Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday, 23 March 2017

Memantau Pembelajaran Pelajar



Beberapa kajian pendidikan yang telah dilakukan menunjukkan bahawa pemantauan pembelajaran para pelajar merupakan komponen yang perlu untuk memastikan kualiti pendidikan yang tinggi. Pemantauan kemajuan pelajar yang dilakukan secara berhati-hati dan teliti, merupakan faktor utama yang membezakan antara guru dan sekolah cemerlang denagn guru dan sekolah biasa atau tidak berdaya maju. Malah sesetengah pakar pendidikan melihat elemen pemantauan ini sebagai penjangka paling baik untuk melihat kecemerlangan pencapaian pelajar.

Kamus American Heritage menjelaskan pemantauan pembelajaran sebagai melakukan semakan secara sistematik dengan tujuan untuk mengumpulkan beberapa kategori data yang telah dikenal pasti. Ini bermaksud pemantauan mempunyai kaitan yang rapat dengan fungsi menyimpan data, membuat laporan serta membuat keputusan. Penerangan ini masih agak kabur dan boleh mengelirukan. Oleh itu, dalam penulisan ini, saya ingin melihat pemantauan pembelajaran sebagai aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memantau pembelajaran para pelajar dengan tujuan untuk membuat keputusan tentang pengajaran serta memberikan maklum balas ke atas kemajuan pelajar. 

Untuk memudahkan pemahaman, saya memilih untuk mendefinisikan pemantauan pembelajaran sebagai aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk mengesan kemajuan pembelajaran pelajar dengan tujuan untuk membuat keputusan tentang amalan pengajaran guru dan memberikan maklum balas yang dapat meningkatkan kualiti pembelajaran. Apabila para pendidik bercakap tentang pengawasan dan pemantauan bilik darjah, mereka akan merujuk kepada tingkah laku berikut:

  • Mengemukakan soalan untuk menyemak kefahaman tentang isi pelajaran yang disampaikan.
  • Berjalan dalam bilik darjah semasa pelajar melakukan aktiviti pembelajaran sambil membimbing pelajar yang bermasalah pembelajaran secara perseorangan (one to one contact)
  • Memberi tugasan, mengumpul dan menyemak latihan dan kerja-kerja rumah yang diberikan, memberikan skor dan maklum balas yang berkesan.
  •  Mentadbir dan menyemak kertas ujian  serta merekodkan keputusan.
  • Menyemak semula data pencapaian pelajar dan menggunakan data tersebut untuk membuat refleksi dan penambahbaikan amalan pengajaran.

Artikel ini ditulis dengan menumpukan kepada bagaimana pemantauan ke atas pembelajaran pelajar dilakukan berdasarkan kepada rumusan daripada beberapa kajian. Istilah penyiasatan pembelajaran merujuk kepada beberapa cara yang boleh digunakan oleh guru untuk mendapatkan respons jawapan kepada isi pelajaran bagi menentukan tahap pemahaman pelajar terhadap apa yang telah guru ajarkan. Penyoalan, kuiz atau apa saja cara yang digunakan untuk mengesan tahap pembelajaran boleh digunakan.  

Dapatan daripada banyak kajian menunjukkan  penyoalan dan siasatan pembelajaran yang dilakukan oleh guru, dapat menghasilkan pelbagai faedah terutamanya apabila teknik-teknik berikut digunakan:

  • Memastikan soalan dikemukakan berdasarkan kepada tahap kesukaran yang sesuai dan membolehkan kebanyakan pelajar dapat memberikan jawapan yang betul seperti yang sepatutnya.
  • Memberi perhatian kepada siapa yang memberikan jawapan apabila sesi perbincangan atau soal jawab dilaksanakan dan meminta pelajar lain memberikan respons (terutama mereka yang tidak bersedia untuk berkongsi jawapan).
  •  Meminta pelajar memberikan komen atau menghuraikan jawapan yang telah diberikan oleh rakan mereka.
  • Menggunakan maklum balas tahap kefahaman untuk meningkatkan kadar pengajaran apabila diperlukan.

Kajian juga menunjukkan bahawa pemantauan ke atas aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah membolehkan pelajar mencapai tahap yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Pemantauan aktiviti pembelajaran melibatkan pergerakan guru ke seluruh bilik darjah, menyedari kekuatan dan kelemahan pelajar semasa mereka menjalani aktiviti pembelajaran serta membimbing pelajar secara individu apabila keadaan memerlukan. Lazimnya, guru yang berkesan mempunyai prosedur yang sistematik untuk menyelia dan menggalakkan pelajar semasa mereka bekerja serta memulakan interaksi dengan pelajar yang memerlukan bantuan (bukan sekadar menunggu sehingga pelajar meminta bantuan). Mereka juga berinteraksi secara lebih bermakna dengan pelajar semasa memantau aktiviti pembelajaran, kekal dengan orientasi tugas serta bersama-sama menyelesaikan masalah pelajar, memberi lebih masa dan perhatian kepada pelajar yang dipercayai memerlukan bantuan tambahan serta mementingkan ketekalan dan berhati-hati ketika menyemak tugasan pelajar (memastikan pelajar menghantar tugasan yang berkualiti).  

Bagi kebanyakan guru, kerja rumah yang diberikan sebagai tugasan tambahan merupakan sesuatu yang dapat membantu pelajar menguasai pelajaran dan pembelajaran. Kerja rumah didapati mempunyai kesan yang signifikan dan positif ke atas pencapaian sekiranya kerja rumah tersebut dipantau oleh guru. Hasil yang bermanfaat akan diperoleh sekiranya kerja rumah:
  • Berkait rapat dengan isi pelajaran yang baru dipelajari dalam bilik darjah
  • Diberikan dengan tujuan latihan pemantapan terhadap bahan atau isi pelajaran yang baru
  • Sesuai dengan tahap kebolehan dan keupayaan pelajar
  • Benar-benar difahami oleh pelajar dan ibu bapa mereka
  • Dikawal selia oleh ibu bapa iaitu kesedaran ibu bapa terhadap apa yang perlu dilakukan untuk mendorong kerja rumah dilakukan dengan baik
  • Tidak menangguhkan semakan dan dikembalikan kepada pelajar dengan kadar segera
  •  Dinilai dengan skor atau gred serta diberikan maklum balas yang bermakna dan berkesan


Ujian kelas (penilaian formatif) yang diberikan turut berperanan sebagai alat memantau pembelajaran pelajar. Sebaik-baik ujian adalah ujian yang item-itemnya dibina berdasarkan kepada standard nasional. Terdapat banyak kertas-kertas ujian yang boleh dibeli di pasaran tetapi tidak semua item-itemnya dibina dengan baik. Oleh itu, sebarang ujian yang diberikan kepada pelajar perlu dirancang, dibina berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) jika berkaitan  dan dapat menunjukkan hubungan yang positif ke atas keputusan ujian. Kesan yang baik akan dapat dilihat apabila ujian ditadbirkan secara agak kerap serta menjadi sebahagian daripada pendekatan pengajaran (iaitu selari dengan bahan yang diajar).

Kertas ujian perlu disemak, diberikan skor atau gred dan dikembalikan kepada pelajar agar mereka boleh membuat pembetulan serta penambahbaikan pemahaman. Kajian banyak menunjukkan bahawa pelajar yang diberikan ujian secara kerap dan diberikan maklum balas bermakna, dapat membina sikap yang lebih positif  ke atas ujian.  

Perlu diingat bahawa penilaian formatif bukan hanya dilaksanakan dalam bentuk ujian (lisan atau pensel dan kertas). Terdapat banyak cara melaksanakan penilaian formatif  untuk memungkinkan guru dapat mengumpulkan data pencapaian (akan dikongsikan pada waktu yang lain).

Guru-guru efektif melihat apa yang berlaku dalam proses pembelajaran serta mengesan faktor-faktor yang mempengaruh. Mereka akan mengumpulkan data sebagai bukti penguasaan konsep serta isi kandungan. Mereka kenal siapa pelajar mereka. Tiada penilai lain yang mempunyai peluang untuk benar-benar dapat melihat pelajar dari masa ke masa. Namun begitu, guru perlu berhati-hati dan bertanya kepada diri sendiri "Apa sebenarnya yang saya lihat? Adakah saya telah membuat kesimpulan yang betul dan tepat berdasarkan apa yang saya lihat?" (Stiggins, 2001). 

Segala maklumat (data) yang terkumpul perlu digunakan untuk merancang pengajaran pengukuhan, pemulihan atau pengayaan. Ringkasnya, guru perlu membuat perancangan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran.



 

Wednesday, 1 March 2017

Psikologi Pendidikan

Ekstrak daripada e-book Psikologi Pendidikan tulisan Akhiar Pardi




Kisah mengajar

Mengapa memilih kerjaya mengajar? Terdapat beberapa jawapan untuk soalan ini. Antaranya, tiada pilihan lain yang sesuai, mengikut kehendak ibu bapa atau ingin bekerja hanya dengan kanak-kanak tanpa banyak kerenah dari orang dewasa. Jawapan begini memang tidak menyeronokkan. Namun begitu, ada juga mereka yang memberikan jawapan suka mengajar dan mendidik, tanggungjawab membina bangsa manusia dan peluang untuk mengajar dan belajar sepanjang hayat. Masih ada jawapan lain yang tidak saya kemukakan dalam buku ini. Kumpulan jawapan kedua di atas telah menarik perhatian saya untuk menghasilkan buku psikologi pendidikan.



Apabila terdapat individu yang menyatakan suka mengajar dan mendidik, membina bangsa manusia dan peluang mengajar dan belajar sepanjang hayat, maka tidak dapat tidak, individu begini memang merasa senang dengan kehadiran murid tanpa mengira sama ada murid itu masih muda atau tua, miskin atau kaya, lelaki atau perempuan, berlainan budaya, agama dan bangsa, nakal atau terlalu pendiam, lancar bertutur atau tergagap-gagap, cerdas atau lemah. Terlalu banyak kemungkinan yang mewarnai latar belakang murid. Penerimaan tanpa syarat merupakan elemen utama untuk menjadi seorang guru yang berjaya, dihormati, dikenang dan disayangi. Guru begini sedar bahawa setiap murid telah dikurniakan bakat, potensi serta kualiti peribadi oleh Yang Maha Pencipta untuk, pada suatu hari nanti, menjadi penyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat, sama ada sebagai pemimpin, pakar atau sebagai penyokong kepada kejayaan orang lain. Peranan utama seorang guru ialah menyedarkan murid tentang segala peluang perkembangan diri yang terdapat dalam persekitaran mereka dengan mengambil kira aspek integriti dan akhlak mulia. 

Seorang guru akan dapat menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Guru tidak mengajar seorang murid sepanjang kariernya tetapi cukup lama untuk membolehkannya menyampaikan mesej-mesej penting bahawa terlalu banyak perkara yang perlu murid pelajari dalam hidup ini, lebih banyak daripada isi kandungan sesebuah buku mata pelajaran atau ensaiklopedia. Apa juga yang diajarkan oleh seorang guru, akan mencetuskan rasa ingin tahu, rasa tertanya-tanya serta keseronokan setelah dapat menguasai pelajaran. Belajar merupakan satu perjalanan tanpa noktah, walau pun kadangkala dilihat sebagai pembelajaran jangka pendek. Seorang guru bukan sekadar berpeluang mengajarkan ilmu dan kemahiran yang berharga tetapi lebih jauh iaitu ia dapat menunjukkan kepada murid makna sesuatu ilmu dan kemahiran dalam kehidupan yang dihadapi oleh murid.

............................. missing
Mengapa masih ada guru yang terus setia sebagai seorang guru hingga ke hari pencennya? Mengapa pula ada guru yang beralih ke profesyen lain setelah hanya beberapa tahun berkhidmat? Mengapa ada guru yang terus cemerlang sepanjang kariernya? Mengapa ada guru yang masih mengajar biar pun telah berpencen?

Apabila seorang guru mengajar, ia akan memberikan satu rasa kepuasan kepada dirinya sekiranya ia berupaya untuk merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta menyampaikan idea dan kemahiran secara berkesan. Cabaran yang dihadapi semasa merancang dan melaksanakan pengajaran, merupakan suatu yang istimewa untuk seorang guru kerana di situlah ia dapat menunjukkan keupayaannya untuk membuat pelbagai pertimbangan tentang pelbagai elemen pendidikan semasa merancang dan mempraktikkan seni mengajar dalam kelas. Keberkekasanan pembelajaran murid sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan guru semasa merancang pengajaran dan pembelajaran walaupun mereka sedikit pun tidak menyedarinya. Murid mahukan guru yang dapat memberikan penerangan dan penjelasan yang bermakna, mempersembahkan bahan pembelajaran mengikut turutannya pada kadar yang boleh diikuti, serta menunjukkan perkaitan dan hubungan antara pelajaran baru dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka.



.......................................... missing
Kehidupan yang dinamik dan kompleks dalam sebuah bilik darjah akan memberikan rasa kepuasan pada seorang guru. Kadang kala, berlaku sesuatu perkara baru dan sangat menarik, apabila murid mendapat celik akal yang tidak guru jangkakan atau mungkin juga berlaku perkara yang cukup menjengkelkan guru apabila segala yang dirancang, tidak menjadi.  Guru menjangkakan bahawa ia tahu mengapa sesetengah murid bertingkah laku dengan tingkah laku tertentu pada kali pertama melihatnya dan mula bertindak balas walhal setelah melakukan refleksi, jangkaan guru itu mungkin salah. Kerja-kerja seorang guru tidak bersifat serupa dan sama sepanjang masa dan hal ini disedari setelah beberapa kali mengajar tajuk yang sama. Sebaliknya kerja guru sentiasa terus berkembang dalam pelbagai arah yang baru.



Dalam apa juga kerjaya, pasti ada cabarannya. Seorang guru mungkin akan menemui titik-titik negatif semasa mengajar. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, guru mungkin mendapati muridnya tidak bermotivasi untuk belajar, tidak memahami sepenuhnya apa yang diajar, menimbulkan masalah salah laku disruptif dan sebagainya. Kadang kala guru sendiri yang menjadi penghalang perkembangan murid tanpa ia menyedarinya, mungkin melalui pemberian maklum balas yang lemah dan tidak berkesan. Ada ketikanya perkara yang tidak baik berlaku pada guru yang baik (Kushner, 1983) apabila terjadi perkara yang tidak dijangkakan. Hal begini tidak selalu terjadi dan lazimnya ciri guru yang baik itu sendiri mampu untuk menutup kelemahan yang sedikit. Penulis sekadar menjelaskan bahawa dalam apa juga kerjaya, tidak semuanya dapat dipandang indah. Kebijaksanaan dalam menggunakan strategi merancang dan mengajar di samping perkembangan ilmu dan kemahiran profesional, membolehkan guru mampu menjadikan kerjayanya menarik dan menghiburkan.

.................................. missing
Dalam disiplin psikologi pendidikan, banyak diperkatakan tentang elemen-elemen yang dapat membantu guru menjadi guru berkesan seperti yang dikehendaki oleh murid dan ahli masyarakat. Phillip Van Hooser (1998) mendapati bahawa ada tiga unsur penting dalam menentukan kejayaan seseorang. Tiga unsur ini  berkait  rapat antara satu sama lain iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran serta sikap dan ketiga-tiga unsur ini dikenali sebagai "Triangle of Success".



Ilmu Pengetahuan: Phillip Van Hooser menyatakan bahawa pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil dan diploma, ia juga bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan seseorang itu berada di tempat kerja. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman (understanding). Dalam bilik darjah, kefahaman guru terhadap apa yang diperlukan dan dijangkakan oleh murid dan pelajar merupakan pengetahuan kerja yang praktikal.



Kemahiran: Pengetahuan dan kemahiran adalah sama penting. Kedua-duanya sangat diperlukan bagi pembangunan kepemimpinan peribadi guru. Ringkasnya, kemahiran sama ertinya dengan aplikasi (application). Kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah tugasan (tasks) merupakan satu kelebihan seorang guru yang tidak dapat dipertikaikan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian profesionalisme (pedagogikal), ketegaran (decisiveness) dan kesabaran serta kemahiran mendengar.



Sikap: Sikap adalah kunci kepada segalanya. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran yang tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar lagi hebat, tetapi jika tanpa kehendak atau motif yang mendorong dan menggerakkan tingkah-laku dan perbuatan, maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Terdapat juga individu-indidvidu yang kurang pengetahuan dan kemahiran tetapi mereka memiliki sikap, kehendak dan dorongan yang cukup kuat dan lebih berupaya untuk mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dengan jayanya.

................................. missing

Nota: Bahan yang lengkap akan dimuat naik sedikit masa lagi. Harap dapat bersabar.