Followers

Thursday, 18 August 2011

Beberapa Kaedah Pengajaran Ibadah

Bahan ini dipetik dan dibuat penambahbaiakn daripada Modul 8 KPI susunan Shamsina Shamsudiin

 Dalam pengajaran ibadah, sebaik-baiknya guru menggabungkan secara eklektik kaedah-kaedah yang membolehkan pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran meliputi domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini adalah kerana perlakuan ibadah melibatkan ketiga-tiga domain ini. Adalah lebih mudah sekiranya, bagi domain kognitif, dirujuk kepada penambahbaikan yang telah dibuat oleh Anderson dan Krathwohl (2001) ke atas Taksonomi Bloom.

Terdapat banyak kaedah pengajaran yang boleh digunakan untuk melaksanakan pengajaran ibadah. Dalam penulisan ini saya perturunkan beberapa kaedah yang lebih dominan untuk digunakan dalam pengajaran ibadah tanpa menafikan keupayan kaedah-kaedah lain yang tidak dinyatakan di sini. Antara kaedah yang lebih sesuai untuk pengajaran ibadah ialah kaedah penerangan, sumbangsaran, tunjukcara, simulasi, amali dan penyelesaian masalah.

Kaedah Penerangan
Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang paling penting dalam pendidikan. Sifatnya adalah kuliah seperti yang dilaksanakan terutamanya untuk pendidikan tinggi di mana guru akan menerangkan semua maklumat dan fakta secara langsung dan logik. Ini bermakna sasaran murid yang sesuai untuk kaedah ini adalah murid daripada kumpulan sederhana dan tinggi khususnya untuk mereka yang mempunyai kekuatan gaya auditori.

Kadangkala, pengalaman boleh dikongsikan sebagai sumber inspirasi kepada murid. Ketika melaksanakan kaedah ini guru seharusnya memperkenalkan isi pelajaran dan pada akhir sesi membuat rumusan pelajaran. Dengan cara ini guru akan dapat memastikan bahawa segala maklumat yang perlu telah dapat disampaikan kepada murid.

Penerangan yang baik perlu disertakan dengan contoh-contoh yang jelas dan tepat (menggunakan bahan bantu adalah lebih baik) agar murid mendapat pemahaman yang lebih baik tentang perkara yang diterangkan. Ia umpama komunikasi dua hala tentang sesuatu perkara atau topic untuk seluruh kelas. Penerangan boleh digabungkan dengan proses memodel untuk menjadikan pengajaran lebih efektif dan meninggalkan kesan jangka panjang kepada murid.

Ciri-ciri umum kaedah penerangan
1.      Guru membuat penerangan, murid menyoal untuk minta penjelasan atau guru menyoal dan murid menjawab. Kemudian diikkuti dengan penjelasan daripada guru.
2.      Guru merangsang pemikiran murid agar mereka mengemukakan soalan atau memberikan jawapan.
3.      Menyampaikan maklumat yang perlu dan telah dirancang.
4.      Boleh digunakan untuk mendorong murid menjelaskan perkata utama dan penting, membuat ulangkaji dan penelitian serta mengembangkan isi pelajaran.

Langkah-langkah pelaksanaan
1.      Tentukan kesesuaian tajuk dan tempoh masa yang ada untuk dibuat penerangan terutamanya melibatkan topik yang baru.
2.      Sediakan sinopsis kuliah yang sesuai dan tepat (bernas)
3.      Laksanakan penyampaian dengan berkesan dan menarik. Libatkan kemahiran komunikasi berkesan dengan kadar yang tidak terlalu laju serta aplikasi soft skills.
4.      Laksanakan ujian bertulis untuk mengesan keberkesanan kuliah.

Kaedah sumbangsaran
Sumbangsaran merupakan proses usaha murid untuk menjana idea, pandangan dan pendapat, dengan membenarkan idea, pendapat dan pandangan itu berlaku secara kreatif serta dapat menyelesaikan masalah. Sumbangsaran merupakan cara yang berkesan untuk memikirkan idea baru secara individu atau dalam kumpulan. Lazimnya, semasa di dalam kelas, guru akan melakukan sesi sumbangsaran melibatkan kumpulan murid yang besar (satu kelas). Disebabkan semua murid perlu menjana idea secara kreatif maka sasaran sumbangsaran ialah pelajar dengan keupayaan berfikir pada tahap tinggi.

Sumbangsaran dalam kumpulan
  1. Peruntukkan masa untuk sesi sumbangsaran.
  2. Catatkan semua idea serta pandangan pada papan tulis agar dapat dilihat oleh murid untuk membolehkan mereka menggunakannya apabila diperlukan kemudian. Pilihan lain ialah dengan meminta murid mencatatkan kesemua idea yang dikemukakan oleh rakan-rakan.
  3. Galakkan penjanaan semua idea secara kreatif.
  4. Tidak judgemental ke atas apa juga idea yang diberikan sama ada baik, kurang baik, tidak baik atau melucukan.
  5. Gunakan komen atau idea yang telah dikemukakan untuk menjana idea-idea baru.
  6. Elakkan daripada membincangkan sesuatu idea semasa sesi sumbangsaran sedang berlaku. Setelah tamat sesi sumbangsaran barulah guru menarik perhatian murid kepada idea-idea yang bernas atau kritikal untuk dianalisis dan dibuat penilaian. Apa juga komen yang perlu guru kemukakan hendaklah dipastikan bersifat positif untuk mengelakkan daripada murid tidak mahu mengambil bahagian dalam sesi sumbangsaran pada masa yang lain.
Sumbangsaran sendirian
Minta murid untuk:
  1. Buat lakaran atau gambarkan idea semasa berfikir.
  2. Kemukakan soalan (untuk dijawab sendiri).
  3. Buat pembacaan.
  4. Lakukan sesuatu dengan tujuan untuk menggambarkan perkara yang ingin difokuskan.
  5. Lihat sekeliling: Tuliskan apa juga perkara berkaitan yang dilihat, didengar, dirasa, disentuh atau dihidu.
Ciri-ciri umum
1.      Idea dapat dikemukakan secara bebas tanpa kongkongan
2.     Dapat merangsang pembelajaran

 Langkah-langkah umum
1.      Pastikan murid telah bersedia
2.      Galakkan penglibatan murid (motivasi)
3.      Catatkan idea yang dikemukakan (oleh guru atau murid)
4.      Analisis, penilaian dan rumusan dibuat setelah tamat sesi sumbangsaran

Kaedah tunjukcara
Tunjukcara dilakukan untuk memberi peluang kepada murid belajar melalui tugasan pembelajaran dan penerokaan dari pelbagai perspektif. Tunjukcara boleh dilakukan oleh guru atau murid (dengan bimbingan guru) di hadapan bilik darjah agar dapat disaksikan oleh semua murid yang lain (kumpulan besar menjadio sasaran pengajaran). Selepas sesi tunjukcara, ia perlu diikuti dengan sesi soaljawab untuk memantapkan pemahaman murid. Murid akan diminta untuk berfikir secara logik, membuat inferens dan membuat rumusan. Murid akan mendapat maklumat, pengetahuan dan kemahiran baru melalui pemerhatian, meniru perlakuan (imitation) dan soaljawab. Kaedah ini dapat mengekalkan minat murid untuk belajar. 

Ciri-ciri umum
1.      Hanya sesuai untuk tajuk tertentu sahaja
2.      Dapat merangsang daya ingatan murid melalui penglihatan, pemerhatian dan peniruan (imitation)

Langkah-langkah
1.      Guru mengemukakan gambaran atau menjelaskan tunjukcara yang akan dilakukan.
2.      Guru menunjukcara sesuatu perlakuan (cara bertayammum) dengan diperhatikan oleh murid yang lain.
3.      Ulangi tunjukcara jika perlu atau guru meminta murid melaksanakan tunjukcara (sekiranya tidak melibatkan penggunaan bahan yang boleh membahayakan atau kosnya terlalu mahal)  berdasarkan pemerhatiannya pada kali pertama tunjukcara dilakukan oleh guru
4.      Laksanakan sesi soaljawab dan pembetulan
5.      Membuat penilaian dan rumusan

Kaedah amali
Terdapat sedikit perbezaan antara kaedah tunjukcara dengan kaedah amali. Menerusi kaedah amali bahan pembelajaran sebenar disediakan secara langsung dan semua murid diminta untuk melalui proses dan melaksanakan tugasan amali tersebut dalam keadaan sebenar. Contohnya, amali solat. Murid akan memperolehi pengetahuan, kemahiran dan celik akal melalui pengalaman langsung.
Ciri-ciri umum
1.      Hanya sesuai untuk tajuk-tajuk tertentu
2.      Dapat merangsang daya ingatan murid melalui perlakuan dan latihan kemahiran
3.      Pengalaman secara langsung dengan bahan sebenar melalui proses pembelajaran dengan bimbingan guru
4.      Murid berinteraksi secara terus dengan isi pelajaran dan situasi pembelajaran

Langkah-langkah
1.      Isi pelajaran yang perlu diamalikan hendaklah telah dipelajari oleh murid lebih awal dan lengkap
2.      Menggabungkan kaedah tunjukcara oleh beberapa orang murid
3.      Murid melaksanakan amali berdasarkan pemerhatian, ingatan dan pengetahuan teori.
4.      Perbincangan terbimbing dan rumusan dibuat di akhir sesi amali.

Kaedah Penyelesaian Masalah
Kaedah penyelesaian masalah merupakan satu bentuk tindakan yang dilakukan dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia melibatkan aktiviti mendengar, bertutur (bincang), memerhati dan melaksanakan.

Ciri-ciri utama
1.      Guru memberikan latihan (masalah) serta sokongan (bimbingan) semasa murid belajar menyelesaikan masalah.
2.      Dilaksanakan mengikut peringkat penyelesaian masalah tertentu

Langkah-langkah
1.      Murid perlu memahami masalah yang dikemukakan
2.      Pelbagai cara penyelesaian masalah yang boleh diterima akan difikirkan dan dikemukakan
3.      Memilih tindakan yang sesuai diambil bagi setiap cara yang dikemukakan
4.      Pilih satu cara yang dilihat paling munasabah atau cuba beberapa cara untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
5.      Menilai penyelesaian yang dipilih.  

No comments:

Post a Comment