Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday, 14 July 2011

Sedikit Mengenai Penyelidikan Tindakan

Ciri utama penyelidikan tindakan 
Di Amerika, apa juga bentuk penyelidikan yang menyimpang daripada paradigma tradisional (kuantitatif) sering dilabelkan sebagai penyelidikan tindakan sehinggakan terdapat golongan penyelidik etnografi melabelkan penyelidikan mereka sebagai penyelidikan tindakan.  Apakah sebenarnya yang mencirikan sesuatu penyelidikan itu sebagai penyelidikan tindakan yang dikaitkan dengan para guru dan pentadbir sekolah? John Elliot menjelaskan penyelidikan tindakan sebagai penyelidikan yang mempunyai ciri-ciri berikut:
  1. Mempunyai matlamat pedagogi merangkumi semua aspek pendidikan yang baik (unggul) dan merangkumi semua mereka yang terikat dengan tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat pedagogi tersebut di dalam amalan bekerja mereka,
  2. Berfokus kepada mengubah amalan bekerja untuk memastikan amalan tersebut menjadi lebih tekal (konsisten) dengan matlamat pedagogi,
  3. Mengumpulkan bukti-bukti sejauh mana amalan tersebut tekal atau tidak tekal dengan matlamat pedagogi
  4. Mengenalpasti dan menjelaskan ketidaktekalan antara aspirasi dan amalan. Ketidaktekalan ini menimbulkan masalah andaian-andaian dan segala kepercayaan (teori) yang secara tidak disedari telah mengukuhkan amalan dalam bilik darjah.
  5. Melibatkan para guru (pendidik) dalam proses menjana dan menguji bentuk-bentuk tindakan yang baru untuk merealisasikan aspirasi mereka seterusnya membolehkan para guru membina semula teori-teori yang dijadikan panduan dalam amalan mereka.
  6. Ia merupakan proses pedagogi yang dicirikan oleh reflexivity (tindakan refleksif) guru. Dari perspektif penyelidikan tindakan, mengajar merupakan satu bentuk penyelidikan dan begitulah sebaliknya.

Bukan penyelidikan tindakan
Guru perlu memahami bahawa penyelidikan tindakan bukanlah projek atau kajian keperpustakaan yang bertujuan untuk mempelajari atau mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut tentang perkara-perkara yang menarik minat seperti hobi dan sebagainya. Penyelidikan tindakan juga bukan satu bentuk penyelesaian masalah yang bermula daripada mencari punca masalah tetapi penyelidikan tindakan merupakan satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan tentang bagaimana melaksanakan penambahbaikan amalan.
Penyelidikan tindakan bukan kajian ke atas manusia atau mengenai manusia. Ia juga bukan satu penyelidikan untuk mencari maklumat mengenai sesuatu topik untuk mendapatkan jawapan sebenar / betul / tepat. Penyelidikan tindakan bukan mengenai pembelajaran mengapa kita melakukan sesetengah atau sesuatu perkara (amalan) tetapi bagaimana kita (guru dan pendidik) boleh melakukannya (amalan) dengan lebih baik. Ia mengenai bagaimana kita (guru dan pendidik) boleh mengubah cara pengajaran agar dapat meninggalkan impak yang berkesan ke atas murid / pelajar.

Penyelidikan tindakan yang baik
Merealisasikan nilai-nilai pendidikan: Sebuah penyelidikan tindakan yang baik dikenalpasti dengan adanya nilai-nilai para pengamal yang ingin direalisasikan dalam amalan bekerja mereka. Dalam dunia pendidikan, nilai-nilai ini didefinisikan sebagai nilai pendidikan yang ingin direalisasikan oleh guru. Nilai-nilai pendidikan merupakan semua perkara yang dinilai penting untuk berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang baik meliputi aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Nilai-nilai pendidikan ini akan menetapkan kriteria yang dapat mewakili pengetahuan dan kemahiran kepada murid / pelajar. Antaranya termasuklah nilai memahami, nilai inkuiri, nilai penemuan, nilai autonomi, nilai koperatif dan sebagainya yang dapat menjelaskan kualiti hubungan antara pengajaran dan pembelajaran. Penyelidikan tindakan yang baik seharusnya bersifat pendidikan iaitu ia berbentuk inkuiri reflektif yang membolehkan guru menyedari tentang ciri-ciri kualiti hubungan pengajaran dan pembelajaran tersebut. Ujian untuk sebuah penyelidikan tindakan yang baik adalah sangat pragmatik. Adakah kesan penyelidikan tersebut dapat menambahbaik kualiti transaksi pendidikan antara guru dan murid-muridnya? Sebuah penyelidikan yang baik mungkin gagal dalam ujian ini sekiranya ia menjana bukti yang dapat menjelaskan mengapa penambahbaikan itu mustahil (untuk diperolehi dan dilaksanakan) dalam keadaan dan situasi tersebut; kes di mana justifikasi toleransi sementara dibuat ke atas status quo. Dalam setiap kes penyelidikan tindakan menyediakan asas untuk membuat keputusan yang bijak. Keputusan untuk menunggu dengan sabar sehingga sampai masa yang sesuai manakala keadaan pula membuka ruang kepada peluang yang lebih sesuai kadangkala adalah lebih bijak daripda usaha yang diulang-ulang untuk memulakan perubahan.

Mengintegrasi pengajaran dan penyelidikan: Penyelidikan tindakan merupakan suatu penyelidikan yang berterusan dalam proses penyelidikan itu sendiri oleh para pengamal. Sekiranya tidak diketahui sama ada penyelidikan itu dapat menambahbaik amalan guru atau tidak, maka statusnya sebagai penyelidikan tindakan adalah meragukan. Sama ada dalam bentuk pengajaran atau penyelidikan, ia menggabungkan pengajaran dan penyelidikan dalam satu aktiviti. Dalam hal ini, maka sebenarnya tiada alasan bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk melakukan penyelidikan. Apabila strategi pengajaran dilihat sebagai suatu penyiasatan yang hipotetikal untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan, maka strategi tersebut merupakan aktiviti utama dalam proses penyelidikan tindakan: satu proses yang mesti sentiasa dibezakan daripada penyelidikan pendidikan yang dilakukan oleh orang luar (bukan golongan guru atau pendidik). Penyelidikan pendidikan bertujuan untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan dalkam amalan bekerja. Penyelidikan yang dilakukan ke atas pendidikan (research on education) pula bertujuan untuk menjana ilmu pengetahuan mengenai amalan. Penyelidikan pendidikan boleh menggunakan penyelidikan atas pendidikan tetapi akibatnya ialah penjanaan saranan ilmu pengetahuan untuk mendapatkan pemahaman jitu ke atas situasi yang praktikal menjadi kurang penting atau diketepikan.

Membina kurikulum: Penyelidikan tindakan yang baik sering mempunyai kesan ke atas perkembangan kurikulum. Kurikulum bukan sekadar satu pernyataan tentang isi kandungan pelajaran tetapi ia juga sering menetapkan bentuk bagaimana harus disampaikan kepada murid. Sekiranya dilihat dalam bentuk hasil pembelajaran atau objektif khas pembelajaran, maka mesejnya kepada murid ialah isi kandungan itu perlu dikuasai mengikut turutannya (contoh, kuasai nombor dahulu sebelum menguasai olahan tambah dan sebagainya). Sekiranya pembelajaran masteri secara berturutan ini tidak berlaku, ia menjelaskan satu defisit (kerugian) kepada murid dan akan menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada guru untuk diperbetulkan. Persoalannya, adakah kurikulum sebegitu membolehkan guru mengajar isi kandungan secara konsisten dengan ilmu pengetahuan dan cara murid belajar? Kurikulum merangkumi teori tentang ilmu pengetahuan dan teori pembelajaran. Hanya melalui penyelidikan tindakan segala potensi tentang pendidikan boleh dibuat penilaian. Melalui penyelidikan tindakan bentuk dan isi kandungan kurikulum akan dirombak dan dibina semula. Hal ini sangat benar khususnya di institusi pengajian tinggi yang melaksanakan kurikulum sendiri (amalan pembentukan kurikulum secara desentralisasi). Melalui penyelidikan tindakanlah reka bentuk kurikulum dapat dilaksanakan melalui amalan. Hasil penyelidikan tindakan yang baik bukan sekadar menambahbaik kualiti pengajaran guru tetapi ia juga menambahbaik rekabentuk kurikulum dan cara bagaimana guru lain boleh mencapai kualiti tersebut. Penyelidikan tindakan yang baik bukan sekadar untuk pengetahuan peribadi penyelidiknya sajhaja tetapi perlu dikongsikan serta terbuka kepada kawalan dan penelitian professional.

Melibatkan pengajaran refleksif dan bukan sekadar reflektif: Penyelidikan tindakan yang baik akan menjana bukti untuk menyokong kualiti pengajaran (pedagogi). Penyelidikan yang berfokus kepada selain daripada syarat-syarat pedagogi, walaupun dilakukan oleh guru, sebenarnya bukanlah merupakan penyelidikan tindakan yang baik. Sesiapa pun sebenarnya boleh melakukan refleksi tentang apa sahaja yang bukan merupakan tindakan oleh dirinya sendiri (Pengajaran refleksif merujuk kepada peranan atau fungsi guru sebagai pelajar (colearner) yang mempunyai kepercayaan, pengetahuan, kecekapan dan motivasi yang unik serta memainkan peranan yang berbeza daripada murid dimana guru mempunyai tanggungjawab untuk mereka bentuk dan melaksanakan pengajaran sedangkan murid pula terlibat dengan tugasan dan pembelajaran. Fokus guru dalam pengajaran refleksif adalah dirinya sendiri serta andaian-andaian yang dibuat ke atas pengajarannya). Bukti hasil pembelajaran murid tidak secara terasing menunjukkan bukti kualiti pengajaran. Hasil pembelajaran perlu diperjelaskan kerana kualiti guru bukanlah merupakan satu-satunya penjelasan ke atas kejayaan atau kegagalan murid. Bukti-bukti lain perlu dikumpulkan sebelum sumbangan atau kesan pengajaran ke atas hasil pembelajaran boleh dibuat pertimbangan. Data hasil pembelajaran boleh menyumbang kepada penjelasan hipotesis tetapi hipotesis perlu dibuat ujian ke atas bukti proses pedagogi. Menilai kualiti hasil pembelajaran dan menilai kualiti pengajaran adalah dua perkara yang berbeza.

Melibatkan pengumpulan data mengenai pengajaran dari pelbagai sudut: Bukti-bukti mengenai kualiti pengajaran boleh diperolehi daripada pelbagai sumber: pandangan atau rekod amalan pengajaran guru, pandangan murid tentang pengajaran guru, pemerhatian oleh rakan sejawat, ibu bapa atau penjaga yang memantau pembelajaran anak-anak mereka serta rakaman audio dan video yang menunjukkan transaksi guru – murid. Kepelbagaian pengumpulan data ini dikenali sebagai triangulasi. Tiga sumber utama perolehan data adalah daripada pemerhati, guru dan murid-muridnya. Perbadingan data akan dibuat antara ketiga-tiga sumber berkenaan.

Mendefinisikan petunjuk kualiti: Bagaimanakah guru boleh mengesan “bukti-bukti” kualiti pengajaran? Bagaimanakah mereka tahu apa yang hendak dicari sebagai bukti kualiti pengajaran? Apakah bentuk perlakuan yang boleh dipertimbangkan untuk dijadikan petunjuk kualiti yang hendak direalisasikan dalam amalan? Petunjuk kualiti tidak boleh diberikan definisi awal kerana adalah menjadi tugas penyelidikan tindakan itu sendiri untuk memberikan definisinya. Apabila seorang guru memilih arah tindakan tertentu sebagai alat atau cara (means) untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikannya di dalam amalan bekerjanya, ia sebenarnya sedang meneroka persoalan tersebut. Tindakan apakah pula yang menunjukkan nilai-nilai tersebut? Oleh itu, bukti-bukti perlu dikumpulkan untuk menentukan sama ada alat atau cara yang dipilih itu menjadi petunjuk kepada nilai-nilai pendidikan yang didokong oleh guru. Ia mungkin memilih satu arah tindakan dengan kepercayaan bahawa murid dapat digalakkan untuk bertanya tentang isi kandungan pelajaran (subject matter) dan mendapati kepercayaannya itu meragukan jika triangulasi data diambil kira. Murid mungkin melaporkan bahawa pengalaman mereka menunjukkan tindakan tersebut menjadi halangan kepada kebebasan mereka untuk bertanya dan laporan tersebut mungkin konsisten dengan pemerhatian yang dibuat ke atas tindakbalas murid. Bukti memaparkan tindakan guru diragukan sebagai petunjuk kualiti dan mencabar guru tersebut untuk mendefinisikan semula apakah perkara yang terkandung sebagai amalan baik dalam keadaan / situasi yang dihadapinya.

Petunjuk kualiti pendidikan ditentukan melalui penyelidikan tindakan dan bukan sebelumnya. Spesifikasi awal petunjuk kualiti telah menetapkan apa yang guru perlu lakukan untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan. Dengan memiawaikan (standardizing) tindakbalas lebih awal, guru didedahkan  ketidakpekaan mereka kepada konteks dan menggantikan penyelidikan tindakan dengan penilaian yang telah dipiawaikan. Penyelidikan tindakan yang baik mengakui fakta bahawa apa yang membentuk kualiti dalam pengajaran tidak boleh didefinisikan secara terasing daripada set keadaan yang dihadapi oleh guru dalam bilik darjah. Ia boleh didefinisikan di tempat punca asalnya (in situ) melalui penyelidikan tindakan. Melalui penyelidikan tindakan guru mungkin membuat anggapan umum tentang petunjuk-petunjuk dalam konteks yang luas tetapi hasil keputusan yang diperolehi akan menyediakan hipotesis kepada guru untuk mengujinya dalam bilik darjah dan bukan sebagai petunjuk terus yang boleh membantutkan guru daripada membuat pertimbangan akhir tentang apakah tindakan yang menjadi petunjuk kualiti dalam keadaan atau situasi tertentu. Penyelidikan yang baik mengambil kira pertimbangan sebegitu dibuat dalam data kes yang telah ditriangulasikan.

Lain-lain bahan berkaitan:
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html

http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html 

http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/02/betulkah-apa-yang-dilakukan-ini-adalah.html  
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html

No comments:

Post a Comment