Thursday, 20 September 2012

Lagi pasal Jurnal Reflektif


Bahan ini dipetik daripada Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2010) Rancangan Pengajaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Puchong. Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Jurnal Reflektif: Jurnal Reflektif merupakan satu bentuk penulisan ilmiah mengenai sesuatu peristiwa, masalah, pencapaian atau bidang yang perlu diberi penekanan oleh guru berkaitan dengan pengalaman mengajar atau semasa melakukan sesuatu tugas untuk menggalakkan pemikiran reflektif. Jurnal bertujuan membantu bakal guru merenung, menilai dan menjadikannya sebagai asas untuk mengambil tindakan susulan bagi menyelesaikan sesuatu masalah / meningkatkan lagi keberkesanan mengikut jangka masa yang ditetapkan sendiri. Proses penulisan jurnal boleh berbentuk formal atau tidak formal. Ia boleh dalam bentuk penggambaran satu peristiwa yang signifikan atau satu aspek pembelajaran yang perlu diberikan tumpuan oleh murid.

 

Cadangan untuk menulis jurnal reflektif:

1. Gunakan agenda

  • Jelaskan konteks masalah atau isu yang timbul.
  • Apakah maklumat tambahan yang boleh digunakan?
  • Apakah kaitannya dengan isu-isu yang lain? Apakah dan siapakah yang boleh membantu?
  • Apakah andaian saya? Bagaimana saya menguji andaian-anadain tersebut?
  • Apakah yang boleh saya lakukan untuk menghasilkan perubahan?
  • Apakah kemungkinan hasilnya?
  • Apakah tindakan yang perlu saya ambil? Mengapa?
  • Senarai hasil yang ingin dicapai.
  • Refleksi ke atas hasil yang diperolehi.
  • Apakah yang perlu saya lakukan pada masa akan datang?

2. Fokus kepada pengalaman dan fikirkan apa yang perlu ditulis

Renungkan tentang pembacaan yang pernah dibuat berkaitan pengajaran dan pembelajaran dan gunakan soalan-soalan di bawah sebagai panduan.
  • Apakah prinsip-prinsip pengajaran dan pembelajaran yang boleh dikaitkan dengan peristiwa yang berlaku?
  • Apakah yang boleh saya ubah berkaitan dengannya?
  • Apa akan terjadi sekiranya saya mengubahnya?

 

3. Fokuskan peristiwa kritikal yang terjadi di dalam bilik darjah.

  • Jelaskan peristiwa berkenaan sejelas mungkin.
  • Apakah andaian-andaian yang telah saya gunakan?
  • Adakah cara lain untuk melihat peristiwa ini?
  • Bagaimana murid akan menjelaskan tentang peristiwa ini?
  • Apa yang boleh saya lakukan?

 

4. Ambil kira apa yang anda pelajari

  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang pembelajaran murid?
  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang pengajaran saya?
  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang murid saya?
  • Bagaimanakah pengajaran yang saya perolehi dapat membantu pembelajaran murid saya?

Hatton dan Smith (1995) menyatakan terdapat empat tahap penulisan yang dikenalpasti dalam penulisan jurnal refleksi oleh guru-guru dalam seliaan beliau iaitu penulisan deskriptif, refleksi deskriptif, refleksi dialog dan refleksi kritikal.

Penulisan deskriptif merupakan penulisan yang menerangkan keadaan atau peristiwa di bilik darjah dengan hanya menulis tarikh, tempat tanpa sebarang penerangan mengenai sebab, akibat dan kaitan peristiwa dan kesannya terhadap sikap dan kepercayaan penulis.

Contohnya, Rabu (16/09/09), Tahun 3M, kebanyakan murid berbuat bising dan berbual sesama sendiri semasa penerangan menyelesaikan masalah operasi bercampur nombor bulat dijalankan. Hanya beberapa orang murid sahaja yang memberikan perhatian. Secara keseluruhannya kelas berada dalam keadaan yang sukar dikawal.

Refleksi deskriptif adalah penulisan yang mempunyai penerangan sebab dan akibat mengenai peristiwa yang terjadi secara jelas dengan ciri-ciri ta’akulan dan renungan terhadap peristiwa dan memberi alasan dan justifikasi ke atas perkara yang berlaku.

Contohnya, kebanyakan murid mendiamkan diri dan menundukkan muka apabila diajukan soalan. Mungkin kerana mereka malu sekiranya jawapan yang diberikan tidak menepati  jawapan yang sebenar. Mungkin juga mereka merasa takut kalau jawapan yang diberikan kelihatan bodoh dan menjadi bahan ejekan kawan-kawan.

Penulisan refleksi dialog adalah penulisan refleksi yang mengandungi kata-kata merujuk kepada bisikan hati guru kepada peristiwa yang sedang direnungkannya. Penulisan ini boleh dilihat dengan mudah bila guru mengemukakan soalan dan menjawab persoalan yang difikirkan sendiri. Ia seakan-akan satu perbincangan dengan diri sendiri.

Contohnya, mengapa murid kurang berminat dengan pelajaran hari ini? Adakah saya suara saya yang agak kuat pada hari ini menjadi puncanya? Adakah kesan marah saya pada awal pengajaran menyebabkan mereka begitu? Ya, mereka pasti takut.

Refleksi kritikal adalah jenis penulisan refleksi yang mengaitkan peristiwa di bilik darjah dengan hal-hal di luar rutin bilik darjah. Ianya lebih menekankan kaitan peristiwa dengan hal-hal seperti falsafah diri guru sendiri, falsafah mata pelajaran, perancangan, isu-isu pengajaran dan pembelajaran, perpaduan, politik, ekonomi dan sosial.

Contohnya, Murid kurang memberi perhatian. Sebagai guru, saya perlu mengenalpasti apakah yang menyebabkan murid jadi begitu dan tidak seperti lazimnya. Semasa mengajar saya kurang melibatkan mereka dan kaedah ini menyebabkan mereka jadi pasif (refleksi dalam tindakan). Mengapa saya tidak terlintas untuk menukar kaedah waktu itu (releksi atas tindakan)? Saya harus menukar kepada kaedah yang boleh melibatkan murid secara menyeluruh seperti melalui kaedah pembelajaran koperatif dan kolaboratif dalam kumpulan kecil (refleksi untuk tindakan).

No comments:

Post a Comment