Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 26 July 2012

Lanjutan daripada Jurnal Reflektif Minggu ke 12


Pada minggu lalu iaitu antara 19 hingga 26 Julai 2012, pos Jurnal Reflektif Minggu ke12 (http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/08/jurnal-reflektif-minggu-ke12.htmlmendapat hit yang paling banyak iaitu sebanyak 84 hit berbanding pos lain (dan yang terhampir ialah pos Refleksi Kritikal sebanyak 55 hit). Sebenarnya saya tidak pun membuat apa-apa penilaian terhadap penulisan jurnal reflektif pelajar saya tersebut (sama ada baik, terbaik, sangat baik, lemah, sangat lemah atau sederhana).  Saya cuma mengemukakan cadangan (dan komen di http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/08/komen-saya-tentang-refleksi-minggu-ke.html) agar merujuk kepada empat aktiviti utama refleksi kritikal yang dikemukakan oleh Brookfield (1988) selain daripada mengaitkan dengan refleksi dalam tindakan dan atas tindakan (Schon, 1983) serta refleksi untuk tindakan (Cowan, 1997).

Menurut ensaiklopedia dalam talian Wikipedia (2012) refleksi dalam sains fizik merupakan perubahan arah gelombang pada satu permukaan yang membuatkannya kembali kepada media asalnya. Menurut kamus dalam talian Meriam Webster  (2012) refleksi merupakan imej yang terhasil daripada pantulan pada sesuatu permukaan.  Dalam konteks pendidikan, amalan refleksi merupakan keupayaan untuk membuat refleksi ke atas sesuatu tindakan agar terlibat dalam proses pembelajaran berterusan (Schon, 1983). Bolton (2010) pula menjelaskan refleksi sebagai memberi perhatian secara kritikal ke atas nilai praktikal dan teori yang dapat menjelaskan tentang tindakan setiap hari dengan  cara memeriksa amalan secara reflektif dan refleksif sehingga membuahkan perkembangan celik akal. Pennington (1992)menyatakan bahawa istilah pengajaran reflektif sebagai analisis yang dibuat oleh guru yang bekerja, ke atas amalan bekerjanya serta analisis ke atas asas-asas yang mendasari amalan tersebut, seterusnya mengambilkira alternatif lain untuk mencapai matlamat. Beliau seterusnya menambah bahawa penggunaan istilah refleksi dalam konteks pengajaran boleh diinterpretasikan sebagai 1) pertimbangan pemikiran serta 2) mencerminkan atau mewakili.

Berdasarkan daripada maksud refleksi seperti yang dikemukakan di atas, pengamal refleksi tidak seharusnya menceritakan tentang diri orang lain tetapi tentang amalan yang dapat menggambarkan tentang dirinya sendiri. Dewey (1933) telah lama menyatakan bahawa refleksi itu adalah ke atas pengalaman diri sendiri yang membawa kepada pembelajaran dan bukan semata-mata pengalaman itu sendiri. Refleksi bukan sekadar berfikir bersungguh-sungguh tentang apa yang dilakukan (Bullough dan Gitlin, 1995) tetapi dengan memberi perhatian kepada pengalaman dan bagaimana sesutu makna digarab daripada pengalaman tersebut mengikut konteksnya serta bagaimana pengalaman tersebut membentuk amalan / tingkahlaku.

Refleksi kritikal pula pergi lebih jauh daripada aspek-aspek teknikal sesuatu pengalaman kepada bersifat peribadi, etika dan dimensi politik pengajaran. Refleksi adalah mengenai keadilan sosial, kesamaan dan perubahan. Refleksi merupakan inkuiri pedagogi dan kurikulum, andaian-andaian yang mendasarinya, akibat-akibat daripada tindakan dan implikasi moral tindakan tersebut dalam struktur persekolahan (Liston dan Zeichner, 1987). Clarke (1995) menjelaskan bahawa refleksi bukan sekadar mengenai satu peristiwa tetapi muncul sepanjang masa ketika guru mula membina makna untuk dirinya.

Ketika menyentuh tentang kriteria penulisan refleksi secara mendalam, Moon (1999) telah membahagikan penulisan refleksi kepada dua bahagian iaitu produk dan proses. Produk melibatkan nilai kuantiti (panjang penulisan, persembahan dan kekerapan) dan kualiti (ekspresi, kejelasan dan menyeluruh). Proses pula melibatkan nilai relevan (kefahaman, aplikasi kepada mata pelajaran, hubungannya dengan tujuan, bukti peningkatan) dan kedalaman (pemikiran kritikal, kejujuran, kemahiran kognitif, mengeneralisasi pengalaman, sintesis, analisis dan penilaian).

Kepada pembaca bahan Jurnal Reflektif Minggu ke 12, saya harap anda membuat pertimbangan berdasarkan tulisan di atas ketika mengambil penulisan jurnal pelajar saya sebagai contoh. 

No comments:

Post a Comment