Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 8 May 2012

Susahkah membuat refleksi pengajaran untuk Kajian Tindakan?

Setelah menyemak beberapa proposal Kajian Tindakan yang dibuat oleh beberapa orang pelajar (dan isu yang sama dibangkitkan juga oleh rakan pensyarah yang lain), saya rasa terpanggil untuk menulis mengenai refleksi pengajaran yang dijadikan refleksi awal sebelum sesuatu perancangan tindakan dibuat. Saya sangat mengharapkan agar pelajar-pelajar telah cukup matang untuk meneroka maklumat secara sendiri (self access) melalui Internet tentang refleksi kritikal dalam kajian tindakan. Memang sukar untuk menukar budaya mengajar kepada budaya belajar sambil mengajar - satu peralihan peranan guru sebagai learner, kepada pelatih saya. Saya akui, kebanyakan guru Pendidikan Islam di Malaysia terdiri daripada orang Melayu yang kurang menguasai Bahasa Inggeris. Ia tidak sama dengan orang Melayu yang mengajar mata pelajaran lain seperti Sains. Bahasa Inggeris, telah menjadi kekangan dan telah membentuk skema pemikiran yang sangat sukar untuk diubah. Seandainya saya memberikan contoh yang lengkap pula, saya akan dapati berlaku reproduction atau klon kepada apa yang saya berikan.

Melalui tulisan ini, saya harap dapat membantu proses pemahaman pelatih saya..... (untuk makluman, bukan semua pelatih tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik)

Katakanlah anda telah memulakannya dengan......
Saya mengajar murid-murid tahun empat mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Ini merupakan tahun ke 7 saya mengajar mata pelajaran yang sama ........ dan seterusnya.

Dan katakanlah ......
Anda telah mengajarkan tajuk tayammum kepada ......Semasa mengajar, anda telah menggunakan kaedah penerangan tanpa menggunakan bahan bantu. Semasa mengajar, anda dapati beberapa orang murid terpinga-pinga setelah anda membuat penjelasan tentang pelajaran. Persoalannya, apakah yang telah anda lakukan sejurus melihat keadaan demikian? Anda pun mengulangi penerangan. Kali ini anda telah meminta murid merujuk siri gambar bertayammum yang terdapat dalam buku teks.

Refleksi dalam tindakan anda akan menjadi.......
Setelah mendapati beberapa orang murid masih kelihatan keliru, saya telah meminta mereka merujuk siri gambar bertayammum yang terdapat dalam buku teks. Sambil mereka merujuk gambar-gambar tersebut, saya mengulangi penerangan saya tentang langkah-langkah bertayammum. Andaian saya ialah dengan pengulangan penerangan dan disertakan dengan penggunaan bahan visual, murid akan lebih mudah memahami tentang langkah-langkah bertayammum. Saya teringat kata-kata Konfusius yang terjemahannya berbunyi "Apa yang saya dengar, saya akan lupa. Apa yang saya lihat, saya akan ingat". Justeru itu, saya telah cuba menggunakan gambar..........(dan seterusnya). Menurut Dale (1969) menerusi kajiannya, seorang murid akan mengingat sebanyak 80% daripada apa yang dipelajari melalui penerangan lisan dan visual berbanding dengan hanya 25% ingatan melalui penerangan semata-mata, selepas tiga jam belajar .... dan seterusnya  


*       Reflection-in-action

This is the kind of reflection that occurs whilst a problem is being addressed, in what Schon calls the ‘action-present’. It is a response to a surprise – where the expected outcome is outside of our knowing-in-action. The reflective process is at least to some degree conscious, but may not be verbalised. Reflection-in-action is about challenging our assumptions (because knowing-in-action forms the basis of assumption). It is about thinking again, in a new way, about a problem we have encountered.

Refleksi atas tindakan anda pula akan menjadi ........
Setelah memberi penerangan sambil meminta murid merujuk gambar-gambar dalam buku teks, saya dapati murid-murid yang kelihatan keliru pada mulanya seperti telah memahami tentang tayammum. Ini hanya jangkaan saya. Adakah tindakan saya menggunakan buku teks itu betul dan berkesan? Meskipun mereka kelihatan seperti faham, saya tidak dapat mengukur kefahaman mereka kerana saya telah tidak menjalankan penilaian formatif untuk mengesan kefahaman murid tentang tajuk yang diajarkan. Kamus dalam talian Wikipedia (2012) yang dipetik daripada en.wikipedia.org, menjelaskan penilaian formatif sebagai prosedur penilaian secara formal dan bukan formal yang digunakan oleh guru semasa berlaku proses pembelajaran dengan tujuan untuk memodifikasi aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menambahbaik pencapaian murid..... dan seterusnya.

Satu perkara lagi, apabila saya mengulangi penerangan, bermakna saya telah menggunakan waktu yang seharusnya diperuntukkan untuk aktiviti lain. Apakah tindakan saya itu betul? .....dan seterusnya.


*       Reflection-on-action

This is reflection after the event. Consciously undertaken, and often documented.

Refleksi untuk tindakan......
Pada pandangan saya, pengurusan masa saya akan jadi lebih baik sekiranya saya hanya membuat penerangan sekali sahaja dengan disertakan penggunaan bahan bantu. Saya telah menggunakan gambar dalam buku teks dan saya dapati ada murid yang tidak memberikan perhatian sepenuhnya. Mungkin demonstrasi dapat diintegrasikan dengan penerangan. Pada pandangan saya, adalah lebih baik sekiranya saya melakukan aktiviti amali guru dan murid secara serentak beserta penerangan dan diikuti oleh demonstrasi rakan sebaya melalui aktiviti pembelajaran koperatif. .... dan seterusnya.

Ada sesetengah orang sangat ingin usahanya dihargai melalui pemberian nama kepada aktiviti inovatif yang dikemukakan. Ia tidak menjadi kesalahan kerana menurut McNiff (2002), antara tujuan Kajian Tindakan ialah untuk meraikan kejayaan diri sendiri dan bukan pula merupakan isu yang sangat penting sehingga setiap pengkaji mesti melakukannya. Dalam Kajian Tindakan, matlamat utama guru ialah penambahbaikan amalan bekerja, ilmu pengetahuan dan situasi tempat pembelajaran berlaku. Katakanlah anda ingin meraikan dan menghargai usaha anda, maka saya beri contoh dengan menamakan usaha ini. Dalam kes ini saya namakan kaedah ini sebagai kaedah SEDEMO yang merujuk kepada gabungan SErentak dan DEMOnstrasi - iaitu kaedah yang saya hasilkan melalui inovasi pendidikan (kononnya). Maka dalam kertas cadangan kajian tindakan, saya akan menjelaskan bagaimana SEDEMO akan dilaksanakan, kerelevanannya, kepentingannya, kemudahtadbirannya dan sebagainya. 

Refleksi nilai pendidikan yang ingin di realisasikan...
Jack Whitehead dan McNiff (2002) sangat menekankan aspek ini dalam Kajian Tindakan yang mereka kaitkan dengan apa yang mereka namakan sebagai Living Educational Theory. Untuk nilai pendidikan yang ingin direalisasikan, saya akan menuliskan begini ......

Saya sebenarnya percaya bahawa setiap murid, seharusnya diberi peluang yang sama dan adil untuk mengalami pembelajaran secara aktif untuk membolehkan mereka menguasai pembelajaran. Nilai ini telah saya cuba realisasikan tetapi saya telah tersilap dalam mentafsir pembelajaran aktif. Apa yang saya lakukan ialah pengajaran aktif yang lebih berorientasikan guru dan bukan pembelajaran aktif dalam ertikata 'tumpuan murid'. Ini bermakna nilai pendidikan yang menjadi pegangan saya itu telah tidak diimplementasikan dengan betul. Ketika saya mengajar itu, sebenarnya murid tidak aktif tetapi pasif sebagai pendengar. Walaupun mereka merujuk kepada gambar-gambar di dalam buku teks, mereka hanya melakukan setelah arahan diberikan kepada mereka. Ini bermakna mereka hanya akan melakukan sesuatu setelah menerima arahan dan bukan kerana mereka benar-benar aktif atas kesedaran dan motivasi kendiri. Bagaimana kalau saya lupa atau tidak memberi arahan atau arahan saya tidak membuatkan murid patuh dan aktif dalam pembelajaran?

Untuk menjadikan murid lebih aktif, saya perlu melibatkan penggunaan bahan bantu dan kaedah demonstrasi. Andainya saya sendiri yang melakukan demonstrasi bererti murid masih pasif.  Bonwell dan Eison (1991) mencadangkan agar murid-murid terlibat dalam pembelajaran secara aktif untuk membolehkan mereka menguasai pelajaran. Oleh itu saya  bercadang untuk melibatkan murid secara aktif.Saya akan cuba untuk mengaplikasikan kaedah pembelajaran koperatif melibatkan aktiviti demonstrasi rakan sebaya. Kagan (1994) ..... dan seterusnya.

Selanjutnya lihat http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/01/buku-baru.htmlhttp://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/01/buku-baru.html

Lain-lain bahan berkaitan:
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sedikit-mengenai-penyelidikan-tindakan.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html 
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/02/betulkah-apa-yang-dilakukan-ini-adalah.html  
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html

2 comments:

  1. SAYA INGIN GUNAKAN BAHAN DI ATAS SEBAGAI CONTOH KEPADA GURU2.

    ReplyDelete
  2. Dipersilakan malah semua bahan yang dikongsikan dalam blog ini adalah untuk kebaikan bersama

    ReplyDelete