Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday 20 April 2014

Strategi Pembelajaran Berkesan




Pembelajaran berkesan memerlukan seseorang itu berfikir secara aktif serta menghuraikan bahan-bahan serta isi kandungan pelajaran. Terdapat beberapa strategi yang telah dikenalpasti dapat membantu pelajar untuk mencapai pembelajaran berkesan.

Mengenalpasti maklumat penting
Daya ingatan manusia tidak mampu untuk mengingati semua perkara yang disampaikan oleh guru di dalam kelas atau melalui pembacaan buku. Oleh itu, pelajar perlu bersikap selektif semasa belajar. Perkara yang ingin dipelajari, sama ada idea atau konsep utama dan maklumat kritikal, maklumat yang terpisah serta perincian atau huraian sesuatu maklumat, konsep atau idea, kesemuanya akan mempengaruhi proses pembelajaran serta pencapaian pelajar.

Para pelajar sering menghadapi masalah untuk mengenalpasti kebanyakan maklumat penting semasa menghadapi pelajaran atau semasa mereka membaca buku atau bahan penulisan. Kebanyakan pelajar lebih cenderung untuk memilih jalan mudah ciri-ciri superficial seperti tulisan guru di papan tulis atau tulisan italik atau berhuruf tebal. Bagaimanakah cara pelajar mengenalpasti idea-idea penting?  Kebanyakan pelajar akan memberikan jawapan “Kebanyakan buku teks atau buku rujukan akan menggunakan tulisan tebal untuk maklumat penting. Begitu juga, penggunaan kosa kata tertentu yang boleh diterima sebagai kata kunci akan menunjukkan bahawa maklumat tersebut adalah penting. Pelajar boleh mengenalpasti maklumat penting apabila dicatatkan lebih daripada sekali.”

Bagaimana pula caranya pelajar mengenalpasti idea atau isi penting pelajaran semasa guru mengajar? Lazimnya pelajar akan mengambil beberapa ayat permulaan atau sekiranya terdapat rumus atau definisi sesuatu konsep.

Sebagai guru, kita boleh membantu pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan dengan membenarkan mereka mengetahui apa yang guru fikirkan sebagai penting dan perlu untuk pelajar kuasai daripada pengajaran, kuliah, penerangan serta bahan bacaan. Secara mudahnya, guru hanya perlu memaklumkan apa yang patut mereka pelajari. Caranya ialah dengan:
·         Memaklumkan objektif pembelajaran yang dirancang kepada pelajar
·         Mencatatkan konsep-konsep utama serta perkaitan antara konsep-konsep tersebut di papan tulis
·         Bertanyakan soalan dengan memfokuskan perhatian pelajar kepada idea penting

Pelajar pencapaian rendah lebih cenderung untuk belajar idea penting apabila guru dapat mengemukakan secara eksplisit idea-idea penting tersebut. Apabila pelajar dapat meningkatkan keupayaan untuk mengenalpasti serta membezakan isi penting daripada maklumat yang kurang penting secara sendiri, guru bolehlah mengurangkan pemberian bimbingan secara perlahan-lahan.

Menyorot pengetahuan sedia ada yang relevan
Seperti yang diketahui, pelajar akan terlibat dengan pembelajaran bermakna hanya apabila mereka memiliki pengetahuan sedia ada yang boleh dikaitkan dengan maklumat baru dan mereka sedar tentang perkaitan antara maklumat tersebut dengan pengetahuan sedia ada. Meskipun guru boleh mengingatkan pelajar tentang pengetahuan sedia ada yang relevan dengan topik yang dipelajari, guru juga perlu menggalakkan pelajar untuk menyorot maklumat yang relevan secara sendiri, semasa belajar. Satu pendekatan yang boleh digunakan ialah dengan memodelkan strategi ini untuk pelajar. Contohnya, semasa membaca, cuba berhenti sejenak untuk mengaitkan idea dalam teks dengan apa yang telah dipelajari dalam kelas  atau dengan pengalaman peribadi yang berkaitan. Guru boleh menggalakkan pelajar untuk melakukannya, memberi cadangan serta membimbing pelajar semasa mereka mengamalkannya. Terutamanya apabila mengajar murid sekolah rendah, guru mungkin ingin memberikan contoh soalan-soalan khusus yang dapat mengingatkan murid untuk membuat refleksi tentang pengetahuan dan kepercayaan mereka semasa sedang belajar atau membaca. Contohnya:
·         Apa yang kamu telah tahu mengenai topik ini?
·         Apa yang kamu harap dapat pelajari daripada topik ini?
·         Adakah dengan membaca buku kamu dapat meningkatkan / menambah pengetahuan tentang topik berkenaan?

Dengan kerap berlatih demikian, pelajar akhirnya akan dapat membudayakan atau menjadikan tabiat untuk menyorot pengetahuan sedia ada tanpa bantuan daripada guru.

Mencatat nota
Setelah mencapai tahap dua di sekolah rendah, kemahiran mencatat nota mula memainkan peranan dalam pencapaian pelajaran. Lazimnya pelajar yang mencatat lebih banyak nota akan dapat mengingat dan belajar dengan lebih baik. Walau bagaimanapun, kualiti nota turut memainkan peranan penting. Nota yang berguna akan menggambarkan idea-idea utama pelajaran atau daripada bahan yang dibaca. Nota yang baik adalah amat penting untuk murid yang hanya mempunyai pengetahuan sedia ada yang sedikit untuk dikaitkan dengan pelajaran atau apa yang dibaca.
Meskipun terdapat kelebihan pada mencatat nota, kebanyakan pelajar remaja awal hanya mencatatkan sedikit atau tidak mencatat nota melainkan jika diminta oleh guru. Nota mereka biasanya kurang berkualiti.

Untuk membantu pelajar mencatat nota sendiri, guru perlu melibatkan penggunaan perancah (scaffold) dengan memberikan idea mengenai apa yang perlu dicatatkan. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan ialah dengan menyediakan struktur khusus untuk digunakan (seperti peta minda, jadual atau pengurusan grafik kosong). Walaupun pelajar tidak menggunakan sepenuhnya struktur yang disediakan, sekurang-kurangnya mereka telah mempunyai sedikit panduan mengenai apa yang perlu difikirkan. Guru juga boleh menyemak (bukan melihat) buku nota (bukan hanya buku latihan) secara berkala untuk memastikan ketepatan maklumat yang dicatatkan. Seterusnya, guru perlu memberikan maklum balas yang konstruktif, jelas dan dapat membimbing pelajar untuk menambah baik nota mereka. Elakkan daripada memberikan maklum balas yang terlalu umum seperti “Baiki nota anda” tetapi berikan maklum balas yang lebih spesifik seperti "Tambahkan contoh-contoh yang dapat menjelaskan konsep".

Menyusun maklumat
Pelajar akan belajar dengan lebih berkesan apabila mereka terlibat dalam aktiviti yang dapat membantu mereka menyusun apa yang mereka pelajari. Salah satu strategi ialah dengan membuat ringkasan pelajaran yang diajar atau dibaca. Strategi ini baik untuk pelajar berpencapaian rendah. Pendekatan lain ialah dengan membina peta konsep yang dapat menunjukkan perkaitan antara konsep utama dengan konsep-konsep kecil.

Pelajar akan mendapat pelbagai manfaat dengan membina peta konsep mereka sendiri. Dengan memberikan tumpuan kepada bagaimana konsep utama dapat dikaitkan dengan konsep kecil, pelajar akan dapat menyusun maklumat dengan lebih baik. Mereka akan lebih cenderung untuk menyedari bagaimana konsep-konsep baru dapat dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada. Untuk itu pembelajaran mereka akan menjadi lebih bermakna. Proses menghasilkan peta konsep ini akan meningkatkan perspektif pembelajaran itu sendiri. Pelajar akan sedar bahawa belajar bukan sekadar proses menyerap maklumat tetapi melibatkan perkaitan idea secara aktif dan mengaitkan dengan isu dunia sebenar.

Peta konsep yang dihasilkan akan membantu pelajar dan juga guru. Apabila peta konsep dibina, pengurusan maklumat akan menjadi lebih jelas untuk membolehkan idea disusun atur idea menjadi lebih baik dan kefahaman seterusnya akan menjadi lebih baik.

Sengaja menghuraikan maklumat
Murid-murid sekolah rendah mungkin belum mampu untuk menghuraikan maklumat yang dipelajari atau dibaca. Walau bagaimanapun, sekiranya diberikan latihan awal, murid tahun enam sudah mula berupaya untuk menghuraikan sesuatu maklumat atau fakta walaupun tidak mencapai tahap pemikiran tinggi. Sebenarnya, masih ramai pelajar termasuk yang belajar di institusi pengajian tinggi, masih tidak mampu untuk menghuraikan maklumat (mereka tidak diajar dan dilatih daripada awal) dan hanya mereka yang berpencapaian tinggi (high achievers) yang agak kerap menghurai maklumat yang dibaca. Pelajar berpencapaian rendah lazimnya akan bergantung kepada strategi yang dangkal (superficial) dalam usaha untuk menjadikan apa yang telah dipelajari itu bermakna. Contohnya, mengulang-ulang pembacaan (seperti hafazan) memang mampu untuk membolehkan pelajar mengingat agar dapat membaca semula tanpa merujuk bahan tulisan tetapi tidak akan menjadikan maklumat yang dihafal itu bermakna.

Terdapat banyak cara yang guru boleh lakukan, walaupun murid masih di peringkat sekolah rendah (tahap dua), untuk menghurai topik yang diajar atau dibincangkan. Sekiranya guru boleh memodelkan strategi menyorot pengetahuan sedia ada, guru juga boleh memodelkan strategi menghurai. Contohnya ialah dengan mengenalpasti contoh-contoh sesuatu konsep. Konsep bersuci (taharah) membolehkan murid menjana contoh subkonsep seperti wudhu, mandi, istinjak dan sebagainya.

Guru juga boleh menggunakan soalan-soalan berikut ketika mengajar sesuatu konsep:
·         Jelaskan mengapa .....
·         Bagaimana kamu gunakan ........... (contohnya, air) untuk .......
·         Apakah contoh baru / lain tentang ............ (contohnya, suci)?
·         Pada pendapat kamu, apakah kemungkinan yang akan terjadi kalau ........ (contohnya, tidak mengamalkan kebersihan)?
·         Apakah perbezaan antara ......... (bersuci) dengan ......... (kebersihan diri)?

Pendekatan lain yang boleh digunakan ialah dengan meminta pelajar bekerja secara berpasangan atau kumpulan kecil untuk merumus atau menjawab soalan-soalan huraian mereka sendiri. Contohnya, apabila murid bertanya tentang anggota yang perlu dibersihkan (bukan dibasahkan) semasa berwudhu, guru boleh meminta mereka membincangkan jawapannya secara berpasangan atau dalam kumpulan kecil.

Membuat rumusan
Salah satu strategi yang agak berkesan ialah dengan merumuskan pelajaran atau topik yang dibaca. Untuk menghasilkan rumusan yang baik merupakan suatu yang agak kompleks. Guru boleh membimbing murid untuk mengenal pasti antara maklumat penting, kurang penting dan tidak penting, mensintesis perincian dalam betuk idea umum serta mengenal pasti hubungan antara konsep-konsep kecil. Pelajar tidak akan mampu untuk melakukannya tanpa bimbingan guru dan selama ini, tidak banyak guru yang cuba membimbing pelajar untuk membuat rumusan.

Satu cara yang boleh diamalkan oleh guru ialah dengan kerap meminta pelajar untuk merumuskan topik yang baru dipelajari atau dibaca. Guru boleh memperkenalkan jurnal refleksi kepada pelajar. Pada peringkat awal, pelajar boleh diminta untuk melakukannya secara berpasangan atau dalam kumpulan kecil (boleh gunakan kaedah pembelajaran koperatif) dan mulakan dengan topik yang mudah serta maklumat yang sedikit. Secara berperingkat, volume maklumat boleh dipertingkatkan atau beralih kepada maklumat yang lebih mencabar dan kompleks.

Memantau pemahaman
Memantau pemahaman pelajar merupakan  proses penyemakan ingatan dan kefahaman tentang topik yang telah dibaca atau dipelajari. Pelajar yang berjaya akan memantau pemahaman mereka secara berterusan sama ada semasa atau selepas belajar (mengulang dan mengkaji). Dengan cara ini, apabila mereka menyedari bahawa mereka masih belum memahami perkara yang dibaca atau dipelajari, mereka boleh mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan, mungkin dengan mendapatkan orang lain (guru, ibu bapa atau rakan) untuk ditanya (social learning - Zone of Proximal Development). Sebaliknya pelajar yang kurang berjaya, jarang sekali menyemak kefahaman mereka tentang pelajaran atau tidak mengambil langkah yang sesuai untuk meningkatkan kefahaman. Seorang pembaca yang lemah, jarang sekali membaca semula perenggan yang tidak difahami semasa pembacaan pertama. Sebaliknya akan terus membaca perenggan seterusnya walaupun kurang faham.

Apabila pelajar tidak menyemak atau memantau kefahaman mereka, sebenarnya mereka tidak tahu apa sebenarnya yang telah diketahui atau yang belum diketahui. Sebaliknya mereka merasakan telah cukup memahami, padahal sebenarnya tidak sama sekali. Pelajar sering merungut (komplin) kerana mendapat skor yang rendah dan mereka merasakan “Saya memang faham tajuk / topik ini”. Apabila perbincangan tentang soalan dan jawapan dilakukan, guru akan dapat mengesan (bukan semua guru) bahawa pemahaman pelajar hanya merupakan pemahaman yang masih kabur atau berlaku salah fahaman.

Pemantauan pemahaman tidak semestinya bersifat aktiviti peribadi (berseorangan). Pelajar boleh berkerjasama dalam kumpulan kecil dengan melakukan semakan rakan (peer evaluation). Pembetulan boleh dilakukan. Pelajar seharusnya tahu bagaimana menguji kefahaman sendiri (self evaluation / self assessment). Salah satu strategi yang boleh diamalkan ialah dengan menjelaskan kepada diri sendiri (self-explanation). Strategi lain ialah dengan bertanyakan diri sendiri:
·         Apa yang saya dah pelajari / baca?
·         Apa yang saya faham? Adakah saya benar-benar faham dan menguasai?

Pelajar boleh dilatih untuk menggunakan soalan-soalan yang pernah ditanya dalam ujian atau peperiksaan mengenai tajuk yang dibaca atau dipelajari.

Friday 4 April 2014

CPD: Untuk pengajaran dan pembelajaran berkesan



Mengapa seorang guru, dalam kes ini saya khususkan kepada Guru Pendidikan Islam, perlu memikirkan tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran? Mengapa kita perlu memberi penekanan kepada pengajaran yang tinggi keberkesanannya? 

Pencapaian murid tidak akan dapat meningkat sehingga berlaku peningkatan pengajaran di pihak guru. Piawaian yang tinggi, kuantiti ujian, bilangan murid yang sedikit, sekolah yang tidak terlalu besar dan sebagainya, secara sendiri tidak menjanjikan peningkatan kualiti pengajaran. Pelbagai perubahan yang berlaku menuntut guru untuk turut melakukan perubahan ke atas pengajarannya.

Guru yang bekerja secara sendirian tanpa atau dengan sedikit maklum balas tentang pengajarannya, tidak akan menjadi lebih baik secara signifikan walau sebanyak mana kursus perkembangan profesional (CPD) yang disertai. Bermakna, bukan kuantiti tetapi kualiti serta kesediaan untuk berubah, lebih diutamakan. 

Cabaran kepemimpinan guru ialah untuk menghasilkan satu sistem yang dapat menambah baik pengajaran secara berterusan, bimbingan dan kepemimpinan pengajaran. Sistem masa kini tidak melihat kepakaran yang statik (satu zon selesa), tanpa penambah baikan (kesediaan untuk mengambil risiko baru), sebagai suatu yang dinamik.  

Abad ini, kemahiran yang diperlukan oleh murid / pelajar ialah kemahiran yang membolehkan mereka menghadapi dunia ekonomikal yang lebih kompetitif, ancaman gejala sosial (kemasyarakatan) yang kian meruncing serta penyimpangan daripada mentauhidkan Allah, melalui kreativiti dan penyelesaian masalah sebenar yang dapat dijangkakan.

Seorang guru tidak akan mampu mengubah pencapaian tanpa mengubah bahagian utama pengajaran iaitu:
1.      Meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar dan belajar
2.      Mengubahsuai isi kandungan selaras dengan kurikulum
3.      Mengubah bentuk hubungan antara guru, murid dan isi kandungan

Bahagian utama pengajaran ini akan membantu guru mengenalpasti arah tujuan penambahbaikan. Guru, murid dan isi kandungan - sekiranya dibuat perubahan pada satu daripadanya, maka guru perlu mengubah ketiga-tiganya. Guru tidak akan dapat mengubahsuai ilmu dan kemahiran dirinya sekiranya kekal pada tahap kurikulum yang rendah (guru perlu meningkatkan ilmu beyond buku teks). Sekiranya guru mengubahsuai isi kandungan tanpa mengubah ilmu pengetahuan dan kemahiran guru, maka ia tidak akan mampu mengajar pada tahap ilmu dan kemahiran yang dikehendaki. Begitu juga, peranan murid / pelajar perlu mengalami perubahan dalam proses penambahbaikan ini kerana tanpa perubahan tersebut keupayaan murid untuk mengawal pembelajaran kendiri akan kekal jauh.

Apakah komponen bahagian utama pengajaran?
1.      Kerja yang dilakukan oleh murid, dengan bimbingan dan bantuan guru untuk belajar, mengaplikasi isi kandungan, membuat refleksi tentang apa yang dipelajari (isi kandungan)dan bagaimana mereka telah mempelajarinya (kemahiran) serta mampu untuk melakukan pentaksiran ke atas pembelajaran sendiri ke atas pencapaian yang diharapkan.
2.      Tindakan yang dilakukan oleh guru untuk mewujudkan situasi dan persekitaran pembelajaran serta membentuk keupayaan murid agar mereka dapat belajar serta mampu mengaplikasi isi kandungan pelajaran berdasarkan pemilihan model pengajaran yang jelas, pedagogi yang digunakan, bagaimana sokongan dan pemantauan pembelajaran dilakukan, jangkaan tentang apa yang perlu murid kuasai serta bagaimana membuat pertimbangan secara berhikmah.
3.      Isi kandungan, dalam hal ini, merupakan konsep-konsep, proses berfikir dan mentaakul, kemahiran serta prosedur yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh murid dalam bidang yang khusus pada tahap tertentu.

Murid hanya akan berupaya untuk belajar dan mengaplikasi ilmu, proses dan kemahiran sekiranya mereka terlibat secara aktif dengan cabaran pelajaran (kurikulum semasa)di bawah bimbing seorang guru yang berkemahiran, berpengetahuan luas serta guru yang dapat memberi tindak balas cemerlang.
Guru pula hanya akan mampu melibatkan murid dengan isi kandungan yang mencabar (memerlukan aras kemahiran pemikiran tinggi atau KEBAT) yang boleh menghasilkan pembelajaran berkesan sekiranya diberikan sokongan berkualiti selaras dengan sumber-sumber pengajaran kemas kini, peluang untuk belajar, menjana dan menerima maklum balas, mereflek tentang kualiti pengajaran serta kualiti hasil kerja murid.

Bayangkanlah apa yang murid dapat lakukan sekiranya maklum balas daripada guru yang diterima setelah mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan semester pertama hanya berbunyi “Tingkatkan usaha untuk baiki keputusan” atau “Usaha lebih giat lagi”.   Dengan maklum balas begitu, berapa ramai agaknya murid yang dapat dan tahu cara untuk meningkatkan atau mengiatkan usaha mereka? Gaya belajar, keupayaan minda dan kemahiran murid tidak sama. Apa lagi dengan budaya dan latar belakang sosio ekonomi yang pelbagai.  Maklum balas begitu sebenarnya tidak berkualiti, tidak jelas dan tidak dapat membantu murid. Maklum balas seperti “Tingkatkan usaha belajar” mungkin lebih baik tetapi tetap kabur. Tidak semua murid tahu apa yang hendak dilakukan dan apa tak patut dilakukan atau bagaimana untuk jadi lebih baik sedangkan mereka telah pun belajar (tanpa kemahiran belajar yang sesuai dan efektif).