Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday, 13 November 2018

Tak faham?


Sudah lama sungguh saya tidak menulis dalam blog ini. Lazimnya saya hanya melihat status pageviews dan memberi respons kepada komen (kalau ada). Melihat pada status visitors... memang setiap hari ada. Kekadang melebihi 100 pengunjung dalam sehari. Bila dah banyak menulis (95 posts semuanya)... rasa bagai tak tahu apa lagi yang ingin dikongsikan berkaitan tujuan blog ini dilahirkan. Tak mungkin nak masukkan resepi atau kisah-kisah yang tak berkaitan. Dua bulan lalu dah terfikir nak tulis mengenai isu di bawah tapi baru hari ini dimulakan.... Mohon maaf.   

Dalam ujian yang ditadbirkan bulan lalu, purata skor yang diperoleh pelajar dalam kelas hanya 53. Apa sudah jadi? Leceh ni! Apa kata ketua panitia nanti..... apa pula kata big boss. Tak bagus! Tak bagus!


Tapi saya dah bagitau mereka.... banyak kali... “Baca topik niiiiii..... fahamkan benar-benar”...berbuih mulut, kata oranglah...  keputusannya... paling tinggi skor yang diperoleh hanya 65. Adalah dalam 6 pelajar yang dapat skor atas 60. 


Ni tak lain sebab budak-budak tu tak belajar... tak buat apa yang saya suruh. 

Eh... apa kata "Bukan sebenarnya mereka tak belajar tapi mereka tak faham apa yang guru ajar dan terangkan". Sudah tentu kefahaman merupakan perkara asas dalam pembelajaran.

Apa kata kalau pelajar anda sebenarnya keliru, malah tidak tahu apa yang hendak ditanya agar boleh memahami penerangan guru tentang topik yang dipelajari. Bagaimana kalau sebenarnya topik yang diajar itu memang sukar hingga membuatkan pelajar anda tidak menumpukan perhatian dan tidak mahu mengetahui lebih lanjut mengenainya?

Bila pelajar tidak memahami apa yang guru ajarkan, apa yang boleh guru lakukan? Pasti ada... Insya Allah ada jalannya... ni lirik lagu Maher Zain.

Apabila pelajar keliru.....
1  1. Tanya diri sendiri... sejauh mana konsep yang diajar itu penting. Sekiranya pelajar anda bertungkus-lumus cuba memahami konsep asas yang berkaitan dengan konsep baru yang akan diajar... maka berhenti mengajar konsep baru tersebut. Pastikan konsep-konsep asas itu benar-benar telah dikuasai sebelum mengajar konsep yang baru. Adalah lebih baik andainya guru mengambil sedikit masa untuk menyemak serta membuat ulangkaji tentang konsep-konsep terdahulu yang berkaitan. Guru perlu membuat pertimbangan pro dan kons. Andainya konsep-konsep asas itu tidak begitu sukar untuk dibuat ulangkaji maka guru bolehlah mengurangkan masa untuk mengulangkaji dan seterusnya mula mengajar konsep yangbaru. Sebaliknya apabila guru sendiri tidak pasti, maka lakukanlah apa yang paling baik untuk pelajar. Matlamatnya bukan untuk memperbaiki skor ujian tetapi untuk pelajar dapat menguasai konsep berkenaan agar dapat digunakan pada masa akan datang.

     2. Perjelaskan konsep tersebut sekali lagi. Andainya pelajar anda kelihatan keliru dengan topik penting yang diajar, ulangi saja penerangan dan penjelasan mengenainya tetapi diiringi oleh soalan-soalan penilaian formatif. Perhatikan petanda yang menunjukkan pemahaman pelajar. Kemukakan soalan kefahaman secara rawak dan minta beberapa pelajar memberikan jawapan. Semak dan perkukuhkan jawapan pelajar menggunakan ayat dan frasa yang lebih mudah. Kenal pasti waktu mereka mula keliru dan ulang dari point tersebut tanpa perlu mengulang dari awal. Kemukakan contoh-contoh dan ilustrasi (peta minda) yang relevan serta konkrit dan tunjukkan perkaitan antara konsep-konsep yang dipelajari mengikut konteks. Berikan latihan ringkas sebagai latihan pengukuhan.

        3. Gunakan pendekatan, strategi, kaedah serta teknik lain untuk menjelaskan konsep berkenaan. Setelah mengulangi penerangan dan penjelasan, anda dapati pelajar anda masih keliru, maka gunakan cara lain untuk menyampaikannya. Fokuskan kepada strategi, kaedah serta teknik tumpuan pelajar. Libatkan pelajar secara aktif. Sekiranya topik tersebut perlu diulang pada waktu yang lain, pastikan anda dapatkan bantuan rakan atau ketua panitia tentang kaedah yang lebih berkesan sebelum masuk ke kelas semula.

       4. Cuba gunakan kaedah pengajaran whole brain”. Pecahkan konsep yang besar kepada konsep-konsep yang lebih kecil. Ajarkan setiap konsep kecil dalam waktu yang agak ringkas tetapi boleh difahami. Berjalanlah dalam bilik darjah terutamanya dengan menghampiri pelajar yang kelihatan keliru. Beri sedikit bimbingan individu sebelum beralih kepada keseluruhan kelas. 

     5. Sekiranya perlu mengulangi pengajaran pada waktu yang lain, pastikan untuk menyediakan bahan bantu belajar (visual, audio visual, multimedia) dan laksanakan aktiviti hands-on, minds-on dan hearts-on.

     6. Semak semula nilai pendidikan anda dan perbetulkan nilai tersebut sekiranya perlu. Ajarkan pelajar berdasarkan kepada nilai dan kepercayaan yang dijadikan pegangan.

7.   Don’t give up dan lakukan kajian tindakan ke atas pengajaran anda dengan menumpukan kepada amalan pedagogi (pedagogical knowledge dan pedagogicalcontent knowledge).

Selamat mencuba. Berikan komen ‘thumb up’ agar pembaca lain boleh mencubanya andainya anda berjaya.