- kajian yang telah dilakukan didapati (berdasarkan laporan) sangat berjaya (hanya dari perspektif pengkaji sendiri) meskipun hanya melakukan satu tindakan (iaitu tidak ada siri tindakan)
- kononnya telah mengubah amalan bekerja pengkaji (walaupun hanya sekadar satu aspek amalan) yang ditukar ganti
- mampu meningkatkan motivasi dan pengetahuan serta kemahiran murid
- dan sebagainya....
Kebanyakan laporan dalam bahagian cadangan dan refleksi kajian, menggambarkan tidak wujud masalah atau isu baru yang memerlukan kitaran kedua dilaksanakan. Sekiranya dilihat kepada kesemua model Kajian Tindakan yang telah dikemukakan, semuanya melibatkan kitaran lanjutan. Malah berdasarkan kepada Model McNiff dan Model PRAR (Problem Resolving Action Research), kemungkinan akan wujud gangguan-gangguan baru hingga membolehkan berlaku kitaran lencongan dan berterusan adalah tinggi. Mungkin para pengkaji baru (novis) perlu melihat semula bagaimana menulis cadangan dan refleksi.
Perkara kedua yang saya dapati daripada beberapa laporan Kajian Tindakan tersebut ialah... bukan semua kajian yang telah dilabel sebagai kajian tindakan (hanya merujuk kepada laporan daripada pelajar beberapa kampus IPG) jelas menunjukkan yang ia benar-benar merupakan kajian tindakan seperti yang disarankan oleh para penyelidik kajian tindakan iaitu dengan memfokuskan penambahbaikan amalan pengkaji (bukan amalan murid). Masih terdapat kajian tindakan dengan rekabentuk eksperimental yang bertujuan untuk melihat sejauh mana kesan satu tindakan atau variable (pembolehubah tidak bersandar) ke atas variable bersandar serta bertujuan melihat korelasi (yang menunjukkan sebab-akibat sesuatu pembolehubah) tetapi dilabel sebagai kajian tindakan. Contohnya, kaedah xxx (pembolehubah tidak bersandar / bebas) yang saya gunakan ini telah dapat meningkatkan minat dan motivasi (pembolehubah bersandar) murid untuk belajar. Meskipun peningkatan minat dan motivasi berlaku di kalangan murid, dan meningkatkan minat serta motivasi murid merupakan tanggungjawab guru, ia hanya merupakan akibat (atau objektif sampingan) daripada penggunaan kaedah xxx yang dapat dikesan. Bermakna data yang menunjukkan sesuatu peningkatan pada diri murid hanya merupakan data yang boleh digunakan untuk menjelaskan penambahbaikan amalan dan bukan menjadi isu / soalan yang perlu diperoleh jawapannya. Data tersebut tidak seharusnya dijelaskan sebagai data kesan dan akibat. Objektif utama kajian tindakan ialah penambahbaikan pada diri pengkaji sendiri dan fokusnya ialah diri pengkaji. Misalnya, dituliskan motivasi diri saya semakin meningkat apabila mendapati murid-murid semakin aktif dan berminat untuk mengikuti pengajaran saya menggunakan kaedah xxx dengan teknik yyy. Saya menjadi lebih yakin untuk menggunakan kaedah xxx dengan teknik yyy tersebut.
Satu perkara lagi ialah apabila ditanya kepada pengkaji baru (novis) ini sama ada mereka mempunyai rakan kritikal atau tidak, sebenarnya rakan kritikal yang dimaksudkan dalam kajian tindakan memang tidak ada. Yang ada cuma rakan pembantu yang akan mentadbir alat mengumpulkan maklumat serta data. Selain itu, mereka juga mempunyai rakan untuk berkolaborasi yang tidak berperanan sebagai rakan kritikal. Kebanyakan pengkaji baru akan melakukan kajian secara sendiri, tanpa melibatkan orang lain yang akan membantu agar kajian menjadi lebih bermakna dan bersifat profesional. Rakan kritikal ialah individu pakar yang akan menyemak proses dan flow kajian yang dilakukan. Sebenarnya pensyarah pembimbing itulah seharusnya menjadi rakan kritikal.
Penambahbaikan yang merupakan tujuan sebenar kajian tindakan seringkali difahamkan sebagai tukar ganti. Apabila guru menyedari sesuatu kaedah pengajaran yang digunakan itu kurang berkesan, lazimnya hanya melalui pemerhatian dan catatan refleksi dalam jurnal (yang dangkal dan lebih bersifat opinionated statement) tanpa ada pendapat pihak kedua dan ketiga, maka guru bukan mencuba membuat penambahbaikan aplikasi kaedah (dengan aplikasi pelbagai teknik). Sebaliknya satu kaedah baru digunakan atau dicipta dengan menggunakan pelbagai nama untuk menggantikan kaedah asal yang digunakan. Sekiranya refleksi kritikal (mencermin diri sendiri) dilakukan, besar kemungkinan guru tersebut menyedari bahawa dirinya sebenarnya tidak menguasai (mastering) kaedah pertama yang digunakan atau terdapat isu lain yang menjadi pengganggu seperti gangguan daripada murid (disruptif) dan persekitaran. Sudah pasti kaedah kuliah semata-mata akan gagal sekiranya terdapat gangguan luar (pencemaran bunyi dan pencemaran bau kotoran dari persekitaran berhampiran). Ini tidak bermakna kaedah tersebut tidak boleh digunakan tetapi guru perlu melakukan penambahbaikan dengan aplikasi penggabungjalinan kaedah atau berpindah ke lokasi baru seperti perpustakaan, makmal atau dewan atau menjadikan kuliah lebih interaktif.
Sekiranya data hanya diperoleh daripada pemerhatian guru serta catatan refleksi guru yang berciri opinionated statements (pernyataan pandangan), maka kebarangkalian untuk berlaku bias data adalah tinggi serta boleh menyebabkan data yang dikumpul boleh diragui kesahan dan kebolehpercayaannya (rigour dan trustworthy). Memang jauh bezanya antara melakukan kajian tindakan untuk tujuan peningkatan profesionalisme dengan melakukan kerana patuh kepada desakan pihak atasan. Maka, saranan saya, kepada para pembaca, lakukanlah atas sebab penambahbaikan profesionalisme. Insyallah, hasilnya akan memberi manfaat kepada diri sendiri.
Untuk menghasilkan kajian tindakan yang bermakna, pengkaji perlu mempunyai rakan kritikal serta kumpulan pengesahan yang berfungsi untuk memberi maklum balas kritikal, selain daripada menyemak bukti dan data serta laporan agar kajian mempunyai kesahan dalaman yang kukuh.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku saya Panduan Melaksanakan Kajian Tindakan di Sekolah (2013) terbitan Freemind Horizons yang terdapat di pasaran sekarang ini atau rujuk http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sedikit-mengenai-penyelidikan-tindakan.html tentang BUKAN kajian tindakan. Anda juga boleh merujuk tulisan Dr Goh Lay Huah (2012), A Practical Guide to Writing Your Action Research, terbitan Penerbitan Multimedia, halaman 4. Lihat juga Eileen Ferrance (2000) Action Research terbitan Brown University.
Lain-lain bahan berkaitan:
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sedikit-mengenai-penyelidikan-tindakan.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/12/kajian-tindakan-panduan-menganalisis.html
No comments:
Post a Comment