Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 9 July 2013

Ciri Pengajaran Pendidikan Islam yang baik



Islam menuntut penganutnya, khususnya mereka yang terlibat sebagai pendidik / pendakwah, agar mengamalkan beberapa ciri-ciri yang dapat menggambarkan contoh / teladan (qudwah hasanah) yang baik untuk diikuti oleh murid-muridnya. Jika direnungkan, setiap murid Islam di Malaysia wajib mengikuti kelas Pendidikan Islam sepanjang tempoh pembelajaran di sekolah mulai tahun satu hingga tingkatan lima. Selanjutnya, mereka juga diwajibkan mengikuti kursus berkaitan Pendidikan Islam seperti Tamadun Islam, Tasawwur Islam dan sebagainya di peringkat kolej dan universiti. Ini bermakna setiap orang Islam di Malaysia, sekurang-kurangnya telah mendapat didikan asas agama untuk selama 11 tahun. Dalam tempoh ini seharusnya pegangan aqidah Islam dalam kalangan orang Islam Malaysia memang sudah cukup mantap untuk tidak dapat diganggu gugat oleh pegangan sistem kehidupan yang bertentangan dengan tuntutan Islam. Secara teori memang begitu tetapi bukan pada realiti yang boleh kita saksikan hari ini. Dua ekstrim sentiasa mempengaruhi kesederhanaan Islam sama ada “melampau kanan” atau “melampau kiri”.

Apabila kegugatan ini berlaku, yang selalu dipersalahkan ialah pendidikan (melibatkan guru, ibu bapa, pihak berwajib seperti jabatan-jabatan agama, jawatankuasa masjid dan surau, institusi dan sebagainya). Pelakunya? Berdasarkan undang-undang yang ada, banyak orang akan berpegang kukuh kepada not guilty until proven dan untuk membuktikan guilty adalah  rumit sekali kerana adanya ruang untuk menimbulkan keraguan yang sering memberi ruang pertentangan yang agak mantap. Maka gejala sosial menjadi amalan sewenang-wenang oleh orang dewasa. Suatu ketika dahulu, dadah menjadi musuh utama negara. Seterusnya rasuah menjadi musuh utama negara. Rokok hampir menjadi musuh utama negara apabila pelbagai kempen anti rokok dijalankan dengan begitu giat sekali sehingga di beberapa premis tertentu merokok terus dilarang sama sekali.

Tulisan ini tidak bermaksud untuk menghuraikan gejala sosial ini dan bukan pula bermaksud untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak. Sebaliknya, selaku pendidik formal (guru Pendidikan Islam) adakah diri guru selaku pendidik yang cuba membina asas kehidupan Islam telah berjaya membentuk tingkahlaku murid melalui didikan lisanul hal dan lisanul maqal iaitu melalui kaedah qudwah hasanah dalam pengajaran?

Mari kita renungkan ciri-ciri pengajaran yang seharusnya ada pada diri guru (saya tidak libatkan ciri peribadi guru Muslim kerana maklumat tersebut kebanyakannya boleh diakses  di Internet disebabkan ramai yang menulisnya.... sila lihat 10 ciri peribadi Muslim saranan Asy-syahid Hassan Al Banna.... sila lihat juga tulisan kami yang menyentuh ciri guru profesional dan guru efektif dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, 2012........juga ciri-ciri pemimpin dan kepemimpinan Islam yang terdapat banyak dalam Internet... antaranya http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sahsiah-guru-pendidikan-islam.html ). Senarai di bawah hanya melibatkan ciri-ciri pengajaran.

1.      Menunjukkan kesungguhan. Sekiranya anda benar-benar bersungguh-sungguh, maka tunjukkan kesungguhan tersebut semasa mengajar. Jadikan pengajaran anda menarik dan menyeronokkan secara kreatif melalui inovasi pengajaran dan kepelbagaian (aktiviti, kaedah, teknik dan pendekatan).  Guru perlu sentiasa melakukan penambahbaikan amalan mengajar melalui amalan refleksi dan kajian. Pastikan murid terlibat secara aktif membina pengetahuan bermakna dalam proses pembelajaran. Kesungguhan mengajar yang ditunjukkan akan dapat menunjukkan pebezaan yang ketara pada motivasi murid. Guru yang bersungguh-sungguh, tidak hanya dinantikan oleh murid di dalam bilik darjah tetapi akan dicari ketika berada di luar bilik darjah (selaku More Knowlegable Other) dalam bentuk kerja berpasukan (teamwork). Guru yang mursyid adalah guru yang sentiasa dicari oleh murid-muridnya kerana pengajaran yang bersungguh akan meninggalkan after effect yang mendalam. 
2.      Menguasai isi kandungan pelajaran (ilmu dan kemahiran). Sentiasa mengemaskini ilmu dan kemahiran dalam bidang yang diajar melalui pembacaan dan perkongsian profesional untuk membolehkan guru tidak ketinggalan dengan trenda semasa, tidak kira sama ada anda baru mengajar atau telah bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan dan perubahan trenda dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan mengikut perubahan keperluan dan situasi dunia sebenar. Terdapat banyak fakta yang perlu diperbetulkan dan dibuat pengubahsuaian. Terdapat kemahiran dan amalan yang perlu dibuat penambahbaikan. Terdapat banyak cabaran yang harus dihadapi. Apa pun juga, guru Pendidikan Islam perlu memastikan dirinya tidak ketinggalan. Adalah malang kiranya guru Pendidikan Islam tahun lima hanya menguasai isi sukatan Pendidikan Islam tahun lima tanpa berkeinginan untuk pergi lebih jauh (beyond) dari situ.  
3.      Perancangan dan pengurusan pengajaran yang teratur dan tersusun. Pengurusan yang cekap akan membolehkan guru menggunakan lebih banyak masa untuk pembelajaran murid.  (Sila lihat buku kami Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkahlaku, 2012..... alamak! Tak ada buku tu ke? Macam mana nak memenuhi ciri kedua di atas? Kalau begitu, bacalah buku tulisan orang lain juga. Mungkin isi kandungannya sama tetapi penyampaian dan huraian tetap berbeza). Berapa ramai guru Pendidikan Islam yang telah menyediakan rutin pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk “hitam-putih”? Kebanyakan rutin tidak dalam bentuk dokumen “hitam-putih” dan kerap kali diandaikan murid telah mengetahuinya (tanpa mengulangkan penjelasan dan kepentingannya). Manusia, termasuk guru, adalah insan pelupa dan Islam sangat menyarankan pendokumentasian maklumat  dan pengulangan. Ayat-ayat Al Quran diturunkan bertahap dan diulang-ulang. Wujudkan rutin yang membolehkan murid terus fokus dan mengikuti pembelajaran bermakna secara aktif. Meskipun ketika menggunakan kaedah kuliah dan penerangan, integrasikan dengan penggunaan bahan,  penyoalan berkala, kecindan, kuiz ringkas, perbincangan dan sebagainya.
4.      Mengajar secara aktif. Mengajar secara aktif merujuk kepada aktiviti pengajaran serta pergerakan guru yang sentiasa terlibat dengan pembelajaran murid di dalam kelas. Meskipun guru berperanan sebagai fasilitator, ini tidak bermakna guru akan menantikan peluang untuk memudah cara tetapi mencari peluang untuk membantu dan membimbing murid mengoptimumkan pembelajaran. Meskipun ketika melakukan penerangan atau memberi kuliah, guru perlu peka dengan respons murid seperti kesenyapan, mengantuk, memberikan perhatian, kebosanan atau mula memberikan perhatian kepada perkara lain seperti bermain atau berbual-bual. Sikap yang terangkum dalam with-it-ness (Wolfgang, 2004) termasuk refleksi kendiri (Schön, 1996) ini perlu terlaksana sepanjang tempoh guru berada dalam bilik darjah termasuk ketika murid sedang menjalankan aktiviti sendiri seperti membuat latihan atau membaca secara senyap. Setiap perkataan dan perlakuan guru seharusnya bersifat mendidik dalam bentuk qudwah hasanah.  Tunjukkan sikap yang baik dalam pengajaran seperti mengambil berat dan menghormati. Dengarkan apa yang anda katakan kepada murid dan dengarkan kepada intonasi suara anda. 
5.      Pengajaran berkadar. Kuantiti ilmu dan kemahiran yang dipelajari oleh murid bergantung kepada peluang yang diberikan kepada murid untuk belajar. Murid akan lebih banyak belajar dengan melakukan dan bukan sekadar mendengar dan melihat apa yang guru katakan (kuliah dan penerangan) dan lakukan (demonstrasi). Rancangkan time line pengajaran dengan baik beserta cadangan strategi agar tidak nanti pada akhir tahun baru disedari tentang topik-topik utama yang ketinggalan atau tidak sempat dihabiskan. Adalah malang sekali apabila murid terpaksa belajar topik-topik tersebut secara sendiri di rumah atau memerlukan bantuan guru kelas tuisyen. 
6.      Mengekalkan kemahiran kemanusiaan. Ciri ini merujuk kepada keupayaan guru untuk dapat bekerjasama dengan murid serta guru-guru lain dalam isu-isu pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya murid tidak menyukai diri atau pengajaran guru, maka guru berkenaan akan menghadapi kesukaran untuk melaksanakan pengajarannya di dalam kelas. Guru boleh sahaja berpura-pura tidak mengetahui tentang pandangan murid terhadapnya dan  terus mengajar. Isunya pada masa kini ialah pembelajaran pada pihak murid yang mungkin akan terjejas. Kegagalam murid menguasai pelajaran sebenarnya merupakan kegagalan guru mengurus pengajaran serta persekitaran pembelajaran bilik darjah kerana guru seharusnya telah menguasai ilmu pengetahuan (konten dan pedagogi) serta kemahiran pengurusan sebelum boleh diiktiraf untuk mengajar. 
7.      Berkomunikasi secara jelas. Guru yang efektif akan menyampaikan maklumat secara jelas dengan memanipulasikan komunikasi lisan dan bukan lisan. Sampaikan fakta dan maklumat secara ringkas dan sekiranya perlu membuat penjelasan, ia perlu dilaksanakan menggunakan perkataan yang mudah difahami dan tidak meleret di samping membuat demonstrasi atau tunjuk cara sekiranya perlu. Penjelasan yang baik akan melibatkan contoh-contoh yang tepat. Pengarahan yang tepat perlu diberikan ketika menyampaikan maklumat baru melibatkan penjelasan, memberikan garis panduan, merumus dan menyemak semula. Seringkali berlaku di mana murid-murid tidak mengetahui apa yang dipelajari atau tidak tahu mengapa mereka mempelajarinya. Untuk mengatasi isu tersebut, sebaiknya guru memaklumkan objektif khusus yang ingin dicapai terlebih awal sebelum memulakan pengajaran. 
8.      Penyoalan berkesan. Penyoalan merupakan alat pengajaran yang berkesan. Melalui penyoalan pemikiran produktif akan terhasil. Selang-selikan penyoalan dalam pengajaran baik kepada seluruh kelas mahu pun kepada murid secara individu. Elakkan daripada menyebut nama murid sebelum mengemukakan soalan. Berikan masa untuk murid memikirkan jawapannya. Ramai guru pernah dengar tentang penyoalan sokratik tetapi gagal melaksanakannya dengan baik. Penyoalan sokratik merujuk kepada penyoalan secara berdisiplin yang bertujuan untuk memperolehi pelbagai arah pemikiran serta mempunyai tujuan-tujuan tertentu (mendapatkan penjelasan, mencabar andaian, mencabar alasan dan bukti, mencabar implikasi dan akibat serta mempersoalkan soalan dan penyoalan).





bersambung.......