Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 18 August 2011

Kaedah Pengajaran Sirah

Bahan ini dipetik dan dibuat penambahbaikan daripada Modul 8 KPI susunan Shamsina Shamsudiin

Sirah Nabawiyyah bermaksud perjalanan kehidupan atau kisah hidup Rasulullah s.a.w sama ada peristiwa atau kisah itu berlaku sebelum atau sepanjang tempoh masa kerasulan. Sirah meliputi semua perkara, keadaan serta peristiwa yang telah berlaku. Memandangkan sirah meliputi aspek yang begitu luas, untuk memudahkan proses pembelajaran skopnya diperkecilkan dengan meliputi aspek ekonomi, politik, kemasyarakatan, agama dan intelek.

Sebenarnya sirah merupakan satu disiplin ilmu yang meliputi aspek-aspek kehidupan berikut:

1.      Falsafah: akal dan pemikiran
2.      Sastera: tulisan dan lisan
3.      Agama: ketuhanan dan kepercayaan
4.      Politik: pentadbiran, pemerintahan dan ideology
5.      Kebudayaan: cara bermasyarakat
6.      Ekonomi: pertanian, perdagangan dan perindustrian

Memandangkan sirah merupakan himpunan peristiwa yang telah berlalu dalam kehidupan Rasulullah s.a.w, maka kaedah pengajaran yang dicadangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sirah adalah bercerita, projek, lawatan dan main peranan. Tanpa menafikan keupayaan kaedah yang lain, empat kaedah yang dicadangkan akan dapat membantu murid menghayati dan merasakan kepentingan peristiwa-peristiwa dalam kehidupan Rasulullah s.a.w.

Kaedah Bercerita
Mendengar cerita merupakan antara perkara yang paling digemari oleh semua kanak-kanak. Kaedah bercerita akan menjadi sangat berkesan andainya guru dapat menguasai kemahiran-kemahiran sampingan yang dapat  menarik minat pendengar untuk menghayati cerita yang disampaikan. Antara kemahiran sampingan itu termasuklah menyanyi (nasyid dan qasidah), melakonkan watak, menukar nada serta intonasi suara. Bahan bantu seperti carta bergambar, gambar-gambar pegun (tidak melibatkan wajah-wajah para rasul, sahabat mahupun isteri-isteri Rasulullah s.a.w), slaid persembahan, klip video dan sebagainya.

Aplikasi kaedah ini memerlukan guru menjadi kreatif di samping telah membuat persediaan yang rapi tanpa membuat kesilapan fakta dan kecelaruan kronologi kisah (story board) yang disampaikan. Sebaiknya guru melibatkan penyertaan murid melalui komunikasi dua hala semasa cerita disampaikan tanpa melibatkan unsur-unsur yang boleh menghinakan Rasulullah, para isteri baginda serta para sahabat.

Ciri-ciri umum
1.      Tajuk cerita telah dibuat pilihan lebih awal dengan memastikan fakta yang akan disampaikan adalah betul dan tepat.
2.       Isi kandungan cerita perlu memasukkan nilai-nilai akhlaq yang mulia untuk dihayati dan pendidikan untuk dijadikan pengajaran.
3.      Pencerita perlu menggunakan kemahiran menyampaikan secara kreatif (intonasi suara, gaya, mimik muka) serta menggunakan pelbagai variasi rangsangan dan penyampaian.

Langkah-langkah umum
1.      Tentukan tajuk dan objektif penceritaan.
2.      Pastikan murid bersedia untuk mendengar.
3.      Sediakan tugasan untuk murid seperti mencatatkan nilai-nilai akhlaq dan pendidikan.
4.      Adakan perbincangan tentang nilai-nilai serta pengajaran yang dikemukakan berkaitan tajuk pelajaran.

Kaedah Projek
Kaedah ini melibatkan penyelidikan dan kajian terperinci tentang sesuatu tajuk untuk dilaksanakan oleh murid dalam bentuk tugasan projek sama ada secara individu atau kumpulan. Projek boleh dijalankan sama ada di dalam atau di luar bilik darjah malah boleh melibatkan kawasan luar sekolah seperti perpustakaan awam, aked dan sebagainya. Guru boleh menyediakan panduan (rubrik) untuk diikuti oleh murid melalui penyediaan aspek-aspek yang perlu diselidiki atau soalan-soalan yang perlu dicari jawapannya. Untuk mendapatkan jawapan atau maklumat, murid mungkin perlu melakukan penerokaan bahan, penyiasatan atau eksperimen yang dirancang. Sekiranya projek dilaksanakan dalam kumpulan, kerjasama semua ahli kumpulan adalah penting untuk menghasilkan projek yang baik. Oleh itu guru perlu memastikan keahlian kumpulan telah diatur untuk memudahkan kerjasama sesama ahli.

Ciri-ciri umum
1.      Garis panduan, presedur, rubrik penilaian, jadual pelaksanaan serta tarikh akhir menghantar tugasan perlu ditetapkan lebih awal.
2.      Guru perlu berperanan sebagai pendorong serta pembimbing yang berkesan.
3.       Dalam sesetengah topik, murid dibebaskan memilih tajuk yang tidak terkeluar daripada skop isi kandungan pelajaran.

Jenis-jenis Projek
1.      Berasaskan buku
a.      Bahan sumber utama adalah buku, majalah, manuskrip dan e-buku.
b.      Boleh dilaksanakan di dalam kawasan sekolah atau di luar.
2.      Kerja lapangan
a.      Membuat kajian tentang sesuatu tempat, bangunan bersejarah atau tokoh-tokoh.
b.      Maklumat diperolehi melalui temubual dengan masyarakat tempatan, arkib dan perpustakaan serta Internet.
3.      Lawatan berstruktur
a.      Lawatan atau lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang boleh diperolehi maklumat yang dicari seperti arkib, museum, mahkamah, masjid, perpustakaan dan sebagainya.
b.      Dirancang dan diatur dengan teliti oleh guru.
c.      Sepanjang lawatan murid perlu menyiapkan tugasan yang diberikan seperti melakar peta, mencatat maklumat, melukis gambar dan pelan.

Langkah-langkah
1.      Sediakan senarai tajuk yang sesuai.
2.      Tentukan tugasan sama ada secara individu atau kumpulan.
3.      Menerangkan prosedur penyelidikan serta rubrik penilaian dengan jelas.
4.      Memastikan murid menyediakan soalan-soalan sekiranya melibatkan temubual atau pemerhatian.

Kaedah Lawatan
Kaedah ini melibatkan aktiviti mengunjungi  atau lawatan sambil belajar di luar kelas biasa bagi semua kumpulan murid. Dengan ini murid akan mendapat pengertian yang jelas tentang perkara atau situasi yang dilawati, diperhatikan atau dialami. Guru perlu memastikan tajuk-tajuk yang dipilih untuk ajar menggunakan kaedah lawatan berada dalam lingkungan ciptaan Allah atau sirah yang mengandungi fakta yang jelas dan nyata.

Ciri-ciri umum
1.      Murid dapat mempelajari sesuatu yang tidak boleh dibawa ke dalam kelas melalui pemindahan objek nyata dan maujud.
2.      Menarik minat dan membolehkan murid menumpukan perhatian kepada situasi atau masalah yang memerlukan kajian.
3.      Mendapatkan gambaran sebenar tentang amalan dan tindakan operasi kerja secara relistik.
4.      Menghubungkan teori dengan praktikal.

Langkah-langkah
1.      Tentukan tempat lawatan yang sesuai dengan tajuk serta isi pelajaran yang ingin diajarkan.
2.      Tentukan tugasan secara individu atau kumpulan.
3.      Membuat penerangan aktiviti secara jelas dan tepat semasa sesi lawatan.
4.      Memastikan murid membuat laporan serta menghantar laporan dan tugasan selepas sesi lawatan.

Kaedah Main Peranan
Kaedah pengajaran ini dilaksanakan dengan cara memai nkan peranan watak-watak tertentu dengan tujuan memberi  gambaran sebenar watak tersebut.


Ciri-ciri Umum
1.      Menyediakan skrip dan peralatan yang sesuai dengan tajuk.
2.      Mengalami sendiri situasi pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan.
3.      Mengembangkan pelbagai potensi dan kemahiran, membina keyakinan diri.

Langkah-langkah
1.      Memilih watak yang sesuai dengan tajuk pelajaran
2.      Menyediakan peralatan dan tempat
3.      Penghayatan watak oleh pelajar
4.      Semasa aktiviti berjalan, pelajar lain memerhati dan mencatat.
5.      Selepas aktiviti adakan perbincangan serta  membuat rumusan daripada pemerhatian



3 comments: