Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday 27 February 2012

Model Pengajaran dan Aplikasi Untuk Pengajaran Pendidikan Islam


Model pengajaran merupakan kerangka kerja yang dijadikan panduan untuk melaksanakan pengajaran menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang disusun atur untuk mencapai objektif pembelajaran. Model pengajaran merupakan alat yang berkesan untuk merancang proses perkembangan pengajaran daripada unit-unit kecil menjadi satu konsep keseluruhan atau daripada yang mudah kepada kompleks.

Model Pembentukan Konsep (Concept Development Model)
Model ini diasaskan daripada hasil kerja Hilda Taba (1966) melibatkan proses pentakkulan secara induktif. Model ini berfokus kepada penghasilan satu generalisasi tentang sesuatu konsep yang dibina melalui perkaitan konsep-konsep sedia ada pada murid. Menurut model ini, murid akan diberikan satu topik secara umum. Mereka akan diminta membuat pemerhatian tentang ciri-ciri persamaan dan perbezaan maklumat tersebut secara spesifik. Seterusnya mereka diminta membuat klasifikasi atau mengkategori maklumat berdasarkan kepada ciri-ciri maklumat tersebut. Daripada maklumat yang telah diklasifikasi atau dikategorikan, murid akan membuat satu generalisasi atau kesimpulan dan akhirnya diaplikasikan dalam situasi yang baru.

Model ini sesuai digunakan untuk mencapai objektif atau hasil pembelajaran yang melibatkan bandingbeza data, mengkategori, menganalisis data dan mengaplikasi prinsip. Tiga langkah pemikiran induktif digunakan iaitu pembentukan konsep, menginterpritasi data dan mengaplikasi prinsip. 

Aplikasi Model Taba dalam pengajaran mata pelajaran Pendidikan Agama Islam

Langkah-langkah
Aktiviti pelajaran
Pendahuluan

Set induksi

Pembentukan konsep
Murid mengenalpasti, menyenaraikan, membuat perbandingan antara pelaksanaan Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran, mengaitkan data dan maklumat yang diperolehi melalui pembacaan mereka.

Murid menghimpun, menyusun serta mengklasifikasi data dan maklumat berdasarkan elemen masa pelaksanaan Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran.
Interpretasi data
Murid membuat interpritasi data dan menyusun semula data dan maklumat dengan melihat perhubungan atau perkaitan dari perspektif Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran.

Murid membuat generalisasi tentang ibadat haji.
Mengaplikasi prinsip
Murid diminta menggunakan soalan-soalan seperti “Sekiranya keluarga anda berpeluang mengunjungi kota Makkah al Mukarramah dalam bulan Ramadhan, adakah mereka boleh menunaikan ibadat haji pada waktu itu?” Mengapa?

atau

“Sekiranya anda hanya mempunyai tiga hari untuk berada di Tanah Suci Makkah iaitu pada 9 hingga 11 Zulhijjah dan anda ingin menunaikan ibadat haji, adakah ibadat haji anda itu boleh diterima dan sah?” Mengapa?

atau

“Anda telah berada di Tanah Suci pada 4 Zulhijjah dan akan kembali ke Malaysia pada 14 Zulhijjah, jenis ibadat haji yang manakah paling sesuai dilakukan?” Mengapa?
        
Penutup


Nota: Sekiranya guru bercadang menggunakan maklumat daripada Internet dengan tujuan mengintegrasikan pengajaran dengan TMK, guru boleh kunjungi dan menggunakan bahan di laman ini http://www.tetamuallah.com/p_ibadathaji_umrah.htm dan lakukan perubahan pada perancangan tanpa mengubah model pengajarannya.

Sumber Rujukan
Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2010) Rancangan Pengajaran Harian. Puchong. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

  
Model inkuiri - penemuan
Murid-murid sekolah memang mempunyai banyak persoalan tentang kehidupan di dunia dan akhirat, penciptaan alam serta tentang aspek kepercayaan dan ketuhanan. Siapakah yang telah mencipta dan mengatur alam? Benarkah ada kehidupan selepas kematian? Mengapa perlu solat dan berpuasa? Betulkah ada balasan untuk berbuat baik (pahala dan syurga) dan berbuat jahat (dosa dan neraka)? Mengapa saya dilahirkan ke dunia? Mengapa manusia suka berkelahi dan berbunuhan? Mengapa perlu ada kepercayaan beragama? Mengapa agama berbeza-beza? Adakah fenomena alam terjadi atas kehendak dan kuasa Tuhan (Allah)? Apakah pengertian Tuhan sebenarnya? Pengajaran berorientasikan inkuiri-penemuan dapat merangsang rasa ingin tahu murid-murid dan dapat membantu mereka memahami dengan lebih mendalam tentang pengertian kehidupan, kematian dan ketuhanan melalui inkuiri, penyelidikan dan perbincangan. Rasa ingin tahu ini seterusnya mendorong murid untuk membuat penyelidikan dan penerokaan maklumat untuk mendapatkan jawapan dan mendapatkan penerangan yang jelas tentang satu-satu isu, keadaan dan fenomena.

Ketika melaksanakan model inkuiri-penemuan ini, perlu diingat bahawa saranan yang dikemukakan dalam penulisan ini bukanlah satu proses linear yang mesti diikuti tetapi lebih merupakan susunan sebahagian aspek-aspek penting inkuiri (bukan sekuential) agar sesiapa sahaja yang ingin menggunakannya tidak terikat dengan hanya satu bentuk aktiviti inkuiri. Perlu diingat bahawa inkuiri sering menimbulkan idea, hasil, persoalan, pandangan serta mungkin teori yang baru tentang sesuatu fenomena dan ia perlu dikongsikan, walaupun tidak mengenai semua perkara yang ditemui.

Perkara-perkara asas yang perlu ada apabila guru cuba melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran inkuiri-penemuan ini adalah seperti berikut:

Formulasi masalah:
·    Mengenalpasti masalah dalam situasi sebenar serta mengenalpasti keperluan- keperluan manusia
·        Mengenalpasti masalah sebagai lanjutan kepada masalah sedia ada
·        Membina model fenomena
·        Menentukan pembolehubah, kategori dan hubungan antara kategori
·        Menganalisis satu model / contoh secara kritikal serta menilai kesan dan akibatnya
Pemerhatian (observe):
·         Perhatikan fenomena / masalah / isu dalam dunia sebenar
·         Menjelaskan fenomena / masalah / isu

Penyiasatan (investigate):
·     Pilih kaedah yang sesuai untuk membuat penyelidikan: pemerhatian, temubual, soal selidik, eksperimen, kajian literatur, pengumpulan data yang ada, analisis matematikal dan sebagainya.
·  Pilih alat-alat pengukuran dan individu / kumpulan individu yang dapat menyumbangkan maklumat serta pandangan
·      Dapatkan sampel serta prosedur kawalan (untuk kendalikan pembolehubah)
·      Mengaplikasi prosedur pengukuran
·      Mengumpul dan merekodkan data

Menganalisis:
·         Meneroka dan menjelaskan data
·         Menganalisis data
·         Mengaitkan model / contoh dengan data sebenar
·         Menginterpretasi hubungan antara data-data
·         Menyemak semula model / contoh berdasarkan kepada bukti-bukti yang baru
·         Membuat kesimpulan

Refleksi:
·         Menyemak semula proses dan dapatan inkuiri-penemuan
·         Bertanyakan soalan-soalan baru yang timbul

Menyampaikan / melaporkan dapatan / persoalan:
·         Menjelaskan idea
·         Menyusun hujah-hujah sebagai kesimpulan dengan sokongan data
·         Membuat laporan dapatan inkuiri-penemuan

 Aplikasi model inkuiri-peneuan dalam pengajaran dan pembejaran Pendidikan Islam: Adab perhubungan sesama manusia

Langkah-langkah Pelajaran

Isi Pelajaran

Aktiviti Pelajaran

Catatan

Pendahuluan dan doa

 

 

 

 

Set Induksi

 

Pengalaman dalam hubungan sosial

 

Guru menayangkan gambar-gambar mangsa peperangan situasi sebenar (pelarian, pesakit, kemelaratan hidup dsb).


Guru meminta murid berkongsi pengalaman dan perasaan mereka tentang menyakiti dan disakiti, menyenangkan dan disenangi, membantu dan dibantu dalam situasi sebenar.


Guru mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid dan tajuk pelajaran.

 

 

 

 

 

Kemahiran: mengingat dan menyorot kembali (recall dan review).


 

Mengenalpasti masalah dan mengemukakan persoalan

 

 

 

Guru mengemukakan soalan yang menjadi masalah untuk dikaji.

Contoh:
Mengapakan sesetengah sangat disukai dan disenangi oleh ahli keluarga, rakan dan orang lain?

Apakah yang menyebabkan mereka disukai, disegani dan dihormati?

Apakah perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang lain menyukai dan menyenangi kita?

Guru meminta murid menyumbangkan persoalan-persoalan lain berkaitan hubungan sesama manusia.

 

Kemahiran berfikir.



Penggunaan soalan sokratik. Aplikasi pemikiran aras tinggi (Higher Order Thinking)

 

Membina hipotesis

 

Contoh hipotesis: Terdapat perbezaan darjah kepuasan perhubungan antara individu yang suka menyenangkan orang lain dengan individu yang suka menyakiti orang lain.


 

Murid berbincang dalam kumpulan pembelajaran koperatif untuk membina hipotesis.


Hipotesis dibaiki dengan panduan guru.

 

 

Pembelajaran koperatif: Kaedah Round Robin

 

Penyiasatan

 

Sikap dan amalan orang yang disukai

Sikap dan amalan orang yang dibenci

Sebab dan akibat perhubungan yang menyenangkan

Sebab dan akibat perhubungan yang menyakitkan.

 

 

Murid meneroka maklumat yang diperlukan untuk menjawab soalan di atas melalui perbincangan dan yang diambil daripada buku teks, buku rujukan, carta pelajaran, bahan pelajaran digital, artikel dan Internet.


 

Guru perlu menyediakan bahan-bahan bantu serta url berkaitan

 

Menganalisis

 

 

Murid diminta menganalisis data dan maklumat. Seterusnya mereka diminta membuat interpretasi hubungan antara data serta maklumat yang diperolehi dan menghasilkan satu generalisasi.


Murid merekodkan dapatan dan pemerhatian menggunakan lembaran kerja yang disediakan.

Dapatan murid dikongsikan melalui pembentangan ringkas

 

Guru menyediakan lembaran latihan untuk setiap murid merekodkan dapatan, pemerhatian dan hasil analisis.

 

Penutup: Membuat kesimpulan

 

 

Murid membuat kesimpulan daripada pemerhatian dan catatan dengan bimbingan guru.


Guru memberikan motivasi untuk murid mengamalkan sikap berbuat baik kepada orang lain (ahli keluarga, rakan, guru dan orang lain) agar mendapat berkat dan rahmat Allah.

 








 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Nota: Untuk mendapat versi yang lain, sila lihat tulisan saya yang terdahulu berjudul KAEDAH: Pengajaran Akidah – Inkuiri bertarikh 2 Ogos 2011 dalam blog ini.

Sumber Rujukan

Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2010) Rancangan Pengajaran Harian. Puchong. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.


Model inkuiri 5E
Model inkuiri 5E diasaskan oleh Bybee (1997) yang menjelaskan tentang lima langkah iaitu Penglibatan (Engagement), Penerokaan (Exploration), Penjelasan (Explanation), Penghuraian (Elaboration) dan Penilaian (Evaluation). Model 5E merupakan satu kitaran yang tidak ada titik penghujung. Selepas tamat fasa penghuraian, murid akan masuk semula ke fasa penglibatan dan seterusnya. Menurut model ini, fasa penilaian bukan merupakan fasa terakhir sebaliknya penilaian berlaku dalam keempat-empat fasa awal.

Penglibatan
Semasa fasa pertama ini guru akan berada di hadapan kelas. Guru akan mengemukakan masalah yang perlu diselesaikan, menilai murid-muridnya dari perspektif pemahaman terhadap masalah yang dikemukakan dan pengetahuan sedia ada, membantu murid membuat hubungan antara maklumat dan fakta, maklumkan kepada murid arah tuju atau objektif atau hasil pembelajaran yang ingin dicapai.

Tujuan fasa penglibatan:
  • menarik perhatian murid untuk terhadap isu yang dikemukakan.
  • melakukan penilaian awal terhadap pengetahuan sedia ada murid.
  • memaklumkan kepada murid tentang objektif khas atau hasil pembelajaran yang ingin dicapai.
  • mengingatkan murid tentang apa yang mereka telah tahu dan apakah yang perlu dilakukan untuk mengoptimakan proses pembelajaran topik yang dikemukakan.
  • mengemukakan masalah kepada murid untuk diterokai dalam fasa seterusnya.

Penilaian fasa penglibatan: Guru perlu mendapatkan maklumat pengetahuan sedia ada murid tentang topik yang ingin disampaikan. Maklumat pengetahuan sedia ada murid ini akan dijadikan kayu ukur untuk melaksanakan fasa seterusnya dengan lebih berkesan. Terdapat perbezaan sekiranyanya murid tiada langsung pengetahuan tentang topik yang ingin disampaikan dengan sekiranya mereka mempunyai sedikit pengetahuan atau sebahagiannya telah menguasai topik berkenaan. Guru boleh menggunakan soalan dan meminta murid untuk menjawab secara lisan atau tulisan dalam edaran prapelajaran.

Penerokaan
Dalam fasa ini murid menjadi tumpuan utama untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. Mereka akan mengumpulkan maklumat dan menyusun data yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah yang dikemukakan. Guru perlu memastikan bahawa murid-murid benar-benar dapat mengumpulkan maklumat yang mencukupi. Murid perlu diberikan dorongan agar aktif menyertai aktiviti pembelajaran.

Penilaian fasa penerokaan: Dalam fasa ini penilaian perlu berfokus kepada proses pembelajaran iaitu proses murid mengumpulkan data dan maklumat dan bukan pada longgokan maklumat atau data yang diperolehi. Guru boleh mendapatkan jawapan bagi soalan penilaian  seperti:
  • Berapa cekap mereka mengumpulkan maklumat dan data?
  • Adakah murid melakukannya mengikut langkah-langkah yang betul?
  • Bagaimanakah mereka merekodkan data yang diperolehi?

Penjelasan
Dalam fasa ini, murid-murid akan menggunakan data yang dikumpul untuk menyelesaikan masalah dan melaporkan proses yang mereka lakukan serta cuba memberikan jawapan kepada masalah yang dikemukakan. Guru boleh membimbing murid dengan mengemukakan beberapa istilah serta konsep baru yang berkaitan.

Penilaian fasa penjelasan: Penilaian berfokus kepada proses sejauh mana murid-murid dapat menggunakan maklumat dan data yang dikumpul beserta maklumat sedia ada mereka untuk membina konsep atau idea baru. Guru boleh menyoal murid tentang kosa kata serta konsep baru yang mereka kemukakan.

Penghuraian
Guru memberikan maklumat baru untuk meluaskan fahaman murid tentang konsep dan idea baru yang telah dibina serta mengaitkan konsep dan idea baru tersebut dengan isu atau masalah, objektif atau hasil pembelajaran. Murid diminta untuk membuat perancangan penggunaan konsep baru apabila mengendalikan isu atau masalah sebenar dalam kehidupan mereka. Mereka juga akan diminta untuk membuat penilaian terhadap rancangan mereka itu.

Penilaian fasa penghuraian: Penilaian berfokus kepada perancangan yang ingin dilaksanakan oleh murid sama ada untuk menggunakannya di dalam kelas atau untuk tujuan memperluaskan isi kandungan pelajaran.

Aplikasi Model Konstruktivisme 5E dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam.
Sila lihat contoh yang saya kemukakan di bawah topik Model Rekabentuk Pengajaran yang diposkan dalam blog ini pada 22 Februari 2012.


Model Inkuiri 7E
Model kitaran pembelajaran 5E memerlukan pengajaran melibatkan elemen-elemen  engage, explore,explain, elaborate, and evaluate. Model 7E mencadangkan elemen engage dipecahkan kepada dua elemen iaitu elicit (penyungkilan) dan engage (penglibatan). Sama juga, model 7E ini mencadangkan agar elemen elaborate dan evaluate diperluaskan menjadi tiga iaitu elaborate, evaluate dan extend. Perubahan ini dibuat dengan tujuan untuk tidak meninggalkan elemen elicit dan extend yang dianggap penting dalam pembelajaran.

Nota: Untuk maklumat lanjut sila dapatkan buku Rancangan Pengajaran Harian, tulisan Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, terbitan Multimedia Sdn Bhd.