Terdapat beberapa soalan yang ingin saya kemukakan iaitu adakah dengan doa tersebut maka ia bermakna murid telah berniat untuk belajar kerana Allah (sebagai satu amalan atau ibadat)? Kalau pun ia sudah termaklum masuk ke dalam niat yang disengajakan, sejauh mana pula murid menyedari bahawa ia sebenarnya bertanggungjawab ke atas niat belajar tersebut? Atau ada di kalangan murid yang sekadar mengeluarkan ucapan umpama burung kakak tua yang boleh berkata tanpa memahami dan bertanggungjawab dengan kata-kata tersebut (dan belajar sambil lewa)? Elok kita lihat senario yang berlaku dalam kelas Pendidikan Islam. Andainya kajian dibuat melalui temubual, mungkinkah ramai bilangan murid yang tidak dapat mengaitkan doa dengan niat? Untuk berdoa sendiri memerlukan niat.
Katakanlah semasa ingin berdoa telah termaktub niat untuk belajar lillahi taala. Persoalannya sejauh mana secara sedar murid memang memasang niat untuk belajar lillahi taala? Atau tidak sedar? Kalau tidak sedar, bagaimana niat itu disengajakan (intentionally) atau memang berlaku secara tidak sengaja (terlazim)? Atau belajar disebabkan mata pelajaran berkenaan terdapat dalam jadual waktu (kurikulum)? Perkara yang membezakan antara ibadat dan bukan ibadat ialah niat. Bukan semua yang berhijrah dari Makkah ke Madinah mempunyai niat hijrah kerana Allah dan Rasul. Terdapat perbezaan yang besar antara belajar untuk pandai atau kerana terpaksa dengan belajar sebagai satu ibadah kerana Allah dan Rasul.
Segala persoalan ini timbul apabila saya melihat impak mempelajari Pendidikan Islam ke atas penghayatan adalah agak tipis. Gejala kemungkaran di kalangan murid Islam sekolah rendah memang boleh ditutup tetapi kita memang sedar ia sebenarnya berlaku. Artikel ini ditulis bukan bertujuan mencari kesalahan sesiapa tetapi apa dan bagaimana boleh dilakukan agar murid yang mempelajari Pendidikan Islam akan benar-benar terdidik dengan akhlak Islam. Saya melihatnya dengan adanya niat yang membolehkan murid sedar tanggungjawab mereka tentang pelajaran Pendidikan Islam, mungkin dapat membantu. Dan niat tersebut mungkin dapat menjadi pemangkin terkabulnya doa belajar yang dilakukan pada awal pelajaran kerana niat seseorang itu akan mempengaruhi tingkahlakunya. Apa kata kalau kita stres atau berikan penekanan kepada niat dan diikuti dengan doa sebelum belajar? Begitulah yang tuan-tuan guru lakukan apabila menekankan kepentingan lafaz niat (untuk solat dan ibadat lain) dan bukan sekadar lintasan di dalam hati. Salahkah mencuba? Kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam waktu terdekat. Mungkin ada yang membantah kerana tidak ada bukti yang menyokong (khususnya golongan positivists yang memerlukan bukti empirikal). Kaum terdahulu banyak meminta bukti daripada Tuhan tetapi setelah bukti diberikan pun mereka masih tidak percaya. Dan ramai terus bersikap reaktif dengan peristiwa meskipun diberitahu berkali-kali agar bersikap proaktif. Kita juga akan begitukah?
Seringkali terjadi umat Islam adalah umat yang terkemudian walaupun dalam kuliah agama ramai cendekiawan Islam kata umat Islam patut mendahului dan menjadi contoh. Buktinya, apabila orang lain telah adakan Bank Konvensional, lama kemudian baru wujud bank dengan amalan islam tanpa riba. Begitu juga dengan Insurans, penciptaan pelbagai peralatan dan sebagainya. Ayuh, Guru Pendidikan Islam perlu memulakan langkah menjadi contoh.
Marilah kita cuba.
No comments:
Post a Comment