Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday, 24 July 2011

Mengapa ikut mereka?

Agak kerap juga soalan ini ditanyakan kepada saya oleh guru-guru Pendidikan Islam apabila saya memberi kuliah atau kursus pedagogi tentang pengajaran dan pembelajaran koperatif dan kolaboratif. Ia merupakan soalan yang paling baik untuk membolehkan kita sedar tentang kekurangan-kekurangan kita sendiri. Ramai tokoh-tokoh Islam yang dikagumi dengan ilmu pengetahuan mereka seperti Ibnu Sina, Al Farabi, Khawarizmi, Ibn Khaldun dan ramai lagi yang menjadi ikutan orang lain. Kita biasa dengan kaedah pendidikan yang dikemukakan oleh Al Ghazali, Asy Syafie dan ramai lagi. Malah kita bercakap tentang kaedah pendidikan Rasulullah s.a.w. Kita tahu bahawa pendidikan Islam pada peringkat awal dijalankan dalam kumpulan kecil khususnya di rumah Arqam. Bila kita buka kitab-kitab para ulamak dan ahli sejarah Islam, kita tidak terjumpa istilah cooperative dan collaborative. Sudah pasti tidak jumpa kerana kedua-duanya adalah istilah dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu, konsep pembelajaran cooperative dan collaborative ini sebenarnya bukanlah suatu kaedah yang asing dalam Islam.

Mungkin ada orang menulis mengenainya dan mungkin juga tidak kerana kita tidak berada dalam zaman Rasulullah dan para sahabat mahupun ketika Islam berada di kemuncaknya. Tulisan-tulisan hari ini berkaitan pedagogi banyak merujuk kepada nama-nama seperti JB Watson, BF Skinner, Jean Piaget, Kohlberg, Vygotsky, Bruner dan banyak lagi. Nama tokoh-tokoh Islam hanya dapat dilihat dalam tulisan berkaitan Pendidikan Islam. Itu pun, istilah-istilah Arab digunakan tanpa banyak dikaitkan dengan pandangan tokoh-tokoh seperti Bloom, Krathwohl, Dunn dan Dunn, Piaget, dan lain-lain.  

Agaknyalah, semasa pendidikan Islam berlaku dalam kumpulan kecil di rumah Al Arqam ibnu Al Arqam dulu, mungkinkah kaedah atau teknik sumbangsaran, bertukar fikiran, demonstrasi, menegur dan menilai rakan, penjelasan, penyoalan, inkuiri, menyelesai masalah, kuliah, lawatan dan macam-macam lagi tu tidak dijalankan? Cuba renungkan. Cuma kesemua itu tidak diperincikan prosedurnya dan diberikan nama-nama khusus seperti One Stray Three Stay, Round Robin, Round Table, Peer Review, Group Processing, Jig-saw, Think-Pair-Share, Number-Head-Together dan sebagainya seperti mana dikemukakan oleh Kagan dalam pendekatan pembelajaran kooperatifnya.

Contoh berlaku kolaboratif melibatkan Social Constructivism: Zone of Proximal Development dan More Knowledgeable Others (Teori Lev Vygotsky) ialah apabila para sahabat berjumpa dan bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w tentang perkara-perkara yang tidak mereka kuasai atau tidak jelas atau kurang memahami. Siapa peduli untuk memberikan istilah-istilah khusus pada waktu itu? Bagi para sahabat, makna sesuatu konsep (meaning) dalam kehidupan mereka adalah lebih penting dari sekadar nama-nama khusus. Pada hari ini nama-nama khusus perlu diberikan kepada teknik dan kaedah-kaedah tersebut setelah perincian prosedurnya dibuat agar lebih mudah difahami dan diikuti. Kaedah lawatan? Oh tentu sekali berlaku apabila Rasulullah s.a.w menyarankan agar belajar sampai ke tempat lain (Cina) walaupun hadis yang menyokong kenyataan ini agak lemah dan dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

Nah, berbalik kepada soalan “Mengapa ikut mereka?” agaknya bolehlah direnung kembali. Soalan seterusnya, “Salahkah ikut mereka dalam hal-hal seperti itu?” Kita selalu cakap bahawa Rasulullah s.a.w merupakan teladan paling baik tetapi kita tidak mahu melihat secara terperinci kaedah Rasulullah s.a.w tersebut dan memberikan nama-nama khusus yang sesuai dengan selera sekarang. Rasanya, apa yang lebih penting ialah memahami konsep dan maknanya dalam kehidupan kita dan pastikan setiap mata pelajaran yang di ajar (bukan hanya mata pelajaran Pendidikan Islam:- Bahasa Arab, Tauhid, Fiqh, Taswwuf, Al Quran dsb) dikaitkan dengan Pencipta dan Pengatur Agung (Allah). Kini, jarang sekali penerapan nilai sejagat, penggabungjalinan mata pelajaran dengan konsep ketuhanan dilakukan. Benar memang ada atas kertas tetapi tidak dalam buku teks sains, geografi, teknikal, masakan, kesihatan dan jasmani dan sebagainya. Bagi guru yang sekadar merujuk kepada buku teks……. (kata Nabil, Lu Fikirlah Sendiri!!!!). Rupanya Nabil tu bukan orang barat tapi dari Negeri Sembilan. Nama ni tak popular untuk diquote berkaitan pendidikan dan kalau quote juga, macam lekeh betul. Mengapa? Sebab kaedah kecindan Si Nabil tu banyak diselitkan dengan hal-hal yang dinilai negatif. Tapi kalau quote nama-nama serperti Theodore, Washington, Roosevelt…. hal negatif mereka pasti diketepikan.

Di sini, kalau kita yang bukan pemimpin ni membuat sesuatu kenyataan tanpa quote nama-nama popular, orang akan tanya banyak soalan yang tidak menunjukkan keyakinan mereka. Tetapi apabila kita quote mana-mana nama (walaupun tidak pernah didengar) asalkan bunyinya macam quote, maka nilai kepercayaan itu agak tinggi. Bagi orang berlatar belakangkan Islam, nama-nama tokoh Islam atau nama mana-mana orang Islam, kalau tak disebut, macam tak sah. Apa lagi kalau nas Al Quran dan hadis tidak dikemukakan.
Wahai guru Pendidikan Islam, marilah kita mula membuat refleksi ke atas amalan kita ini. Bukan sekadar menilai amalan baik kita dan membandingkan dengan amalan kurang baik orang lain (boleh sebabkan riak, ujub, sum’a) tetapi penambahbaikan. Lakukanlah Kajian Tindakan ke atas amalan harian. Semoga bermanfaat.      

Friday, 22 July 2011

Sahsiah Guru Pendidikan Islam

Dengan ehsan Us Hj Abdul Ghani Shamsuddin, Universiti Malaya
Sahsiah mempunyai tiga ciri utama. Pertama, ialah keunikan dengan maksud tersendiri. Kedua, kebolehsuaian atau keupayaannya untuk berubah dan diubah; hasil pembelajaran atau pengalaman. Ketiga, ialah organisasi. Dengan perkataan lain ia bukan sekadar himpunan tingkahlaku sebaliknya ia melibatkan corak tindakan dan operasi yang bersifat konsisten. Tegasnya sahsiah mencerminkan sifat, fizikal, kognitif, emosi, sosial dan rohani seseorang.

Tidak diragukan lagi bahawa guru yang mempunyai keperibadian yang baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri anak didik mereka. Alat teknologi moden walau bagaimana canggih sekalipun tidak dapat mengambil peranan guru. Faktor manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan dan pematangan sahsiah murid. Sebab itu banyak kajian dibuat tentang sifat-sifat yang perlu ada pada seorang guru yang baik dan berkesan dalam pengajaran mereka.

Menurut Prof Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru muslim hendaklah merangkumi:

(a) Sifat Rohaniah

1. Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna
2. Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para Rasul
3. Sifat-sifat keimanan asas yang lain

(b) Sifat-Sifat Akhlak

1. Benar dan jujur
2. Menepati janji
3. Amanah
4. Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan
5. Merendah diri
6. Sabar, tabah dan cekal
7. Hilm, pemaaf dan toleransi
8. Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan qanaah
(c) Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani

i. Sifat Mental

1. Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial)
2. Menguasai mata pelajaran takhassus
3. Luas pengetahuan am
4. Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang sihat
5. Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid
6. Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian

ii. Sifat Kejiwaan

1. Sifat tenang dan emosi yang mantap
2. Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan tenang jiwa bila mengingatiNya.
3. Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang kuat
4. Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan
5. Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat

iii. Sifat Fizikal

1. Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit atau tidak berjangkit
2. Berperawakan tampan, kemas dan bersih


Menurut kajian soal selidik di kalangan para pelajar di sekolah menengah di negara –negara maju terdapat senarai yang menerangkan sifat-sifat yang diingini oleh pelajar. Antara sifat guru yang dikehendaki ialah guru tersebut :

1. Berkelakuan baik (penyayang dan penyabar)
2. Tidak berat sebelah
3. Berkeupayaan menghuraikan pelajaran dengan jelas
4. Berdisiplin
5. Menguasai mata pelajaran dengan baik
6. Adil dalam pemarkahan
7. Sifat kelakar
8. Suka menolong pelajar di luar kelas
9. Memahami masalah pelajar
10. Mampu menarik perhatian pelajar
11. Amanah dan menunaikan janji
12. Berupaya membuat penghukuman yang betul
13. Mempunyai sahsiah yang dihormati
14. Mempunyai semangat persekolahan yang tinggi
15. Mempunyai arahan yang jelas dan spesifik
16. Boleh membezakan ‘intan dari kaca’
17. Mempunyai kemahuan yang kuat
18. Mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi
19. Tidak suka menghina murid atas kesalahan mereka
20. Tidak menyalahgunakan peraturan membenarkan murid dirotan
21. Luas pengetahuan am
22. Tidak lari atau terkeluar dari tajuk bila mengajar
23. Suara yang baik-serak-serak basah
24. Mengenal titik kekuatan murid
25. Pandai memberi nasihat
26. Simpati terhadap kelemahan murid
27. Pandai memilih kata-kata
28. Memberi ruang para pelajar menelaah dan mengulangkaji
29. Mengambil kira suasana murid di rumah
30. Boleh membuat ujian secara berkala 




Tuesday, 19 July 2011

Bagaimana menggunakan kaedah soaljawab dan perbincangan dalam pembelajaran kooperatif?


Tahukah anda bahawa pengajaran sains (bukan mata pelajaran sains dan bukan konten sains) sama ada sains sosial mahupun sains natural, sering mencari bukti melalui pembelajaran penyelidikan bersifat inkuiri atau eksperimen sehingga lupa kepada sumber mutlak (ultimate) bukti-bukti itu sendiri. Akibatnya memang amat mengecewakan apabila bukti sains yang tidak dikaitkan secara langsung dengan aspek ketuhanan menyebabkan anak-anak hilang keyakinan dengan kekuasaan Tuhan. Contohnya, konten pergerakan plat tektonik di bawah paras laut boleh mengakibatkan gempa bumi, letusan gunung dan tsunami. Tanpa mengaitkan dengan kuasa Allah, murid akan beranggapan bahawa pergerakan bumi (gunung dan plat tektonik) hanya merupakan fenomena alam. Guru pendidikan Islam seharusnya menggunakan bukti kejadian alam (fenomena alam ini) sebagai contoh ketuhanan Allah. Terdapat dalil naqli yang menyatakan bahawa gunung digerakkan oleh Allah (satu kuasa yang dapat dilihat melalui fenomena alam). Pengajaran dapat dilakukan dengan rentasan mata pelajaran serta penggabungjalinan. Ini bermakna, guru Pendidikan Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak isi pelajaran sains natural dan sains sosial.Tidak dapat tidak!!!


Telah diketahui bahawa kaedah soaljawab boleh digunakan untuk menggalakkan murid berfikir menggunakan pengetahuan sedia ada yang digabungkan dengan pandangan (penilaian, justifikasi, andaian, inferens, jangkaan dan sebagainya) untuk membolehkan murid melihat sesuatu fenomena secara lebih luas. Penggunaan penyoalan Sokratik (pelbagai soalan pelbagai dimensi dikemukakan untuk menggalakkan murid berfikir secara aktif dan mencari jawapannya) pelbagai aras domain kognitif Taksonomi Anderson  dan Krathwohl (2000) {mengingat, memaham, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta}, akan dapat meningkatkan daya berfikir murid (pembelajaran berfikrah). Soalan-soalan yang baik (melibatkan kata tanya 5W1H) akan membuat murid meneroka maklumat baru (melalui perbincangan, perkongsian, pencarian maklumat, berkolaborasi) untuk mendapatkan jawapan terbaik. Penggunaan tujuh lingkaran soalan akan memantapkan lagi pemahaman murid tentang sesuatu tajuk atau konsep yang dipelajari.

Pembelajaran kooperatif menyediakan peluang kepada murid untuk berbincang, menyemak dan menilai kefahaman rakan, berkolaborasi dengan orang lain serta melakukan refleksi pembelajaran.

Saya memilih teknik Number-Head-Together (pembelajaran kooperatif) sebagai contoh. Murid akan berada dalam kumpulan masing-masing seramai empat orang setiap kumpulan (sebaiknya untuk peringkat rendah, guru menentukan ahli-ahli kumpulan melibatkan pelbagai gaya belajar dan keupayaan). Setiap ahli dalam kumpulan akan ditandai dengan nombor 1 hingga 4. Guru akan mengemukakan soalan kepada kelas (pastikan soalan-soalan telah disediakan terlebih awal dengan turutan yang betul).

Contoh soalan untuk tajuk aqidah Allah Maha Kuasa.


Apakah maksud kuasa? Apakah yang kamu faham dengan maksud berkuasa? Soalan mencabar konsep (aras mengingat /memaham) lingkaran satu: perkara
Apakah perbezaan antara kuasa dan berkuasa? Soalan mencabar konsep dan interpretasi (aras memaham / menganalisis) lingkaran satu: perkara
Siapakah yang mempunyai kuasa? Soalan meminta penjelasan (aras mengingat) lingkaran tujuh: perkara dan luar
Apakah perbezaan kuasa manusia dan kuasa Allah? Soalan meminta pandangan, penjelasan dan interpretasi tentang konsep (aras memaham) lingkaran lima: perkara dan luar
Sejauh manakah manusia dapat menunjukkan kuasanya? Soalan mengenai pandangan (aras menilai) lingkaran lima: perkara dan luar
Mengapakah kuasa manusia dikatakan bergantung kepada kuasa Allah? Soalan meminta alasan dan penjelasan (aras menganalisis) lingkaran lima: perkara dan luar
Bagaimanakah caranya Allah menunjukkan kuasaNya ke atas manusia dan alam semesta? Soalan meminta penjelasan (aras memaham) lingkaran lima: perkara, dan luar
Apakah contoh-contoh kuasa Allah ke atas manusia dan alam semesta?.Soalan meminta alasan dan bukti (aras memaham)
Bilakah manusia dapat menjadi saksi kepada kekuasaan Allah? Soalan meminta penjelasan (aras mengingat)
Mengapakah percaya kepada Allah Maha Berkuasa menjadi penting dalam kehidupan anda? Soalan implikasi dan akibat (aras menganalisis) lingkaran empat
Apakah kemungkinan akan berlaku sekiranya anda tidak percaya dengan kekuasaan Allah? Soalan implikasi dan akibat (aras menilai) lingkaran empat

Bagaimanakah dapat anda rancangkan satu program lawatan sehari ke suatu tempat yang dapat menjelaskan kekuasaan Allah ke atas semua makhluk? Soalan mencabar kefahaman (aras mencipta).


Nota: Lebih banyak soalan boleh dikemukakan dan ia bergantung kepada tahap murid. 
Bagaimanakah kepercayaan kepada kuasa Allah dapat mengukuhkan iman?


Guru akan memberikan waktu untuk murid berbincang dalam kumpulan. Kemudian guru akan memanggil nombor secara rawak (antara nombor 1 hingga 4) dan murid dengan nombor yang dipanggil akan menjawab bagi pihak kumpulannya. Untuk menjimatkan masa atau untuk melatih murid meningkatkan kemahiran mendengar, guru boleh mengemukakan dua atau tiga soalan sekaligus (bergantung kepada tahap murid) dan murid yang dipanggil nombornya akan menjawab soalan-soalan yang berlainan walaupun semua murid telah membincangkan soalan yang sama. Harus diingat bahawa dengan berfikir dan berbincang untuk mencari  jawapan secara aktif, proses ingatan akan dapat bertahan lebih lama berbanding sekadar mendengar fakta dan maklumat daripada guru secara pasif.

Guru boleh mengakhiri kelas dengan mengedarkan borang pengurusan grafik banding beza antara kuasa makhluk dan kuasa Allah. Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, murid akan membuat rumusan sendiri tentang Allah Maha Berkuasa.

KAEDAH PENDIDIKAN ISLAM 11 - Pengajaran Aqidah (Kaedah Soal Jawab)

Dalam pos yang lalu saya telah memuatnaik kaedah perbincangan untuk pengajaran aqidah. Guru boleh menggunakan teknik pembelajaran koperatif (yang telah saya kemukakan sebahagiannya) untuk melaksanakan perbincangan dalam kumpulan kecil dengan guru menjadi pembimbing yang akan memantau perjalanan aktiviti perbincangan. Selanjutnya saya kemukakan kaedah soaljawab, juga untuk mengajar aqidah Islam.

Kaedah Soaljawab
Kaedah soaljawab dapat merangsang murid untuk berfikir ke tahap pemikiran tinggi (Higher Order Thinking) melibatkan tahap analisis, sintesis dan penilaian menurut domain kognitif Taksonomi Bloom. Ia dapat dilakukan sekiranya guru telah menguasai kemahiran penyoalan Sokratik. Murid akan cuba mengenalpasti maklumat yang belum diketahui atau menyusun maklumat sedia ada untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Kaedah ini melibatkan intyeraksi dua hala guru - murid.

Ciri-ciri
  1. Melibatkan pemikiran aras tinggi
  2. Merangkumi enam aras domain kognitif Taksonomi Bloom serta tujuh (7) lingkaran soalan
  3. Menggalakkan daya fikir pada aras tinggi dan pembelajaran berfikrah
Langkah-langkah
  1. Semua soalan hendaklah dirancang terlebih dahulu dan dipastikan sesuai dengan tahap kebolehan murid untuk berfikir
  2. Gunakan istilah yang boleh difahami oleh murid
  3. Kemukakan soalan untuk seluruh kelas sebelum menentukan murid yang akan menjawab
  4. Berikan masa untuk murid memikirkan jawapannya.
  5. Sebaran soalan perlu menyeluruh dan tidak ditumpukan hanya kepada beberapa murid tertentu untuk menjawabnya.
  6. Pastikan soalan yang dikemukakan adalah jelas, ringkas dan tepat.
Lihat juga kaedah perbincangan dan kaedah inkuiri