Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday, 8 July 2012

Contoh aplikasi kaedah penyelesaian masalah Pendidikan Islam


Beberapa orang pembaca blog saya telah membuat perbandingan antara tulisan saya mengenai kaedah inkuiri dengan kaedah penyelesaian masalah. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa adalah lebih mudah memahami tulisan saya tentang pelaksanaan kaedah inkuiri berbanding kaedah penyelesaian masalah. Menurut mereka, guru-guru yang telah dewasa ini, hal ini adalah disebabkan saya telah mengemukakan contoh yang lebih mudah difahami dalam penulisan kaedah inkuiri berbanding kaedah penyelesaian masalah dalam hal pembelajaran Pendidikan Islam.

Terima kasih atas komen-komen secara bersemuka tersebut. Disebabkan lahirnya blog ini adalah dengan tujuan berkongsi ilmu di samping membantu guru-guru meningkatkan profesionalisme mereka. Di sini saya akan perjelaskan dengan contoh tentang aplikasi kaedah penyelesaian masalah yang boleh dilaksanakan di sekolah rendah (mungkin juga untuk peringkat menengah dengan meningkatkan tahap domain pemikiran serta perubahan topik pelajaran).

Mengikut contoh kaedah penyelesaian masalah yang telah saya kemukakan (lihat di sini, http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/05/pembelajaran-abad-21-pembelajaran.html ), terdapat langkah-langkah tertentu dalam proses untuk melaksanakannya.

Secara asas, sebenarnya terdapat banyak model untuk proses penyelesaian masalah. Model yang telah saya kemukakan lebih awal lebih cenderung kepada pendekatan konstruktivisme dengan melibatkan penyediaan perancah (scaffolding) dan peluang untuk mendapatkan maklumat daripada More Knowledgable Others untuk masuk ke Zone of Proximal Development. Saya cuba libatkan aktiviti akses Internet dan bahan di perpustakaan selain diskusi kumpulan kecil.

Sebagai perbandingan, mari kita lihat model yang telah dikemukakan oleh Osborn dan Parnes (1950han) yang telah mengemukakan Creative Problem Solving Process. Menurut Osborn dan Parnes, terdapat enam langkah yang melibatkan tiga peringkat (lihat jadual di bawah).

Peringkat Proses
Langkah-langkah


Meneroka cabaran
Mencari objektif (mengenalpasti matlamat, keinginan atau cabaran.
Mencari dan mengumpul fakta yang relevan.
Mencari masalah (menjelaskan masalah yang perlu diselesaikan dengan tujuan untuk mencapai matlamat / objektif)
Menjana idea
Mencari idea (menjana idea untuk menyelesaikan masalah yang telah dikenalpasti)

Bersedia untuk bertindak
Mencari penyelesaian (beranjak daripada idea kepada implementasi penyelesaian)
Menerima hasil penemuan (pelan untuk bertindak)



Hampir kesemua model, telah memulakan proses dengan masalah (mendefinsi, mengenalpasti), diikuti dengan cadangan pelan tindakan (adakalanya melibatkan hipótesis) dan berakhir dengan tindakan (serta penilaian ke atas tindakan). Apa yang penting ialah berlakunya proses pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah.

Katakanlah, guru ingin mengajar bab puasa wajib di bulan Ramadhan. Guru boleh memulakan dengan mengemukakan isu seperti berikut:

Setiap kali tiba bulan Ramadhan, pemikiaran umat Islam akan tertumpu kepada amalan berpuasa. Orang bijak pandai Islam (ulamak) akan dijemput untuk menjelaskan isu-isu berkaitan puasa di masjid, surau, televisyen, radio dan majalah serta akhbar. Lazimnya, kuliah, ceramah, pengajian, taklimat, peringatan ini akan disusuli oleh soalan daripada pendengar atau pembaca. Soalan, lazimnya ditanyai oleh orang yang telah dewasa, yang dikemukakan seolah-olah mereka ini (orang dewasa) masih tidak memahami banyak hal tentang puasa yang berkualiti tinggi. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan puasa yang berkualiti?

Nota: Isu di atas mungkinlebih sesuai untuk sekolah menengah. Untuk sekolah rendah, isu boleh dipermudahkan seperti berikut:

Setiap kali tiba bulan Ramadhan, umat Islam akan berpuasa. Bagaimanakah melaksanakan puasa yang dikehendaki oleh Islam?

Setelah mengemukakan masalah kepada murid, guru boleh mula mengatur cara murid akan menyelesaikan masalah sama ada dalam kumpulan kecil, secara individu atau secara kelas. Fikirkanlah mana yang lebih baik. Guru boleh meminta murid membentuk hipotesis atau menyenaraikan isu yang berkaitan dengan puasa yang berkualiti secara kreatif. Contohnya:

1.       Puasa menjadi tidak berkualiti sekiranya pelakunya tidak bersahur pada malam sebelumnya

2.       Puasa menjadi tidak berkualiti sekiranya pelakunya tidak mampu menahan mulut daripada berkata perkara-perkara tidak berfaedah

3.       Puasa menjadi tidak berkualiti sekiranya pelakunya tidak dapat menahan pendengaran daripada medengar perkara yang tidak berfaedah

4.       Puasa menjadi berkualiti sekiranya disertakan dengan amalan bersedekah, membaca al Quran dan solat tarawikh

5.       Puasa menjadi berkualiti sekiranya dapat menahan nafsu makan berlebihan sewaktu berbuka (tidak membazir)

6.       Puasa menjadi berkualiti sekiranya disegerakan berbuka apabila tiba waktu berbuka

7.       Dan banyak lagi…….

Untuk peringkat seterusnya iaitu fasa mendapatkan cara menyelesaikan masalah, guru boleh mencadangkan beberapa cara (atau murid boleh cari sendiri). Contohnya,

1.       Mengakses maklumat daripada buku atau Internet

2.       Berkolaborasi dengan rakan dan guru (atau orang lain, sekiranya dijadikan kerja rumah atau tugasan projek)

3.       Berbincang dan berhujah berdasarkan maklumat yang disediakan

Untuk mendapatkan jawapan atau membantu murid untuk mendapatkan makna puasa berkualiti, guru boleh menyarankan penggunaan soalan sokratik yang menjurus kepada hipotesis atau isu yang ingin diketahui. Katakanlah, hipotesis atau isu yang dipilih adalah “Puasa menjadi tidak berkualiti sekiranya pelakunya taidak dapat menahan pendengaran daripada mendengar perkara yang tidak berfaedah” (Sekiranya guru mengaplikasi pembelajaran berkumpulan kecil, mungkin hipotesis ini hanya untuk satu kumpulan manakal kumpulan lain boleh memilih hipotesis yang lain). Contoh soalan sokratik yang boleh dijana adalah:

1.       Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang tidak berfaedah untuk didengar?

2.       Apakah pula contoh perkara berfaedah untuk didengar?

3.       Apakah yang boleh dilakukan sekiranya terdengar perkara yang tidak berfaedah?

4.       Bagaimanakah menghalang pendengaran daripada mendengar perkara tidak berfaedah?

5.       Bagaimana menghalang orang lain daripada bercerita tentang perkara tidak berfaedah kepada kita?

6.       Bagaimana kalau mulut kita sendiri yang bercerita tentang perkara tidak berfaedah dan kita menyedarinya?

7.       Apakah yang akan tejadi kepada puasa kita jika terus mendengar perkara tidak berfaedah?

8.       Adakah perkara yang dikategorikan sebagai kurang berfaedah?

9.       Terbatalkah puasa?

10.   Bagaimana dengan mereka yang sengaja menyiarkan perkara tidak berfaedah melalui radio, majalah dan televisyen dalam bulan puasa?

11.   Bagaimanakah kalau puasa itu hanya puasa sunat di luar bulan Ramadhan?

12.   Hilangkah pahala puasa?

13.   Adakah puasa yang tidak berkualiti itu wajib diganti?

14.   Dan lain-lain lagi…..

Apakah tindakan yang perlu dilakukan? Dari konteks ibadah, tentulah murid diminta mengamalkannya. Guru boleh mencuba dengan meminta murid simulasikan atau berpuasa sunat dan cuba memastikan pendengaran dapat dikawal. Kemudian, guru boleh meminta murid melakukan penilaian kendiri atau refleksi dalam kelas.

No comments:

Post a Comment