Pengajaran secara terus / langsung merupakan pendekatan
berpusatkan guru. Strategi pengajaran ini sangat berkesan apabila matlamat guru
adalah untuk:
·
Memberikan atau menyampaikan maklumat· Mengajarkan prosedur (SOP)
· Membina kemahiran langkah demi langkah
Strategi pengajaran secara terus / langsung melibatkan kaedah-kaedah
berikut:
·
Demonstrasi · Penyoalan didaktik
· Latih tubi
· Pengajaran eksplisit
· Kuliah masteri
· Panduan dan bimbingan bacaan, mendengar dan pemerhatian
· Gambaran keseluruhan berstruktur
Kebaikan
Sekiranya digunakan dengan bijak, strategi pengajaran secara
terus / langsung membolehkan guru menyampaikan ilmu pengetahuan atau maklumat
yang kompleks mengikut tahap keupayaan murid. Melalui strategi ini juga guru
akan berupaya untuk menyampaikan maklumat yang tidak sedia ada (not readily
available) untuk membolehkan murid mengaksesnya walau dengan apa cara pun. Ia
juga merupakan strategi pengajaran yang baik untuk membolehkan guru meningkatkan
keghairahan murid untuk mata pelajaran berkenaan serta meningkatkan minat
murid. Guru boleh menggunakan strategi pengajaran secara terus / langsung untuk
membolehkan murid menunpukan perhatian kepada isi kandungan pelajaran yang
relevan agar dapat membantu murid mengaitkan maklumat baru dengan maklumat
sedia ada atau dengan pengalaman lalu.
Kelemahan
Salah satu kelemahan utama strategi pengajaran secara
langsung ialah penyalahgunaan strategi tersebut: ramai guru gagal untuk
menyedari sepenuhnya tentang batasan strategi pengajaran secara terus atau
secara langsung ini. Guru perlu akui bahawa keupayaan pengajaran secara terus /
langsung sebenarnya terbatas untuk membolehkan murid mengembangkan sepenuhnya keupayaan mereka untuk
berfikir secara kritikal serta membataskan keupayaan murid untuk belajar atau
bekerja dalam kumpulan. Oleh itu, pengajaran secara terus / langsung hanya
boleh dilihat dan diterima sebagai salah satu strategi yang boleh digunakan
oleh guru ketika mengajar.
Strategi
Pengajaran Tidak Langsung (Indirect Instruction / Indirect teaching)
Bertentangan dengan strategi pengajaran secara langsung,
pengajaran tidak langsung lebih bersifat tumpuan murid, walaupun kedua-dua
strategi pengajaran tersebut (langsung dan tidak langsung) merupakan dua
strategi yang saling melengkapi antara satu dengan lain.
Strategi pengajaran tidak langsung memerlukan penglibatan
yang tinggi dari kalangan murid semasa membuat pemerhatian, penyiasatan,
menghasilkan inferens daripada data atau membentuk hipotesis. Strategi
pengajaran tidak langsung mengambil kira minat dan rasa ingin tahu murid yang
akan menggalakkan mereka untuk menjana alternative atau untuk menyelesaikan
masalah. Peranan guru beralih daripada pengajar / pengarah kepada fasilitator,
pemberi sokongan dan menjadi sumber rujukan. Guru akan menyusun serta mengatur persekitaran
pembelajaran dengan menyediakan peluang untuk penglibatan murid, dan apabila
dirasakan sesuai, akan memberikan maklum balas kepada murid semasa mereka
melakukan inkuiri (Martin, 1983).
Strategi pengajaran tidak langsung merupakan strategi
berpusatkan pembelajaran yang akan menggalakkan penglibatan murid dalam proses
pembelajaran. Dengan demikian strategi pengajaran tidak mlangsung ini dapat
menggalakkan pemahaman pembelajaran yang sebenar-benarnya. Kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang terlibat adalah seperti berikut:
·
Kajian kes· Prosedur cloze
· Pencapaian konsep
· Pembentukan konsep
· Pemetaan konsep
· Inkuiri
· Penyelesaian masalah
· Mencari makna
· Pembelajaran reflektif
Kebaikan
Strategi pengajaran tidak langsung membolehkan murid
terlibat secara aktif dalam pelajaran mereka. Proses dan aktiviti pembelajaran
dilaksanakan oleh murid dan bukan dipaksakan ke atas murid. Guru berperanan
sebagai pemudahcara atau fasilitator. Strategi pengajaran tidak langsung dapat
menggalakkan kreativiti dan membantu murid membina kemahiran menyelesaikan
masalah. Pembelajarn yang berasaskan sumber ini membolehkan berlaku pengalaman
pembelajaran secara lebih mendalam dan luas.
Kelemahan
Strategi pengajaran secara tidak langsung lebih bersifat
tumpuan pembhelajaran. Oleh yang demikian, tempoh untuk berlaku pembelajaran
yang optima akan mengambil masa yang panjang jika dibandingkan dengan
pengajaran secara langsung. Sebagai fasilitator, guru perlu berupaya untuk
mengawal pembelajaran murid-muridnya, dan ini mungkin boleh menyebabkan rasa
ketidakselesaan di kalangan murid. Selain itu, lebih banyak cabaran akan
dihadapi semasa pelaksaannya untuk membolehkan murid mencapai objektif
pembelajaran yang telah ditetapkan.
Strategi Pengajaran Pembelajaran
Melalui Pengalaman (Experiential Learning)
Pengajaran pembelajaran melalui pengalaman merupakan pengajaran pembelajaran
konstruktivis di mana murid menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif.
Strategi pengajaran pembelajaran melalui pengalaman boleh melibatkan salah satu
atau beberapa kaedah seperti berikut:
·
Ujikaji (eksperimen)· Pemerhatian lapang
· Lawatan
· Gambaran berfokus
· Permainan
· Pembinaan model
· Main peranan
· Simulasi
· Tinjauan
Kebaikan
Murid lebih bersedia untuk memahami apa yang mereka pelajari. Oleh itu
mereka akan dapat mengekalkan ingatan tentang pelajaran dalam jangka waktu yang
lebih lama. Pengalaman secara hands-on dan minds-on akan dapat memotivasikan
murid untuk terus belajar. Strategi ini amat sesuai untuk topik-topik yang
melibatkan pembelajaran amali seperti ibadah khusus (besuci, solat dan
sebagainya) serta muamalat.
Kelemahan
Strategi Pembelajaran Melalui Pengalaman
merupakan satu strategi yang memakan masa dan melibatkan sumber
pembelajaran yang agak pelbagai dan banyak. Seringkali melibatkan usaha yang
lebih pada pihak guru seperti membuat persediaan untuk simulasi, ujikaji,
lawatan dan sebagainya. Walau agaimanapun, impak pembelajaran melalui
pengalaman ke atas pendidikan menyebabkan ia menjadi salah satu strategi yang
menjadi pilihan guru.
Strategi Pembelajaran Sendirian /
Individu (Independent /
Individual Study)
Strategi pembelajaran secara sendiri ini melibatkan murid akan merancang
pembelajarannya sendiri di bawah bimbingan guru mata pelajaran atau ibu bapa
(di rumah). Strategi ini lazim digunakan oleh murid ketika akan menduduki
peperiksaan pertengahan atau akhir semester dan ketika membuat persediaan untuk
menduduki peperiksaan awam. Biasanya hanya melibatkan kelas-kelas yang akan
menduduki peperiksaan penting seperti UPSR, PMR atau SPM dan hanya dilaksanakan
setelah sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Antara kaedah yang
digunakan dalam strategi ini adalah:
·
Soalan-soalan tugasan · Pengajaran berbantukan komputer
· Pelajaran koresponden
· Penulisan esei (menjawab soalan latihan)
· Kerja rumah
· Pakej aktiviti pembelajaran (modul pembelajaran)
· Kontrak pembelajaran
· Projek penyelidikan
Strategi
pembelajaran sendirian merupakan strategi pengajaran yang penting kerana ia
direkabentuk untuk menggalakkan mempunyai kemampuan diri serta memperolehi
kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.
Kebaikan
Murid yang
terlibat dalam penggunaan strategi ini lazimnya merupakan murid yang
bermotivasi tinggi disebabkan mereka mempunyai peluang untuk meneroka dengan
lebih mendalam tajuk-tajuk yang mereka minati. Murid akan mampu untuk
memperkukuhkan kekuatan yang ada tentang topic berkenaan di samping memperbaiki
kelemahan tertentu yang berkaitan. Strategi ini berguna di dalam kelas yang
terdapat perbezaan keupayaan, kemahiran dan penguasaan ilmu pengetahuan yang
sangat luas dan ketara (contohnya di dalam kelas inklusif yang terdiri daripada
murid berkebolehan tinggi, lembam, autistik dan ADHD- lihat bab 7: Pengurusan
Bilik Darjah Melibatkan Murid Berkeperluan Khas dalam buku Pengurusan Bilik
Darjah & Tingkahlaku tulisan Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, terbitan
Freemind Horizons).
Kelemahan
Untuk memastikan
strategi pembelajaran sendiri dapat dilaksanakan dengan haik dan berkesan,
murid perlu mempunyai kematangan dan kebolehan untuk bekerja di bawah
pengawasan dan penyeliaan guru. Strategi pembelajaran secara sendiri atau
individu akan lebih berkesan sekiranya guru dapat membuat penilaian secara
tepat tentang kebolehan murid-muridnya untuk melaksanakan tanggungjawab belajar
di samping berupaya untuk membantu dan mebimbing murid menstrukturkan tugas
serta projek sesuai dengan tahap kesukaran untuk setiap individu murid.
Strategi Pengajaran Interaktif (Interactive
Instruction)
Strategi pengajaran interaktif melibatkan kaedah-kaedah berikut:· Sumbangsaran
· Kitaran ilmu pengetahuan
· Kumpulan pembelajaran koperatif
· Perdebatan / perbahasan
· Diskusi / dialog
· Temubual
· Kumpulan makmal
· Panel dan forum
· Amalan kumpulan rakan sebaya (peer coaching)
· Penyelesaian masalah
· Main peranan
· Kumpulan tutorial
Kebaikan
Strategi ini memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi,
berkomunikasi, berkolaborasi dengan rakan sebaya, pakar serta guru (More
Knowledgeable Others) ndengan tujuan untuk menambahbaik kemahiran bersosial di
samping mengakses maklumat serta menstruktur respons yang efektif kepada
maklumat yang diperolehi. Interaksi yang berlaku lazimnya dapat memotivasikan
murid. Peluang untuk berinteraksi dengan orang lain akan dapat memperluaskan
pengalaman pendidikan mereka dan dapat membawa mereka menjangkau melewati
batasan bilik darjah tradisional, ilmu pengetahuan, kemahiran-kemahiran serta
guru-guru secara individu.
Kelemahan
Cabaran menggunakan strategi pengajaran interaktif ialah kejayaan serta
kaedah-kaedahnya bergantung kepada kepakaran guru ketika menstruktur dan
membina / membentuk kumpulan dinamik.
Selain daripada lima strategi pengajaran dan pembelaaran
di atas, terdapat beberapa strategi yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh
pendidikan seperti strategi pembelajaran berfikrah, strategi pembelajaran
kontekstual, strategi pembelajaran aktif dan sebagainya. Terdapat juga tokoh
pendidikan yang mengemukakan strategi berdasarkan kepada orientasi pengajaran
dan pembelajaran seperti strategi berpusatkan guru, strategi berpusatkan murid,
strategi berpusatkan bahan dan strategi berpusatkan tugas. Jika diperhatikan
secara terperinci, strategi-strategi ini telah termasuk ke dalam salah satu
daripada lima strategi yang dinyatakan di atas. Penggunaan beberapa istilah
yang bertindanan antara satu dengan lain, kadangkala boleh mengelirukan. Apa
yang penting ialah keupayaan guru untuk merancang dan melaksanakan apa juga
strategi (termasuk yang dibina sendiri) secara berkesan dan berupaya untuk
mengoptimumkan pembelajaran.
Strategi berpusatkan guru
Ditulis dengan menggunakan perkataan lain, strategi berpusatkan guru adalah
strategi pengajran langsung (direct instruction) seperti yang telah saya
kemukakan sebelum ini / di atas. Berdasarkan strategi ini, guru memainkan
peranan aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala murid pula
berperanan untuk menerima pengajaran secara pasif. Strategi tradisional ini
meletakkan guru sebagai pakar dalam mata pelajaran yang diajarnya dan menjadi
sumber utama ilmu pengetahuan. Oleh itu, tujuan pembelajaran adalah untuk
mendapatkan maklumat yang telah ditetapkan kepada murid. Murid sekadar
mengulangi serta mencurahkan kembali apa yang telah diajarkan kepada mereka.
Kaedah yang digunakan di bawah strategi ini sama dengan kaedah strategi
pengajaran langsung.
Berdasarkan strategi berpusatkan guru:
- Tujuan murid belajar adalah untuk mencapai objektif kurikulum untuk membolehkan mereka berfikir secara kritikal
- Murid menyempurnakan aktiviti yang telah ditentukan oleh guru untuk mencapai kejayaan akademik
- Murid bertindak balas kepada jangkaan-jangkaan positif yang ditetapkan oleh guru dalam proses ansur maju melalui aktiviti yang telah ditetapkan.
- Murid diberikan motivasi ekstrinsik seperti ganjaran atau gred penilaian yang akan memotivasikan mereka untuk memahami maklumat serta menunjukkan kefahaman tentang konsep yang telah diajarkan.
- Hasil kerja murid dinilai oleh guru.
Untuk melaksanakan strategi berpusatkan
guru, murid terlebih dahulu diajarkan perkara-perkara asas sebelum diajarkan
konsep yang baru. Contohnya, untuk
membolehkan murid memahami konsep wudhu’ mereka perlu terlebih dahulu diajarkan
tentang taharah (bersuci) serta jenis-jenis air yang digunakan untuk
membolehkan bersuci.
Strategi berpusatkan murid
Sekiranya strategi berpusatkan guru adalah strategi pengajaran secara
langsung, maka strategi berpusatkan murid pula adalah strategi pengajaran tidak
langsung. Tidak seperti strategi berpusatkan guru, untuk strategi berpusatkan
murid, peranan guru beralih daripada pengajar kepada pemudahcara atau
fasilitator. Murid terlibat aktif (berfikir, mencari maklumat, merumus,
membentang, menilai, berkolaborasi serta membuat refleksi pembelajaran) dalam
proses pembelajaran. Murid akan membina kefahaman dengan menggunakan sumber
yang telah disediakan sebagai perancah (scaffolding) secara hands-on dan
minds-on dan bekerja secara koperatif dan kolaboratif dengan rakan atau orang
lain. Penekanan sedemikian membuatkan murid dapat melaksanakan pembelajaran
terarah kendiri serta mengikut kadar kendiri.
Untuk melaksanakan strategi berpusatkan
murid, perhatian perlu diberikan kepada perkara-perkara berikut:
- Apa yang murid ingin tahu tentang sesuatu topik atau konsep
- Guru perlu mengambilkira tentang keperluan indivdu murid seperti keperluan inyelektual dan emosi.
- Keperluan sosial murid: kolaborasi, komunikasi, penerimaan rakan sebaya
Kaedah yang boleh digunakan di bawah strategi berpusatkan murid ini adalah
sama dengan kaedah yang digunakan dalam melaksanakan strategi pembelajaran
secara tidak langsung (indirect teaching / indirect instruction) di atas.
Aplikasi strategi berpusatkan murid tidak bermakna murid akan menentukan
apa yang mereka ingin pelajari atau lakukan. Seringkali strategi ini
diinterpretasikan dengan murid memilih tajuk, kaedah dan aktiviti mereka
sendiri. Strategi berpusatkan murid sepatut meletakkan murid sebagai tumpuan
pembelajaran (contohnya, aplikasi kaedah berasaskan inkuiri). Peranan guru
adalah sebagai fasilitator yang aktif untuk memudahcara pembelajaran yang akan
membawa kepada pengalaman yang bermakna kepada murid, bukan sebagai fasilitator
yang hanya duduk di meja guru dan menantikan murid mendatanginya.
Lea dan rakan-rakan (2003) telah membuat rumusan tentang strategi
pemusatan murid daripada beberapa sumber seperti berikut:
- Pembelajaran lebih bersifat aktif dan bukan pasif
- Penekanan kepada pembelajaran dan pemahaman yang lebih mendalam
- Meningkatkan tangungjawab murid
- Meningkatkan autonomi murid
- Saling bergantung antara guru dan murid
- Saling menghormati antara guru dan murid
- Pendekatan pengajaran dan pembelajaran refleksif untuk guru dan murid
Strategi berpusatkan bahan
Strategi berpusatkan bahan menekankan penggunaan bahan untuk membantu
proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Guru terlebih dahulu
perlu memastikan bahan yang akan digunakan di dalam kelas merupakan bahan yang
relevan, kemas kini dan boleh berfungsi. Penggunaan bahan dapat membantu
memudahkan pemahaman murid sekiranya digunakan secara betul dan berkesan.
Pengajaran boleh dilakasanakan dalam kumpulan pembelajaran koperatif, sekiranya
bilangan bahan tidak mencukupi, dan murid akan menggunakan bahan untuk meneroka
maklumat secara inkuiri.
Strategi berpusatkan bahan merupakan strategi yang paling kurang digunakan
oleh guru disebabkan isu bahan-bahan yang lazimnya kurang mencukupi dan tidak pelbagai.
Peralatan teknologi lazimnya adalah sangat terbatas bilangannya untuk
membolehkan guru dan murid menggunakannya secara berkesan. Meskipun telah masuk
era abad ke 21 di mana teknologi ICT telah mula diperkenalkan di sekolah, dan
bahan-bahan pelajaran boleh diakses melalui Internet dan jalur lebar, namun
bagi kebanyakan sekolah, bilangan komputer dan akses Internet menjadi masalah.
Strategi berpusatkan tugas
Menurut Merill (2002), pembelajaran akan meningkat apabila murid terlibat
dalam melaksanakan tugas atau aktiviti pembelajaran termasuk demonstrasi atau
aplikasi kemahiran-kemahiran belajar tertentu. Strategi berpusatkan tugas ini
akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya murid terlibat sepenuhnya dengan
tugas yang telah diberikan kepada mereka. Sesebuah tugas yang kompleks
memerlukan murid mengaplikasikan pelbagai maklumat dan kemahiran (gagne dan
Merill, 1990). Apabila guru memilih strategi berpusatkan tugas, guru perlu memastikan
bahawa tugas itu diberi mengikut tahap iaitu bermula dengan aplikasi kemahiran serta
maklumat asas. Setelah murid memperolehi kemahairan yang mencukupi barulah
tugasan yang lebih kompleks diberikan.
Merill telah mengemukakan prinsip pertama pengajaran yang merupakan prinsip-prinsip yang saling berkaitan dan akan dapat meningkatkan pembelajaran murid iaitu prinsip berpusatkan tugas, pengaktifan, demonstrasi, aplikasi dan integrasi.
Berdasarkan prinsip pertama pengajaran, Merill telah mengemukakan strategi pengajaran berasaskan tugas seperti dalam gambar rajah di bawah.
Kaedah untuk PAI dan jQaf
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dan jQaf, terdapat kaedah-kaedah tertentu serta khusus untuk aspek atau topik tertentu sahaja seperti yang telah dikemukakan oleh para ulamak seperti Ibnu Khaldun, Al Ghazali, As’ad Hummam, Dachlan Salim Zarkasyi dan sebagainya. Sila lihat artikel Beberapa Kaedah Pengajaran Ibadah, Kaedah Pengajaran Aqidah, Kaedah Pengajaran Sirah, Kaedah PengajaranAl Quran serta perincian beberapa kaedah yang boleh didapati di dalam blog ini. Lihat juga jenis-jenis strategi di http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/11/jenis-jenis-strategi-pembelajaran.html
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteMaaf, saya terdelete comment secara tidak sengaja ketika mahu membacanya. Kalau boleh diketahui apa komen tersebut untuk saya buat penambahbaikan.
Deleteas salam. Saya ingin mendapatkan buku puan. bagaimana
ReplyDeleteThanks a lot for that information
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAmrullah Amrullah20 April 2016 at 23:34
ReplyDeleteThanks a lot for that information
Hope you'll benefit from the materials posted.
To unknown.
ReplyDeleteSekarang saya tidak lagi deal dengan publisher sejak publisher mengenakan syarat baru iaitu buku hanya boleh dijual oleh kedai buku. Sila semak dengan publisher kedai-kedai yang menjualnya.