Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Saturday, 6 August 2016

KBAT Tidak Mengelirukan



Artikel ini ditulis ekoran permintaan seorang pendidik (nama dirahsiakan) yang mengajar di sebuah institusi pendidikan di semenanjung (Malaysia Barat) tetapi masih keliru mengenai elemen KBAT dalam perancangan pengajaran meskipun beliau telah berkali-kali mengikuti kursus-kursus KBAT. Jangkaan saya adalah ekoran daripada bahan yang agak mengelirukan yang diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014, dengan judul Elemen KBAT Dalam Pedagogi.Mari kita lihat apakah isunya.

Saya tidak bertujuan mempertikaikan apa yang telah dihasilkan oleh PPK. Saya cuma meminta guru-guru semua, khususnya guru Pendidikan Islam, agar menjadi lebih peka dengan kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang diperoleh.

Pengajaran dan pembelajaran ke tahap KBAT

Apabila bercakap tentang KBAT sebagai elemen dalam pedagogi, kebanyakan guru melihatnya sebagai penggunaan elemen penyoalan dan teknik penyoalan. Mengapa? Tidak lain tidak bukan kerana bahan yang mereka peroleh daripada Bahagian Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia hanya mengemukakan soalan sebagai elemen dalam pedagogi meskipun buku tersebut telah menyenaraikan 6 alat berfikir.  Sebanyak 8 contoh mata pelajaran dikemukakan dan kesemua contoh hanya menggunakan elemen dan teknik penyoalan. Ia sangat tidak tepat dengan judul artikel yang seharusnya mengemukakan elemen KBAT dalam Pedagogi. Malah untuk dikategorikan sebagai pelbagai teknik mengemukakan soalan juga tidak tepat apabila penyoalan itu sendiri dilihat sebagai satu kaedah / teknik pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contoh soalan yang dikemukakan dalam bahan berkenaan tidak menjelaskan tentang teknik-teknik penyoalan.


Diperoleh dari:


Apakah Teknik Penyoalan?

Istilah teknik menjelaskan bagaimana melakukan sesuatu. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, teknik penyoalan menjelaskan kepada kita tentang bagaimana guru mengemukakan soalan kepada pelajar atau pelajar mengemukakan soalan antara sesama pelajar. Istilah "bagaimana" menjelaskan apa (aktiviti) dan cara melaksanakannya. Apabila kita membicarakan tentang teknik penyoalan, maka penjelasan ciri-ciri berikut menjadi lebih bermakna.

A)   Soalan Lisan dan Tulisan (tulisan tangan atau bercetak)

B)   Soalan terbuka dan tertutup.

C)   Penggunaan 6 jenis soalan-soalan Soktarik.

D)   Masa menunggu (waiting time).

E)   Tahap soalan (berdasarkan kepada Taksonomi Kognitif Bloom atau Anderson dan Krathwohl).

F)    Penggunaan 7 lingkaran soalan serta 5W1H.

G)   Mengulangi soalan.

H)   Menjawab soalan dengan soalan.

I)     ....dan banyak lagi.


Pedagogi

Guru perlu memahami apa erti pedagogi. Ringkasnya pedagogi (the science and art of teaching) bermaksud kaedah dan amalan pengajaran terutamanya dengan melibatkan mata pelajaran akademik atau konsep-konsep teoretikal. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, pedagogi menjelaskan dua perkara: pemindahan ilmu dan pembinaan ilmu. Ia berkenaan bagaimana guru memindahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar atau dalam konteks konstruktivisme, bagaimana guru membuatkan pelajar dapat membina ilmu pengetahuan serta dapat diaplikasikan ke dalam dunia sebenar. Guru akan menggunakan pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai dengan kumpulan murid / pelajar untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran berkesan.


Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

KBAT merupakan satu konsep reformasi pendidikan berdasarkan kepada taksonomi pembelajaran (kognitif). KBAT menjelaskan bahawa sesetengah pembelajaran memerlukan lebih kepada proses kognitif (berfikir) selain terdapat juga faedah lain daripada KBAT yang lebih umum. Proses berfikir memerlukan alat-alat berfikir seperti Peta Minda, Pengelola (Organizers), CoRT, Soalan dan sebagainya untuk membolehkan sesuatu konsep itu dibentuk atau dibina (concept formation) serta membolehkan konsep-konsep tersebut dikaitkan antara satu dengan lain (concept connection). Berdasarkan kepada Taksonomi Bloom (Bloom, 1956), tahap berfikir aras tinggi melibatkan proses penilaian, sintesis, analisis dan aplikasi. Sebaliknya melibatkan mencipta, menilai, menganalisis dan mengaplikasi jika disandarkaan kepada Taksonomi Anderson dan Krathwohl (2000). Proses mencipta, menilai, menganalisis dan mengaplikasi ini berlaku dalam pemikiran dan ditransformasikan dalam bentuk yang boleh dilihat, iaitu hasil proses kognitif tersebut, di atas kertas, dalam bentuk lakaran, objek atau pernyataan lisan.


Elemen KBAT dalam Pedagogi

Apabila kita ingin menyentuh tentang elemen KBAT dalam Pedagogi, kita perlu melihatnya dengan lebih luas dengan melibatkan aktiviti selain penyoalan. Contohnya aktiviti menyenarai, mencerakin, menghasilkan, mengaitkan, menggunakan, menyelesaikan masalah, kajian kes, mengklasifikasi, menunjuk cara, mengukur, menjangka, menterjemah, menggunakan peraturan atau rumus, mendefinisi, melakar, mencipta dan sebagainya yang boleh dilakukan dalam kelompok kecil, kelompok besar atau secara individu. Contohnya, sekumpulan 4 orang pelajar diminta melengkapkan atau menghasilkan satu lakaran untuk menjadi sesuatu yang bermakna kepada mereka dan diminta untuk menjelaskan mengapa ia dianggap bermakna.


Elemen KBAT dalam Pedagogi juga terdapat pada bahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Contohnya gambar objek tersembunyi (yang memerlukan pelajar mencari, dan menganalisis gambar berkenaan) dan seterusnya diikuti dengan aktiviti mencerakin dan menghimpunkan objek-objek tersebut mengikut kategorinya.


Termasuk dalam pedagogi juga adalah peranan guru dalam bilik darjah: pemudahcara, pendeta, perancang, pengatur, pengurus.... dan dalam konteks Islam, guru berperanan sebagai muallim, muaddib, mudarris, murabbi dansebagainya. Guru sebagai pemudahcara akan lebih banyak menggunakan elemen KBAT berbanding guru sebagai penyampai maklumat sehala seperti seorang pendeta atau khatib di mimbar masjid. 


Contoh yang mengelirukan

Berikut merupakan snapshot halaman 10, 11 dan 13 daripada bahan Elemen KBAT Dalam Pedagogi.


Meskipun halaman 10 ini memuatkan soalan aras rendah, soalan-soalan yang dikemukakan agak kurang jelas menepati tahap kognitif Mengingat dan Memahami. Soalan Apakah bahan tinggalan Sejarah yang terdapat dalam muzium? tidak mencapai tahap memahami. Pelajar hanya perlu ingat semula (setelah dipertunjukkan sama ada melalui gambar, tayangan video atau setelah sesi lawatan) apa bahan-bahan Sejarah yang terdapat dalam muzium dan menyatakan semula. Soalan tersebut hanya berada pada tahap mengingat. Cuba bandingkan dengan soalan bertikut:

Bahan tinggalan Sejarah yang bagaimanakah layak untuk disimpan dalam muzium? Soalan ini memerlukan pelajar benar-benar faham tentang ciri dan kualiti (nilai sejarah) bahan yang layak untuk disimpan dalam muzium. Bermakna, apa juga bahan yang mempunyai ciri dan kualiti (nilai sejarah) berkenaan (setelah difahami oleh pelajar) adalah layak untuk disimpan dalam muzium. Dengan pemahaman tentang ciri, kualiti serta nilai sejarah sesuatu bahan, pelajar akan dapat memberikan lebih banyak contoh seperti kapal terbang dan kapal perang lama yang terdapat di Muzium Angkatan Tentera atau dapur pembakar roti di Muzium Roti.

Untuk mata pelajaran Kemahiran Asas Individu (Masalah Penglihatan), soalan yang dikemukakan untuk aras memahami adalah ‘Apakah yang kamu gunakan untuk membersihkan meja?’. Soalan ini juga hanya pada aras mengingat. Pelajar hanya perlu mengingat apakah bahan yang telah digunakan (di rumah atau setelah dimaklumkan oleh guru)dan menjawab soalan tersebut. Jika diganti dengan soalan ‘Mengapakah meja makan perlu dibersihkan?’, maka pelajar perlu memahami aspek kebersihan dan kesihatan serta ciri alat yang boleh membersihkan terlebih dahulu untuk membolehkannya menjawab soalan dengan lebih baik.



Sekarang kita lihat pula contoh soalan aras tinggi untuk mata pelajaran Sejarah. Contoh soalan pada aras analisis ialah ‘Apakah perbezaan keluarga asas dengan keluarga kembangan? Soalan ini juga apabila diteliti, hanya patut berada pada aras mengingat atau memahami. Pelajar boleh sahaja menjawab soalan tersebut dengan membaca dan memahami petikan mengenainya. Untuk aras menganalisis, aktiviti menganalisis perlu berlaku dalam pemikiran. Contohnya, ‘Dengan berpandukan carta yang disediakan, apakah ciri-ciri yang membezakan antara keluarga asas daripada keluarga kembangan?’. Walau pun soalan masih bermula dengan kata tanya ‘Apakah’, namun untuk membezakan antara ciri keluarga asas dan keluarga kembangan, pelajar perlu melakukan analisis ke atas maklumat yang dikemukakan iaitu carta keluarga, atau untuk yang lebih sukar contohnya melalui kajian kes. Seterusnya pelajar perlu mengkategorikan maklumat tersebut kepada persamaan dan perbezaan sebelum dapat menjawab soalan. Terdapat kemungkinan pelajar menjawab soalan ‘Apakah perbezaan keluarga asas dengan keluarga kembangan?’ dengan betul tetapi jawapan yang betul, boleh sahaja diperoleh tanpa menganalisis data atau maklumat. Apa yang dikehendaki ialah proses menganalisis berlaku dalam pemikiran (barulah sampai ke tahap menganalissi) dan bukan sekadar memberi jawapan betul atau salah.


Soalan ‘Apakah kepentingan belajar Sejarah?’ tidak sampai kepada tahap menilai. Pelajar hanya perlu mengingat apa yang telah dijelaskan oleh guru dan menyatakan semula, malah boleh menjawab dengan betul tanpa perlu memahami fakta-fakta yang menjelaskan tentang kepentingan belajar Sejarah. Cuba bandingkan dengan soalan ‘Mengapakah Sejarah dikatakan sebagai mata pelajaran penting untuk dipelajari oleh semua murid / pelajar?’ Soalan begini baharulah pelajar perlu membuat penilaian tentang kepentingan Sejarah dari pelbagai perspektif. Jawapan kepada kedua-dua soalan mungkin sama tetapi proses dalam pemikiran tidak serupa.


Snapshot di atas diambil daripada halaman 13 untuk mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Soalan ‘Bagaimanakah ton boleh dicipta melalui garisan dalam mewujudkan bentuk ilusi? tidak menyebabkan ton terhasil tetapi sekadar penjelasan bagaimana ton terhasil. Soalan ini lebih tepat berada pada aras menganalisis. Bandingkan dengan soalan ‘Sekiranya anda diminta melukis sebuah kotak tiga dimensi hanya dengan menggunakan pensel, tunjukkan bagaimana anda dapat menghasilkannya?’ yang lebih jelas. Semua contoh yang dikemukakan dalam bahan edaran berkenaan hanya dalam bentuk soalan. namun begitu, seperti yang dijelaskan, KBAT tidak hanya bergantung kepada soalan. Untuk aras mencipta, guru boleh saja meminta pelajar menghasilkan lakaran objek menggunakan ton warna atau ton gelap terang pensel. Soalan akan muncul dalam pemikiran pelajar seperti "Nak lakar gambar apa?" dan "Bagaimana menggunakan ton untuk menghasilkan lakaran yang lebih bersifat seni?" Dua soalan begini akan menghasilkan lakaran dan itulah aras mencipta.


Contoh-contoh soalan yang dikemukakan dalam bahan ‘Elemen KBAT Dalam Pedagogi’ beginilah yang boleh mengelirukan pembaca. Terdapat beberapa contoh lain yang agak mengelirukan aras soalannya tetapi saya tidak menyentuh kesemuanya. Cukup sekadar contoh yang saya berikan. Para pembaca boleh fikirkan sendiri. Oleh itu, guru-guru Pendidikan Islam khususnya, perlu terlebih dahulu memahami makna tahap-tahap kognitif seperti yang dikemukakan oleh Anderson dan Krathwohl (2000), sebelum dapat membina soalan yang tepat dengan aras-aras tersebut.

Rumusannya, elakkan daripada melihat elemen KBAT hanya dalam bentuk aplikasi soalan semata-mata.