Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 2 August 2011

KAEDAH -Pengajaran Aqidah: Inkuiri

Lazimnya kaedah inkuri digunakan oleh guru sains untuk mata pelajaran sains sama ada di dalam atau di luar makmal. Namun begitu, kaedah ini juga boleh digunakan untuk pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam. Melalui proses inkuiri dalam mata pelajaran sains, murid sering dipaksakan untuk menerima skema jawapan yang sedia ada pada guru melalui eksperimen yang dilakukan oleh guru berkenaan (atau berdasarkan fakta dalam buku teks). Mengapa saya kata begini? Sesetengah inkuiri sebenarnya boleh dilakukan dengan tidak melalui eksperimen. Seringkali pemerhatian dan penemuan murid  tentang sesuatu fenomena, maklumat atau jawapan yang diperolehi tidak sama atau sepadan dengan jawapan guru sedangkan mereka telah benar-benar melalui proses inkuiri penemuan dalam dunia sebenar mereka. (Perlu diingat bahawa fakta sains sering berubah dengan penemuan-penemuan dan bukti baru tentang sesuatu fenomena). Perbezaan yang sedikit telah diputuskan sebagai salah oleh guru berkenaan. Ini bermakna pengetahuan sains selalu datang dan diperakui daripada satu pandangan (one point of view).

Sekiranya guru berpegang kepada inkuiri sebagai satu falsafah, guru akan menghargai pelbagai perspektif yang dibangkitkan oleh murid dalam soalan mereka. Katakanlah guru akan mengajar tajuk Allah Wujud.

Langkah Pertama: Guru boleh memaklumkan kepada murid tentang topik yang akan dipelajari dan aktiviti yang akan mereka lakukan serta memberitahu mereka implikasi menarik yang akan mereka perolehi dalam pelajaran ini.
Langkah Kedua: Membina hipotesis (dalam konteks ini, hipotesis tidak digunakan tetapi persoalan kajian) yang perlu dibina oleh murid (dengan bimbingan guru: pelbagai perspektif persoalan akan diperolehi daripada murid). Guru perlu menjelaskan bahawa persoalan yang ditimbulkan bertujuan untuk mengetahui, memahami, mencari bukti atau tanda-tanda kewujudan Allah dengan berpandukan pandangan (bukan teori) individu yang boleh dipercayai serta signifikan (menggunakan kaedah pengumpulan data yang sah dan boleh dipercayai).
Antara persoalan yang mungkin timbul adalah:
Siapa Allah?
Betulkah Allah wujud?
Apakah bukti penulisan menunjukkan Allah wujud?
Adakah bukti atau tanda pada alam yang menunjukkan tentang kewujudan Allah?
Bolehkah fenbomena alam diterima sebagai bukti kewujudan Allah?
Bagaimana kewujudan manusia boleh menjadi bukti kewujudan Allah?
Apakah pengalaman yang pernah dilalui oleh mereka yang mempercayai tentang kewujudan Allah?
dan banyak lagi....
Langkah Ketiga: Setelah murid mempunyai gambaran yang jelas tentang tujuan proses inkuiri, mereka perlu mempunyai idea bagaimana mencari jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan. Perbincangan tentang beberapa persoalan akan membantu murid untuk mendapatkan apa yang perlu mereka lakukan. Contohnya, pembacaan, kolaborasi, perbincangan dan sebagainya dengan rakan dan orang yang lebih mengetahui (More Knowledgeable Others atau MKO)
Langkah keempat: Setelah mengetahui apa yang perlu dilakukan, murid akan menyenaraikan perkara atau bahan yang diperlukan. Contohnya senarai soalan (termasuk soalan berkaitan pengalaman yang pernah dilalui), kitab suci Al Quran, kitab-kitab hasil penulisan ulamak yang boleh dipercayai dan sebagainya. Sebaiknya guru menyediakan atau menyenaraikan bahan-bahan bacaan berkaitan (sah dan boleh dipercayai)  terlebih dahulu.
Langkah kelima: Murid akan mengumpulkan data dan membuat analisis penemuan mereka.
Langkah keenam: Murid membuat perbandingan penemuan atau interpretasi maklumat dengan rakan lain dan membuat rumusan dengan panduan dan bimbingan guru.
(Nota: Guru perlu berhati-hati dengan pelbagai perspektif murid dan memastikan benar-benar mampu untuk memberikan hujah kepada murid).

Lihat juga kaedah perbincangan dan kaedah soal jawab

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Saya pernah terbaca sebuah artikel dalam blog yang menyentuh tentang pendekatan pengajaran Aqidah / Tauhid. Menurut penulis, pendekatan yang digunakan ialah Sifat 20, Asma al Husna, Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah. Untuk meklumat pembaca blog saya, sekiranya terbaca artikel berkenaan harap ambil perhatian bahawa apa yang dikatakan oleh penulis berkenaan BUKAN pendekatan tetapi konten. Sebagai guru profesional, kita seharusnya dapat membezakan antara konten dengan pendekatan atau kaedah. Sekian.

    ReplyDelete