan digunakan untuk sepanjang hayatnya. Dengan membantu pelajar membina atau membentuk cara yang berkesan untuk mengendalikan pelbagai maklumat yang boleh diperolehi daripada persekitaran serta dengan membantu proses pemikiran mereka, menjadi matlamat utama sistem pendidikan pada masa kini.  


Menurut Strichart dan Mangrum (1993), untuk membolehkan pembelajaran berlaku, murid / pelajar perlu mengingat maklumat yang baru diperolehi agar mereka boleh menggunakan makluma tersebut apabila diperlukan. Maklumat yang tidak diingati sebenarnya tidak mempunyai nilai kepada murid / pelajar ketika mereka mengendalikan keperluan semasa di dalam atau di luar sekolah.  


Disebabkan adalah mustahil untuk murid / pelajar mengingati kesemua maklumat yang boleh diperolehi, maka adalah baik sekiranya guru dapat mengajar mereka menguasai kemahiran-kemahiran yang dapat membolehkan mereka mengingat makumat-maklumat penting. Guru perlu mengambil peranan sebagai pengajar strategi pembelajaran. Kapasiti terbaru pengajaran juga melibatkan mengenalpasti strategi pembelajaran murid (bagaimana murid belajar), mengendalikan latihan atau kursus belajar cara belajar dan membantu mereka menjadi lebih berdikari. Justru itu, pengajaran strategi pembelajaran menjadi cabaran baru kepada guru hari ini.

No comments:

Post a Comment