Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Saturday 28 April 2012

Komen saya


Tiga hari lalu saya baru siap menyemak proposal atau cadangan kajian tindakan yang dibuat oleh seorang guru Pendidikan Islam. Saya ingin kongsikan kekuatan dan kelemahan yang didapati dalam cadangan tersebut agar dapat dijadikan panduan kepada rakan-rakan guru Pendidikan Islam yang lain. Nama guru berkenaan tidak akan saya paparkan dan saya juga hanya akan membuat beberapa petikan yang diambil sebagai contoh.

... proses pembelajaran menggunakan buku Iqrak 1 berjalan dengan lancar dan murid menguasai bacaan dengan menggunakan kaedah latih tubi beramai-ramai.....Walau bagaimanapun, masalah mula timbul apabila sampai kepada penggunaan buku Iqrak 2....Tahap penguasaan murid mula menurun....(refleksi peristiwa)....Aktiviti latih tubi dilaksanakan (refleksi dalam tindakan) tetapi saya telah menggunakan banyak masa (refleksi masa) untuknya sehingga mengakibatkan aktiviti gerak kerja bertulis tertangguh (refleksi atas tindakan).

...Apabila diimbas kembali proses pengajaran dan pembelajaran, sebenarnya saya kurang menggarab minda murid (penggunaan frasa “imbas kembali” dan “sebenarnya saya kurang menggarab minda murid” menunjukkan penulisnya cuba melakukan refleksi kritikal) supaya berfikir sebabnya mengapa suku kalimah perlu dibaca dengan kadar panjang dua harkat (refleksi atas tindakan)...

Saya berharap agar saya dapat mengubah cara pengajaran .... (refleksi untuk tindakan) ....saya akan mengintegrasikan amalan pengajaran latih tubi saya dengan kaedah penyoalan sokratik hanya dengan menggunakan kata tanya ‘mengapa’ yang saya namakan kaedah SOME (iaitu gabungan kata ‘sokratik’ dengan kata tanya ‘mengapa’)

Guru berkenaan telah melakukan refleksi dengan baik melibatkan refleksi atas tindakan, dalam tindakan (saranan Schon, 1983) dan untuk tindakan (Angela O'Donnell, Johnmarshall Reeve, Jeffrey Smith, 2012). Andaikan saya bertanyakan soalan Apakah yang dipelajari oleh guru berkenaan? Apakah maknanya kepada guru tersebut?  Bagaimana? Adakah anda dapat mencari jawapan tersirat daripada penulisan refleksi di atas? Kalau saya yang menjawab, maka saya akan katakan, antaranya ialah:

1.       Saya tidak boleh gunakan cara yang sama ketika mengajar menggunakan buku Iqrak 1 apabila mengajar menggunakan buku Iqrak 2, walaupun kepada kumpulan murid yang sama.

2.       Saya perlu menguruskan masa sebaik-baiknya agar objektif pembelajaran yang saya tetapkan dapat dicapai oleh murid.

3.       Saya telah meninggalkan aspek berfikir, sesuatu yang tidak seharusnya saya tinggalkan.

4.       Maknanya, saya telah tidak mengambil kira beberapa elemen pengajaran dan pembelajaran tertentu semasa merancang seperti tahap keupayaan murid, pembelajaran berfikrah, ...... apabila menggunakan prinsip dari yang senang kepada yang susah, saya tidak seharusnya mengambil cara mudah dengan menggunakan kaedah yang sama

Sebenarnya saya telah membuat ulasan tentang rancangan guru untuk melaksanakan gerak kerja bertulis sebagai alat untuk mengukur kefahaman murid. Dalam mata pelajaran tilawah al Quran, perkara utama yang hendak dilihat ialah pembacaan yang betul. Meskipun semakan pemahaman boleh dilakukan melalui jawapan bertulis kepada soalan yang dimuatkan ke dalam lembaran kerja, jawapan yang diberikan oleh murid, meskipun betul, tidak dapat menggambarkan pembacaan yang betul. Masih ramai orang yang tahu menjawab dengan betul tentang hukum tajwid apabila ditanya tetapi masih membacanya dengan salah. Adalah lebih baik sekiranya semakan kefahaman dan pembacaan dilakukan secara lisan. Di sini, kaedah menyemak adalah penting. Sekiranya guru bertanyakan kepada setiap murid secara individu, tentulah akan mengambil masa yang lama untuk selesaikan semakan kepada semua murid dalam kelas. Adalah lebih mudah kalau diberikan arahan secara kumpulan seperti, Siapa yang setuju bacaan suku kalimah ini (nyatakan) dibaca sepanjang dua harkat, sila angkat tangan. Bilangan yang mengangkat tangan akan menentukan kejayaan pengajaran guru. Guru boleh seterusnya mengarahkan siapa yang tidak setuju bacaan suku kalimah ini (nyatakan) dipanjangkan dua harkat kerana terdapat hukum mad asli, sila angkat tangan. Sekiranya bilangan yang angkat tangan adalah lebih banyak, ia menggambarkan kegagalan guru membuat penjelasan dan kegagalan proses pembelajaran. Guru kemudian boleh bertanyakan soalan apa, mengapa dan bagaimana.  

Sesetengah guru yang masih belum begitu pasti dengan maksud refleksi, lazimnya akan mencari kelemahan murid untuk diutarakan dalam penulisan refleksi. Ini adalah salah kerana refleksi bertujuan untuk guru mengesan kekuatan dan kelemahan amalan sendiri.

Contohnya,

....melalui aktiviti penulisan, saya dapat mengesan kelemahan murid dalam memahami topik yang di ajarkan.... (guru memprojeksi kepada isu murid)

Sebaiknya ditulis menjadi.... murid didapati gagal menjawab soalan latihan bertulis dengan baik. Besar kemungkinan murid tidak memahami apa yang telah saya ajarkan. Saya telah mengajar menggunakan kaedah penerangan tanpa mengunakan bahan bantu serta tanpa melakukan semakan kefahaman (penilain formatif). Saya dapat rasakan bahawa inilah kelemahan saya. Saya mungkin tidak perlukan bahan bantu tetapi semakan kefahaman perlu dilakukan tanpa membuat andaian kesemua murid telah memahami apa yang diajarkan.....

Bagaimana dengan nilai pendidikan yang ingin direalisasikan? McNiff dan Whitehead (2002) sangat menekankan aspek nilai pendidikan yang akan dijadikan asas kepada tindakan yang akan dilakukan. Dalam tulisannya, guru berkenaan telah menuliskan....

Saya berpegang kepada prinsip sekiranya murid belum menguasai sesuatu kemahiran, saya rasa bersalah untuk mengajar kemahiran yang baru.

Saya dapat merasakan bahawa guru mempunyai pegangan nilai pendidikan tetapi gagal ditulis dengan jelas kaitannya dengan elemen berfikir. Justeru itu, saya membuat komen seperti berikut:

Penggunaan kaedah penyoalan sokratik yang anda ingin gunakan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan “sebab sesuatu” daripada murid yang bermakna anda bertujuan untuk menjana pemikiran murid.... dan ia merupakan elemen kognitif.....Bagaimana sekiranya anda tuliskan ....saya berpegang kepada prinsip dan nilai bahawa semua murid boleh menguasai sesuatu kemahiran sekiranya pengajarannya disertakan dengan aktiviti berfikir melalui penggunaan kaedah penyoalan sokratik. Nilai kepentingan berfikir inilah yang ingin saya terapkan ke dalam pengajaran

Tentang sorotan literatur pula, guru berkenaan telah berjaya mengaitkan tindakan yang ingin dilakukan dengan pandangan serta teori yang menjadi latar belakang amalan (meskipun ia masih belum ditulis dengan baik). 



Guru Pendidikan Islam tersebut juga merencanakan untuk menggunakan hasil penulisan murid sebagai alat dan kaedah mengumpulkan data, di samping pemerhatian dan senarai semak. Saya telah mencadangkan agar guru menggantikan kaedah tersebut kepada temubual berstruktur atau rakaman. Pada pandangan anda, mengapakah saya berbuat demikian? Sila fikirkan.....

No comments:

Post a Comment