Istilah pendekatan, kaedah dan teknik merupakan tiga istilah yang sering
mengelirukan kebanyakan orang sama ada dari kalangan guru terlatih mahupun
pelatih guru. Kekeliruan ini timbul disebabkan beberapa istilah lain yang
digunakan secara bersama untuk pendekatan, kaedah dan teknik. Lebih
mengelirukan lagi apabila istilah itu juga digunakan untuk menjelaskan
strategi. Contohnya, terdapat penggunaan deduktif dan induktif untuk strategi,
pendekatan dan kaedah. Begitu juga, kita akan terjumpa pendekatan penyelesaian
masalah dan kaedah penyelesaian masalah. Banyak definisi mengenai istilah
satragei, pendekatan, kaedah dan teknik telah dikemukakan, namun masih sukar
untuk didiskriminasikan antara satu dengan lain.
Pendekatan merupakan atau menggambarkan asas falsafah atau kepercayaan
mengenai sesuatu perkara yang menjadi pegangan. Ia merupakan satu set andaian
atau pandangan yang dipegang, contohnya, teori pembelajaran. Untuk mengajar
satu-satu topik tertentu, akan ada beberapa pendekatan yang boleh digunakan,
bergantung kepada asas teori yang membentuk pendekatan tersebut. Contohnya,
pendekatan deduktif berpegang kepada asas kerangka teori stigma oleh Erving
Goffman (1963) atau kerangka teori modal sosial oleh Pierre Bourdieu (1962) serta
pembentukan hipotesis.
Kaedah pula lebih merupakan cara bagaimana melakukan sesuatu (aktiviti
pengajaran atau pembelajaran) secara sistematik yang menggambarkan langkah-langkah
yang disusun secara logik. Contohnya, kaedah deduktif bermula dengan proses
menyampaikan idea umum atau konsep keseluruhan dan diikuti oleh maklumat
spesifik seperti contoh-contoh yang dapat memantapkan pemahaman murid tentang
konsep berkenaan.
Teknik adalah prosedur yang telah didefinisikan dengan lebih jelas dan
digunakan untuk melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti. Terdapat lebih
daripada satu teknik boleh digunakan untuk melaksanakan kaedah deduktif.
Contohnya, guru memulakan pengajaran dengan menggunakan teknik penjelasan
konsep dan diikuti dengan sumbangsaran contoh-contoh spesifik. Mungkin juga guru
boleh memulakan denga teknik gambaran
dan untuk mengemukakan contoh, guru menggunakan teknik penyoalan atau soal
jawab.
Jika dilihat dengan lebih teliti, pilihan susunan pendekatan, kaedah dan teknik
di atas merupakan satu strategi iaitu kerangka perancangan yang direka bentuk
untuk mencapai matlamat khusus pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya peranan yang
lebih aktif dimainkan oleh guru seperti penjelasan konsep, pemberian contoh,
refleksi dan rumusan dilakukan oleh guru, maka strateginya adalah lebih
berbentuk strategi pengajaran langsung / terus atau strategi tumpuan guru.
Sebaliknya jika banyak melibatkan diskusi dan sumbangsaran, maka strategi yang
digunakan adalah strategi pengajaran interaktif. Begitu juga, bagi seorang guru
konstruktivis, ia akan memilih strategi yang lebih berpusatkan murid seperti
strategi pembelajaran individu.
Walau apa pun kesemua istilah tersebut seharusnya tidak menjadi masalah
dalam pelaksanaan kerja mengikut konteks dan ‘maknanya’ kepada pengguna (guru).
Masalah besarnya ialah pemahaman maksud dan definisi istilah tersebut seperti
yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidikan apabila dikaitkan dengan tujuan
menjawab soalan peperiksaan. Istilah ‘guidance’ contohnya telah diterjemahkan
kepada ‘panduan’ dan ‘bimbingan’. Dalam amalan seharian, guru boleh saja
memilih istilah ‘panduan’. Dalam situasi lain, mungkin guru memilih istilah ‘bimbingan’.
Percanggahan penggunaan lazimnya dikemukakan oleh tokoh berlainan mazhab
(school of thought). Dalam Islam, kelainan mazhab bukan perkara masalah pokok
sekiranya tidak bercanggahan dari sudut aqidah. Begitu juga dengan sesetengah istilah pendidikan, sekiranya tidak bertentangan dan tidak menyebabkan gangguan kepada proses pengajaran dan pembelajaran, malah saling membantu dalam pemahaman, maka tidak perlu dipertikaikan.
No comments:
Post a Comment