Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 15 May 2012

Pembelajaran Abad 21: Pembelajaran berasaskan inkuiri

(Bahan ini telah dibentangkan kepada guru-guru SM Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Hotel Klana, Port Dickson)


Teknik inkuiri bukan merupakan satu teknik baru yang dikenali dalam abad 21 ini. Ia merupakan satu teknik, atau mungkin juga kaedah, yang telah lama diguna pakai. Bezanya dengan zaman Dewey dahulu ialah kaedah ini pada masa kini adalah lebih berstruktur, setelah berlaku proses penambahbaikan yang dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan.

Sejak zaman Socrates lagi, soalan telah digunakan untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan jawapan. Sebab itu dikatakan, ilmu sebenarnya bermula daripada soalan yang timbul dalam pemikiran individu. Ironisnya, guru sekarang agak kurang menggunakan soalan atau melatih murid bagaimana menjana pelbagai bentuk soalan. Guru memang banyak menyoal tetapi soalan-soalan yang dikemukakan merupakan soalan-soalan yang telah ada jawapannya dalam buku teks. Bagi murid, proses inkuiri mendalam tidak berlaku. Malah murid juga tidak pandai untuk menjana soalan-soalan yang membolehkan mereka berfikir pada tahap tinggi. Guru hanya menggunakan Taksonomi Bloom untuk membina soalan yang telah ada jawapannya. Keupayaan untuk ‘think beyond’ kurang mendapat perhatian walhal ilmu yang kita perolehi pada hari ini, empat tahun kehadapan, akan menjadi kolot, kuno atau ketinggalan.

Oleh itu, untuk menghadapi abad 21 ini, kaedah inkuiri perlu melibatkan daya pemikiran pada aras atau tahap tinggi hingga membolehkan murid memikirkan ‘beyond’. Bertanyakan soalan merupakan jantung pembelajaran berasaskan inkuiri. Matlamat guru bukan sesuka hati bertanyakan apa juga jenis soalan tetapi soalan-soalan yang secara jujurnya amat diperlukan jawapannya oleh murid, untuk mereka menghadapi dunia mereka pada ketika itu dan kemungkinan untuk masa hadapan yang terdekat. Peranan guru ialah membimbing murid untuk mendapatkan jawapannya dan menggalakkan mereka bertanyakan soalan-soalan baru. Elakkan daripada menyalahkan murid yang bertanyakan soalan dengan kenyataan seperti ‘banyak songe’ atau ‘mengada-ngada’. Komen seperti itu biasanya diberikan oleh orang yang tidak tahu jawapannya.

Lazimnya, proses inkuiri dilakukan dalam makmal khususnya untuk mata pelajaran sains. Scientiific inquiries bukan dihalatujukan hanya untuk mata pelajaran sains tulen. Ia juga melibatkan sains sosial.Ia juga boleh digunakan untuk bidang-bidang lain. Plato dan Socrates telah bertanyakan soalan-soalan yang lebih jauh daripada sains tulen dan sains sosial. Mereka melanjutkan hingga ke bidang falsafah. Ahli konstruktivisme (juga para penyelidik interpretivists) bertanyakan soalan untuk mendapatkan ‘makna’ sesuatu itu kepada dirinya dan masyarakatnya.

Prinsip utama pembelajaran berasaskan inkuiri.


Pendokong mazhab konstruktivisme menegaskan bahawa terdapat pelbagai cara menggunakan soalan-soalan inkuiri untuk membina makna berbanding pengumpulan longgokan isi kandungan. Oleh itu, kemahiran belajar (belajar cara belajar) sangat ditekankan. Perlu diingat bahawa bukan semua pendokong konstruktivisme merupakan pengamal pembelajaran berasaskan inkuiri dan pembelajaran berasaskan inkuiri bukan semuanya konstruktivism. Namun begitu, falsafahnya tetap sama.

Proses pembelajaran berasaskan inkuiri.


Seni menyoal.


Soalan bagaimanakah yang dikatakan baik untuk projek berasaskan inkuiri? Pertama sekali  mestilah soalan yang benar-benar murid inginkan jawapannya dan bermakna untuk kehidupan mereka pada ketika itu dan untuk masa hadapan yang terdekat.

Soalan yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:

·         Soalan-soalan tersebut mestilah boleh dijawab. Memang terdapat soalan-soalan yang agak sukar untuk dijawab kecuali oleh orang yang bertanya itu sendiri. Oleh itu, elakkan daripada soalan-soalan yang terlalu abstrak atau kompleks. Pilihlah soalan yang setara dengan keupayaan murid.

·         Jawapan kepada soalan seharusnya merupakan fakta yang tidak terlalu kompleks atau abstrak. Apakah solat yang telah difardukan kepada orang Islam? Soalan ini terlalu mudah untuk proses inkuiri. Apakah syarat wajib solat? Soalan ini juga agak direct. Bagaimana kalau ditukarkan kepada Apakah perkara-perkara yang mewajibkan seseorang Islam menunaikan solat? Bagaimana kalau murid jawab ‘hidup’? Jawapan ini tidak ada dalam buku tetapi jawapan ini bermakna. Orang mati tidak diwajibkan mendirikan solat tetapi disolatkan oleh orang yang ‘hidup’.

·         Jawapannya tidak seharusnya telah diketahui. Apakah yang dimaksudkan dengan arak? Soalan ini straight forward. Bagaimana dengan “Apakah ciri-ciri mkinuman yang boleh dikategorikan sebagai arak?" Soalan kedua lebih bercirikan inkuiri.

·         Soalan mestilah berasaskan kepada jawapan yang objektif. "Mengapa warna langit biru?" boleh dicari jawapannya melalui penyelidikan. “Mengapa Tuhan (Allah) menciptakan langit berwarna biru?” Soalan kedua ini bermakna, sah, merupakan soalan benar tetapi kurang sesuai untuk projek berasaskan inkuiri. Tetapi seandainya ditanyakan “Apakah pandangan ulamak tentang mengapa Allah menciptakan langit berwarna biru?”. Soalan ini lebih sesuai untuk projek inkuiri. Soalan-soalan yang melibatkan pertimbangan nilai tidak boleh digunakan untuk tujuan inkuiri. Contohnya, “Azan telah dilaungkan. Mengapa masih ada orang yang tidak terus pergi ke masjid untuk menunaikan solat?” Soalan begini mempunyai banyak kemungkinan jawapan bergantung kepada pertimbangan nilai individu. Umumnya kita boleh menjawab “Sepatutnya mereka pergi tunaikan solat” tetapi realitinya tidak semua akan bersegera ke masjid. Elakkan daripada menimbulkan kekeliruan murid.

·         Soalannya tidak terlalu personal. "Mengapa anda sukakan kucing?” akan membuatkan murid berfikir tentang pertimbangan dirinya. Adalah lebih baik meminta murid fokuskan eksperimen mereka tentang “Mengapakan kucing digolongkan dalam kumpulan haiwan mamalia?” Adakah anda sayangkan ibu anda? Soalan ini baik tetapi bersifat personal. Apakah faktor-faktor mengapa seorang ibu perlu disayangi?’ adalah lebih relevan untuk tujuan inkuiri.


Pembelajaran Abad 21- Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM)

(Bahan ini telah dibentangkan kepada guru-guru SM Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Hotel Klana, Port Dickson)

“Saya tidak pernah gagal sekali pun. Kebetulannya proses untuk menghasilkan mentol lampu itu memerlukan lebih daripada 1000 langkah”

“Saya tidak pernah gagal. Saya baru temui 10,000 cara yang tidak berkesan”
Thomas Alva Edison

Pembelajaran berasaskan masalah merupakan alternatif yang lebih menarik berbanding pembelajaran tradisional. Guru akan memberikan masalah dan bukan kuliah atau latihan. Disebabkan murid tidak diberikan isi kandungan, pembelajaran akan menjadi aktif apabila meneroka dan menemui maklumat yang yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah. Guru akan bertindak selaku fasilitator dan bukan sumber penyelesaian masalah.  

Pembelajaran berasaskan masalah membolehkan murid berpeluang untuk:
  • Menyemak dan mencuba apa yang diketahui
  • Menemui apa yang ingin dipelajari
  • Membina kemahiran sosial untuk memperolehi pencapaian yang lebih baik dalam pasukan.
  • Meningkatkan kemahiran berkomunikasi
  • Menyatakan dan mempertahankan keadaan menggunakan bukti dan hujah yang mantap
  • Menjadi lebih fleksibel semasa memproses maklumat dan menunaikan tanggungjawab
  • Mengamalkan kemahiran yang diperlukan selepas tempoh persekolahan tamat

Proses Penyelesaian Masalah

Langkah-langkah penyelesaian masalah


·         Bentangkan masalah. Sebagai guru, anda perkenalkan masalah atau scenario kepada murid. Masalah atau scenario berkenaan berfungsi sebagai titik permulaan untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan pendorong pembelajaran. Berikan masa secukupnya untuk proses memahami masalah. Anda mungkin perlu memberikan latar belakang isu, menjelaskan terminology dan menjawab beberapa soalan asas tentang masalah daripada murid.

Murid seharusnya mempunyai pengetahuan terbatas (pengetahuan sedia ada) untuk menyelesaikan masalah. Untuk menyelesaikan masalah, murid perlu pengetahuan yang lebih mendalam mengenai isu.

Selepas masalah atau scenario diperkenalkan, murid akan bertanyakan beberapa soalan asas: Apa yang saya perlu tahu? Apakah sumber yang boleh diakses dan di mana?


·        Senaraikan apa yang telah diketahui. Semasa menjawab soalan-soalan asas, murid akan menyenaraikan apa yang telah mereka ketahui. Dengan cara ini masalah akan dapat didefinisikan dengan jelas sebelum pernyataan masalah boleh ditulis.


·       Senaraikan apa yang diperlukan. Dengan lengkapnya penulisan pernyataan masalah, maka murid perlu meneroka maklumat berkaitan untuk melengkapkan data yang masih kurang atau diperlukan. Satu senarai baru di bawah tajuk “Apa yang perlu kami ketahui?” mula disediakan. Soalan yang dibina dan jawapan yang akan diperolehi akan membantu murid menuju ke arah yang membolehkan mereka menyelesaikan masalah.

Soalan-soalan dan jawapan ini akan menjadi garis panduan untuk mengumpulkan maklumat dan data yang diperlukan (oleh individu atau pasukan pembelajaran koperatif). Analisis data akan dilaksanakan secara serentak dalam proses ini. Setelah beberapa pusingan pemngumpulan maklumat dan data dilakukan di samping analiisnya dilakuan, maka segala kemungkinan jalan penyelesaian masalah akan dirumuskan. Jalan penyelesaian yang praktikal dan berpotensi berpandukan maklumat dan data yang telah dikumpulkan akan dipilih.


Semasa menggunakan maklumat, murid perlu berhati-hati ketika membuat penilaian agar maklumat yang penting dan terkini tidak diabaikan, di samping mula menolak maklumat lama yang tidak tepat atau telah tidak lagi relevan akan dibuang.


·       Senaraikan kemungkinan-kemungkinan langkah tindakan, cadangan, jalan penyelesaian atau hipotesis. Di bawah tajuk “Apa yang kami perlu lakukan”, murid akan menyenaraikan semua tindakan yang akan diambil dan dilaksanakan (contohnya, berkolaborasi dengan pakar), dan membina serta menguji hipotesis. Murid mesti membina penyelesaian kepada masalah dan menyusun maklumat dengan cara yang baru.

Untuk membantu murid dalam proses penyusunan maklumat dan data, mereka boleh menggunakan buku log masalah untuk mematuhi dan merekodkan senarai perkara yang perlu dilakukan, garis masa, pemerhatian, soalan-soalan berbangkit, senarai sumber dan sebagainya. Log masalah menggambarkan kemsemua inkuiri murid, soalan baru yang timbul serta pemikiran mereka tentang masalah. Log masalah ini juga akan membantu guru mengikuti perkembangan murid ke arah penyelesaian masalah. Dengan bantuan guru sebagai pembimbing dan pemudahcara, murid akan terus terlibat dalam perbincangan mengenai apa yang telah mereka temui, apa yang mereka tahu dan mahu tahu.


·        Membentang dan menyokong jalan penyelesaian. Sebagai sebahagian daripada penutup, lazimnya guru akan meminta murid membentangkan dapatan dan cadangan mereka. Laporan pembentangan perlu meliputi pernyataan masalah, soalan-soalan, data yang dikumpulkan, analisis data, sokongan kepada jalan penyelesaian atau cadangan-cadangan. Segala pengalaman yang dialui akan menjadi sangat berharga apabila dikongsikan bersama rakan, di samping penilaian dapat dibuat untuk membolehkan proses refleksi dijalankan.


Sila lihat contoh aplikasi PBM di sini
Latihan:
Isu gejala sosial semangkin meningkat dan kebanyakannya melibatkan remaja antara 13 hingga 45 tahun. Apabila ditanyakan kepada orang ramai tentang puncanya, jawapan lazim yang kita terima ialah "kurang didikan agama". Jika ditinjau dalam kurikulum sekolah, mereka yang dikatakan kurang didikan agama ini telah mempelajari tentang Agama Islam sejak sekolah rendah lagi. Bijak pandai Islam (termasuk guru Agama Islam) akan katakan, puncanya ialah kegagalan menghayati solat. Hujah yang dikemukakan ialah solat mampu mencegah fahsya' dan mungkar serta solat merupakan tiang agama. Guru tidak akan tergesa-gesa menyalahkan mana-mana pihak tetapi perlu memikirkan jalan penyelesaiannya. Cuba dapatkan jalan penyelesaian mengikut model yang dikemukakan. 

Tuesday 8 May 2012

Susahkah membuat refleksi pengajaran untuk Kajian Tindakan?

Setelah menyemak beberapa proposal Kajian Tindakan yang dibuat oleh beberapa orang pelajar (dan isu yang sama dibangkitkan juga oleh rakan pensyarah yang lain), saya rasa terpanggil untuk menulis mengenai refleksi pengajaran yang dijadikan refleksi awal sebelum sesuatu perancangan tindakan dibuat. Saya sangat mengharapkan agar pelajar-pelajar telah cukup matang untuk meneroka maklumat secara sendiri (self access) melalui Internet tentang refleksi kritikal dalam kajian tindakan. Memang sukar untuk menukar budaya mengajar kepada budaya belajar sambil mengajar - satu peralihan peranan guru sebagai learner, kepada pelatih saya. Saya akui, kebanyakan guru Pendidikan Islam di Malaysia terdiri daripada orang Melayu yang kurang menguasai Bahasa Inggeris. Ia tidak sama dengan orang Melayu yang mengajar mata pelajaran lain seperti Sains. Bahasa Inggeris, telah menjadi kekangan dan telah membentuk skema pemikiran yang sangat sukar untuk diubah. Seandainya saya memberikan contoh yang lengkap pula, saya akan dapati berlaku reproduction atau klon kepada apa yang saya berikan.

Melalui tulisan ini, saya harap dapat membantu proses pemahaman pelatih saya..... (untuk makluman, bukan semua pelatih tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik)

Katakanlah anda telah memulakannya dengan......
Saya mengajar murid-murid tahun empat mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Ini merupakan tahun ke 7 saya mengajar mata pelajaran yang sama ........ dan seterusnya.

Dan katakanlah ......
Anda telah mengajarkan tajuk tayammum kepada ......Semasa mengajar, anda telah menggunakan kaedah penerangan tanpa menggunakan bahan bantu. Semasa mengajar, anda dapati beberapa orang murid terpinga-pinga setelah anda membuat penjelasan tentang pelajaran. Persoalannya, apakah yang telah anda lakukan sejurus melihat keadaan demikian? Anda pun mengulangi penerangan. Kali ini anda telah meminta murid merujuk siri gambar bertayammum yang terdapat dalam buku teks.

Refleksi dalam tindakan anda akan menjadi.......
Setelah mendapati beberapa orang murid masih kelihatan keliru, saya telah meminta mereka merujuk siri gambar bertayammum yang terdapat dalam buku teks. Sambil mereka merujuk gambar-gambar tersebut, saya mengulangi penerangan saya tentang langkah-langkah bertayammum. Andaian saya ialah dengan pengulangan penerangan dan disertakan dengan penggunaan bahan visual, murid akan lebih mudah memahami tentang langkah-langkah bertayammum. Saya teringat kata-kata Konfusius yang terjemahannya berbunyi "Apa yang saya dengar, saya akan lupa. Apa yang saya lihat, saya akan ingat". Justeru itu, saya telah cuba menggunakan gambar..........(dan seterusnya). Menurut Dale (1969) menerusi kajiannya, seorang murid akan mengingat sebanyak 80% daripada apa yang dipelajari melalui penerangan lisan dan visual berbanding dengan hanya 25% ingatan melalui penerangan semata-mata, selepas tiga jam belajar .... dan seterusnya  


*       Reflection-in-action

This is the kind of reflection that occurs whilst a problem is being addressed, in what Schon calls the ‘action-present’. It is a response to a surprise – where the expected outcome is outside of our knowing-in-action. The reflective process is at least to some degree conscious, but may not be verbalised. Reflection-in-action is about challenging our assumptions (because knowing-in-action forms the basis of assumption). It is about thinking again, in a new way, about a problem we have encountered.

Refleksi atas tindakan anda pula akan menjadi ........
Setelah memberi penerangan sambil meminta murid merujuk gambar-gambar dalam buku teks, saya dapati murid-murid yang kelihatan keliru pada mulanya seperti telah memahami tentang tayammum. Ini hanya jangkaan saya. Adakah tindakan saya menggunakan buku teks itu betul dan berkesan? Meskipun mereka kelihatan seperti faham, saya tidak dapat mengukur kefahaman mereka kerana saya telah tidak menjalankan penilaian formatif untuk mengesan kefahaman murid tentang tajuk yang diajarkan. Kamus dalam talian Wikipedia (2012) yang dipetik daripada en.wikipedia.org, menjelaskan penilaian formatif sebagai prosedur penilaian secara formal dan bukan formal yang digunakan oleh guru semasa berlaku proses pembelajaran dengan tujuan untuk memodifikasi aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menambahbaik pencapaian murid..... dan seterusnya.

Satu perkara lagi, apabila saya mengulangi penerangan, bermakna saya telah menggunakan waktu yang seharusnya diperuntukkan untuk aktiviti lain. Apakah tindakan saya itu betul? .....dan seterusnya.


*       Reflection-on-action

This is reflection after the event. Consciously undertaken, and often documented.

Refleksi untuk tindakan......
Pada pandangan saya, pengurusan masa saya akan jadi lebih baik sekiranya saya hanya membuat penerangan sekali sahaja dengan disertakan penggunaan bahan bantu. Saya telah menggunakan gambar dalam buku teks dan saya dapati ada murid yang tidak memberikan perhatian sepenuhnya. Mungkin demonstrasi dapat diintegrasikan dengan penerangan. Pada pandangan saya, adalah lebih baik sekiranya saya melakukan aktiviti amali guru dan murid secara serentak beserta penerangan dan diikuti oleh demonstrasi rakan sebaya melalui aktiviti pembelajaran koperatif. .... dan seterusnya.

Ada sesetengah orang sangat ingin usahanya dihargai melalui pemberian nama kepada aktiviti inovatif yang dikemukakan. Ia tidak menjadi kesalahan kerana menurut McNiff (2002), antara tujuan Kajian Tindakan ialah untuk meraikan kejayaan diri sendiri dan bukan pula merupakan isu yang sangat penting sehingga setiap pengkaji mesti melakukannya. Dalam Kajian Tindakan, matlamat utama guru ialah penambahbaikan amalan bekerja, ilmu pengetahuan dan situasi tempat pembelajaran berlaku. Katakanlah anda ingin meraikan dan menghargai usaha anda, maka saya beri contoh dengan menamakan usaha ini. Dalam kes ini saya namakan kaedah ini sebagai kaedah SEDEMO yang merujuk kepada gabungan SErentak dan DEMOnstrasi - iaitu kaedah yang saya hasilkan melalui inovasi pendidikan (kononnya). Maka dalam kertas cadangan kajian tindakan, saya akan menjelaskan bagaimana SEDEMO akan dilaksanakan, kerelevanannya, kepentingannya, kemudahtadbirannya dan sebagainya. 

Refleksi nilai pendidikan yang ingin di realisasikan...
Jack Whitehead dan McNiff (2002) sangat menekankan aspek ini dalam Kajian Tindakan yang mereka kaitkan dengan apa yang mereka namakan sebagai Living Educational Theory. Untuk nilai pendidikan yang ingin direalisasikan, saya akan menuliskan begini ......

Saya sebenarnya percaya bahawa setiap murid, seharusnya diberi peluang yang sama dan adil untuk mengalami pembelajaran secara aktif untuk membolehkan mereka menguasai pembelajaran. Nilai ini telah saya cuba realisasikan tetapi saya telah tersilap dalam mentafsir pembelajaran aktif. Apa yang saya lakukan ialah pengajaran aktif yang lebih berorientasikan guru dan bukan pembelajaran aktif dalam ertikata 'tumpuan murid'. Ini bermakna nilai pendidikan yang menjadi pegangan saya itu telah tidak diimplementasikan dengan betul. Ketika saya mengajar itu, sebenarnya murid tidak aktif tetapi pasif sebagai pendengar. Walaupun mereka merujuk kepada gambar-gambar di dalam buku teks, mereka hanya melakukan setelah arahan diberikan kepada mereka. Ini bermakna mereka hanya akan melakukan sesuatu setelah menerima arahan dan bukan kerana mereka benar-benar aktif atas kesedaran dan motivasi kendiri. Bagaimana kalau saya lupa atau tidak memberi arahan atau arahan saya tidak membuatkan murid patuh dan aktif dalam pembelajaran?

Untuk menjadikan murid lebih aktif, saya perlu melibatkan penggunaan bahan bantu dan kaedah demonstrasi. Andainya saya sendiri yang melakukan demonstrasi bererti murid masih pasif.  Bonwell dan Eison (1991) mencadangkan agar murid-murid terlibat dalam pembelajaran secara aktif untuk membolehkan mereka menguasai pelajaran. Oleh itu saya  bercadang untuk melibatkan murid secara aktif.Saya akan cuba untuk mengaplikasikan kaedah pembelajaran koperatif melibatkan aktiviti demonstrasi rakan sebaya. Kagan (1994) ..... dan seterusnya.

Selanjutnya lihat http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/01/buku-baru.htmlhttp://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/01/buku-baru.html

Lain-lain bahan berkaitan:
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sedikit-mengenai-penyelidikan-tindakan.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html 
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/02/betulkah-apa-yang-dilakukan-ini-adalah.html  
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html