Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 23 March 2017

Memantau Pembelajaran Pelajar



Beberapa kajian pendidikan yang telah dilakukan menunjukkan bahawa pemantauan pembelajaran para pelajar merupakan komponen yang perlu untuk memastikan kualiti pendidikan yang tinggi. Pemantauan kemajuan pelajar yang dilakukan secara berhati-hati dan teliti, merupakan faktor utama yang membezakan antara guru dan sekolah cemerlang denagn guru dan sekolah biasa atau tidak berdaya maju. Malah sesetengah pakar pendidikan melihat elemen pemantauan ini sebagai penjangka paling baik untuk melihat kecemerlangan pencapaian pelajar.

Kamus American Heritage menjelaskan pemantauan pembelajaran sebagai melakukan semakan secara sistematik dengan tujuan untuk mengumpulkan beberapa kategori data yang telah dikenal pasti. Ini bermaksud pemantauan mempunyai kaitan yang rapat dengan fungsi menyimpan data, membuat laporan serta membuat keputusan. Penerangan ini masih agak kabur dan boleh mengelirukan. Oleh itu, dalam penulisan ini, saya ingin melihat pemantauan pembelajaran sebagai aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memantau pembelajaran para pelajar dengan tujuan untuk membuat keputusan tentang pengajaran serta memberikan maklum balas ke atas kemajuan pelajar. 

Untuk memudahkan pemahaman, saya memilih untuk mendefinisikan pemantauan pembelajaran sebagai aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk mengesan kemajuan pembelajaran pelajar dengan tujuan untuk membuat keputusan tentang amalan pengajaran guru dan memberikan maklum balas yang dapat meningkatkan kualiti pembelajaran. Apabila para pendidik bercakap tentang pengawasan dan pemantauan bilik darjah, mereka akan merujuk kepada tingkah laku berikut:

  • Mengemukakan soalan untuk menyemak kefahaman tentang isi pelajaran yang disampaikan.
  • Berjalan dalam bilik darjah semasa pelajar melakukan aktiviti pembelajaran sambil membimbing pelajar yang bermasalah pembelajaran secara perseorangan (one to one contact)
  • Memberi tugasan, mengumpul dan menyemak latihan dan kerja-kerja rumah yang diberikan, memberikan skor dan maklum balas yang berkesan.
  •  Mentadbir dan menyemak kertas ujian  serta merekodkan keputusan.
  • Menyemak semula data pencapaian pelajar dan menggunakan data tersebut untuk membuat refleksi dan penambahbaikan amalan pengajaran.

Artikel ini ditulis dengan menumpukan kepada bagaimana pemantauan ke atas pembelajaran pelajar dilakukan berdasarkan kepada rumusan daripada beberapa kajian. Istilah penyiasatan pembelajaran merujuk kepada beberapa cara yang boleh digunakan oleh guru untuk mendapatkan respons jawapan kepada isi pelajaran bagi menentukan tahap pemahaman pelajar terhadap apa yang telah guru ajarkan. Penyoalan, kuiz atau apa saja cara yang digunakan untuk mengesan tahap pembelajaran boleh digunakan.  

Dapatan daripada banyak kajian menunjukkan  penyoalan dan siasatan pembelajaran yang dilakukan oleh guru, dapat menghasilkan pelbagai faedah terutamanya apabila teknik-teknik berikut digunakan:

  • Memastikan soalan dikemukakan berdasarkan kepada tahap kesukaran yang sesuai dan membolehkan kebanyakan pelajar dapat memberikan jawapan yang betul seperti yang sepatutnya.
  • Memberi perhatian kepada siapa yang memberikan jawapan apabila sesi perbincangan atau soal jawab dilaksanakan dan meminta pelajar lain memberikan respons (terutama mereka yang tidak bersedia untuk berkongsi jawapan).
  •  Meminta pelajar memberikan komen atau menghuraikan jawapan yang telah diberikan oleh rakan mereka.
  • Menggunakan maklum balas tahap kefahaman untuk meningkatkan kadar pengajaran apabila diperlukan.

Kajian juga menunjukkan bahawa pemantauan ke atas aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah membolehkan pelajar mencapai tahap yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Pemantauan aktiviti pembelajaran melibatkan pergerakan guru ke seluruh bilik darjah, menyedari kekuatan dan kelemahan pelajar semasa mereka menjalani aktiviti pembelajaran serta membimbing pelajar secara individu apabila keadaan memerlukan. Lazimnya, guru yang berkesan mempunyai prosedur yang sistematik untuk menyelia dan menggalakkan pelajar semasa mereka bekerja serta memulakan interaksi dengan pelajar yang memerlukan bantuan (bukan sekadar menunggu sehingga pelajar meminta bantuan). Mereka juga berinteraksi secara lebih bermakna dengan pelajar semasa memantau aktiviti pembelajaran, kekal dengan orientasi tugas serta bersama-sama menyelesaikan masalah pelajar, memberi lebih masa dan perhatian kepada pelajar yang dipercayai memerlukan bantuan tambahan serta mementingkan ketekalan dan berhati-hati ketika menyemak tugasan pelajar (memastikan pelajar menghantar tugasan yang berkualiti).  

Bagi kebanyakan guru, kerja rumah yang diberikan sebagai tugasan tambahan merupakan sesuatu yang dapat membantu pelajar menguasai pelajaran dan pembelajaran. Kerja rumah didapati mempunyai kesan yang signifikan dan positif ke atas pencapaian sekiranya kerja rumah tersebut dipantau oleh guru. Hasil yang bermanfaat akan diperoleh sekiranya kerja rumah:
  • Berkait rapat dengan isi pelajaran yang baru dipelajari dalam bilik darjah
  • Diberikan dengan tujuan latihan pemantapan terhadap bahan atau isi pelajaran yang baru
  • Sesuai dengan tahap kebolehan dan keupayaan pelajar
  • Benar-benar difahami oleh pelajar dan ibu bapa mereka
  • Dikawal selia oleh ibu bapa iaitu kesedaran ibu bapa terhadap apa yang perlu dilakukan untuk mendorong kerja rumah dilakukan dengan baik
  • Tidak menangguhkan semakan dan dikembalikan kepada pelajar dengan kadar segera
  •  Dinilai dengan skor atau gred serta diberikan maklum balas yang bermakna dan berkesan


Ujian kelas (penilaian formatif) yang diberikan turut berperanan sebagai alat memantau pembelajaran pelajar. Sebaik-baik ujian adalah ujian yang item-itemnya dibina berdasarkan kepada standard nasional. Terdapat banyak kertas-kertas ujian yang boleh dibeli di pasaran tetapi tidak semua item-itemnya dibina dengan baik. Oleh itu, sebarang ujian yang diberikan kepada pelajar perlu dirancang, dibina berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) jika berkaitan  dan dapat menunjukkan hubungan yang positif ke atas keputusan ujian. Kesan yang baik akan dapat dilihat apabila ujian ditadbirkan secara agak kerap serta menjadi sebahagian daripada pendekatan pengajaran (iaitu selari dengan bahan yang diajar).

Kertas ujian perlu disemak, diberikan skor atau gred dan dikembalikan kepada pelajar agar mereka boleh membuat pembetulan serta penambahbaikan pemahaman. Kajian banyak menunjukkan bahawa pelajar yang diberikan ujian secara kerap dan diberikan maklum balas bermakna, dapat membina sikap yang lebih positif  ke atas ujian.  

Perlu diingat bahawa penilaian formatif bukan hanya dilaksanakan dalam bentuk ujian (lisan atau pensel dan kertas). Terdapat banyak cara melaksanakan penilaian formatif  untuk memungkinkan guru dapat mengumpulkan data pencapaian (akan dikongsikan pada waktu yang lain).

Guru-guru efektif melihat apa yang berlaku dalam proses pembelajaran serta mengesan faktor-faktor yang mempengaruh. Mereka akan mengumpulkan data sebagai bukti penguasaan konsep serta isi kandungan. Mereka kenal siapa pelajar mereka. Tiada penilai lain yang mempunyai peluang untuk benar-benar dapat melihat pelajar dari masa ke masa. Namun begitu, guru perlu berhati-hati dan bertanya kepada diri sendiri "Apa sebenarnya yang saya lihat? Adakah saya telah membuat kesimpulan yang betul dan tepat berdasarkan apa yang saya lihat?" (Stiggins, 2001). 

Segala maklumat (data) yang terkumpul perlu digunakan untuk merancang pengajaran pengukuhan, pemulihan atau pengayaan. Ringkasnya, guru perlu membuat perancangan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran.



 

No comments:

Post a Comment