Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Friday 4 April 2014

CPD: Untuk pengajaran dan pembelajaran berkesan



Mengapa seorang guru, dalam kes ini saya khususkan kepada Guru Pendidikan Islam, perlu memikirkan tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran? Mengapa kita perlu memberi penekanan kepada pengajaran yang tinggi keberkesanannya? 

Pencapaian murid tidak akan dapat meningkat sehingga berlaku peningkatan pengajaran di pihak guru. Piawaian yang tinggi, kuantiti ujian, bilangan murid yang sedikit, sekolah yang tidak terlalu besar dan sebagainya, secara sendiri tidak menjanjikan peningkatan kualiti pengajaran. Pelbagai perubahan yang berlaku menuntut guru untuk turut melakukan perubahan ke atas pengajarannya.

Guru yang bekerja secara sendirian tanpa atau dengan sedikit maklum balas tentang pengajarannya, tidak akan menjadi lebih baik secara signifikan walau sebanyak mana kursus perkembangan profesional (CPD) yang disertai. Bermakna, bukan kuantiti tetapi kualiti serta kesediaan untuk berubah, lebih diutamakan. 

Cabaran kepemimpinan guru ialah untuk menghasilkan satu sistem yang dapat menambah baik pengajaran secara berterusan, bimbingan dan kepemimpinan pengajaran. Sistem masa kini tidak melihat kepakaran yang statik (satu zon selesa), tanpa penambah baikan (kesediaan untuk mengambil risiko baru), sebagai suatu yang dinamik.  

Abad ini, kemahiran yang diperlukan oleh murid / pelajar ialah kemahiran yang membolehkan mereka menghadapi dunia ekonomikal yang lebih kompetitif, ancaman gejala sosial (kemasyarakatan) yang kian meruncing serta penyimpangan daripada mentauhidkan Allah, melalui kreativiti dan penyelesaian masalah sebenar yang dapat dijangkakan.

Seorang guru tidak akan mampu mengubah pencapaian tanpa mengubah bahagian utama pengajaran iaitu:
1.      Meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar dan belajar
2.      Mengubahsuai isi kandungan selaras dengan kurikulum
3.      Mengubah bentuk hubungan antara guru, murid dan isi kandungan

Bahagian utama pengajaran ini akan membantu guru mengenalpasti arah tujuan penambahbaikan. Guru, murid dan isi kandungan - sekiranya dibuat perubahan pada satu daripadanya, maka guru perlu mengubah ketiga-tiganya. Guru tidak akan dapat mengubahsuai ilmu dan kemahiran dirinya sekiranya kekal pada tahap kurikulum yang rendah (guru perlu meningkatkan ilmu beyond buku teks). Sekiranya guru mengubahsuai isi kandungan tanpa mengubah ilmu pengetahuan dan kemahiran guru, maka ia tidak akan mampu mengajar pada tahap ilmu dan kemahiran yang dikehendaki. Begitu juga, peranan murid / pelajar perlu mengalami perubahan dalam proses penambahbaikan ini kerana tanpa perubahan tersebut keupayaan murid untuk mengawal pembelajaran kendiri akan kekal jauh.

Apakah komponen bahagian utama pengajaran?
1.      Kerja yang dilakukan oleh murid, dengan bimbingan dan bantuan guru untuk belajar, mengaplikasi isi kandungan, membuat refleksi tentang apa yang dipelajari (isi kandungan)dan bagaimana mereka telah mempelajarinya (kemahiran) serta mampu untuk melakukan pentaksiran ke atas pembelajaran sendiri ke atas pencapaian yang diharapkan.
2.      Tindakan yang dilakukan oleh guru untuk mewujudkan situasi dan persekitaran pembelajaran serta membentuk keupayaan murid agar mereka dapat belajar serta mampu mengaplikasi isi kandungan pelajaran berdasarkan pemilihan model pengajaran yang jelas, pedagogi yang digunakan, bagaimana sokongan dan pemantauan pembelajaran dilakukan, jangkaan tentang apa yang perlu murid kuasai serta bagaimana membuat pertimbangan secara berhikmah.
3.      Isi kandungan, dalam hal ini, merupakan konsep-konsep, proses berfikir dan mentaakul, kemahiran serta prosedur yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh murid dalam bidang yang khusus pada tahap tertentu.

Murid hanya akan berupaya untuk belajar dan mengaplikasi ilmu, proses dan kemahiran sekiranya mereka terlibat secara aktif dengan cabaran pelajaran (kurikulum semasa)di bawah bimbing seorang guru yang berkemahiran, berpengetahuan luas serta guru yang dapat memberi tindak balas cemerlang.
Guru pula hanya akan mampu melibatkan murid dengan isi kandungan yang mencabar (memerlukan aras kemahiran pemikiran tinggi atau KEBAT) yang boleh menghasilkan pembelajaran berkesan sekiranya diberikan sokongan berkualiti selaras dengan sumber-sumber pengajaran kemas kini, peluang untuk belajar, menjana dan menerima maklum balas, mereflek tentang kualiti pengajaran serta kualiti hasil kerja murid.

Bayangkanlah apa yang murid dapat lakukan sekiranya maklum balas daripada guru yang diterima setelah mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan semester pertama hanya berbunyi “Tingkatkan usaha untuk baiki keputusan” atau “Usaha lebih giat lagi”.   Dengan maklum balas begitu, berapa ramai agaknya murid yang dapat dan tahu cara untuk meningkatkan atau mengiatkan usaha mereka? Gaya belajar, keupayaan minda dan kemahiran murid tidak sama. Apa lagi dengan budaya dan latar belakang sosio ekonomi yang pelbagai.  Maklum balas begitu sebenarnya tidak berkualiti, tidak jelas dan tidak dapat membantu murid. Maklum balas seperti “Tingkatkan usaha belajar” mungkin lebih baik tetapi tetap kabur. Tidak semua murid tahu apa yang hendak dilakukan dan apa tak patut dilakukan atau bagaimana untuk jadi lebih baik sedangkan mereka telah pun belajar (tanpa kemahiran belajar yang sesuai dan efektif).

No comments:

Post a Comment