Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday 24 July 2011

Mengapa ikut mereka?

Agak kerap juga soalan ini ditanyakan kepada saya oleh guru-guru Pendidikan Islam apabila saya memberi kuliah atau kursus pedagogi tentang pengajaran dan pembelajaran koperatif dan kolaboratif. Ia merupakan soalan yang paling baik untuk membolehkan kita sedar tentang kekurangan-kekurangan kita sendiri. Ramai tokoh-tokoh Islam yang dikagumi dengan ilmu pengetahuan mereka seperti Ibnu Sina, Al Farabi, Khawarizmi, Ibn Khaldun dan ramai lagi yang menjadi ikutan orang lain. Kita biasa dengan kaedah pendidikan yang dikemukakan oleh Al Ghazali, Asy Syafie dan ramai lagi. Malah kita bercakap tentang kaedah pendidikan Rasulullah s.a.w. Kita tahu bahawa pendidikan Islam pada peringkat awal dijalankan dalam kumpulan kecil khususnya di rumah Arqam. Bila kita buka kitab-kitab para ulamak dan ahli sejarah Islam, kita tidak terjumpa istilah cooperative dan collaborative. Sudah pasti tidak jumpa kerana kedua-duanya adalah istilah dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu, konsep pembelajaran cooperative dan collaborative ini sebenarnya bukanlah suatu kaedah yang asing dalam Islam.

Mungkin ada orang menulis mengenainya dan mungkin juga tidak kerana kita tidak berada dalam zaman Rasulullah dan para sahabat mahupun ketika Islam berada di kemuncaknya. Tulisan-tulisan hari ini berkaitan pedagogi banyak merujuk kepada nama-nama seperti JB Watson, BF Skinner, Jean Piaget, Kohlberg, Vygotsky, Bruner dan banyak lagi. Nama tokoh-tokoh Islam hanya dapat dilihat dalam tulisan berkaitan Pendidikan Islam. Itu pun, istilah-istilah Arab digunakan tanpa banyak dikaitkan dengan pandangan tokoh-tokoh seperti Bloom, Krathwohl, Dunn dan Dunn, Piaget, dan lain-lain.  

Agaknyalah, semasa pendidikan Islam berlaku dalam kumpulan kecil di rumah Al Arqam ibnu Al Arqam dulu, mungkinkah kaedah atau teknik sumbangsaran, bertukar fikiran, demonstrasi, menegur dan menilai rakan, penjelasan, penyoalan, inkuiri, menyelesai masalah, kuliah, lawatan dan macam-macam lagi tu tidak dijalankan? Cuba renungkan. Cuma kesemua itu tidak diperincikan prosedurnya dan diberikan nama-nama khusus seperti One Stray Three Stay, Round Robin, Round Table, Peer Review, Group Processing, Jig-saw, Think-Pair-Share, Number-Head-Together dan sebagainya seperti mana dikemukakan oleh Kagan dalam pendekatan pembelajaran kooperatifnya.

Contoh berlaku kolaboratif melibatkan Social Constructivism: Zone of Proximal Development dan More Knowledgeable Others (Teori Lev Vygotsky) ialah apabila para sahabat berjumpa dan bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w tentang perkara-perkara yang tidak mereka kuasai atau tidak jelas atau kurang memahami. Siapa peduli untuk memberikan istilah-istilah khusus pada waktu itu? Bagi para sahabat, makna sesuatu konsep (meaning) dalam kehidupan mereka adalah lebih penting dari sekadar nama-nama khusus. Pada hari ini nama-nama khusus perlu diberikan kepada teknik dan kaedah-kaedah tersebut setelah perincian prosedurnya dibuat agar lebih mudah difahami dan diikuti. Kaedah lawatan? Oh tentu sekali berlaku apabila Rasulullah s.a.w menyarankan agar belajar sampai ke tempat lain (Cina) walaupun hadis yang menyokong kenyataan ini agak lemah dan dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

Nah, berbalik kepada soalan “Mengapa ikut mereka?” agaknya bolehlah direnung kembali. Soalan seterusnya, “Salahkah ikut mereka dalam hal-hal seperti itu?” Kita selalu cakap bahawa Rasulullah s.a.w merupakan teladan paling baik tetapi kita tidak mahu melihat secara terperinci kaedah Rasulullah s.a.w tersebut dan memberikan nama-nama khusus yang sesuai dengan selera sekarang. Rasanya, apa yang lebih penting ialah memahami konsep dan maknanya dalam kehidupan kita dan pastikan setiap mata pelajaran yang di ajar (bukan hanya mata pelajaran Pendidikan Islam:- Bahasa Arab, Tauhid, Fiqh, Taswwuf, Al Quran dsb) dikaitkan dengan Pencipta dan Pengatur Agung (Allah). Kini, jarang sekali penerapan nilai sejagat, penggabungjalinan mata pelajaran dengan konsep ketuhanan dilakukan. Benar memang ada atas kertas tetapi tidak dalam buku teks sains, geografi, teknikal, masakan, kesihatan dan jasmani dan sebagainya. Bagi guru yang sekadar merujuk kepada buku teks……. (kata Nabil, Lu Fikirlah Sendiri!!!!). Rupanya Nabil tu bukan orang barat tapi dari Negeri Sembilan. Nama ni tak popular untuk diquote berkaitan pendidikan dan kalau quote juga, macam lekeh betul. Mengapa? Sebab kaedah kecindan Si Nabil tu banyak diselitkan dengan hal-hal yang dinilai negatif. Tapi kalau quote nama-nama serperti Theodore, Washington, Roosevelt…. hal negatif mereka pasti diketepikan.

Di sini, kalau kita yang bukan pemimpin ni membuat sesuatu kenyataan tanpa quote nama-nama popular, orang akan tanya banyak soalan yang tidak menunjukkan keyakinan mereka. Tetapi apabila kita quote mana-mana nama (walaupun tidak pernah didengar) asalkan bunyinya macam quote, maka nilai kepercayaan itu agak tinggi. Bagi orang berlatar belakangkan Islam, nama-nama tokoh Islam atau nama mana-mana orang Islam, kalau tak disebut, macam tak sah. Apa lagi kalau nas Al Quran dan hadis tidak dikemukakan.
Wahai guru Pendidikan Islam, marilah kita mula membuat refleksi ke atas amalan kita ini. Bukan sekadar menilai amalan baik kita dan membandingkan dengan amalan kurang baik orang lain (boleh sebabkan riak, ujub, sum’a) tetapi penambahbaikan. Lakukanlah Kajian Tindakan ke atas amalan harian. Semoga bermanfaat.      

No comments:

Post a Comment