Pendahuluan
Selain memiliki ilmu pengetahuan atau
konten mata pelajaran yang mencukupi serlaras dengan peringkat tertentu
kurikulum standard yang telah ditetapkan, terdapat satu lagi elemen yang sangat
perlu dikuasai oleh guru dan bakal guru profesional iaitu kemahiran menyampaikan
konten sama ada pedagogikal (untuk kanak-kanak dan remaja) atau andragogikal
(untuk orang dewasa). Tulisan ini memfokuskan kepada kemahiran pedagogikal
sahaja. Sebenarnya telah banyak kajian dilakukan yang menunjukkan betapa
pentingnya kemahiran pedagogikal dikuasai oleh guru-guru di sekolah untuk
memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terlaksana secara efektif dan
efisien. Sekadar menguasai konten mata pelajaran semata-mata, tiada jaminan
seseorang guru dapat memastikan pelajar-pelajarnya dapat mengoptimumkan
pembelajaran mereka.
Apakah
pedagogi?
Secara umum pedagogi bermaksud sains dan seni mengajar. Meskipun
penerangan ini mudah tetapi tidak ramai guru yang benar-benar dapat mamahami
makna sains dan seni mengajar
meskipun telah bertahun-tahun melalui pengalaman mengajar. Contohnya, guru
tidak dapat menjelaskan mengapa ia melakukan apa yang dilakukan secara khusus
dalam bilik darjah. Pada tahun 1981, Brian Simon telah menulis satu kritikan
amalan pengajaran dengan menyatakan ‘tidak wujud sains seperti itu di England’.
Beliau membuat perbandingan antara pendidikan di England dengan beberapa negara
maju lain yang melihat pedagogi sebagai sains mengajar (science of teaching). Menurut Simon, amalan pengajaran di England
waktu itu sangat eklektik, matlamat serta kaedah yang diamalkan amat mengelirukan
tanpa berlandaskan kepada konsep dan falsafah yang jelas. Ekoran daripada
kritikan tersebut, kerajaan England telah mengeluarkan panduan mengajar
berdasarkan dapatan kajian tentang amalan pengajaran yang terbaik pada akhir
tahun 1990an dan projek hanya mula terlaksana pada tahun 1997 untuk sekolah
rendah dan untuk sekolah menengah pada tahun 2004 (Husbands dan Pearce, 2012).
Di Malaysia, saya belum menemukan
dapatan kajian tentang asas sains dan
seni sesuatu amalan pengajaran dan pembelajan guru-guru secara individu
seperti yang dilakukan oleh Simon di England. Namun begitu, untuk memahami
maksud sains dan seni mengajar, Marzano (2007) telah mengemukakan model untuk
memastikan keseimbangan antara keperluan kepada data kajian dengan keperluan
untuk memahami kekuatan dan kelemahan pelajar secara individu. Beliau
menggambarkan kerangka model dalam bentuk 10 soalan yang dapat menunjukkan
tentang turutan perancangan untuk reka bentuk pengajaran berkesan.
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk membina serta menyampaikan matlamat pembelajaran, mengesan kemajuan pelajar serta meraikan kejayaan?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk membantu pelajar berinteraksi dengan ilmu pengetahuan baharu secara efektif?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk membantu pelajar mengamalkan serta meningkatkan kefahaman mereka tentang ilmu pengetahuan yang baru dipelajari?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk membantu pelajar menjana serta menguji hipotesis tentang ilmu pengetahuan yang baru dipelajari?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk melibatkan kesemua pelajar saya dalam pembelajaran?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk membina atau mengekalkan peraturan dan prosedur bilik darjah?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk menyedari dan memperakui kepatuhan dan ketidakpatuhan terhadap peraturan dan prosedur bilik darjah?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk membina dan mengekalkan hubungan efektif dengan pelajar?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk menyampaikan ekspektasi yang tinggi kepada semua pelajar?
- Apakah yang perlu saya lakukan untuk menghasilkan pengajaran (lessons) yang efektif ke dalam satu unit yang mantap, saling berkaitan, konsisten dan tersusun?
Kesepuluh soalan yang dikemukakan oleh
Morzano (2007) bermula dengan kata tanya ‘Apakah’ dan memerlukan jawapan yang
telah dibuktikan melalui kajian-kajian lampau (oleh guru sendiri atau orang
lain) kerana melalui dapatan kajian lampau inilah akan diperoleh maklumat
tentang strategi yang berkesan (science
of teaching) manakala guru pula akan menentukan strategi manakah yang
menjadi pilihannya untuk sesuatu kelas secara khusus (art of teaching) dan bukan mencampur adukkan dengan menggunakan
istilah eklektik yang kabur tanpa benar-benar memahami dan menguasai strategi-strategi
tersebut. Secara langsung, soalan ‘Apakah’ dalam soalan-soalan di atas turut
memerlukan jawapan kepada soalan ‘mengapa’ (why)
dan ‘bagaimana’ (how) untuk
menjadikannya sah dan boleh dipercayai.
Pedagogi
Efektif
Guru yang berkesan akan menggunakan pelbagai
strategi pengajaran kerana sebenarnya tidak ada satu pendekatan universal yang sesuai dengan semua
keadaan. Strategi yang berlainan digunakan dalam gabungan yang berlainan, berdasarkan
kepada kumpulan pelajar yang berlainan, akan meningkatkan hasil pembelajaran. Sesetengah
strategi adalah lebih sesuai digunakan untuk mengajar kemahiran dan bidang ilmu
tertentu dan bukan untuk semua bidang ilmu. Terdapat pula strategi yang lebih
sesuai untuk pelajar dengan latar belakang, gaya dan kebolehan pembelajaran
tertentu.
Pedagogi yang berkesan menggabungkan
pelbagai strategi pengajaran yang menyokong penglibatan intelektual, berkait
dengan dunia yang lebih luas, menyokong persekitaran bilik darjah, dan mengiktiraf
perbezaan individu. Pedagogi begini perlu dilaksanakan untuk semua bidang
pembelajaran dan subjek utama. Amalan pedagogi berkesan akan menimbulkan rasa
selamat dalam kalangan pelajar, guru dan komuniti sekolah - ia meningkatkan
keyakinan pelajar dan guru serta menyumbang kepada menyedari tujuan serta
tanggungjawab mereka untuk berada di sekolah; ia memberi keyakinan kepada masyarakat
terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Pencapaian yang tinggi dalam sistem
pendidikan bergantung kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dalam kajian Machin
dan Murphy (2011) di United Kingdom, mereka telah merumuskan bahawa dengan
memiliki guru yang sangat efektif, dan bukan guru average, telah dapat meningkatkan gred pencapaian ujian (peperiksaan)
pelajar sebanyak 30%. Maksud guru sangat efektif, berdasarkan kepada banyak
kajian, adalah guru-guru yang mengamalkan sembilan ciri pedagogi efektif
berikut:
- Mengambil kira pandangan pelajar
- Bergantung kepada apakah bentuk aktiviti pengajaran yang guru lakukan, pengetahuan dan tahap
- pemahaman (konten dan pedagogi) serta kepercayaan dan nilai (beliefs and values) mengapa guru berbuat seperti apa yang dilakukan.
- Pemikiran yang jelas tentang matlamat jangka panjang (keredhaan Allah) serta objektif jangka pendek (ikut mata pelajaran).
- Dibina atas pengalaman dan pengetahuan sedia ada pelajar.
- Melibatkan penyediaan perancah (scaffolding) untuk menyokong pembelajaran pelajar.
- Melibatkan penggunaan pelbagai teknik, termasuk teknik kumpulan besar dan kumpulan berstruktur, pembelajaran terbimbing dan aktiviti individu.
- Berfokus kepada aplikasi kemahiran berfikir aras tinggi dan meta kognisi serta menggunakan sepenuhnya kemahiran berdialog dan menyoal.
- Melibatkan pentaksiran pembelajaran formatif dan sumatif.
- Bersifat inklusif serta mengambil kira keperluan pelbagai latar belakang serta mempertimbangkan hak persamaan pelajar.
Matlamat
Pendidikan Islam
Pendidikan
Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar
berdasarkan ajaran Islam agar mereka dapat melakukan sesuatu yang baik dan
bersifat kebajikan (untuk diri sendiri dan org lain). Dari perspektif Islam, Al-Ghazali menjelaskan bahawa matlamat pendidikan Islam
adalah untuk mendekatkan diri
kepada Allah dan bukan untuk memperolehi kedudukan, bermegah-megah dan
berlumba-lumba. Beliau menekankan bahawa matlamat pendidikan Islam yang
paling utama ialah untuk membuang segala kejahilan diri sehingga individu
tersebut dapat mengenali Pencipta dan matlamat ilmu yang sebenar membolehkan
individu dapat bertaqarrub kepada Allah.
Ibn Khaldun
pula membahagikan tujuan pendidikan Islam itu kepada tujuan keagamaan dan
tujuan keilmuan. Menurut beliau, tujuan keagamaan bermaksud mengajar murid
untuk mengenali Allah, dapat beramal untuk akhirat dan dapat menunaikan hak-hak
Allah yang menjadi kewajipan kepadanya. Tujuan keilmuan pula bermaksud mengajar
kemahiran-kemahiran yang membolehkan individu menghadapi kehidupan dunianya.
Ahmad Saleh
Jamja'an dalam Naquib al-Attas (1984) mengungkapkan matlamat pendidikan Islam
sebagai bertujuan untuk membina individu agar menjadi baik dan benar yang menyembah
Allah dalam erti kata sebagai hamba sebenar serta dapat membina struktur
hidupnya sebagai manusia (khalifah di bumi).
Terdapat lebih banyak huraian tentang matlamat pendidikan Islam yang telah
dibuat oleh para sarjana dan cendekiawan Islam dahulu dan mutakhir yang
kesemuanya menetapkan Allah sebagai matlamat akhir dan terpenting dengan
mengambil kira perolehan kesejahteraan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Matlamat selain itu, jika diteliti, tidak lari daripada matlamat akhir ini.
Asas kepada matlamat pendidikan Islam dirumus daripada beberapa ayat termasuk
ayat 56 Surah Az Zariyat, ayat 1 hingga
5 Surah Al Alaq, ayat 1 hingga 4 Surah
Al Ikhlas, ayat 77 Surah Al Qasas serta beberapa ayat lain yang mengandungi
maksud yang sama.
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka beribadat kepadaKu.
Surah Az Zariyat: 56
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya.
Surah Al Alaq: 1 – 5
Katakanlah bahawa Allah (adalah Tuhan) Yang Maha Esa. Allah
Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada
beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Surah Al Ikhlas: 1 – 4
Dan tuntutlah dengan harta
kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari
akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu)
dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah
berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan
janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
Surah Al Qasas: 77
Pedagogi
Pendidikan Islam
- Kerangka pedagogi pendidikan Islam
- Menekankan tentang sumber segala kekuatan, termasuk kekuatan ilmu, adalah Allah SWT sendiri.
- Memulakan dengan pujian kepada Allah, selawat kepada Rasulullah dan doa.
- Tumpuan pelajar.
- Ekspektasi tinggi / jauh : kebaikan dunia dan akhirat.
- Diselaraskan dengan kurikulum dan pentaksiran (termasuk pentaksiran untuk yaum al akhir).
- Sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan bukti/nas : kaedah, PSA, keputusan ujian dsb.
- Matlamat pengajaran yang jelas dan tersedia dengan perancah.
- Selamat serta saling menyokong persekitaran pembelajaran inklusif dengan mengambil kira kesemua perbezaan individu.
Peranan
Guru Pendidikan Islam
Mudarris iaitu peranan membimbing dan
mendidik sehingga murid/pelajar benar-benar dapat menggunakan ilmunya untuk
manfaat dirinya. Sebagai guru Pendidikan Islam, perkara utama yang perlu
diajarkan adalah ilmu-ilmu Islam untuk membolehkan individu menjalani kehidupan
sebagai hamba Allah iaitu digabungkan dengan peranan sebagai muallim.
Serentak itu pula, guru Pendidikan Islam
perlu membentuk disiplin kendiri serta akhlak dan adab (peranan muaddib) agar
murid/pelajar tidak mudah terjebak dengan gejala keruntuhan akhlak, selain
menguruskan persekitaran bilik darjah serta berfikir secara kritikal dan
kreatif untuk berinovasi dalam melaksanakan tugasnya (peranan murabbi) serta
menjadi pakar rujuk dalam bidang ilmu-ilmu Islam (peranan mursyid).
Seandainya kesemua peranan ini tidak dapat
dilaksanakan dengan baik, maka tidak ada apa-apa yang dapat membezakan antara
guru Pendidikan Islam dengan guru-guru lain di sekolah. Guru Pendidikan Islam hanya
akan menjadi guru yang sekadar melihat gred pencapaian jangka pendek dan bukan
untuk memanusiakan manusia dan menjadi hamba Allah yang tunduk dan patuh kepada
Khaliq dengan ikhlas. Dalam perkataan lain, guru tersebut gagal dalam peranannya
untuk mencapai matlamat sebenar Pendidikan Islam, walau pun berjaya membuatkan
murid/pelajar cemerlang dalam gred akademik.
Masalah
pedagogikal guru Pendidikan Islam
·
Tidak
menguasai / mematuhi kerangka Pedagogi Pendidikan Islam
·
Tidak
menguasai elemen-elemen pedagogi efektif
· Tidak dapat
menyempurnakan segala aspek peranan sebagai guru Pendidikan Islam (muallim,
muaddib, mudarris, murabbi dan mursyid)
No comments:
Post a Comment