Sudah
lama sungguh saya tidak menulis dalam blog ini. Lazimnya saya hanya melihat
status pageviews dan memberi respons kepada komen (kalau ada). Melihat pada
status visitors... memang setiap hari ada. Kekadang melebihi 100 pengunjung
dalam sehari. Bila dah banyak menulis (95 posts semuanya)... rasa bagai tak
tahu apa lagi yang ingin dikongsikan berkaitan tujuan blog ini dilahirkan. Tak
mungkin nak masukkan resepi atau kisah-kisah yang tak berkaitan. Dua bulan lalu
dah terfikir nak tulis mengenai isu di bawah tapi baru hari ini dimulakan....
Mohon maaf.
Dalam ujian yang ditadbirkan bulan lalu, purata
skor yang diperoleh pelajar dalam kelas hanya 53. Apa sudah jadi? Leceh ni! Apa
kata ketua panitia nanti..... apa pula kata big boss. Tak bagus! Tak bagus!
Tapi saya dah bagitau mereka.... banyak kali...
“Baca topik niiiiii..... fahamkan benar-benar”...berbuih mulut, kata
oranglah... keputusannya... paling
tinggi skor yang diperoleh hanya 65. Adalah dalam 6 pelajar yang dapat skor
atas 60.
Ni tak lain sebab budak-budak tu tak belajar...
tak buat apa yang saya suruh.
Eh... apa kata "Bukan sebenarnya mereka tak belajar tapi mereka tak faham apa yang guru ajar dan terangkan". Sudah tentu kefahaman merupakan perkara asas dalam pembelajaran.
Apa
kata kalau pelajar anda sebenarnya keliru, malah tidak tahu apa yang
hendak ditanya agar boleh memahami penerangan guru tentang topik yang
dipelajari. Bagaimana kalau sebenarnya topik yang diajar itu memang sukar
hingga membuatkan pelajar anda tidak menumpukan perhatian dan tidak mahu
mengetahui lebih lanjut mengenainya?
Bila
pelajar tidak memahami apa yang guru ajarkan, apa yang boleh guru lakukan?
Pasti ada... Insya Allah ada jalannya... ni lirik lagu Maher Zain.
Apabila
pelajar keliru.....
1 1.
Tanya diri sendiri... sejauh
mana konsep yang diajar itu penting. Sekiranya pelajar anda bertungkus-lumus
cuba memahami konsep asas yang berkaitan dengan konsep baru yang akan diajar...
maka berhenti mengajar konsep baru tersebut. Pastikan konsep-konsep asas itu
benar-benar telah dikuasai sebelum mengajar konsep yang baru. Adalah lebih baik
andainya guru mengambil sedikit masa untuk menyemak serta membuat ulangkaji
tentang konsep-konsep terdahulu yang berkaitan. Guru perlu membuat pertimbangan
pro dan kons. Andainya konsep-konsep asas itu tidak begitu sukar untuk dibuat
ulangkaji maka guru bolehlah mengurangkan masa untuk mengulangkaji dan
seterusnya mula mengajar konsep yangbaru. Sebaliknya apabila guru sendiri tidak
pasti, maka lakukanlah apa yang paling baik untuk pelajar. Matlamatnya bukan
untuk memperbaiki skor ujian tetapi untuk pelajar dapat menguasai konsep
berkenaan agar dapat digunakan pada masa akan datang.
2. Perjelaskan konsep tersebut
sekali lagi. Andainya pelajar anda kelihatan keliru dengan topik penting yang
diajar, ulangi saja penerangan dan penjelasan mengenainya tetapi diiringi oleh soalan-soalan
penilaian formatif. Perhatikan petanda yang menunjukkan pemahaman pelajar. Kemukakan
soalan kefahaman secara rawak dan minta beberapa pelajar memberikan jawapan.
Semak dan perkukuhkan jawapan pelajar menggunakan ayat dan frasa yang lebih
mudah. Kenal pasti waktu mereka mula keliru dan ulang dari point tersebut tanpa
perlu mengulang dari awal. Kemukakan contoh-contoh dan ilustrasi (peta minda) yang
relevan serta konkrit dan tunjukkan perkaitan antara konsep-konsep yang
dipelajari mengikut konteks. Berikan latihan ringkas sebagai latihan
pengukuhan.
3. Gunakan pendekatan, strategi,
kaedah serta teknik lain untuk menjelaskan konsep berkenaan. Setelah mengulangi
penerangan dan penjelasan, anda dapati pelajar anda masih keliru, maka gunakan
cara lain untuk menyampaikannya. Fokuskan kepada strategi, kaedah serta teknik
tumpuan pelajar. Libatkan pelajar secara aktif. Sekiranya topik tersebut perlu
diulang pada waktu yang lain, pastikan anda dapatkan bantuan rakan atau ketua
panitia tentang kaedah yang lebih berkesan sebelum masuk ke kelas semula.
4. Cuba gunakan kaedah pengajaran “whole brain”. Pecahkan konsep yang besar
kepada konsep-konsep yang lebih kecil. Ajarkan setiap konsep kecil dalam waktu
yang agak ringkas tetapi boleh difahami. Berjalanlah dalam bilik darjah
terutamanya dengan menghampiri pelajar yang kelihatan keliru. Beri sedikit
bimbingan individu sebelum beralih kepada keseluruhan kelas.
5. Sekiranya perlu mengulangi
pengajaran pada waktu yang lain, pastikan untuk menyediakan bahan bantu belajar
(visual, audio visual, multimedia) dan laksanakan aktiviti hands-on, minds-on dan hearts-on.
6. Semak semula nilai pendidikan
anda dan perbetulkan nilai tersebut sekiranya perlu. Ajarkan pelajar
berdasarkan kepada nilai dan kepercayaan yang dijadikan pegangan.
Selamat mencuba.
Berikan komen ‘thumb up’ agar pembaca
lain boleh mencubanya andainya anda berjaya.