(Bahan ini dipetik daripada Modul 8 - KPI oleh Shamsina Shamsuddin, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral , IPG Kampus Pendidikan Islam, yang tidak diterbitkan)
KAEDAH PENGAJARAN AQIDAH
Pengajaran aqidah di sekolah bertujuan untuk memantapkan aqidah murid beragama Islam menerusi peneguhan iman, pemupukan sifat dan sikap sebagai manusia (makhluk hamba) yang sedar dan insaf serta menunaikan tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara termasuk alam sekitar. Untuk mencapai tujuan ini, guru perlu menggandingkan kaedah yang dapat menggabungkan bukti-bukti aqli dan naqli serta mampu menggerakkan pemikiran murid secara rasional untuk menerima dan berpegang kepada kepercayaan beriman kepada Allah dalam setiap tajuk yang diajar.
a) Kaedah Perbincangan
Definisi: Kaedah yang melibatkan aktiviti pembelajaran melalui percambahan dan pertukaran idea serta perkongsian maklumat tentang sesuatu perkara atau isu. Murid akan berbincang, bertukar fikiran dan maklumat berkaitan untuk memantapkan pemahaman terhadap konsep, membina konsep yang baru, membuat keputusan serta menyelesaikan masalah. Melalui perbincangan, idea-idea yang menyokong atau menentang akan dibangkitkan untuk mendapatkan satu kesimpulan pemahaman yang lebih mantap dan jitu. Perbincangan kelas (atau kumpulan kecil) yang dirancang dengan rapi akan dapat merangsang minat murid untuk menambahbaik pengetahuan lama serta menambah pengetahuan serta kemahiran yang baru.
b) Ciri-ciri:
- Melibatkan sekumpulan pelajar untuk kumpulan besar dan beberapa pelajar dalam kumpulan-kumpulan kecil.
- Mempunyai seorang ketua (pengerusi) dan pencatat
- Tempoh masa perbincangan ditetapkan
- Hasil perbincangan dibentangkan oleh seorang atau lebih wakil kumpulan (sebaiknya dipilih secara rawak)
c) Sasaran: Murid kumpulan normal ke atas, aktif dan berdaya fikir.
d) Prosedur:
Persediaan:
- tentukan tajuk, perkara atau isu perbincangan serta objektifnya.
- sediakan garis panduan, prosedur dan jadual
- sediakan bahan bantu untuk menyokong dan membantu perbincangan
- tempat yang sesuai
- sekiranya perlu, pastikan tidak terlalu ramai ahli dalam setiap kumpulan kecil
Pelaksanaan:
- Agihkan tajuk
- beri peluang kepada murid untuk bersoal jawab, membuat komen, memberikan cadangan atau membuat pembetulan
Tindakan susulan:
- Rumusan oleh guru merangkumi isi, proses dan unsur-unsur kemahiran berfikir
- Refleksi pembelajaran oleh murid (boleh menggunakan borang reflective rationality jika perlu)
No comments:
Post a Comment