Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday, 15 April 2013

Inovasi dalam pengajaran Pendidikan Islam



Assalamualaikum

Kita tidak sekali-kali menafikan ketokohan Rasulullah saw sebagai pendidik agung yang telah berjaya membentuk jiwa-jiwa yang beriman, meskipun tidak semua yang mendengar seruan turut menyertai risalah yang disampaikan. Begitu banyak teknik dan kaedah yang telah digunakan oleh baginda Rasulullah saw yang diaplikasikan berdasarkan kepada situasi dan mad’u yang menerima pengajaran. Kesemuanya dilaksanakan sesuai dengan keadaan teknologi yang ada pada waktu itu.

Pada hari ini kita saksikan perkembangan teknologi yang telah melenyapkan sempadan ilmu mengikut daerah, negeri mahu pun negara. Peralatan pendidikan seperti web 2.0 serta gadget komunikasi yang canggih , telah mengisi ruang-ruang kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran yang ada atas nama inovasi dan kreativiti. Perolehan serta pembinaan ilmu kian menjadi meluas dan pada kadar perkembangan yang pantas.

Apa yang agak menyedihkan ialah apabila segala kemajuan ini tidak dapat digunakan serta diintegrasikan dengan kaedah serta teknik pada zaman keagungan Islam. Teknologi, meskipun telah diterima, tetapi dalam amalan pengajaran guru-guru Pendidikan Islam masih lagi bercorak tradisional. Penerangan sehala dan latih tubi tetap menjadi pilihan kebanyakan para guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan yang sempat saya tinjau. Contoh teladan (akhlak, adab mahupun semangat belajar) agak kurang diberikan perhatian apabila guru-guru sendiri tidak serius untuk menjadi co-learner di dalam kelas dan tidak menunjukkan kecenderungan untuk meningkatkan profesionalisme. Amalan refleksi (muhasabah) lebih bersifat menuding jari (projeksi) kepada kesalahan serta kesilapan murid apabila mereka tidak menguasai (mastering) pelajaran. Bukan seluruhnya bertujuan untuk mengoreksi serta menambahbaik (correct and improve) corak pengajaran dan pembelajaran guru sendiri. Tidak dinafikan adanya segelintir yang berkembang selaras dengan tuntutan era baru pendidikan tapi…. hanya segelintir. Ramai yang menjadi ahli kepada laman sosial tetapi jarang sekali digunakan untuk membincangkan isu professional keguruan walaupun anggota laman tersebut terdiri daripada guru dan pendidik Pendidikan Islam pelbagai peringkat. Terdapat sesetengah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran tetapi forbidden from access yang masih menggambarkan betapa kedekutnya dengan ilmu padahal ilmu yang ada perlu dimanfaatkan melalui sebaran dan boleh dijadikan sebagai sedekah.

Blog pendidikan…. agak banyak tetapi kesahan dan kebolehpercayaan bahan adakalanya diragui dan sesetengahnya merupakan bahan yang dikutip daripada blog lain tanpa membuat penilaian ke atas kontennya dan tanpa memberikan kredit kepada penulis asalnya atau menyatakan sumber asalnya.  Terdapat juga blog guru pendidikan islam tetapi tidak ada update dibuat (mati setelah 6 bulan hingga setahun setengah dilancarkan). 

Blog Us Abdul Somad di http://ustazabdulsomad.blogspot.com/search?updated-min=2012-01-01T00:00:00%2B08:00&updated-max=2013-01-01T00:00:00%2B08:00&max-results=2 boleh diterima kontennya cuma maklumat menunjukkan beliau adalah petugas di JPN dan bukan guru yang mengajar di sekolah. Guru agama di sekolah?   Blog lain yang boleh dilawati untuk mendapatkan maklumat atau konten pelajaran di sekolah ialah:
http://ependidikanislam.blogspot.com/  Yang lain, banyak masalah!!!!
  

Perisian komputer digunakan tetapi sekadar perisian seperti MS PowerPoint untuk menyokong penjelasan dan penerangan atau MS Word yang digunakan sebagai ganti mesin taip. MS Excel agak jarang digunakan. Begitu banyak ciri-ciri pada perisian tersebut yang masih asing kepada guru khususnya GURU PENDIDIKAN ISLAM di Malaysia.

Ramai guru yang mempunyai e-mail yang boleh digunakan untuk mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran tetapi jarang digunakan untuk tujuan kolaborasi perkara berkaitan perkembangan pendidikan. Kebanyakan forum melibatkan kolaborasi sesama murid / pelajar dan jarang sekali melibatkan pandangan guru. Hal ini sangat berbeza dengan ruang forum pendidikan dalam Bahasa Inggeris (maknanya bukan melibatkan konten Pendidikan Islam di Malaysia) yang melibatkan pandangan pakar pendidikan.

Kesalahan lazim semasa melakukan Kajian Tindakan oleh pelatih guru di IPG

 

  1. Tidak dapat membezakan antara reka bentuk Kajian Tindakan dengan reka bentuk Kajian Konvensional. Lazimnya guru tersalah kerana telah memilih reka bentuk kajian konvensional dengan tujuan untuk melihat sebab dan akibat (keberkesanan). Contohnya,  korelasi antara dua pembolehubah atau kajian perbandingan antara kumpulan yang menerima rawatan dengan kumpulan yang tidak menerima rawatan (sebab-akibat).
  2. Tidak mematuhi format serta rubrik penilaian yang dikemukakan oleh IPG, sebaliknya melakukan ikut suka hati sahaja berdasarkan contoh yang lazimnya diperolehi daripada rakan atau Internet tanpa pengesahan sumber yang diperakui sah dan dipercayai. Contoh begini lazimnya dimuat naik oleh pengkaji setelah menyelesaikan tugasan kerana takjub dengan kajian yang telah dihasilkan tanpa mengira kualiti.
  3. Kitaran tindakan hanya berlaku sekali sahaja yang menunjukkan TIDAK ada isu baru yang berkaitan timbul atau kerana menganggap masalah telah dapat diselesaikan. Jelasnya, proses refleksi ke atas amalan dan tindakan telah TIDAK berlaku secara sempurna. Ini bertentangan dengan semua model Kajian Tindakan yang dikemukakan oleh pakar-pakar Kajian Tindakan iaitu adanya kitaran lanjutan atau kitaran baru diperlukan. Kajian Tindakan BUKAN satu kajian penyelesaian masalah tetapi merupakan kajian penambahbaikan amalan bekerja. Sebagai kajian penambahbaikan, sifatnya berterusan dan tidak terhenti pada satu penyelesaian (yang masih boleh diragui keupayaan penyelesaian tersebut untuk diaplikasikan pada situasi, masa, tempat dan kumpulan yang lain) walaupun kajian lanjutan itu mungkin tidak dilakukan atas pelbagai sebab. Satu perkara lagi ialah kajian yang dijalankan hanya berfokus kepada peserta yang menjadi pilihan berdasarkan ciri-ciri tertentu, dan ini menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan kaedah dan teknik baru itu pula menimbulkan isu kepada kumpulan murid yang lain.
  4. Sangat kurang mendapatkan sokongan literatur untuk menyokong pernyataan yang dikemukakan. Kebanyakan pernyataan yang dikemukakan lebih bersifat opinionated statements (andaian dan pandangan yang bersifat syok sendiri) tanpa bukti yang sah.
  5. TIDAK melakukan tinjauan awal untuk mendapatkan maklumat dan data awal secara teratur dan kemas. Kebanyakannya melakukan tanpa struktur soalan / item yang dapat menjurus kepada isu yang dikaji sebaliknya bertanyakan soalan yang terlintas di kepala sahaja pada waktu melakukan temubual atau pemerhatian. Pemerhatian yang dilakukan tidak berfokus kepada isu yang dikaji di samping sangat kurang menggunakan jurnal refleksi guru sebagai salah satu alat utama. Pelajar lebih cenderung menggunakan soal selidik yang kurang relevan dengan bilangan responden yang sedikit dan boleh ditemui setiap hari dalam bilik darjah. Temubual yang dilakukan lebih bersifat ingin mengesahkan data dan BUKAN untuk mendalami maklumat dengan tujuan interpretasi dan mencari makna.
  6. Kesalahan refleksi pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus untuk menyalahkan atau melemahkan pihak lain (murid, kaedah pengajaran atau institusi) dan bukan untuk melihat kekuatan dan khususnya kelemahan diri sendiri (dari sudut penguasaan ilmu dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran).Terdapat 3 elemen utama yang perlu dibuat refleksi iaitu pengajaran guru, pembelajaran guru (apa yang guru pelajari daripada peristiwa yang berlaku) serta nilai pendidikan yang menjadi pegangan tetapi bertentangan dengan apa yang diamalkan (living contradiction) dan telah menyebabkan isu atau fenomena atau masalah tersebut menjadi perhatian.
  7. Di bawah tajuk Fokus Kajian, jarang sekali dikemukakan data lengkap yang telah dibuat analisis ekoran daripada tinjauan awal. Pandangan peribadi ke atas sesuatu data / maklumat tidak disokong dengan sorotan literatur. Komponen kecil Fokus Kajian tidak disentuh (kerelevanan, kebolehan mengurus, keserasian, kepentingan, kawalan dan kolaborasi). Penjelasan tentang kriteria kerelevanan, kebolehan mengurus (kebolehtadbiran), keserasian, kepentingan, kawalan dan kolaborasi sering disalah fokuskan kepada tindakan yang dijalankan. Padahal kriteria tersebut merujuk kepada kriteria kajian yang menjelaskan adakah kajian itu relevan dan penting untuk dilakukan? adakah kajian itu boleh dilakukan tanpa mengganggu murid lain yang bukan peserta atau tanpa menjejaskan proses pdp yang berlangsung? adakah kajian itu memberi peluang untuk melakukan kolaborasi dengan pakar? Kesalahan kebanyakan pengkaji novis ialah apabila memfokuskan kriteria tersebut kepada kaedah, teknik atau bahan yang digunakan.Kriteria kajian tersebutlah yang akan membantu menentukan trustworthiness seperti yang dijelaskan oleh Lincoln dan Guba (1985).
  8. Tidak dapat mengaitkan data-data yang diperoleh melalui instrumen mengumpul data yang berlainan (gagal membuat triangulasi data) dan jarang sekali melibatkan triangulasi sumber data, triangulasi penyelidik, triangulasi methodologi pengumpulan data, triangulasi teori, triangulasi masa atau triangulasi analisis data. Pemerhatian dan temubual dengan murid tidak difokuskan kepada respons (tingkah laku covert dan bahasa badan) murid terhadap pengajaran dan pembelajaran. Sebaliknya difokuskan kepada salahlaku murid di dalam kelas (seperti mengantuk, berbual, bermain, berjalan-jalan, mengganggu rakan dan sebagainya) tanpa mengaitkannya (relate) dengan amalan bekerja harian yang ingin dibuat penambahbaikan (aplikasi kaedah dan teknik pengajaran).
  9. Tidak mengambil kira sudut pandangan / perspektif murid tentang sesuatu kaedah atau teknik pengajaran yang diamalkan. Matlamat melakukan Kajian Tindakan adalah untuk penyelidik menambahbaik amalan bekerja. Ini juga bermakna peningkatan pembelajaran murid. Oleh itu pandangan murid dalam menentukan kaedah serta teknik pengajaran perlu diambil kira (need assessment). Contohnya, tidak semua permainan sesuai untuk semua tahap murid agar mereka bermotivasi untuk belajar.  Hanya murid sendiri yang tahu bentuk permainan yang boleh memotivasikan mereka secara khusus.
  10. Tidak menulis sumber rujukan mengikut format yang diminta (format APA) dan bilangan bahan rujukan yang terlalu sedikit (menunjukkan kurang membuat tinjauan literatur).