Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Saturday 28 February 2015

Menggunakan peta pemikiran i-think untuk melatih murid berfikir pada aras tinggi



Peta i-think merupakan salah satu alat berfikir yang digunakan untuk melatih murid berfikir pada aras tinggi. Seperti yang telah dimaklumi, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan tiga dimensi kognitif taksonomi Anderson dan Krathwohl (2000) iaitu menganalisis, menilai dan mencipta. Terdapat banyak kata kerja yang menjelaskan tentang aplikasi berfikir pada aras tinggi dan dapat digunakan untuk membolehkan guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 

Terlebih dahulu guru perlu menguasai tujuan kata kerja atau kata tugas yang disarankan untuk digunakan bagi membolehkan murid terlibat dengan proses berfikir pada aras tinggi. Berdasarkan kepada Taksonomi Anderson dan Krathwohl (2000), istilah yang digunakan untuk berfikir pada aras tinggi itu sendiri (menganalisis, menilai dan mencipta) merupakan kata kerja yang dapat menjelaskan bentuk aktiviti yang boleh melibatkan murid untuk berfikir pada aras tinggi.  

Jadual di bawah menunjukkan kata tugas yang boleh digunakan untuk melaksanakan aktiviti berfikir pada aras tinggi. Dalam bahasa Inggeris? Ya dan saya tidak akan menterjemahkannya. Sesetengah kata tugas boleh ditemui dalam beberapa lajur yang memerlukan guru berfikir untuk menyesuaikannya dengan aras berfikir yang dikemukakan (mengetahui, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta). Contohnya, discriminate, select dan collect. 


Dipetik daripada www.teachthought.com

 Peta pemikiran (i-think) terdiri daripada lapan bentuk seperti berikut:


Semasa menggunakan peta bulatan, meskipun proses pemikirannya melibatkan ‘mendefinisikan mengikut konteks’, namun sebelum sesuatu definisi itu dapat dibuat, guru boleh menggalakkan murid untuk memikirkan aktiviti dengan melibatkan teknik seperti sumbangsaran secara kreatif. Meskipun  melalui sumbangsaran, segala idea dan pandangan yang diberi tidak akan dibuat pertimbangan untuk ditolak, guru boleh menstrukturkan pemikiran murid agar tidak mengemukakan idea yang jauh menyimpang daripada perkara atau konsep utama yang dikemukakan. Ini bermakna, murid perlu menganalisis serta menilai sesuatu idea sebelum dikemukakan dengan hanya mengemukakan maklumat yang relevan. Seterusnya, segala maklumat yang terkumpul, dibuat analisis dan penilaian sekali lagi untuk menghasilkan definisi yang dibina sendiri menggunakan perkataan sendiri (mencipta) mengikut konteks (dengan bimbingan guru).

Sekiranya guru hanya meletakkan perkataan ‘air mutlak’ sebagai fokus semasa menggunakan peta bulatan, maka kemungkinan idea lain yang terhasil adalah contoh-contoh air mutlak. Sekiranya guru menuliskan perkataan ‘air untuk bersuci’, idea yang sama akan terhasil. Apabila murid diminta fokus kepada ‘air mutlak: contoh, alasan dan fungsi’ maka idea yang terhasil nanti adalah lebih luas daripada sekadar contoh. Pada masa yang sama, proses berfikir akan meningkat melibatkan KBAT (menganalisis dan menilai) setelah pemikiran murid distrukturkan sekitar contoh, alasan dan fungsi. Diskriminasi maklumat boleh dilakukan sekiranya guru menstrukturkan agar murid menggunakan warna yang berlainan untuk contoh, alasan dan fungsi. Diskriminasi juga boleh dibuat dengan menetapkan lokasi maklumat (lihat contoh di bawah). Hasilnya, apabila definisi dibina, definisi tersebut akan menjadi lebih konkrit. Sekiranya ‘air’ menjadi fokus, maka akan lebih yang banyak idea yang akan terhasil dan tidak terbatas (tanpa berlaku proses menganalisis dan menilai). Namun begitu, apabila murid diminta untuk membina definisi, guru boleh menstrukturkan pemikiran murid dengan menggunakan kata tugas yang berlainan seperti mengklasifikasi air mutlak, menilai jenis air, membuat pertimbangan kuantiti air, berhujah serta mencadangkan dan sebagainya (sila lihat kata tugas dalam jadual Taksonomi Bloom di atas).


Maknanya, meskipun peta bulatan lebih ditumpukan kepada mendefinisi mengikut konteks, sekiranya definisi itu terhasil dalam bentuk mengemukakan semula definisi sedia ada, maka ia telah tidak digunakan untuk murid berfikir pada aras tinggi. Samalah halnya dengan penggunaan peta pemikiran yang lain. Apa yang penting ialah guru tahu memilih kata tugas yang sesuai untuk dijadikan aktiviti pembelajaran melibatkan pemikiran pada aras tinggi.

No comments:

Post a Comment