Saturday, 11 May 2013

Strategi menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi



Pengajaran yang dapat melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi di dalam bilik darjah hanya dapat dilakukan setelah guru berjaya mewujudkan pembelajaran tumpuan murid dan dapat merancang kerangka pengajaran dengan mengintegrasikan kemahiran berfikir. Seterusnya guru boleh memikirkan tentang strategi dan kaedah yang dapat menggalakkan kebolehan kemahiran berfikir.  

Maksud berfikir aras tinggi termasuk pemikiran kritikal, logikal, metakognisi dan kreatif. Kesemua kemahiran tercetus apabila murid berhadapan dengan masalah yang tidak biasa dihadapi, ketidakpastian, persoalan dan dilema. Kejayaan mengaplikasi kemahiran-kemahiran ini akan membuahkan penjelasan, membuat keputusan, pencapaian serta hasil yang sah dalam konteks pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh, serta dapat menggalakkan peningkatan pemikiran aras tinggi di samping kemahiran intelektual murid.  

Antara istilah-istilah yang dapat dikaitkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi ialah kognisi (Alvino dalam Cotton, 1997), kefahaman (Crowl dan rakan-rakan, 1997), pemikiran kreatif (Fogarty dan Mc Tighe, 1993), pemikiran kritikal (Patrick, 1986), kerangka grafik (Clarke, 1990), inkuiri (Dewey, 1933), celik akal (Gruber, 1995; Gick dan Lockhart, 1995), metakognisi (Crowl dan rakan-rakan, 1997; Pogrow, 1990; Pogrow dan Buchanan, 1985), pemikiran aras tinggi (Bloom, 1956; Haladyna, 1997), penyelesaian masalah (Gagné, Brigg dan Wager, 1988), pemikiran rasional (Ennis dalam Lewis dan Smith, 1993), perancah (Rogoff dalam Crowl, 1997), mencipta (Krathwohl) serta skema (Gick dan Lokhart, 1995).

Proses dan nilai pemikiran aras tinggi diperjelaskan oleh Lewis dan Smith (1993) sebagai pemikiran yang berlaku apabila seseorang menerima maklumat baru dan maklumat tersebut tersimpan dalam memori dan disusun semula serta dikaitkan antara satu dengan lain. Seterusnya maklumat ini diperluaskan untuk mencapai satu tujuan atau mendapatkan kemungkinan jawapan kepada situasi yang mengelirukan. Pelbagai tujuan boleh dicapai melalui pemikiran aras tinggi…. menentukan kepercayaan, menentukan apa yang perlu dilakukan, menghasilkan satu idea baru, satu projek baru atau ekspresi kesenan, membuat jangkaan serta menyelesaikan masalah bukan rutin.



Strategi pengajaran
1.       Komunikasi arahan
Kauchak dan Eggen (1998) mendapati strategi berikut dapat menyumbang kepada komunikasi arahan yang diperlukan untuk menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi.
a.       Selaraskan objektif, konten, kemahiran, tugasan, aktiviti dan bahan.
b.      Rancangkan aktiviti dan tugasan kemahiran berfikir aras tinggi yang tersusun dan diatur mengikut peruntukan masa yang ditetapkan. Sediakan masalah serta soalan yang memerlukan murid berfikir menjangkau (beyond) kebiasaan.
c.       Terangkan tugasan sejelas-jelasnya. Tunjukkan carta alir atau jadual pelaksanaan serta kerangka kerja. Berikan contoh produk yang terbaik.
d.      Berikan maklum balas secara berkala yang dapat menjelaskan perkara yang betul atau kurang betul.

2.       Menggunakan perancah
Perancah melibatkan pemberian sokongan kepada murid pada awal pengajaran. Seterusnya, secara beransur-ansur menyerahkan tanggungjawab kepada murid untuk meneruskan pembelajaran dan menyelesaikan masalah / tugasan sendiri (Slavin, 1995). Walau bagaimanapun, menurut Kauchak dan Eggen (1998) perancah seharusnya terbatas kepada pemberian secukupnya sahaja supaya murid dapat bergerak maju dengan sendiri. Elakkan daripada memberikan sokongan apabila murid tidak memintanya kerana hal itu akan mendorong murid untuk menjangkakan bahawa mereka tidak dapat melakukan sendiri. Kesannya adalah lebih teruk sekiranyanya berlaku Self Fulfilling Prophecy.

Skema atau skrip atau pengetahuan sedia ada murid adalah tidak sama dan perkara ini akan mempengaruhi tahap pemahaman mereka tentang pengetahuan baru tersebut. Menurut Kauchak dan Eggen (1988):-
a.       Perancah diberikan pada permulaan proses pembelajaran dan hanya apabila diperlukan sambil disertakan contoh pemikiran aras tingi yang diperlukan (Clark, 1990; Crowl dan raka-rakan, 1997; Kauchak dan Eggen, 1998).
b.      Berikan contoh masalah serta penyelesaiannya. Contoh yang tepat akan dapat mengurangkan kebergantungan murid kepada guru.
c.       Berikan tugas lanjutan berkaitan pelajaran secara kerap, yang akan dilaksanakan di rumah.
d.      Kaitkan dengan situasi dunia kehidupan sebenar.

3.       Pengajaran secara langsung.
Arahan langsung biasanya tidak akan dapat menggalakkan pemikiran berfikir pada aras tinggi (Crowl dan rakan-rakan, 1997) tetapi langkah-langkah berikut boleh menjadikan arahan langsung lebih berkesan digunakan.
a.       Bataskan pengunaan kaedah pengajaran secara langsung dengan memperkenalkan strategi dan kemahiran berfikir yang akan digunakan (Patrick, 1986).
b.      Gabungkan pengajaran secara langsung dengan latihan berpandu / terbimbing untuk mengajar tentang isi kandungan dan kemahiran secara berstruktur (Crowl dan rakan-rakan, 1997).
c.       Elakkan sesi kuliah panjang tetapi kuliah pendek dan ringkas sambil diselang-selikan dengan soalan, tunjuk cara, perbincangan, tayangan berkaitan atau kuiz untuk mengelakkan kebosanan. Gunakan pengurusan grafik atau peta minda (Buzan, 2006) dan i-think thinking map (Agensi Inovasi Malaysia, tanpa tarikh)
d.      Buat beberapa rumusan pendek sambil menekankan isi-isi utama pelajaran.

4.       Penyoalan
Untuk menjana proses berfikir aras tinggi, soalan yang dikemukakan seharusnya dapat menghasilkan jawapan yang menarik dan belum diketahui. Soalan perlu dibina lebih awal dan dirancangkan agar dapat menghasilkan jawapan di luar jangkaan atau menjangkau kebiasaan (beyond).

a.       Galakkan murid mengemukakan soalan dan beri peluang kepada rakan mereka untuk memberikan jawapan (Crowl dan rakan-rakan, 1997)
b.      Mulakan dengan soalan aras rendah dan perlahan-lahan beralih kepada soalan aras tinggi (Kauchak dan Eggen, 1998)
c.       Berikan masa untuk murid menjawab sekiranya guru yang mengemukakan soalan

5.       Maklum balas
Maklum balas digunakan untuk memaklumkan kepada murid tentang kemajuan mereka. Gunakan strategi berikut untuk maklum balas:
a.       Berikan maklum balas segera, spesifik dan bersifat pembetulan menggunakan intonasi positif (Brophy dan Good dalam Kauchak dan Eggen, 1998)
b.      Elakkan maklum balas yang tidak jujur atau dengan memuji keterlaluan.

6.       Aktiviti kumpulan
Bentuk kumpulan yang berkesan dapat dapat menjana pemikiran aras tinggi termasuklah pembelajaran koperatif, tutor rakan sebaya, perbincangan kumpulan kecil. Perbincangan kumpulan yang diselia dengan baik akan membolehkan murid terlibat dengan pemikiran aras tinggi. Pembelajaran koperatif akan meningkatkan motivasi dan penyertaan murid dalam proses pembelajaran.  

7.       Penggunaan komputer
Banyak cara boleh digunakan untuk membolehkan murid meningkatkan kemahiran berfikir mereka dengan menggunakan komputer.

Monday, 15 April 2013

Inovasi dalam pengajaran Pendidikan Islam



Assalamualaikum

Kita tidak sekali-kali menafikan ketokohan Rasulullah saw sebagai pendidik agung yang telah berjaya membentuk jiwa-jiwa yang beriman, meskipun tidak semua yang mendengar seruan turut menyertai risalah yang disampaikan. Begitu banyak teknik dan kaedah yang telah digunakan oleh baginda Rasulullah saw yang diaplikasikan berdasarkan kepada situasi dan mad’u yang menerima pengajaran. Kesemuanya dilaksanakan sesuai dengan keadaan teknologi yang ada pada waktu itu.

Pada hari ini kita saksikan perkembangan teknologi yang telah melenyapkan sempadan ilmu mengikut daerah, negeri mahu pun negara. Peralatan pendidikan seperti web 2.0 serta gadget komunikasi yang canggih , telah mengisi ruang-ruang kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran yang ada atas nama inovasi dan kreativiti. Perolehan serta pembinaan ilmu kian menjadi meluas dan pada kadar perkembangan yang pantas.

Apa yang agak menyedihkan ialah apabila segala kemajuan ini tidak dapat digunakan serta diintegrasikan dengan kaedah serta teknik pada zaman keagungan Islam. Teknologi, meskipun telah diterima, tetapi dalam amalan pengajaran guru-guru Pendidikan Islam masih lagi bercorak tradisional. Penerangan sehala dan latih tubi tetap menjadi pilihan kebanyakan para guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan yang sempat saya tinjau. Contoh teladan (akhlak, adab mahupun semangat belajar) agak kurang diberikan perhatian apabila guru-guru sendiri tidak serius untuk menjadi co-learner di dalam kelas dan tidak menunjukkan kecenderungan untuk meningkatkan profesionalisme. Amalan refleksi (muhasabah) lebih bersifat menuding jari (projeksi) kepada kesalahan serta kesilapan murid apabila mereka tidak menguasai (mastering) pelajaran. Bukan seluruhnya bertujuan untuk mengoreksi serta menambahbaik (correct and improve) corak pengajaran dan pembelajaran guru sendiri. Tidak dinafikan adanya segelintir yang berkembang selaras dengan tuntutan era baru pendidikan tapi…. hanya segelintir. Ramai yang menjadi ahli kepada laman sosial tetapi jarang sekali digunakan untuk membincangkan isu professional keguruan walaupun anggota laman tersebut terdiri daripada guru dan pendidik Pendidikan Islam pelbagai peringkat. Terdapat sesetengah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran tetapi forbidden from access yang masih menggambarkan betapa kedekutnya dengan ilmu padahal ilmu yang ada perlu dimanfaatkan melalui sebaran dan boleh dijadikan sebagai sedekah.

Blog pendidikan…. agak banyak tetapi kesahan dan kebolehpercayaan bahan adakalanya diragui dan sesetengahnya merupakan bahan yang dikutip daripada blog lain tanpa membuat penilaian ke atas kontennya dan tanpa memberikan kredit kepada penulis asalnya atau menyatakan sumber asalnya.  Terdapat juga blog guru pendidikan islam tetapi tidak ada update dibuat (mati setelah 6 bulan hingga setahun setengah dilancarkan). 

Blog Us Abdul Somad di http://ustazabdulsomad.blogspot.com/search?updated-min=2012-01-01T00:00:00%2B08:00&updated-max=2013-01-01T00:00:00%2B08:00&max-results=2 boleh diterima kontennya cuma maklumat menunjukkan beliau adalah petugas di JPN dan bukan guru yang mengajar di sekolah. Guru agama di sekolah?   Blog lain yang boleh dilawati untuk mendapatkan maklumat atau konten pelajaran di sekolah ialah:
http://ependidikanislam.blogspot.com/  Yang lain, banyak masalah!!!!
  

Perisian komputer digunakan tetapi sekadar perisian seperti MS PowerPoint untuk menyokong penjelasan dan penerangan atau MS Word yang digunakan sebagai ganti mesin taip. MS Excel agak jarang digunakan. Begitu banyak ciri-ciri pada perisian tersebut yang masih asing kepada guru khususnya GURU PENDIDIKAN ISLAM di Malaysia.

Ramai guru yang mempunyai e-mail yang boleh digunakan untuk mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran tetapi jarang digunakan untuk tujuan kolaborasi perkara berkaitan perkembangan pendidikan. Kebanyakan forum melibatkan kolaborasi sesama murid / pelajar dan jarang sekali melibatkan pandangan guru. Hal ini sangat berbeza dengan ruang forum pendidikan dalam Bahasa Inggeris (maknanya bukan melibatkan konten Pendidikan Islam di Malaysia) yang melibatkan pandangan pakar pendidikan.

Kesalahan lazim semasa melakukan Kajian Tindakan oleh pelatih guru di IPG

 

  1. Tidak dapat membezakan antara Kajian Tindakan dengan Kajian Konvensional. Lazimnya guru tersalah kerana telah memilih kajian konvensional dengan tujuan untuk melihat sebab dan akibat (keberkesanan). Contohnya,  korelasi antara dua pembolehubah atau kajian perbandingan antara kumpulan yang menerima rawatan dengan kumpulan yang tidak menerima rawatan (sebab-akibat).
  2. Tidak mematuhi format serta rubrik penilaian yang dikemukakan oleh IPG, sebaliknya melakukan ikut suka hati sahaja berdasarkan contoh yang lazimnya diperolehi daripada rakan atau Internet tanpa pengesahan sumber yang diperakui sah dan dipercayai.
  3. Kitaran tindakan hanya berlaku sekali sahaja yang menunjukkan TIDAK ada isu baru yang berkaitan timbul atau kerana menganggap masalah telah dapat diselesaikan. Jelasnya, proses refleksi ke atas amalan dan tindakan telah TIDAK berlaku secara sempurna. Ini bertentangan dengan semua model Kajian Tindakan yang dikemukakan oleh pakar-pakar Kajian Tindakan iaitu adanya kitaran lanjutan atau kitaran baru diperlukan.
  4. Sangat kurang mendapatkan sokongan literature untuk menyokong pernyataan yang dikemukakan. Kebanyakan pernyataan yang dikemukakan lebih bersifat opinionated statements (andaian dan pandangan yang bersifat syok sendiri) tanpa bukti yang sah.
  5. TIDAK melakukan tinjauan awal untuk mendapatkan maklumat dan data awal secara teratur dan kemas. Kebanyakannya melakukan tanpa struktur soalan / item yang dapat menjurus kepada isu yang dikaji sebaliknya bertanyakan soalan yang terlintas di kepala sahaja pada waktu melakukan temubual atau pemerhatian.Pemerhatian yang dilakukan tidak berfokus kepada isu yang dikaji di samping sangat kurang menggunakan jurnal refleksi guru sebagai salah satu alat utama. Pelajar lebih cenderung menggunakan soal selidik yang kurang relevan dengan bilangan responden yang sedikit dan boleh ditemui setiap hari dalam bilik darjah.
  6. Refleksi pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus untuk menyalahkan atau melemahkan pihak lain (murid, kaedah pengajaran atau institusi) dan bukan untuk melihat kekuatan dan khususnya kelemahan diri sendiri (dari sudut penguasaan ilmu dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran).
  7. Di bawah tajuk Fokus Kajian, jarang sekali dikemukakan data lengkap yang telah dibuat analisis ekoran daripada tinjauan awal. Pandangan peribadi ke atas sesuatu data / maklumat tidak disokong dengan sorotan literatur. Komponen kecil Fokus Kajian tidak disentuh (kerelevanan, kebolehan mengurus, keserasian, kepentingan, kawalan dan kolaborasi). 
  8. Tidak dapat mengaitkan data-data yang diperolehi melalui instrumen mengumpul data yang berlainan (gagal membuat triangulasi data) dan jarang sekali melibatkan triangulasi sumber data, triangulasi penyelidik, triangulasi methodologi pengumpulan data, triangulasi teori atau triangulasi analisis data. Pemerhatian dan temubual dengan murid tidak difokuskan kepada respons murid terhadap pengajaran. Sebaliknya difokuskan kepada salahlaku murid di dalam kelas (seperti mengantuk, berbual, bermain, berjalan-jalan, mengganggu rakan dan sebagainya) tanpa mengaitkannya (relate) dengan amalan bekerja harian yang ingin dibuat penambahbaikan (aplikasi kaedah dan teknik pengajaran).
  9. Tidak mengambil kira sudut pandangan / perspektif murid tentang sesuatu kaedah atau teknik pengajaran yang diamalkan. Matlamat melakukan Kajian Tindakan adalah untuk penyelidik menambahbaik amalan bekerja. Ini juga bermakna peningkatan pembelajaran murid. Oleh itu pandangan murid dalam menentukan kaedah serta teknik pengajaran perlu diambil kira. Contohnya, tidak semua permainan sesuai untuk semua tahap murid agar mereka bermotivasi untuk belajar.  Hanya murid sendiri yang tahu bentuk permainan yang boleh memotivasikan mereka secara khusus.
  10. Tidak menulis sumber rujukan mengikut format yang diminta (format APA) dan bilangan bahan rujukan yang terlalu sedikit (menunjukkan kurang membuat tinjauan literatur).