Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Saturday 19 July 2014

Maklum balas guru

Semasa saya bersekolah dahulu, seperti pelajar lain, ada mata pelajaran yang saya kuasai dan ada pula mata pelajaran yang kurang dikuasai. Bila saya kata ada mata pelajaran yang saya kuasai, ia tidak bermaksud saya telah menguasai kesemua topik. Begitu juga dengan mata pelajaran yang kurang dikuasai tidak bermakna tidak ada topik dalam mata pelajaran itu yang dapat saya kuasai sepenuhnya. Istilah sepenuhnya juga masih agak kabur kerana apabila saya kuasai sesuatu mata pelajaran, dah le bukan semua topik, malah saya tidak pula mendapat 100% markah. Hanya sekadar antara 87 hingga 95 markah (skor). Bila saya kata saya kurang kuasai, ia bukan gagal tetapi sekadar memperoleh markah antara 55 hingga 70.

Perkara yang menarik ialah, apabila saya skor A (iaitu antara 80 hingga 100), maka saya mendapat maklum balas “tahniah”. Itu saja. Apabila skor saya sekitar 50an, maklum balas yang saya terima ialah “tingkatkan usaha anda”, “usaha lebih gigih lagi”, “berikan perhatian kepada mata pelajaran ini” dan respons lain yang hampir sama maknanya. Apabila saya gagal (mendapat skor bawah 50) respons yang serupa juga diberikan oleh guru.

Respons dan maklum balas guru begitu selalu membuatkan saya berfikir: Adakah saya tidak beri perhatian? Adakah saya tidak berusaha untuk meningkatkan pencapaian saya? Adakah saya tidak cukup gigih? Waktu saya belajar dahulu, tidak wujud istilah kaunselor sekolah yang mungkin akan melakukan sesuatu untuk meningkatkan pencapaian murid/pelajar. Apa yang berlaku ialah cuba memahami pelajaran dalam kelas dan diikuti dengan membuat latihan yang diberikan (secara sendiri atau dengan rakan). Lebih 40 tahun telah berlalu. Pada masa kini, semua sekolah ada kaunselor. Malah semua guru seharusnya telah menguasai psikologi pendidikan (ye ke?) terkini yang mementingkan aspek refleksi pembelajaran dan kepentingan maklum balas pembelajaran (melalui LADAP dan kursus-kursus peningkatan). Namun begitu, kelihatannya masih banyak maklum balas dibuat hanya seperti tempurung pencedukair (batok) yang dilepaskan di tangga. "Masih banyak" bererti tidak semua tetapi sifatnya majoriti. Biasa juga tidak ada maklum balas langsung yang diberikan kepada latihan atau ujian bulanan atau ada maklum balas yang menggambarkan Sang Guru merasa marah dan melepaskan geramnya dalam bentuk tulisan.



Maklum balas guru seperti di atas tidak akan membantu guru mahu pun murid. Maklum balas itu juga tidak akan menjelaskan konsep expand seperti yang dikehendaki mengikut konteks. Jawapan murid menunjukkan murid memahami maksud expand dalam Bahasa Inggeris yang menunjukkan sama ada murid lebih menguasai Bahasa Inggeris atau guru Bahasa Inggeris lebih berjaya dalam konteks menjelaskan makna istilah expand (walau pun hanya dalam skop yang kecil sahaja). Dalam konteks Matematik (algebra) expand bermaksud mentiadakan bracket () dengan cara yang betul (bukan dipadam). Oh, saya bukan nak mengajar Matematik di sini. Sekadar nak menggambarkan perbezaan konteks. 


Dalam contoh di atas, adakah agaknya murid ini sengaja hendak menulis menggunakan character cina? Atau adakah sebenarnya murid ini tidak menguasai Bahasa Melayu? Murid ini pasti tahu bahawa dia tidak seharusnya menggunakan tiga bahasa (Melayu, Inggeris dan Cina / Mandarin) tetapi sebagai murid yang lemah dalam BM, sejauh manakah maklum balas guru dapat membantu memperbaiki kualiti BM murid berkenaan. Paling malang, kesilapan lain juga tidak diberikan perhatian oleh guru. Bagaimanakah sebaiknya maklum balas diberikan?

   
“Jumpa cikgu!” Ini juga merupakan maklum balas yang lazim digunakan oleh guru. Agaknya, mahukah murid berkenaan berjumpa dengan guru tersebut? Sama halnya apabila guru bertanyakan “Adakah kamu faham?” Yang menjawab “ya” hanya mereka yang faham. Yang tidak faham akan diam. Kalau jawab “tidak” maka leteran yang akan diterima (kalau dulu la). Maklum balas “jumpa guru” juga agak mengelirukan. 

Terdapat satu lagi maklum balas (komen) yang diberikan iaitu "Hantu itu gembira jugakah?" Komen ini tidak tepat kerana ayat "Dia sangat gembira" datang selepas ayat "Ibu saya memeluk saya". Juga selepas ayat "Hantu itu sudah tiada". Pastilah yang gembira itu ibu dan bukan hantu. Saya menganggap komen ini terjadi kerana kesilapan. Namun begitu, ia tetap meninggalkan impak kepada murid. 


Apa komen pembaca dengan maklum balas guru ini? Maklum balas begini sangat mudah kerana tidak ditemui kesalahan pada kerja murid. Bagaimana dengan maklum balas guru dalam petikan karangan di bawah?


Apakah pula yang boleh dipelajari daripada maklum balas ini? Pada saya, maklum balas guru dalam karangan di atas adalah lebih bermakna kepada murid. 

Apakah sebenarnya maklum balas pembelajaran?
Sebagai guru, adalah penting untuk menjadikan proses memberikan maklum balas yang positif, atau sekurang-kurangnya maklum balas yang dapat  memberikan pengalaman belajar kepada murid, sebagai amalan.

Maklum balas pembelajaran bukan sekadar maklum balas. Ia merupakan respons guru berkaitan performans murid. Maklum balas boleh diberikan sama ada dalam bentuk tulisan, lisan atau gesture. Tujuan maklum balas dalam pembelajaran ialah untuk meningkatkan performans murid.

Apabila maklum balas jelas menunjukkan ciri negatif, kajian menunjukkan bahawa maklum balas tersebut akan mematahkan semangat murid berkenaan (Hattie dan Timperly, 2007). Ada murid yang sengaja menggugurkan mata pelajaran dalam peperiksaan awam kerana tidak menyukai guru atau maklum balas guru yang selalu mematahkan semangatnya. 

Salah satu ciri guru yang baik ialah guru tersebut dapat memberikan maklum balas pembelajaran secara positif. Maknanya, maklum balas tersebut jelas dan membolehkan murid mengenal pasti kesalahan yang perlu dibuat pembetulan.

Pada peringkat awal tulisan ini saya ada menyentuh tentang maklum balas yang pernah saya terima masa bersekolah dahulu. “Tingkatkan usaha anda”, “Usaha lebih gigih lagi” dan seumpamanya masih bersifat positif tetapi tidak bersifat pembelajaran. Sesetengah murid / pelajar tidak pun sedar tentang kekuatan gaya pembelajaran dirinya. Ada pula murid yang tidak menguasai cara belajar selain membaca dan membuat latihan. Nota mereka pun sama sahaja dengan nota dalam buku teks. Saya teringat maklum balas lisan yang pernah saya terima masa sekolah dulu (Don't do your own way! Follow my way! ..... walaupun cara saya itu benar dan betul (saya belajar cara itu daripada pakar Matematik UTM yang pada masa tu dikenali sebagai Technical College, dalam kelas tuisyen). Ekoran.daripada peristiwa itu, saya telah dihalau keluar daripada kelas Matematik untuk 8 bulan. Ego seorang guru! Dan.... saya tetap dapat A dalam peperiksaan awam.

Meskipun secara umumnya kita boleh katakan bahawa itu merupakan peranan kaunselor  sekolah (utk mengajarkan cara belajar yang berkesan ), tetapi menuding jari ke arah orang lain (mekanisma bela diri) merupakan satu tindakan tidak professional. Guru mata pelajaranlah yang lebih mengetahui aspek kelemahan murid dalam mata pelajaran yang diajar. Seperti saya katakan awal tadi bahawa apabila saya menguasai satu mata pelajaran, ia tidak bererti saya menguasai semua topik dalam mata pelajaran tersebut.

Konsep menyemak untuk mencari kesalahan sangat berbeza dengan menyemak untuk membetulkan yang salah. 

Mengapa maklum balas tidak berkesan?
Duncan (2007) menjelaskan bahawa kebanyakan pelajar tidak langsung membaca maklum balas yang diberikan (ditulis) oleh guru. Masalahnya, kebanyakan guru dan pelajar melihat maklum balas sebagai terasing daripada proses pengajara dan pembelajaran, dan maklum balas juga dilihat sebagai kepunyaan guru (Taras, 2003). 

Proses maklum balas akan hanya berkesan apabila watak-watak utama (guru dan pelajar) terlibat secara aktif dalam proses tersebut. Guru perlu memikirkan strategi yang membolehkan pelajar dapat melihat faedah-faedah daripada maklum balas yang diberikan. Satu cara yang boleh digunakan ialah berikan beberapa maklum balas relevan mengikut peringkat tugasan/projek atau isi kandungan (seperti karangan) dan bukannya satu maklum balas yang ditulis pada akhir sesuatu tugasan dan tidak seharusnya berfungsi sebagai rumusan semata-mata. Pelajar pula perlu digalakkan memiliki jurnal refleksi pembelajaran yang dapat menjelaskan bagaimana mereka gunakan maklum balas yang diberi untuk menambah baik penguasaan pembelajaran. 

Strategi lain yang boleh digunakan ialah, markah tambahan diberikan sekiranya pelajar dapat, dengan berpandukan maklum balas yang diberi, menjelaskan pemahaman baru mereka. 


Menurut Duncan (2007), sesetengah pelajar tidak memperdulikan maklum balas daripada gurukerana bagi mereka maklum balas yang diberikan itu tidak dapat mereka terima serta tidak masuk akal (pembaca dapat melihat contoh yang dipaparkan di atas). Kebanyakan guru guru memfokuskan maklum balas sebagai satu pembetulan dan bukannya maklum balas pengajaran (Hattie dan Timperly, 2007). 


Spliller (2009) menjelaskan bahawa apabila perbincangan dalam kelas dibuat menyentuh tugasan dan maklum balas dengan lebih jelas, maka pelajar akan menjadi lebih aktif dalam proses mengaplikasi maklum balas sehingga mereka ternanti-nanti maklum balas yang bermakna kepada mereka.

Ciri-ciri maklum balas pembelajaran yani baik
Maklum balas perlu bersifat mendidik (pembelajaran) iaitu menjelaskan apa yang betul dan apa yang tidak betul )salah)

Sensitif dengan keperluan individu

Tanyakan 3 soalan : Apakah yang boleh murid lakukan (secara tepat seperti kuasai kemahiran mengingat dengan cuba menggunakan kaedah neumonik)? Apa yang tidak boleh murid lakukan (seperti mengulang-ulang kesalahan ejaan yang sama)? Bagaimana boleh murid melakukan dengan lebih baik (seperti melihat contoh buku skrap …….. bin Abdullah).

Maklum balas seharusnya menunjukkan kemahiran atau pengetahuan tertentu. Mungkin penggunaan rubrik dapat membantu untuk tugasan projek atau penulisan.

Berikan maklum balas  yang akan menuju kepada kejayaan.

Berikan contoh atau model.

Minta maklum balas daripada murid tentang pengajaran guru (untuk murid/pelajar remaja)


Fazakkir! innama anta muzakkir. Memberi peringatan bukan sekadar menyatakan apa yang salah tetapi memperingatkan juga perkara yang betul. Maklum balas "very funny" dalam contoh di atas lebih bersifat melabel atau menghukum. Guru Pendidikan Islam perlu memahami maksud "lasta alaihim bi musoitir".


Wallahu aklam.
Sila lihat juga: