Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 19 July 2012

Pedagogi: Bagaimana mengaktifkan murid di dalam kelas?

Apabila bercakap tentang pembelajaran abad 21 ini, ahli-ahli pendidikan akan mengaitkan dengan pembelajaran berpusatkan murid atau berlaku pembelajaran aktif di kalangan murid di dalam bilik darjah. Secara spontan pemikiran kita akan terus membuat perbandingan antara pembelajaran aktif dengan pembelajaran pasif. Apakah yang membezakannya? Apa juga idea baru yang dikemukakan, pasti akan ada kritikan daripada golongan yang mempunyai pemikiran agak berbeza, kesan dari pegangan mazhab pembelajaran yang berbeza. Bagi sesetengah pendidik, mereka berhujah.... bagaimana hendak membezakan pembelajaran aktif dan pasif kerana adalah mustahil pembelajaran boleh berlaku dalam suasana pasif. Bezanya hanya pada kadar keaktifannya. Apabila murid senyap, tidak ada bukti yang boleh dilihat untuk mengatakan murid pasif sepenuhnya kerana minda mereka akan terus memproses dan menyimpan maklumat yang diterima. Mereka mungkin menghadapi masalah pemahaman tetapi masalah pemahaman itu tidak semestinya dapat dirungkai di dalam kelas (kekangan masa dan tahap kesukaran topik / konsep yang dipelajari) . Mereka mungkin akan berkolaborat dengan ibu bapa, adik beradik, rakan di luar sekolah atau guru tuisyen untuk memastikan mereka memahami konsep yang dipelajari. maknany pembelajaran masih aktif.

Apabila murid bergerak di dalam kelas, adakah ia benar-benar menggambarkan pembelajaran aktif semua murid? Bagaimana sekiranya ada yang hanya bergerak untuk menyalin atau meniru tanpa memahami mengapa dan bagaimana. Dari aspek tingkahlaku memang kelihatan aktif tetapi minda tetap pasif. 

Meskipun pelbagai hujah boleh dikemukakan (dan ianya baik untuk aktiviti minda), namun secara umum, pembelajaran aktif masih dapat dibezakan daripada pembelajaran “pasif” atau “kurang aktif”. Cuba perhatikan situasi berikut:

Situasi A: Setelah membuat penjelasan tentang sesuatu konsep, guru akan bertanya kepada murid dengan “Ada apa-apa soalan?” atau “Ada bahagian yang kamu tidak faham?” atau “Adakah anda semua telah jelas?”.

Situasi B: Setelah membuat penjelasan tentang sesuatu konsep, guru bertanyakan soalan  “Berdasarkan kepada pengajaran saya tadi, yang manakah benar antara a) solat fardu wajib dilakukan di dalam waktu-waktunya dan b) solat fardu dibolehkan untuk dilakukan di luar waktunya? Siapa yang mengatakan a, sila angat tangan. Ada sesiapa yang mengatakan b? Atau ada sesiapa yang mengatakan a dan b? Sila jelaskan alasan anda.”

Situasi A lebih bersifat pengajaran tradisional dan lazimnya tiada murid akan mengaku tidak faham atau berkeinginan untuk bertanya kecuali murid berkenaan memang dari kalangan yang suka bertanya. Kita tidak dapat nafikan bahawa terdapat murid yang mempunyai hati yang terang (dengan izin Allah) serta mampu memahami pelajaran yang disampaikan tetapi secara umumnya bilangan tersebut terlalu sedikit untuk dibuat kesimpulan bahawa semua murid telah memahami pelajaran. Bagi kebanyakan pengkaji, inilah yang dimaksudkan dengan pembelajaran pasif.

Situasi B. Meskipun keadaan di awal pengajaran adalah sama dan serupa, cara guru menyoal murid akan membezakan antara pembelajaran aktif dan pasif. Saya percaya ramai pembaca akan bersetuju dengan jawapan a. Mungkin tiada murid menjawab b. Bagaimana kalau ada? Dan bagaimana kalau ada yang mengatakan a dan b adalah betul? Tentulah mereka perlu memberikan hujah dan alasan. Proses  berfikir berlaku. Bagaimana sekiranya murid mengatakan b juga betul untuk orang musafir yang melakukan solat jama’? Ekorannya murid lain akan melakukan proses metakognisi dengan mula memikirkan cara mereka berfikir. Dalam situasi B, guru baru bertanyakan satu soalan sahaja. Bagaimana sekiranya guru telah menyediakan beberapa soalan? Akan aktifkah murid? Anda tahu jawapannya.

Situasi A banyak kita temui dalam kuliah-kuliah agama di masjid dan surau (satu bentuk penerusan tradisi). Kelas agama di masjid atau surau juga adalah proses pembelajaran tetapi memang agak sukar untuk mengajak manusia (gurunya) beranjak daripada cara tradisi di mana para pendengarnya pasif kepada melibatkan agar para pendengar turut aktif dalam proses pembelajaran. Malangnya tradisi di masjid dan surau ini sering terbawa-bawa ke dalam kelas. Adakah dengan terlaksananya situasi B di dalam bilik darjah, maka murid hilang adab belajar dan hormat terhadap guru? 

Situasi A boleh diumpamakan sebagai pengisian air ke dalam gelas (dan gelas itu tidak berbuat apa-apa: pasif). Situasi B pula umpama memberikan lilin bercahaya kepada murid. Situasi A ialah memberikan ikan tetapi situasi B adalah mengajarkan kemahiran membuat joran dan memancing.

Berbalik kepada pembelajaran aktif, untuk memastikan pembelajaran aktif berlaku, beberapa elemen perlu terlaksana di dalam kelas.

1.       Murid diminta memberi idea serta cadangan, pandangan, berbincang, menyoal.
2.       Murid perlu mendengar maklumat yang bermakna dengan mengaitkan ilmu baru dengan pengetahuan sedia ada (guru boleh melakukan semakan atau membuat penilaian formatif secara lisan)
3.       Murid perlu terlibat dengan aktiviti lisan seperti perbincangan dan kolaborasi, menulis kritikal dan kreatif, melukis, melakar atau melakukan sesuatu (mind/head-on, hands-on dan feel/heart/emotion-on)
4.       Murid perlu terlibat dengan aktiviti membaca (bukan sekadar paroting atau mengajuk), mencari serta mengumpul maklumat relevan.
5.       Murid perlu melakukan aktiviti refleksi pelajaran: apakah yang telah dipelajari, apakah maknanya, bagaimana perasaan setelah melalui proses pembelajaran, apakah yang akan dilakukan sebagai lanjutan, apakah yang telah dilakukan, bagaimana menambahbaik amalan pembelajaran topik atau konsep berkenaan dan sebagainya.


     Beberapa Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Aktif 

  1.Kerja Lapangan beserta refleksi:
  2.Pembelajaran kumpulan kecil / koperatif dan kolaboratif:
  3. Penyoalan Sokratik:  
  4. Sumbangsaran:
  5. Aplikasi Peta minda:
  6. Aplikasi Peta konsep:
  7. Analogi kognitif:
  8. Kajian kes:
  9. Simulasi:
 10.Main peranan:
 11. Debat dan hujah:
 12. Perbincangan meja bulat:




No comments:

Post a Comment