Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday 23 March 2014

Continuing Profesional Development (CPD) Guru Pendidikan Islam



Assalamualaikum

Apabila saya dan guru-guru PAI sekelian menyertai bidang perguruan ini, maka kita perlu terlibat dengan prinsip-prinsip penambahbaikan berterusan melalui amalan etika profesion perguruan. Lazimnya CPD dikenal pasti dengan menghadiri kursus, seminar, bengkel atau pendidikan formal, namun tanpa refleksi kritikal ke atas pengalaman dan aktiviti pembelajaran yang dapat menambahbaik amalan bekerja sebagai guru secara berterusan, semua itu masih belum mencukupi.

CPD bermaksud mengekalkan, menambah baik serta meluas dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang relevan kepada kursus atau bidang mata pelajaran yang diajar, pengajaran itu sendiri dan latihan / penilaian pencapaian agar kesemuanya dapat meninggalkan impak yang positif ke atas amalan guru serta pengalaman murid. Sesetengah kursus yang dihadiri adalah baik untuk menambah maklumat serta mengemaskini pengetahuan tetapi tidak mengarah kepada perkembangan kemahiran. Ini bermakna, saban tahun guru perlu menunjukkan berlakunya penambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan kursus atau mata pelajaran yang diajar. 

Saya ingin kemukakan satu contoh keterlupaan kebanyakan penggubal untuk memahirkan aspek penggubalan item ujian bagi mata pelajaran PAI. Sekiranya kita begitu teliti dengan soalan ujian / peperiksaan yang ditelah digubal dan ditadbirkan sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan, kita akan dapat mengesan kepincangan item-item ujian / peperiksaan tersebut. Pelbagai kepincangan dapat dikesan pada soalan yang telah digubal melibatkan domain kognitif yang ingin diukur hinggalah struktur item ujian itu sendiri. Sesetengah item ujian diperingkat universiti sendiri dapat dikesan kepelikan dan kejanggalan strukturnya (untuk menjaga keharmonian, saya tidak perlu mengemukakan contoh sebenar soalan yang agak lemah tersebut). Contoh mudah telah banyak dimuatkan dalam buku saya Penggubalan Item Ujian terbitan Freemind Horizons.

Dengan cara memperibadikan apa juga aktiviti perkembangan dengan tujuan untuk dapat terus kemas kini dengan perkembangan terkini dalam bidang yang diajar, bermakna ia dapat dianggap sebagai perkembangan profesionalisme yang bermakna asalkan soalan-soalan yang tercatat di bawah ini dapat dijawab:
1.       Apakah aktiviti perkembangan profesionalisme yang telah anda ikuti pada tahun ini?
2.       Sudahkan anda melakukan refleksi ke atas pembelajaran yang diperolehi daripada aktiviti tersebut?
3.       Adakah aktiviti serta refleksi tersebut telah dapat menambahbaik amalan bekerja (cara mengajar) anda?
4.       Dapatkah anda tunjukkan bukti-bukti tentang penambahbaikan serta impaknya ke atas murid, pelajar, rakan sekerja atau organisasi tempat anda bekerja.

Banyak bukti menunjukkan para guru, khususnya guru PAI, telah menggunakan masa yang banyak untuk meningkatkan profesionalisme mereka tetapi tidak sering dibuat refleksi atau didokumentasikan secara formal.

Untuk mengemas kini kemahiran pengajaran dan pembelajaran, saya ingin meyarankan agar para guru PAI  mencuba perkara-perkara berikut:
1.       Lakukan bimbingan rakan sekerja (anda membimbing rakan atau rakan membimbing anda)
2.       Pengajaran berpasangan
3.       Semakan rakan sekerja
4.       Pemerhatian rakan sekerja
5.       Pentaksiran kendiri peringkat panitia / bidang / unit / jabatan
6.       Melaksanakan kajian tindakan
7.       Mereka bentuk mekanisma maklum balas inovatif
8.       Menyertai perbincangan profesional (face to face atau secara maya)
9.       Melawat rakan sekerja di organisasi lain
10.   Berkolaborasi dan berkongsi idea melalui forum / blog / email / WhatApps
11.   Membuat dan membentang kertas kerja dalam konferens atau seminar
12.   Menyelia penyelidikan
13.   Mengatur program perkembangan staf
14.   Mewujudkan jaringan dengan pakar mata pelajaran
15.   Membaca jurnal atau penulisan berkaitan pedagogi dan inovasi

No comments:

Post a Comment