Beberapa
kajian pendidikan yang telah dilakukan menunjukkan bahawa pemantauan
pembelajaran para pelajar merupakan komponen yang perlu untuk memastikan
kualiti pendidikan yang tinggi. Pemantauan kemajuan pelajar yang dilakukan
secara berhati-hati dan teliti, merupakan faktor utama yang membezakan antara guru
dan sekolah cemerlang denagn guru dan sekolah biasa atau tidak berdaya maju.
Malah sesetengah pakar pendidikan melihat elemen pemantauan ini sebagai
penjangka paling baik untuk melihat kecemerlangan pencapaian pelajar.
Kamus
American Heritage menjelaskan pemantauan pembelajaran sebagai melakukan semakan
secara sistematik dengan tujuan untuk mengumpulkan beberapa kategori data yang
telah dikenal pasti. Ini bermaksud pemantauan mempunyai kaitan yang rapat
dengan fungsi menyimpan data, membuat laporan serta membuat keputusan. Penerangan
ini masih agak kabur dan boleh mengelirukan. Oleh itu, dalam penulisan ini,
saya ingin melihat pemantauan pembelajaran sebagai aktiviti yang dilakukan oleh
guru untuk memantau pembelajaran para pelajar dengan tujuan untuk membuat
keputusan tentang pengajaran serta memberikan maklum balas ke atas kemajuan
pelajar.
Untuk
memudahkan pemahaman, saya memilih untuk mendefinisikan pemantauan pembelajaran
sebagai aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk mengesan kemajuan pembelajaran
pelajar dengan tujuan untuk membuat keputusan tentang amalan pengajaran guru dan
memberikan maklum balas yang dapat meningkatkan kualiti pembelajaran. Apabila
para pendidik bercakap tentang pengawasan dan pemantauan bilik darjah, mereka
akan merujuk kepada tingkah laku berikut:
- Mengemukakan soalan untuk menyemak kefahaman tentang isi pelajaran yang disampaikan.
- Berjalan dalam bilik darjah semasa pelajar melakukan aktiviti pembelajaran sambil membimbing pelajar yang bermasalah pembelajaran secara perseorangan (one to one contact)
- Memberi tugasan, mengumpul dan menyemak latihan dan kerja-kerja rumah yang diberikan, memberikan skor dan maklum balas yang berkesan.
- Mentadbir dan menyemak kertas ujian serta merekodkan keputusan.
- Menyemak semula data pencapaian pelajar dan menggunakan data tersebut untuk membuat refleksi dan penambahbaikan amalan pengajaran.
Artikel ini
ditulis dengan menumpukan kepada bagaimana pemantauan ke atas pembelajaran
pelajar dilakukan berdasarkan kepada rumusan daripada beberapa kajian. Istilah
penyiasatan pembelajaran merujuk kepada beberapa cara yang boleh digunakan oleh
guru untuk mendapatkan respons jawapan kepada isi pelajaran bagi menentukan
tahap pemahaman pelajar terhadap apa yang telah guru ajarkan. Penyoalan, kuiz
atau apa saja cara yang digunakan untuk mengesan tahap pembelajaran boleh
digunakan.
Dapatan daripada banyak kajian menunjukkan penyoalan dan siasatan pembelajaran yang
dilakukan oleh guru, dapat menghasilkan pelbagai faedah terutamanya apabila
teknik-teknik berikut digunakan:
- Memastikan soalan dikemukakan berdasarkan kepada tahap kesukaran yang sesuai dan membolehkan kebanyakan pelajar dapat memberikan jawapan yang betul seperti yang sepatutnya.
- Memberi perhatian kepada siapa yang memberikan jawapan apabila sesi perbincangan atau soal jawab dilaksanakan dan meminta pelajar lain memberikan respons (terutama mereka yang tidak bersedia untuk berkongsi jawapan).
- Meminta pelajar memberikan komen atau menghuraikan jawapan yang telah diberikan oleh rakan mereka.
- Menggunakan maklum balas tahap kefahaman untuk meningkatkan kadar pengajaran apabila diperlukan.
Kajian juga menunjukkan bahawa pemantauan ke atas aktiviti pembelajaran
dalam bilik darjah membolehkan pelajar mencapai tahap yang lebih tinggi
daripada yang dijangkakan. Pemantauan aktiviti pembelajaran melibatkan
pergerakan guru ke seluruh bilik darjah, menyedari kekuatan dan kelemahan
pelajar semasa mereka menjalani aktiviti pembelajaran serta membimbing pelajar
secara individu apabila keadaan memerlukan. Lazimnya, guru yang berkesan
mempunyai prosedur yang sistematik untuk menyelia dan menggalakkan pelajar
semasa mereka bekerja serta memulakan interaksi dengan pelajar yang memerlukan
bantuan (bukan sekadar menunggu sehingga pelajar meminta bantuan). Mereka juga
berinteraksi secara lebih bermakna dengan pelajar semasa memantau aktiviti
pembelajaran, kekal dengan orientasi tugas serta bersama-sama menyelesaikan
masalah pelajar, memberi lebih masa dan perhatian kepada pelajar yang
dipercayai memerlukan bantuan tambahan serta mementingkan ketekalan dan
berhati-hati ketika menyemak tugasan pelajar (memastikan pelajar menghantar
tugasan yang berkualiti).
Bagi kebanyakan guru, kerja rumah yang diberikan sebagai tugasan tambahan
merupakan sesuatu yang dapat membantu pelajar menguasai pelajaran dan
pembelajaran. Kerja rumah didapati mempunyai kesan yang signifikan dan positif
ke atas pencapaian sekiranya kerja rumah tersebut dipantau oleh guru. Hasil
yang bermanfaat akan diperoleh sekiranya kerja rumah:
- Berkait rapat dengan isi pelajaran yang baru dipelajari dalam bilik darjah
- Diberikan dengan tujuan latihan pemantapan terhadap bahan atau isi pelajaran yang baru
- Sesuai dengan tahap kebolehan dan keupayaan pelajar
- Benar-benar difahami oleh pelajar dan ibu bapa mereka
- Dikawal selia oleh ibu bapa iaitu kesedaran ibu bapa terhadap apa yang perlu dilakukan untuk mendorong kerja rumah dilakukan dengan baik
- Tidak menangguhkan semakan dan dikembalikan kepada pelajar dengan kadar segera
- Dinilai dengan skor atau gred serta diberikan maklum balas yang bermakna dan berkesan
Ujian kelas (penilaian formatif) yang diberikan turut
berperanan sebagai alat memantau pembelajaran pelajar. Sebaik-baik ujian adalah
ujian yang item-itemnya dibina berdasarkan kepada standard nasional. Terdapat
banyak kertas-kertas ujian yang boleh dibeli di pasaran tetapi tidak semua item-itemnya
dibina dengan baik. Oleh itu, sebarang ujian yang diberikan kepada pelajar
perlu dirancang, dibina berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) jika
berkaitan dan dapat menunjukkan hubungan
yang positif ke atas keputusan ujian. Kesan yang baik akan dapat dilihat
apabila ujian ditadbirkan secara agak kerap serta menjadi sebahagian daripada
pendekatan pengajaran (iaitu selari dengan bahan yang diajar).
Kertas ujian perlu
disemak, diberikan skor atau gred dan dikembalikan kepada pelajar agar mereka boleh
membuat pembetulan serta penambahbaikan pemahaman. Kajian banyak menunjukkan
bahawa pelajar yang diberikan ujian secara kerap dan diberikan maklum balas
bermakna, dapat membina sikap yang lebih positif
ke atas ujian.
Perlu diingat bahawa penilaian formatif bukan hanya dilaksanakan dalam bentuk ujian (lisan atau pensel dan kertas). Terdapat banyak cara melaksanakan penilaian formatif untuk memungkinkan guru dapat mengumpulkan data pencapaian (akan dikongsikan pada waktu yang lain).
Guru-guru efektif melihat apa yang berlaku dalam proses pembelajaran serta mengesan faktor-faktor yang mempengaruh. Mereka akan mengumpulkan data sebagai bukti penguasaan konsep serta isi kandungan. Mereka kenal siapa pelajar mereka. Tiada penilai lain yang mempunyai peluang untuk benar-benar dapat melihat pelajar dari masa ke masa. Namun begitu, guru perlu berhati-hati dan bertanya kepada diri sendiri "Apa sebenarnya yang saya lihat? Adakah saya telah membuat kesimpulan yang betul dan tepat berdasarkan apa yang saya lihat?" (Stiggins, 2001).
Segala maklumat (data) yang terkumpul perlu digunakan untuk merancang pengajaran pengukuhan, pemulihan atau pengayaan. Ringkasnya, guru perlu membuat perancangan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran.
Perlu diingat bahawa penilaian formatif bukan hanya dilaksanakan dalam bentuk ujian (lisan atau pensel dan kertas). Terdapat banyak cara melaksanakan penilaian formatif untuk memungkinkan guru dapat mengumpulkan data pencapaian (akan dikongsikan pada waktu yang lain).
Guru-guru efektif melihat apa yang berlaku dalam proses pembelajaran serta mengesan faktor-faktor yang mempengaruh. Mereka akan mengumpulkan data sebagai bukti penguasaan konsep serta isi kandungan. Mereka kenal siapa pelajar mereka. Tiada penilai lain yang mempunyai peluang untuk benar-benar dapat melihat pelajar dari masa ke masa. Namun begitu, guru perlu berhati-hati dan bertanya kepada diri sendiri "Apa sebenarnya yang saya lihat? Adakah saya telah membuat kesimpulan yang betul dan tepat berdasarkan apa yang saya lihat?" (Stiggins, 2001).
Segala maklumat (data) yang terkumpul perlu digunakan untuk merancang pengajaran pengukuhan, pemulihan atau pengayaan. Ringkasnya, guru perlu membuat perancangan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran.
No comments:
Post a Comment