- Tidak dapat membezakan antara reka bentuk Kajian Tindakan dengan reka bentuk Kajian Konvensional. Lazimnya guru tersalah kerana telah memilih reka bentuk kajian konvensional dengan tujuan untuk melihat sebab dan akibat (keberkesanan). Contohnya, korelasi antara dua pembolehubah atau kajian perbandingan antara kumpulan yang menerima rawatan dengan kumpulan yang tidak menerima rawatan (sebab-akibat).
- Tidak mematuhi format serta rubrik penilaian yang dikemukakan oleh IPG, sebaliknya melakukan ikut suka hati sahaja berdasarkan contoh yang lazimnya diperolehi daripada rakan atau Internet tanpa pengesahan sumber yang diperakui sah dan dipercayai. Contoh begini lazimnya dimuat naik oleh pengkaji setelah menyelesaikan tugasan kerana takjub dengan kajian yang telah dihasilkan tanpa mengira kualiti.
- Kitaran tindakan hanya berlaku sekali sahaja yang menunjukkan TIDAK ada isu baru yang berkaitan timbul atau kerana menganggap masalah telah dapat diselesaikan. Jelasnya, proses refleksi ke atas amalan dan tindakan telah TIDAK berlaku secara sempurna. Ini bertentangan dengan semua model Kajian Tindakan yang dikemukakan oleh pakar-pakar Kajian Tindakan iaitu adanya kitaran lanjutan atau kitaran baru diperlukan. Kajian Tindakan BUKAN satu kajian penyelesaian masalah tetapi merupakan kajian penambahbaikan amalan bekerja. Sebagai kajian penambahbaikan, sifatnya berterusan dan tidak terhenti pada satu penyelesaian (yang masih boleh diragui keupayaan penyelesaian tersebut untuk diaplikasikan pada situasi, masa, tempat dan kumpulan yang lain) walaupun kajian lanjutan itu mungkin tidak dilakukan atas pelbagai sebab. Satu perkara lagi ialah kajian yang dijalankan hanya berfokus kepada peserta yang menjadi pilihan berdasarkan ciri-ciri tertentu, dan ini menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan kaedah dan teknik baru itu pula menimbulkan isu kepada kumpulan murid yang lain.
- Sangat kurang mendapatkan sokongan literatur untuk menyokong pernyataan yang dikemukakan. Kebanyakan pernyataan yang dikemukakan lebih bersifat opinionated statements (andaian dan pandangan yang bersifat syok sendiri) tanpa bukti yang sah.
- TIDAK melakukan tinjauan awal untuk mendapatkan maklumat dan data awal secara teratur dan kemas. Kebanyakannya melakukan tanpa struktur soalan / item yang dapat menjurus kepada isu yang dikaji sebaliknya bertanyakan soalan yang terlintas di kepala sahaja pada waktu melakukan temubual atau pemerhatian. Pemerhatian yang dilakukan tidak berfokus kepada isu yang dikaji di samping sangat kurang menggunakan jurnal refleksi guru sebagai salah satu alat utama. Pelajar lebih cenderung menggunakan soal selidik yang kurang relevan dengan bilangan responden yang sedikit dan boleh ditemui setiap hari dalam bilik darjah. Temubual yang dilakukan lebih bersifat ingin mengesahkan data dan BUKAN untuk mendalami maklumat dengan tujuan interpretasi dan mencari makna.
- Kesalahan refleksi pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus untuk menyalahkan atau melemahkan pihak lain (murid, kaedah pengajaran atau institusi) dan bukan untuk melihat kekuatan dan khususnya kelemahan diri sendiri (dari sudut penguasaan ilmu dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran).Terdapat 3 elemen utama yang perlu dibuat refleksi iaitu pengajaran guru, pembelajaran guru (apa yang guru pelajari daripada peristiwa yang berlaku) serta nilai pendidikan yang menjadi pegangan tetapi bertentangan dengan apa yang diamalkan (living contradiction) dan telah menyebabkan isu atau fenomena atau masalah tersebut menjadi perhatian.
- Di bawah tajuk Fokus Kajian, jarang sekali dikemukakan data lengkap yang telah dibuat analisis ekoran daripada tinjauan awal. Pandangan peribadi ke atas sesuatu data / maklumat tidak disokong dengan sorotan literatur. Komponen kecil Fokus Kajian tidak disentuh (kerelevanan, kebolehan mengurus, keserasian, kepentingan, kawalan dan kolaborasi). Penjelasan tentang kriteria kerelevanan, kebolehan mengurus (kebolehtadbiran), keserasian, kepentingan, kawalan dan kolaborasi sering disalah fokuskan kepada tindakan yang dijalankan. Padahal kriteria tersebut merujuk kepada kriteria kajian yang menjelaskan adakah kajian itu relevan dan penting untuk dilakukan? adakah kajian itu boleh dilakukan tanpa mengganggu murid lain yang bukan peserta atau tanpa menjejaskan proses pdp yang berlangsung? adakah kajian itu memberi peluang untuk melakukan kolaborasi dengan pakar? Kesalahan kebanyakan pengkaji novis ialah apabila memfokuskan kriteria tersebut kepada kaedah, teknik atau bahan yang digunakan.Kriteria kajian tersebutlah yang akan membantu menentukan trustworthiness seperti yang dijelaskan oleh Lincoln dan Guba (1985).
- Tidak dapat mengaitkan data-data yang diperoleh melalui instrumen mengumpul data yang berlainan (gagal membuat triangulasi data) dan jarang sekali melibatkan triangulasi sumber data, triangulasi penyelidik, triangulasi methodologi pengumpulan data, triangulasi teori, triangulasi masa atau triangulasi analisis data. Pemerhatian dan temubual dengan murid tidak difokuskan kepada respons (tingkah laku covert dan bahasa badan) murid terhadap pengajaran dan pembelajaran. Sebaliknya difokuskan kepada salahlaku murid di dalam kelas (seperti mengantuk, berbual, bermain, berjalan-jalan, mengganggu rakan dan sebagainya) tanpa mengaitkannya (relate) dengan amalan bekerja harian yang ingin dibuat penambahbaikan (aplikasi kaedah dan teknik pengajaran).
- Tidak mengambil kira sudut pandangan / perspektif murid tentang sesuatu kaedah atau teknik pengajaran yang diamalkan. Matlamat melakukan Kajian Tindakan adalah untuk penyelidik menambahbaik amalan bekerja. Ini juga bermakna peningkatan pembelajaran murid. Oleh itu pandangan murid dalam menentukan kaedah serta teknik pengajaran perlu diambil kira (need assessment). Contohnya, tidak semua permainan sesuai untuk semua tahap murid agar mereka bermotivasi untuk belajar. Hanya murid sendiri yang tahu bentuk permainan yang boleh memotivasikan mereka secara khusus.
- Tidak menulis sumber rujukan mengikut format yang diminta (format APA) dan bilangan bahan rujukan yang terlalu sedikit (menunjukkan kurang membuat tinjauan literatur).
RENUNGAN
"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."
Monday, 15 April 2013
Kesalahan lazim semasa melakukan Kajian Tindakan oleh pelatih guru di IPG
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment