Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 21 July 2016

Pengaruh Kepercayaan dan Nilai Guru ke atas Pembelajaran Murid



Teori pembelajaran telah lama diperbincangkan oleh pakar-pakar pendidikan dan evolusi perkembangannya sering dikaitkan dengan disiplin lain seperti psikologi, falsafah, sosiologi dan sains. Pemikiran pendidikan bagi setiap guru, sama ada dalam keadaan sedar atau tidak, telah dipengaruhi oleh pandangan beberapa teori, dalam masa dan waktu yang berlainan, sepanjang kariernya sebagai seorang guru. Pengaruh inilah yang akan membentuk kepercayaan dan nilai pendidikan profesional yang seterusnya dijadikan pegangan oleh guru berkenaan. Pemikiran guru tentang bagaimana murid belajar akan memperluaskan perspektif dan celik akal guru tentang dunia pembelajaran itu sendiri. Boleh dikatakan bahawa kepercayaan dan nilai pendidikan inilah yang akan membentuk moto dan mengatur tindakan guru semasa merancang pengajaran dan mengajar di dalam bilik darjah. Sesetengah kepercayaan dan nilai ini diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi melalui sistem pendidikan formal mahupun tidak formal. Contohnya moto sekolah yang berbunyi “Usaha Tangga Kejayaan” akan diwariskan daripada satu generasi guru ke satu generasi guru yang lain di sekolah yang sama meski pun kepimpinan sekolah telah bertukar beberapa kali (menggambarkan satu bentuk pegangan yang rigid dan tidak boleh diubah atau dibuat penambahbaikan).

Menurut Calderhead (1996), kepercayaan dan nilai yang menjadi pegangan guru merupakan mediator penting yang membentuk tingkah laku pengajaran guru. Clark dan Peterson (1986), Kagan (1992) dan Pajares (1992) mendefinisikan kepercayaan guru sebagai andaian-andaian guru yang mempengaruhi 1) apa yang mereka lihat dalam mana-mana set keadaan yang dianggap sebagai mungkin, 2) matlamat yang mereka tetapkan, dan 3) ilmu pengetahuan yang mereka sampaikan mengikut keadaan tersebut. 

Pajares (1992) juga telah mengemukakan julat penggunaan istilah yang menggambarkan maksud kepercayaan seperti nilai, sikap, pertimbangan, ideologi, persepsi, sistem konseptual, prekonsepsi, karakter, teori implisit, teori pribadi, strategi tindakan, peraturan amali, koleksi pemahaman, perspektif dan pelbagai lagi. Kekeliruan konsep ini berkisar antara ilmu pengetahuan dan kepercayaan atau nilai yang menjadi pegangan. Bukanlah ilmu pengetahuan itu berbeza daripada kepercayaan tetapi kepercayaan dan nilai itu sendiri merupakan sebahagian daripada ilmu pengetahuan. Menurut Pajares  (1992) lagi, kadang kala adalah agak sukar untuk membezakan fiturs atau gambaran yang membezakan kepercayaan yang membentuk nilai dan bagaimana fiturs atau gambaran ini dapat dipisahkan daripada ilmu pengetahuan. Nespor (1987) menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan sering berubah-ubah manakala kepercayaan yang membentuk nilai lazimnya adalah statik. Nespor juga menjelaskan bagaimana sesuatu kepercayaan itu membentuk nilai pendidikan lalu menjadi pedagogi atau teori peribadi yang menjadi panduan dalam amalan pengajaran guru-guru. Bagi sesetengah ahli pendidikan, nilai dibezakan daripada kepercayaan. Perbezaannya sangat sukar untuk dikesan kerana kedua-duanya dijadikan panduan untuk bertingkahlaku serta membentuk sikap.

Perbezaan kepercayaan dan nilai
Kepercayaan disandarkan kepada sesuatu konsep yang dianggap benar sama ada kebenaran itu terbukti secara saintifik atau tidak. Nilai pula merupakan idea yang dianggap berharga (worthy) dan penting yang dikaitkan dengan sesuatu (objek atau perlakuan) yang dapat menggambarkan cara guru menjalani kehidupan termasuk nilai tentang bagaimana murid dan pelajar belajar. Ada kepercayaan yang tidak dianggap penting. Contohnya, guru percaya semua orang boleh belajar tetapi kalau kepercayaan itu tidak dianggap penting, maka perancangan, tindakan serta amalan bekerja guru boleh jadi sambil lewa serta tidak optimum. Sebaliknya kedudukan nilai pula adalah sangat penting dalam kehidupan. Sidi Gazalba (1973) mengaitkan nilai dengan soal penghayatan yang dikehendaki dan tidak dikehendaki, disenangi dan tidak disenangi. Guru yang berpegang kepada nilai amanah dalam bekerjaya akan memastikan amanah tersebut ditunaikan melalui perancangan, persediaan diri (ilmu dan kemahiran pedagogikal), penyediaan bahan sumber serta melaksanakan amalan semasa mengajar. Nilai membezakan baik dan tidak baik. Sekiranya nilai yang baik tidak ditransformasikan dalam bentuk tindakan dan amalan, individu akan merasa bersalah (sense of guilt) dan berdosa (sense of sin).

Calderhead (1996) mengkategorikan kepercayaan pendidikan dalam bidang-bidang berikut:
1.      Kepercayaan mengenai murid dan pembelajaran
2.      Kepercayaan mengenai pengajaran
3.      Kepercayaan mengenai mata pelajaran
4.      Kepercayaan mengenai belajar untuk mengajar
5.      Kepercayaan mengenai diri sendiri dan peranan mengajar

Kepercayaan dan nilai lazimnya bersifat kontekstual yang dikaitkan dengan situasi atau keadaan tertentu (Kagan, 1992). Kepercayaan dan nilai pendidikan terhadap pembelajaran termasuklah nilai tentang bagaimana murid atau pelajar belajar dan apakah maknanya ‘telah belajar’ (Hofer & Pintrich, 1997). Guru masuk ke kelas dengan membawa serta membina pelbagai nilai peribadi dan nilai profesional yang mempengaruhi perhubungan dalam bilik darjah. Pada masa yang sama, murid dan pelajar juga membawa bersama pelbagai nilai pendidikan mereka sendiri. Kekeliruan terhadap nilai dan perwatakan peribadi mungkin boleh menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, nilai guru yang lebih cenderung kepada strategi pengajaran berpusatkan guru akan bercanggah dengan nilai murid dan pelajar yang lebih suka belajar secara konstruktif melalui perkongsian bahan dan perbincangan. Oleh itu tidak hairan sekiranya sistem kepercayaan dan nilai ini bercanggahan antara satu dengan lain (Ennis, 1994). Namun begitu, jika ditangani dengan baik, maka perbezaan nilai ini akan membentuk pernyataan toleransi, saling menghormati, prinsip sosial dan tanggungjawab peribadi dalam bilik darjah. Dalam kajiannya, Tirri (2010) mendapati bahawa sikap mengambil berat dan saling menghormati merupakan bukti ekspresi perasaan paling ketara yang dapat memenuhi keperluan murid dan pelajar.

Perspektif Islam
Daripada perspektif Islam, kepercayaan perlu disandarkan kepada enam rukun iman iaitu percaya kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, kiamat dan qada’ qadar berpandukan kepada ayat 285 Surah Al Baqarah, ’...demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya’ serta hadis riwayat Ahmad (2775) yang bermaksud (Jibril) bertanya “Apakah iman itu?” Rasulullah saw. menjawab, “Iman ialah engkau percaya kepada Allah, hari akhir, malaikat, kitab, nabi- nabi, percaya kepada mati, hidup sesudah mati, percaya tentang surga, neraka, hisab, mizan, dan percaya pada takdir, baik takdir yang baik maupun yang buruk.” Islam juga melihat nilai sebagai satu kebajikan seperti yang tercatat dalam Surah Al baqarah: 171 yang bermaksud ‘sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi’.

Daripada keenam-enam asas kepercayaan itu, beberapa nilai akan terbina. Contohnya, dengan percaya (beriman) kepada Allah, nilai yang terbentuk ialah menunaikan amanah (Al-Anfal: 27) dan menjaga kewajipan secara adil dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya (Tafsir Ibnu Katsir, 2012) dalam melaksanakan ibadah termasuk berwudhu, menunaikan solat serta dalam amalan muamalat. Bagi seorang guru, menjaga kewajipan termasuklah melaksanakan tugas dengan baik, berkemahiran dan efektif menggunakan kaedah serta teknik yang sesuai dengan kelompok murid atau pelajar.

Dengan percaya kepada malaikat pula, antara nilai yang boleh dibentuk ialah kepedulian sosial dalam melaksanakan tugas-tugas sosial termasuk mendidik dan mengajar tanpa banyak memberikan apa juga alasan dan dalih, sebaliknya sentiasa berfikiran positif terhadap segala kejadian dan fenomena yang berlaku dalam bilik darjah yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Kepercayaan kepada kitab membolehkan guru membentuk nilai tidak sembrono, sebaliknya sentiasa melakukan rujukan kepada manual utama (al Quran) serta manual sampingan iaitu teks hadis dan teks serta rujukan mata pelajaran yang diajar. Kepercayaan kepada rasul akan mencetuskan nilai mengikuti tunjuk ajar daripada mereka yang lebih mengetahui atau pakar dalam bidangnya. Kesegeraan menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan serta pemakluman dan maklum balas tentang ganjaran dan dendaan merupakan nilai yang boleh dibentuk daripada kepercayaan kepada hari pembalasan (kiamat). Manakala nilai redha dengan ketentuan (seperti diminta mengajar murid atau pelajar bawah average atau slow learners) merupakan antara nilai yang terbentuk daripada percaya kepada qada dan qadar Allah. Nilai redha dengan ketentuan ini boleh diperluaskan menjadi menerima perbezaan individu dalam kelas yang memerlukan ketelitian ketika merancang pengajaran. Guru bukan superman atau superhero tetapi merupakan individu yang perlu melaksanakan tanggungjawab di sekolah dan dalam bilik darjah melalui amalan pendidikan efektif. Contohnya, mengamalkan pengajaran dan pembelajaran berfikrah dengan menggunakan pelbagai alat berfikir kreatif dan kritikal seperti peta minda dan pengurusan grafik.

Kisah benar
Seorang pengetua baru di sebuah sekolah pernah bertanya kepada para guru di sekolah tersebut dengan soalan berikut: “Apakah kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi asas kepada amalan serta tindakan guru-guru dalam bilik darjah?” Soalan tersebut beliau jawab sendiri dengan mengatakan, “Saya menghargai dan berpegang kepada nilai bahawa ibu bapa merupakan rakan seperjuangan dalam usaha mendidik anak-anak mereka. Saya percaya bahawa penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak akan meninggalkan kesan positif ke atas pembelajaran anak-anak mereka. Sekiranya kerjasama rakan seperjuangan merupakan kepercayaan dan nilai pendidikan yang saya pegang, maka dalam pengurusan sekolah ini saya akan bekerja dan beramal atas dasar tersebut.”

Bertitik tolak daripada kepercayaan dan nilai pendidikan yang dipegang, pengetua berkenaan bersama semua kaki tangan sekolah dan guru, bekerja untuk mewujudkan perhubungan rakan seperjuangan dengan melibatkan ibu bapa pelajar. Pandangan ibu bapa diambil kira dalam mesyuarat bersama komuniti, ibu bapa dibenarkan berbincang bersama guru tentang pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran agar mereka memahami tugas dan amalan guru dalam bilik darjah. Langkah tersebut telah mengundang lebih banyak ibu bapa (sesetengah mereka merupakan guru di sekolah lain, para pensyarah pendidikan di institusi pendidikan tinggi dan pusat latihan guru) untuk tampil memberikan pandangan. Lapan belas bulan kemudian, pengetua berkenaan telah berjaya mewujudkan hubungan kolaboratif dan kerjasama yang telah membawa kepada kejayaan besar pencapaian akademik. Soalan yang sering pengetua ini kemukakan untuk membimbing guru-guru yang mengajar ialah “Bagaimana amalan guru dalam kelas dapat menyumbang ke arah merealisasikan kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan serta bagaimanakah kepercayaan serta nilai pendidikan tersebut turut menyumbang ke arah pembentukan amalan bekerja dalam kelas untuk mencapai kecemerlangan pelajar?”
Pendekatan pengetua berkenaan dapat digambarkan seperti dalam gambar rajah berikut:
Hubungan antara kepercayaan dan nilai dengan amalan. Diadaptasi daripada Atkin, 1996

Mengeksplisitkan kepercayaan dan nilai
Kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan dieksplisitkan dalam bentuk pernyataan misi dan visi. Dengan berpandukan kepada kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan ini, satu pernyataan polisi dibina yang seterusnya menjadi prinsip sekolah. Akhirnya guru-guru telah merealisasikan kepercayaan dan nilai tersebut dalam bentuk amalan bekerja seharian. Dengan usaha untuk mencapai kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan, amalan bekerja boleh dibuat penambahbaikan. Percubaan untuk menambahbaik amalan bekerja lazimnya akan membuahkan satu kepercayaan dan nilai pendidikan yang baru. Sekiranya para guru mengambil pengajaran daripada usaha untuk merealisasikan kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan, maka guru sebenarnya melibatkan diri dengan proses dinamik melalui proses refleksi tentang bagaimana sesuatu amalan itu telah membolehkan mereka mencapai ke tahap yang lebih baik dalam perjalanan menuju ke arah keberkesanan pengajaran.

Lortie (1975) menjelaskan bahawa kebanyakan kepercayaan dan nilai pendidikan guru muncul melalui pengalaman peribadi mereka semasa menjadi pelajar. Sesetengah kepercayaan dan nilai pendidikan terbentuk daripada pengalaman orang lain seperti nilai tradisi keluarga, penyertaan komuniti, budaya yang dipopularkan seperti kepercayaan “Malaysia boleh!”, persediaan guru, perkembangan profesional serta pembacaan literatur. Nilai dan kepercayaan ini boleh terbentuk tanpa memerlukan bukti malah berkemungkinan terbentuk melalui bukti yang bertentangan. Contohnya, kegagalan mengamalkan satu kaedah pengajaran membuatkan guru membentuk kepercayaan dan nilai baru ke atas kaedah lain. Kesemua nilai dan kepercayaan ini merupakan sebahagian daripada identiti guru.

Adalah agak malang, apa yang berlaku kepada kebanyakan guru di Malaysia ialah mereka sendiri tidak menyedari tentang pusat nilai pendidikan (centre of educational values) peribadi dan profesional secara operasional, yang seharusnya menjadi asas kepada amalan bekerja dalam bilik darjah. Justeru itu mereka tidak pun berusaha untuk merealisasikannya. Sebaliknya mereka terus beramal dengan kebiasaan dan kelaziman berdasarkan kepada pengalaman semasa belajar dahulu tanpa menyedari tentang nilai pendidikan yang dipegang serta perubahan-perubahan nilai yang berlaku. Hal ini terjadi kerana kepercayaan dan nilai serta pengaruhnya itu berbentuk implisit serta berlaku di bawah sedar. Guru perlu kepada perubahan set minda, ekspektasi serta pendekatan yang berlainan dan inilah cabaran sebenar guru efektif. Eksplisitkan kepercayaan dan nilai yang mengatur tingkah laku.

Pendekatan yang ingin saya bawa di sini ialah bagaimana mengimbangkan antara fokus kepada amalan atau tindakan dengan fokus kepada kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi prinsip serta panduan untuk bertindak sebagai seorang guru yang bertanggungjawab. Perkara penting yang menjadi rujukan ialah:
1.      Apa yang guru nilai / apakah yang menjadi pusat nilai guru terhadap pendidikan?
2.      Apakah kepercayaan mengenai pembelajaran yang menjadi asas kepada amalan bekerja guru dan adakah kepercayaan tersebut berpegang kepada asas teori tentang bagaimana seseorang itu belajar?
3.      Bagaimanakah amalan bekerja sekarang membantu guru mencapai nilai yang menjadi pegangan?
4.      Bagaimanakah satu cadangan amalan yang baru atau berlainan dapat menambahbaik keupayaan guru untuk merealisasikan kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan?

Dengan menjawab soalan-soalan di atas, guru sebenarnya telah menetapkan matlamat pendidikan yang ingin dicapai (oleh guru dan pelajar). Semuanya kerana guru belajar menghargai nilai-nilai kepercayaan dan pendidikan. Salah satu aspek yang sukar semasa membentuk satu set kepercayaan mengenai pembelajaran ialah semasa membentuk ayat tentang pernyataan kepercayaan dan nilai pendidikan. Sebenarnya kepercayaan dan nilai pendidikan bukanlah dalam bentuk ayat. Tidak kiralah bagaimana ayatnya kerana apa yang lebih penting ialah pemahaman maknanya serta amalan yang berkaitan dengannya. Meskipun begitu, untuk mengeksplisitkan kepercayaan dan nilai pendidikan ini, biarlah dipersembahkan dalam struktur ayat yang sebaik-baiknya.

Transformasi kepercayaan kepada nilai
Masih terdapat ramai guru yang tidak dapat membezakan antara kepercayaan (beliefs), nilai (values) dan sifat / ciri diri (characters). Apakah kepercayaan dan nilai-nilai yang menjadi pegangan seorang guru yang mempunyai sifat atau ciri bersungguh semasa bekerja? Antara kepercayaan yang mungkin dapat dikaitkan dengan ciri kesungguhan bekerja adalah seperti berikut:
a)     Kejayaan akademik boleh dicapai dengan kesungguhan belajar secara bijak dan bestari. 
b)     Man jadda wajada. 
c)     Segala peluang yang ada tidak bermakna apa-apa kepada murid jika guru tidak bersungguh menggunakan peluang tersebut.
d)     Ilmu itu akan diperoleh oleh orang yang bersungguh untuk mencari jawapan kepada pelbagai soalan.
e)     Untuk menjadi murid yang berjaya, jangan hanya memandang kepada tangga tetapi berusaha untuk menaiki tangga tersebut.
f)       Jika kita bersungguh-sungguh belajar, maka kita akan menjadi orang pintar, meskipun kita adalah orang yang sukar untuk mengingat sesuatu. 
g)     Belakang parang, kalau diasah lagikan tajam.

Antara kepercayaan lain yang menjadi pegangan guru ialah:

  • Guru merupakan seorang pemudahcara (fasilitator), pengurus dan bukan penyebar alat alat memindahkan ilmu pengetahuan kepada murid.
  • Untuk memahami sesuatu konsep dengan baik dan secara bermakna, murid seharusnya berupaya untuk menyatakan serta mengaplikasikan konsep-konsep tersebut.
  • Ilmu pengetahuan (isi kandungan dan struktur mental) itu berbeza-beza bergantung kepada kematangan  murid, interaksi sosial dan pengalaman.
  • Pembelajaran akan lebih bermakna sekiranya murid dapat mengaitkan pembelajaran baru dengan pengetahuan sedia ada mereka.
  • Tujuan utama pendidikan ialah untuk membina keupayaan murid berfikir secara kritikal, mengintegrasikan idea-idea dan bukan sekadar mengumpulkan maklumat dan fakta.
  • Peranan utama murid ialah mencari dan menemui pengetahuan baru yang bermakna. Guru pula akan menyediakan perancah yang dapat mendorong murid untuk membina ilmu pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan isu dunia sebenar.
  • Murid akan belajar dengan baik sekiranya mereka terlibat secara aktif dalam pembelajaran.
  • Semua murid boleh belajar dan guru tidak seharusnya menafikan hak mereka untuk belajar.
  • Proses pembelajaran akan menjadi lebih baik sekiranya terdapat hubungan yang positif antara guru dan murid.
  • Guru perlu mengajar bersungguh-sungguh secara bijaksana dan bersabar dengan segala kelemahan murid.
  • Guru seharusnya merancang dan menyediakan pelbagai bentuk aktiviti yang dapat mendorong pembelajaran selaras dengan kecerdasan murid.


Daripada kepercayaan “Jika kita bersungguh-sungguh belajar, maka kita akan menjadi orang pintar, meskipun kita adalah orang yang sukar untuk mengingat sesuatu” guru akan membentuk nilai yang membolehkan kesungguhan belajar terlaksana. Apakah elemen penting untuk membolehkan murid belajar bersungguh-sungguh? Sudah pasti murid akan belajar bersungguh-sungguh sekiranya pendekatan, strategi, kaedah serta teknik mengajar dan belajar yang digunakan, termasuk bahan bantu, dapat merangsang serta memotivasikan mereka. Elemen-elemen itulah yang dianggap penting dan perlu dianggap penting oleh guru untuk membentuk nilai pendidikan. Oleh itu, untuk memastikan murid dan pelajar belajar bersungguh-sungguh, antara nilai yang perlu direalisasikan dalam bilik darjah ialah:

1.      Pembelajaran secara Hands-on, Minds-on dan Hearts-on dengan perbincangan.
2.      Pembelajaran interaktif dan guru menggunakan pelbagai intonasi suara serta kecindan yang menyeronokkan.
3.      Penjelasan dan huraian menggunakan bahan bantu belajar yang mudah serta menarik.
4.      Pembelajaran aktif dalam kumpulan kecil.
5.      Menggunakan teknik mengingat seperti mnemonik, peta konsep, peta minda dan peta pemikiran.
6.      Melibatkan murid dan pelajar belajar secara aktif menggunakan kaedah inkuiri atau penyelesaian masalah.
7.      Aplikasi penyoalan sokratik serta membenarkan murid dan pelajar bertanya untuk mendapatkan penjelasan.
8.      Pengajaran menggunakan bahan multimedia.
9.      Pengajaran menggunakan bahan visual serta mencabar minda.
10.  Guru sentiasa bersedia untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar. 
11.  Pengajaran dan pembelajaran perlu dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada serta pengalaman dunia sebenar.

Nilai-nilai pendidikan seperti yang dinyatakan di atas perlu direalisasikan dalam bilik darjah agar tidak berlaku percanggahan realiti atau living contradiction (Whitehead, 1989) antara nilai pendidikan dan amalan, sebaliknya nilai dan amalan dapat diintegrasikan untuk menghasilkan living educational theory guru sendiri. Jelasnya, untuk merealisasikan kepercayaan (d) di atas iaitu “Ilmu itu akan diperoleh oleh orang yang bersungguh untuk mencari jawapan kepada pelbagai soalan” maka guru perlu berpegang kepada nilai 6 iaitu ‘Melibatkan murid dan pelajar belajar secara aktif menggunakan kaedah inkuiri’ dan 10 ‘Guru sentiasa bersedia untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar’. Nilai 10 boleh diperluaskan dengan ‘Membimbing murid membina pelbagai aras soalan Taksonomi Bloom (Anderson dan Krathwohl, 2000) serta meneroka jawapannya menggunakan segala sumber yang boleh diperolehi.’

Gambar rajah di bawah memaparkan bagaimana kepercayaan dan nilai pendidikan boleh dieksplisitkan dalam bilik darjah.
Transformasi nilai dan kepercayaan ke dalam bentuk amalan bilik darjah

Ramai guru percaya, sebaik mana pun amalan pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikkan, pasti masih ada ruang untuk dibuat penambahbaikan. Nilai serta kepercayaan tentang pengajaran dan pembelajaran yang menjadi pegangan, memainkan peranan penting kepada guru untuk membolehkannya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik kerana nilai dan kepercayaan ini akan mempengaruhi amalan guru di dalam bilik darjah serta boleh meninggalkan impak yang besar kepada guru mahu pun murid. Menurut Harste dan Burke (1977), guru akan membuat keputusan tentang pengajaran (aplikasi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik) dengan berdasarkan kepada nilai dan kepercayaan tentang falsafah pendidikan serta teori pengajaran dan pembelajaran yang menjadi pegangannya. Guru-guru akan cuba melaksanakan amalan yang dapat menggambarkan nilai dan kepercayaan falsafah yang menjadi pegangan mereka semasa mengajar dalam bilik darjah. Kemmis dan McTaggart (1988) menegaskan bahawa penyelidikan tindakan sebagai proses pembelajaran yang sistematik bermaksud mengamalkan nilai-nilai pendidikan serta melibatkan penggunaan kecerdasan kritikal untuk melaksanakan tindakan. Untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan, terlebih dahulu guru perlu mengeksplisitkan nilai dan kepercayaan dalam bentuk tulisan.

Contoh penulisan pernyataan nilai pendidikan yang menjadi pegangan guru:
“Saya percaya bahawa setiap murid yang masuk ke kelas saya memang boleh berjaya dalam pelajaran. Sebagai seorang guru, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu murid mencapai potensi diri sepenuhnya dan menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran-kemahiran yang mereka perlukan dalam menjalani kehidupan sebagai warga negara masyarakat demokratik. Pengajaran seharusnya bersifat tumpuan murid dan murid perlu bertanggung jawab ke atas tingkahlaku pembelajaran mereka sendiri. Sebagai tambahan, murid perlu mengambil tanggung jawab ke atas tindakan dan keputusan yang mereka buat. Sebagai guru, saya meletakkan nilai yang tinggi kepada pembelajaran secara Hands-on, Minds-on serta Hearts-on. Pada masa yang sama saya perlu merealisasikan nilai peranan sebagai pembimbing dan pemudah cara untuk membolehkan murid mencapai ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran berkomunikasi, menyelesaikan masalah, dan berfikir secara kritikal yang membolehkan mereka belajar sepanjang hayat menggunakan alat-alat berfikir. Saya percaya bahawa murid seharusnya belajar untuk tidak bergantung kepada guru, tetapi pada masa yang sama dapat menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk bekerja secara konstruktif dengan berpegang kepada nilai koperatif dalam satu pasukan.”



Membuat keputusan berdasarkan nilai
Sepanjang masa berlalu, manusia telah membentuk enam cara atau kaedah untuk membuat keputusan: gerak hati (instincts), kepercayaan bawah sedar (subconcious beliefs), kepercayaan dalam sedar (concious beliefs), nilai (values), intuisi dan inspirasi. Pada hari ini, adalah biasa sekiranya manusia berkembang dengan keupayaan untuk menggunakan tiga cara terawal (gerak hati, kepercayaan bawah sedar dan kepercayaan dalam sedar) ketika membuat keputusan. Dari perspektif evolusi, membuat keputusan berdasarkan nilai, membuat keputusan berdasarkan intuisi serta inspirasi, masih lagi merupakan perkara agak baru tetapi telah semakin meningkat popular dan semakin ramai guru terlibat dengan kesedaran nilai peringkat tinggi.

Membuat keputusan berdasarkan nilai bermula dengan mengenalpasti apakah nilai pendidikan yang paling berharga pada diri guru, sama ada semasa berada di rumah, di sekolah atau dalam bilik darjah serta memahami kepercayaan yang dapat menyokong nilai-nilai pendidikan ini, di samping mengenalpasti perlakuan yang menunjukkan guru menjalani kehidupan dengan berpegang kepada nilai-nilai tersebut. Apa yang guru perlu lakukan sebenarnya ialah meletakkan nilai-nilai tersebut di hadapan sebelum bertindak dan menjadikan nilai sebagai elemen terpenting dalam semua keputusan yang hendak dibuat. Dengan menggunakan nilai sebagai panduan untuk bertindak, nilai tersebut berfungsi sebagai suatu keperluan dan keperluan itu menjadi pendorong atau perangsang untuk bertingkah laku (Erickson, 1902 - 1994). Guru akan mula menjalani kehidupan profesionalnya melalui nilai yang dipegang dan bukan sekadar kepercayaan.  Apabila guru menggunakan nilai pendidikan untuk membuat sesuatu keputusan, nilai tersebut akan membawa guru lebih dekat kepada keinginan dalaman (kerohanian dan nilai ketuhanan) dan akan menghasilkan tingkah laku yang tulen serta ikhlas. Apabila guru mula menjalankan tugas-tugas profesional berdasarkan kepada nilai yang dipegang, maka guru akan bersikap lebih tulen dan berintegriti.

Implikasi ke atas pembelajaran murid dan pelajar
Kepercayaan dan nilai pendidikan guru mempunyai impak yang mendalam ke atas kehidupan dalam bilik darjah. Kepercayaan dan nilai ini meninggalkan kesan berlapis, pelbagai dimensi, kadangkala implisit serta sukar untuk diubah. Guru yang gagal untuk mengenalpasti dan menyemak kepercayaan serta nilai pendidikan mungkin akan menyebabkan kesan-kesan yang tidak dijangka di dalam kelas. Tanpa kepercayaan dan nilai pendidikan, secara tidak sengaja dan tanpa niat, guru mungkin mengenepikan topik-topik yang perlu dan penting untuk kehidupan murid, terlepas pandang atau meminggirkan murid atau pelajar yang memerlukan perhatian khusus, menyalahtafsirkan motif atau tingkah laku pelajar, dan menghadkan potensi mereka sebagai profesional.

Sebaliknya, guru yang bersedia untuk meneroka kepercayaan dan nilai mereka, dan bagaimana kepercayaan serta nilai mereka berkaitan dengan amalan dan asas pengetahuan profesional, boleh mengambil kesempatan ke atas kepercayaan dan nilai yang mereka pegang untuk meningkatkan perkembangan intelek murid dan pelajar, pertumbuhan autonomi dan hubungan serta interaksi bertimbal balik dan ekuiti (keadilan) di dalam kelas mereka. Selain itu, guru akan mewujudkan ruang untuk pertumbuhan mereka sendiri kerana mereka dapat mengenal pasti dan menyemak semula kepercayaan serta nilai yang tidak menyumbang kepada amalan bekerja yang efektif, tidak menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan murid dan pelajar atau sekolah.

Kesimpulan
Dengan terbentuknya hubungan antara nilai pendidikan dan amalan bekerja, menjadikan guru bukan sekadar sebagai seorang pengamal pedagogi dalam bilik darjah tetapi menjadikan guru seorang yang berfikiran lebih reflektif serta berupaya untuk mempersoalkan amalan bekerja sendiri dan melakukan penambahbaikan. Selanjutnya guru akan menyedari bahawa untuk menjadi seorang guru yang baik dan berkesan, guru perlu melakukan kajian dan penyelidikan dengan memahami kepercayaan serta nilai pendidikan yang menjadi pegangan serta ingin direalisasikan dalam bilik darjah.