Islam menuntut
penganutnya, khususnya mereka yang terlibat sebagai pendidik / pendakwah, agar
mengamalkan beberapa ciri-ciri yang dapat menggambarkan contoh / teladan (qudwah
hasanah) yang baik untuk diikuti oleh murid-muridnya. Jika direnungkan, setiap
murid Islam di Malaysia wajib mengikuti kelas Pendidikan Islam sepanjang tempoh
pembelajaran di sekolah mulai tahun satu hingga tingkatan lima. Selanjutnya,
mereka juga diwajibkan mengikuti kursus berkaitan Pendidikan Islam seperti
Tamadun Islam, Tasawwur Islam dan sebagainya di peringkat kolej dan universiti.
Ini bermakna setiap orang Islam di Malaysia, sekurang-kurangnya telah mendapat
didikan asas agama untuk selama 11 tahun. Dalam tempoh ini seharusnya pegangan
aqidah Islam dalam kalangan orang Islam Malaysia memang sudah cukup mantap
untuk tidak dapat diganggu gugat oleh pegangan sistem kehidupan yang bertentangan dengan
tuntutan Islam. Secara teori memang begitu tetapi bukan pada realiti yang boleh
kita saksikan hari ini. Dua ekstrim sentiasa mempengaruhi kesederhanaan Islam
sama ada “melampau kanan” atau “melampau kiri”.
Apabila kegugatan
ini berlaku, yang selalu dipersalahkan ialah pendidikan (melibatkan guru, ibu
bapa, pihak berwajib seperti jabatan-jabatan agama, jawatankuasa masjid dan
surau, institusi dan sebagainya). Pelakunya? Berdasarkan undang-undang yang
ada, banyak orang akan berpegang kukuh kepada not guilty until proven dan untuk membuktikan guilty adalah rumit sekali kerana adanya ruang untuk menimbulkan keraguan yang sering memberi ruang pertentangan yang agak mantap. Maka
gejala sosial menjadi amalan sewenang-wenang oleh orang dewasa. Suatu ketika dahulu,
dadah menjadi musuh utama negara. Seterusnya rasuah menjadi musuh utama negara. Rokok
hampir menjadi musuh utama negara apabila pelbagai kempen anti rokok dijalankan
dengan begitu giat sekali sehingga di beberapa premis tertentu merokok terus dilarang
sama sekali.
Tulisan ini tidak
bermaksud untuk menghuraikan gejala sosial ini dan bukan pula bermaksud untuk
menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak. Sebaliknya, selaku pendidik formal (guru Pendidikan Islam)
adakah diri guru selaku pendidik yang cuba membina asas kehidupan Islam telah berjaya
membentuk tingkahlaku murid melalui didikan lisanul
hal dan lisanul maqal iaitu melalui kaedah qudwah hasanah dalam pengajaran?
Mari kita
renungkan ciri-ciri pengajaran yang seharusnya ada pada diri guru (saya tidak
libatkan ciri peribadi guru Muslim kerana maklumat tersebut kebanyakannya boleh
diakses di Internet disebabkan ramai
yang menulisnya.... sila lihat 10 ciri peribadi Muslim saranan Asy-syahid Hassan
Al Banna.... sila lihat juga tulisan kami yang menyentuh ciri guru profesional
dan guru efektif dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru,
2012........juga ciri-ciri pemimpin dan kepemimpinan Islam yang terdapat banyak
dalam Internet... antaranya http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sahsiah-guru-pendidikan-islam.html ). Senarai di bawah hanya melibatkan ciri-ciri pengajaran.
1.
Menunjukkan
kesungguhan. Sekiranya
anda benar-benar bersungguh-sungguh, maka tunjukkan kesungguhan tersebut semasa
mengajar. Jadikan pengajaran anda menarik dan menyeronokkan secara kreatif
melalui inovasi pengajaran dan kepelbagaian (aktiviti, kaedah, teknik dan
pendekatan). Guru perlu sentiasa melakukan penambahbaikan amalan mengajar
melalui amalan refleksi dan kajian. Pastikan murid terlibat secara aktif membina
pengetahuan bermakna dalam proses pembelajaran. Kesungguhan mengajar yang
ditunjukkan akan dapat menunjukkan pebezaan yang ketara pada motivasi murid.
Guru yang bersungguh-sungguh, tidak hanya dinantikan oleh murid di dalam bilik
darjah tetapi akan dicari ketika berada di luar bilik darjah (selaku More Knowlegable
Other) dalam bentuk kerja berpasukan (teamwork). Guru
yang mursyid
adalah guru yang sentiasa dicari oleh murid-muridnya kerana pengajaran yang
bersungguh akan meninggalkan after effect yang mendalam.
2.
Menguasai
isi kandungan pelajaran (ilmu dan kemahiran). Sentiasa mengemaskini ilmu dan kemahiran dalam
bidang yang diajar melalui pembacaan dan perkongsian profesional untuk
membolehkan guru tidak ketinggalan dengan trenda semasa, tidak kira sama ada
anda baru mengajar atau telah bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia
pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan dan perubahan trenda dalam pengajaran
dan pembelajaran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan mengikut perubahan
keperluan dan situasi dunia sebenar. Terdapat banyak fakta yang perlu
diperbetulkan dan dibuat pengubahsuaian. Terdapat kemahiran dan amalan yang
perlu dibuat penambahbaikan. Terdapat banyak cabaran yang harus dihadapi. Apa
pun juga, guru Pendidikan Islam perlu memastikan dirinya tidak ketinggalan.
Adalah malang kiranya guru Pendidikan Islam tahun lima hanya menguasai isi
sukatan Pendidikan Islam tahun lima tanpa berkeinginan untuk pergi lebih jauh (beyond) dari
situ.
3.
Perancangan
dan pengurusan pengajaran yang teratur dan tersusun. Pengurusan yang cekap akan membolehkan guru
menggunakan lebih banyak masa untuk pembelajaran murid. (Sila lihat buku
kami Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkahlaku, 2012..... alamak! Tak ada buku tu
ke? Macam mana nak memenuhi ciri kedua di atas? Kalau begitu, bacalah buku
tulisan orang lain juga. Mungkin isi kandungannya sama tetapi penyampaian dan
huraian tetap berbeza). Berapa ramai guru Pendidikan Islam yang telah
menyediakan rutin pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk “hitam-putih”?
Kebanyakan rutin tidak dalam bentuk dokumen “hitam-putih” dan kerap kali
diandaikan murid telah mengetahuinya (tanpa mengulangkan penjelasan dan
kepentingannya). Manusia, termasuk guru, adalah insan pelupa dan Islam sangat
menyarankan pendokumentasian maklumat dan pengulangan. Ayat-ayat Al Quran
diturunkan bertahap dan diulang-ulang. Wujudkan rutin yang membolehkan murid
terus fokus dan mengikuti pembelajaran bermakna secara aktif. Meskipun ketika
menggunakan kaedah kuliah dan penerangan, integrasikan dengan penggunaan bahan,
penyoalan berkala, kecindan, kuiz ringkas, perbincangan dan sebagainya.
4.
Mengajar
secara aktif. Mengajar
secara aktif merujuk kepada aktiviti pengajaran serta pergerakan guru yang
sentiasa terlibat dengan pembelajaran murid di dalam kelas. Meskipun guru
berperanan sebagai fasilitator, ini tidak bermakna guru akan menantikan peluang
untuk memudah cara tetapi mencari peluang untuk membantu dan membimbing murid
mengoptimumkan pembelajaran. Meskipun ketika melakukan penerangan atau memberi
kuliah, guru perlu peka dengan respons murid seperti kesenyapan, mengantuk,
memberikan perhatian, kebosanan atau mula memberikan perhatian kepada perkara
lain seperti bermain atau berbual-bual. Sikap yang terangkum dalam with-it-ness (Wolfgang,
2004) termasuk refleksi kendiri (Schön, 1996) ini perlu terlaksana sepanjang
tempoh guru berada dalam bilik darjah termasuk ketika murid sedang menjalankan
aktiviti sendiri seperti membuat latihan atau membaca secara senyap. Setiap
perkataan dan perlakuan guru seharusnya bersifat mendidik dalam bentuk qudwah hasanah. Tunjukkan
sikap yang baik dalam pengajaran seperti mengambil berat dan menghormati.
Dengarkan apa yang anda katakan kepada murid dan dengarkan kepada intonasi
suara anda.
5.
Pengajaran
berkadar. Kuantiti ilmu
dan kemahiran yang dipelajari oleh murid bergantung kepada peluang yang
diberikan kepada murid untuk belajar. Murid akan lebih banyak belajar dengan
melakukan dan bukan sekadar mendengar dan melihat apa yang guru katakan (kuliah
dan penerangan) dan lakukan (demonstrasi). Rancangkan time line
pengajaran dengan baik beserta cadangan strategi agar tidak nanti pada akhir
tahun baru disedari tentang topik-topik utama yang ketinggalan atau tidak
sempat dihabiskan. Adalah malang sekali apabila murid terpaksa belajar
topik-topik tersebut secara sendiri di rumah atau memerlukan bantuan guru kelas
tuisyen.
6.
Mengekalkan
kemahiran kemanusiaan.
Ciri ini merujuk kepada keupayaan guru untuk dapat bekerjasama dengan murid
serta guru-guru lain dalam isu-isu pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya murid
tidak menyukai diri atau pengajaran guru, maka guru berkenaan akan menghadapi
kesukaran untuk melaksanakan pengajarannya di dalam kelas. Guru boleh sahaja
berpura-pura tidak mengetahui tentang pandangan murid terhadapnya dan terus
mengajar. Isunya pada masa kini ialah pembelajaran pada pihak murid yang
mungkin akan terjejas. Kegagalam murid menguasai pelajaran sebenarnya merupakan
kegagalan guru mengurus pengajaran serta persekitaran pembelajaran bilik darjah
kerana guru seharusnya telah menguasai ilmu pengetahuan (konten dan pedagogi)
serta kemahiran pengurusan sebelum boleh diiktiraf untuk mengajar.
7.
Berkomunikasi
secara jelas. Guru yang
efektif akan menyampaikan maklumat secara jelas dengan memanipulasikan
komunikasi lisan dan bukan lisan. Sampaikan fakta dan maklumat secara ringkas
dan sekiranya perlu membuat penjelasan, ia perlu dilaksanakan menggunakan
perkataan yang mudah difahami dan tidak meleret di samping membuat demonstrasi
atau tunjuk cara sekiranya perlu. Penjelasan yang baik akan melibatkan
contoh-contoh yang tepat. Pengarahan yang tepat perlu diberikan ketika
menyampaikan maklumat baru melibatkan penjelasan, memberikan garis panduan,
merumus dan menyemak semula. Seringkali berlaku di mana murid-murid tidak
mengetahui apa yang dipelajari atau tidak tahu mengapa mereka mempelajarinya.
Untuk mengatasi isu tersebut, sebaiknya guru memaklumkan objektif khusus yang
ingin dicapai terlebih awal sebelum memulakan pengajaran.
8.
Penyoalan
berkesan. Penyoalan
merupakan alat pengajaran yang berkesan. Melalui penyoalan pemikiran produktif
akan terhasil. Selang-selikan penyoalan dalam pengajaran baik kepada seluruh
kelas mahu pun kepada murid secara individu. Elakkan daripada menyebut nama
murid sebelum mengemukakan soalan. Berikan masa untuk murid memikirkan
jawapannya. Ramai guru pernah dengar tentang penyoalan sokratik tetapi gagal
melaksanakannya dengan baik. Penyoalan sokratik merujuk kepada penyoalan secara
berdisiplin yang bertujuan untuk memperolehi pelbagai arah pemikiran serta
mempunyai tujuan-tujuan tertentu (mendapatkan penjelasan, mencabar andaian,
mencabar alasan dan bukti, mencabar implikasi dan akibat serta mempersoalkan
soalan dan penyoalan).
bersambung.......