Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday, 26 September 2011

Pasal Kaedah Sumbangsaran

Kaedah dan teknik sumbangsaran digunakan secara meluas di sekolah kerana kaedah ini mampu menggalakkan murid untuk melibatkan diri secara aktif semasa menjalani latihan penjanaan idea untuk mendapatkan pelbagai dimensi penyelesaian masalah atau membuat pilihan. Dengan bertanyakan soalan-soalan interpretif, dan bukan soalan tertutup (memerlukan jawapan ya atau tidak) sumbangsaran dapat dilakukan secara produktif.

Kaedah dan teknik sumbangsaran boleh diaplikasikan untuk semua tahap keupayaan murid dan dalam semua senario pengajaran – dalam bilik darjah, makmal, semasa berdiskusi atau memberi kuliah. Sumbangsaran boleh dilaksanakan dengan beberapa cara seperti berikut:

Berstruktur: Topik atau tajuk pelajaran akan diberikan kepada seluruh ahli kelas dan setiap murid diminta untuk menyumbangkan idea. Kebaikan cara ini ialah kesemua murid akan terlibat untuk meyumbangkan idea dan tidak akan ada mana-mana murid yang mendominasi semasa sesi sumbangsaran dilaksanakan. Kelemahannya pula adalah seringkali perbincangan tidak berlaku secara bebas dan mungkin membuatkan murid merasa kurang selesa kerana belum sampai atau terlepas giliran untuk menyumbangkan idea.

Kumpulan berstruktur: Murid akan dibahagikan ke dalam kumpulan-kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan diberikan subtopik yang berlainan untuk dilakukan sumbangsaran dalam kumpulan dalam tempoh yang ditetapkan. Setiap kumpulan itu seterusnya akan membentangkan hasil sumbangsaran mereka kepada kelas. Cara ini dapat memberi ruang untuk murid mengemukakan idea dengan lebih bebas dan cepat kerana beberapa aktiviti sumbangsaran berlaku serentak. Cara ini juga akan menggalakkan sinergi dan komunikasi di kalangan murid.  

Tidak berstruktur: Murid dibenarkan untuk menyumbangkan idea apabila mereka merasakan demikian. Dengan cara ini idea akan dapat disumbangkan secara lebih bebas tanpa perlu mengikut giliran. Kelemahan menjalankan sumbangsaran tidak berstruktur ialah akan terdapat murid yang langsung tidak menyumbang apa-apa idea. 

Sumbangsaran Negatif: cara ini melibatkan proses menganalisis senarai pendek idea yang telah ada. Ada kalanya dengan melihat kelemahan sesuatu, idea yang lebih baik akan muncul untuk memastikan kelemahan tersebut dapat diatasi. Sumbangsaran negatif menggunakan soalan seperti “Apakah perkara yang mungkin dilihat sebagai kelemahan mendirikan solat fardu secara sendirian di rumah?”, “Bagaimana masalah ini boleh timbul”. Sumbangsaran negatif baik digunakan dalam keadaan sukar untuk mencari penyelesaian terus kepada sesuatu masalah.  

Panduan
1.    Pastikan setiap murid bersetuju dengan soalan yang dikemukakan. Tuliskannya di
papan tulis.
2.    Tidak mengkritik mana-mana idea yang disumbangkan.

2 comments:

  1. Assalamualaikum.. Maaf sy nk tnya berkenaan sumbang saran.. Cthnya ayat yg d berikan:
    1. Kegigihan Nabi Muhammad SAW dlm beribadat.
    2. Kegigihan murid dalam menuntut ilmu..
    Soalannya apakah sumbang saran berkenaan

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam
    Terima kasih kerana bertanyakan soalan. Perkara yang perlu kita sedari apabila ingin melaksanakan kaedah atau teknik sumbangsaran ialah mengenalpasti fokus isu yang ingin dibuat sumbangsaran. Dalam ayat yang pertama, kalau saya tidak silap, ialah tentang kegigihan beribadat. Ayat tersebut boleh ditukarkan kepada bagaimanakah Rasulullah SAW menunjukkan bahawa baginda gigih dalam beribadat? Soalan begini akan membuka peluang kepada pelbagai jawapan seperti bangun malam, sentiasa bestighfar, bertasbih dan sebagainya, berpuasa, membaca al Quran, mengajar al Quran dan berbagai lagi. Malah seluruh kehidupan baginda merupakan ibadat jika dilihat ibadat baginda dalam konteks yang luas.
    Begitu juga dengan ayat kedua tentang kegigihan menuntut ilmu itu ditukarkan kepadaayat tanya Bagaimanakan pelajar dapat menunjukkan kegigihan dalam menuntut ilmu? Soalan demikian akan mencetuskan jawapan yang pelbagai.
    Ertinya, untuk memudahkan proses sumbangsaran berkenaan, bagi sesetengah pernyataan adalah baik ditukarkan kepada bentuk soalan.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete