Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Wednesday, 28 November 2012

Peranan guru Pendidikan Islam sebagai Muallim dan Muaddib

Kebanyakan kita agak mengambil terlalu mudah peranan yang diamanahkan sebagai guru Pendidikan Islam. Umpama melepaskan “batok” (tempurung diguna sebagai penceduk air dari tempayan tepi tangga rumah dahulu kala– batok adalah istilah dalam bahasa jawa yang bererti tempurung dan bukan penceduk air - lihat Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka) di tangga. Ada pula sebilangan yang sangat kecil, menjadi pemusnah. Harapkan "pegar" (menurut Kamus Dewan pegar ialah sejenis burung Lophura ignita rufa- yang dieja dalam jawi menggunakan huruf-huruf pa, ga dan ro – bunyi  “peger” dalam loghat jawa) pegar makan padi :- ayam atau burung pegar ini diharapkan akan memakan ulat serta kumbang yang memusnahkan pokok padi. Guru Pendidikan Islam macam sama saja dengan guru-guru mata pelajaran yang lain (malah ada kalanya guru mata pelajaran lain lebih mampu membentuk anak didik mereka mengikut lunas Islam). Mungkin perkara ini agak pahit untuk ditelan namun realitinya pada masa kini “terpaksa” jugalah ditelan meskipun begitu pahit sekali.

Tempayan air dan batok (tempurung penceduk air)

Ayam pegar atau dikenali juga sebagai burung pegar

Terlebih dahulu guru Pendidikan Islam seharusnya memahami konsep guru itu sendiri. Terdapat bahan dalam Internet yang dikongsi sama oleh ramai guru Pendidikan Islam yang mengelirukan (Awas! Hati-hati apabila mengambil bahan daripada Internet apatah lagi untuk dilanjutkan sebarannya) apabila dikatakan bahawa istilah guru berasal dari kata “Gur” dan “Ru” (dari istilah jawa “gugu” dan digabungkan dengan kata“tiru”). Menurut Mujtahid M Ag (2011) "guru digugu dan ditiru" hanya merupakan ungkapan yang dikaitkan dengan kehidupan seseorang guru di Indonesia terutamanya di Pulau Jawa (lihat Mujtahid, 2011, dalam Pengembangan Profesi Guru terbitan UIN, Malang, Indonesia) yang menggambarkan besarnya kepercayaan masyarakat terhadap eksistensi / kewujudan individu bergelar guru. Jika diteliti, malahan dapat dikesan bahawa sebenarnya tiada singkatan Gur yang diambil dari istilah "gugu" sebaliknya jika diambil dari kata "gugu" seharusnya sukukatanya tidak menjadi "Gur" tetapi "gu" sahaja.

Istilah guru (satu perkataan dan bukan gabungan singkatan dua perkataan Gur dan Ru) merupakan istilah yang telah lebih lama digunakan khususnya oleh pengikut agama Hindu dan Sikh. Terdapat etimologi yang menyatakan bahawa istilah guru berasal dari bahasa Hindi (Benggali dan Gujerati: gu bermaksud gelap dan ru bermaksud terang) yang bermaksud “individu / pendeta yang mengajak pengikutnya beranjak dari kegelapan kepada terang” Istilah guru ini digunakan oleh pemimpin agama Hindu dan Sikhism dengan beberapa kata terbitan seperti Mahaguru, Vaheguru (dengan maksud Tuhan) atau perkataan Guru (pendidik) itu sendiri dan disandarkan kepada seseorang seperti Guru Nanak, Guru Granth Sahib dan sebagainya.

Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa istilah guru dipetik daripada bahasa Sanskrit (gru atau guruh) dan daripada kelompok bahasa Sanskrit yang bermaksud berat dan dihormati – iaitu individu yang berat dan dihormati. Ia merujuk kepada individu yang mempunyai tanggungjawab yang berat yang perlu dipikul serta dihormati. Sekiranya dirujuk kepada beban tanggungjawab yang berat dan dihormati, masih terdapat banyak profesion lain yang juga dinilai "berat" dan dihormati. Maklumat ini lebih sukar untuk diterima pakai dalam konteks pendidikan berbanding istilah "guru" yang diguna pakai oleh penganut agama Hindu dan Sikhism. 

Istilah guru dengan maksud agen yang membawa pengikut daripada kegelapan kepada terang diguna pakai oleh kelompok pengikut Islam (berasal dari India lalu berkembang di kawasan nusantara bersama perkembangan agama Hindu dan Islam) dengan dibezakan dari sudut Ketuhanan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagiNya, dengan beberapa penggunaan kata terbitan seperti Mahaguru (termasuk mahaguru silat) dan Tok Guru (pengajian pondok). Apabila kata “guru” diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris maka menjadi “Teacher”. Terdapat istilah lain yang dikaitkan dengan peranan “teacher” seperti guide, coach, facilitate, social agent, trainer, mentor dan sebagainya.

Dalam Bahasa Arab dan juga bahasa merupakan bahasa yang digunakan Al Quran (Al Quran diturunkan dalam Bahasa Arab), tidak terdapat perkataan “guru”. Sebaliknya istilah Bahasa Arab yang digunakan ialah Muallim, Mudarris, Muaddib atau Murabbi. Terdapat juga istilah Mursyid yang merujuk kepada individu pendidik dan pembimbing yang menjadi pakar rujuk (tahap tinggi) dan dikaitkan dengan ilmu Al Haq atau pengetahuan kebenaran Ilahi. Al Rasyid secara khusus ditentukan hanya untuk Allah (satu daripada 99 asma al husna). Perkataan lain yang boleh ditemui dalam Bahasa Arab ialah Rasul (penyampai risalah Tauhid). Istilah rasul tidak digunakan untuk menjelaskan peranan guru secara umum kerana penggunaannya telah dikhususkan untuk beberapa individu pilihan tertentu dalam Islam (25 Rasul yang disebut dalam Al Quran daripada 313 jumlah rasul) yang menyeru dan mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah. Namun begitu, dalam sepotong hadis riwayat Ibn Majah, dalam as Sunan, dijelaskan bahawa Rasulullah diutus sebagai pendidik (guru) yang menjelaskan istilah rasul juga mempunyai implikasi peranan mendidik.

Istilah "cikgu" merupakan istilah yang biasa dan masih selesa digunakan di Malaysia. Murid lebih cenderung untuk menggunakan istilah cikgu berbanding guru. Kita tidak menyebut Guru Ismail tetapi kita sebut Cikgu Ismail. Selain itu, bagi guru Pendidikan Islam, istilah "ustaz" dan "ustazah" lebih selesa digunakan. Di sekolah, murid tidak menyebut Tok Guru atau Mahaguru Bunyamin tetapi Ustaz Bunyamin atau Ustazah Fitrisyah.

Walau apa pun, tanpa prejudis (dengan mengambil kira istilah guru sebagai pendidik atau cikgu) mari kita sama-sama teliti peranan guru Pendidikan Islam yang telah banyak diperkatakan tetapi tidak begitu mudah untuk diamalkan.  

Muallim
Guru sebagai muallim merupakan seorang individu guru yang menyampaikan ilmu pengetahuan serta kemahiran berdasarkan kepada ilmu yang ada padanya secara khusus seperti Ilmu Geografi, Sains, Nahu dan Sarof, Bahasa, Seerah, Matematik, Astronomi, Psikologi, Kulinari dan sebagainya. Muallim dalam konteks Pendidikan Islam seharusnya merupakan individu guru yang menyampaikan ilmu-ilmu asas Islam yang akan digunakan oleh anak didik dalam menjalani kehidupan harian mereka selaras dengan peranannya sebagai hamba Allah. Dalam konteks bilik darjah dan komponen kurikulum yang telah ditetapkan, maka seorang muallim akan menyampaikan ilmu berdasarkan kepada sukatan kurikulum dan mengikut peraturan bilik darjah yang telah ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dalam sepotong hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah bersabda yang mafhumnya "Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat". Dalam konteks ledakan ilmu yang tidak terbatas, seorang muallim perlu lebih bersedia melaksanakan tugas menyampaikan ilmu dan kemahiran (bergantung kepada tahap murid / pelajar) agar dapat terus digunakan atau diamalkan di dalam dan di luar bilik darjah termasuk untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Meskipun di dalam hadis yang dinyatakan di atas menyebut satu ayat (minima), namun peranan seorang muallim bukan sekadar menyampaikan dalam ertikata memindahkan ilmu tetapi menyampaikan dengan huraian dan penjelasan. Tanpa penjelasan yang baik kebarangkalian murid untuk mengetahui dan memahami adalah tinggi tetapi belum menjamin dapat mengaplikasi ilmu yang diperolehi untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah atau mengaplikasi ilmu untuk menghasilkan / mencipta sesuatu. Murid hanya sampai ke tahap mengetahui dan memahami (rujuk Taksonomi Bloom domain kognitif).    

Ini bermakna seorang muallim perlu menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran-kemahiran pedagogi yang berkaitan dengannya (bidang ilmu yang diajar) melangkaui tahap sukatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kerana sesuatu ilmu itu akan disampaikan mengikut tahap-tahap tertentu daripada yang paling rendah hingga ke tahap paling tinggi. Dengan akses maklumat yang mudah dan cepat, kemungkinan besar terdapat murid yang mempunyai maklumat yang lebih luas daripada guru sendiri. Seorang muallim (zaman ledakan maklumat yang tidak terbatas serta tidak tersaring) tidak seharusnya mempunyai ilmu atau kemahiran yang terkebelakang berbanding murid-muridnya termasuk pengetahuan menggunakan teknologi. Tidak dapat tidak seorang muallim perlu mengamalkan budaya belajar sepanjang hayat disebabkan setiap waktu akan terdapat ilmu-ilmu baru yang perlu diketahui dan dikuasai.

Bagaimana sekiranya guru (muallim) tersebut ditanyai soalan dan ia tidak mengetahui jawapannya (hal ini adalah lazim disebabkan manusia adalah makhluk lemah dan pelupa)? Apakah yang harus dilakukannya? Murid lebih menghormati guru yang mengakui kelemahan diri dibanding dengan guru yang menipu. Oleh itu, guru perlu mengakui tidak mengetahui tetapi akan cuba mendapatkan jawapannya untuk dimaklumkan kepada murid pada waktu yang lain. Elakkan daripada merapu untuk mengelak daripada memberikan jawapan yang betul dan tepat. 

Muaddib
Penekanan kepada pembentukan tingkahlaku berdisiplin menjadi salah satu matlamat dalam pendidikan agar murid yang mendapat didikan tersebut akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjerumus dengan gejala maksiat atau penyelewengan dan rasuah ketika menjalani kehidupan seharian. Rasuah menjadi salah satu musuh utama dalam negara dan dilakukan oleh sebahagian rakyat yang beragama Islam. Gambaran ini seolah-olah menunjukkan kegagalan peranan guru sebagai seorang muaddib.

Rassulullah saw diutus untuk membentuk akhlak yang mulia dan institusi pendidikan yang ada pada hari ini merupakan institusi yang seharusnya meneruskan peranan pembentukan akhlak yang mulia ini. Para ustaz dan ustazah (guru khusus mata pelajaran Pendidikan Islam) seharusnya menyedari bahawa pemindahan ilmu dari seorang pendidik kepada murid sebenarnya tidak mencukupi sekiranya peranan “membentuk” tingkahlaku mahmudah tidak diberikan penekanan.

Seorang Muaddid merupakan individu guru yang menjalankan peranannya untuk membentuk nilai-nilai tingkahlaku (behavior), nilai afektif serta nilai kognitif murid untuk dijadikan amalan dalam hidup mereka. Dari perspektif nilai tingkahlaku, seorang muaddib perlu membentuk muridnya agar bertingkahlaku mulia, beradab, berakhlak, berdisiplin, berpekerti mulia dan berintegriti. Dari perspektif nilai afektif pula, murid perlu dibentuk agar mempunyai nilai kasih sayang, menghargai keindahan, tidak merusakkan, melakukan kerja dengan sebaik mungkin (dengan mengambil kira nilai seni, ketahanan dan sebagainya). Seorang muaddib juga bertanggungjawab untuk membentuk pemikiran murid yang bernas, tidak berfikiran yang boleh merusakkan diri, masyarakat, harta atau alam melalui program-program prodigy (program transformasi kehidupan muda boleh dilihat di http://www.uerl.upsi.edu.my/#!prodigy-malay/cs1). Ketiga-tiga komponen tingkahlaku, afektif dan kognitif perlu dibentuk secara serentak. Contohnya, murid dibimbing untuk melaksanakan ibadat solat dengan sopan, teratur dan dengan pemikiran yang tertumpu hanya kepada Allah. Pembentukan nilai benar ini diharapkan dapat melahirkan murid yang benar-benar dapat merealisasikan kehidupan yang dapat mencegah daripada fahsya' dan mungkar dan bukan yang solat tetapi mengamalkan perlakuan yang dilarang.

Penekanan seorang muaddib juga perlu dilihat dalam peranannya membentuk murid atau anak didik yang meahami dan mengamalkan hidup berkawan, berjiran dan bermasyarakat melibatkan kemahiran berhubungan dan berkomunikasi, saling membantu dan bekerjasama ke arah kebaikan dan memahami serta menghormati orang lain.

guru sebagai mudarris ..... http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/12/mudarris.html


Tuesday, 27 November 2012

Model Rekabentuk Pengajaran dan Model Pengajaran


Apabila saya mencari, meneroka dan membaca tentang Model Proses Rekabentuk Pengajaran (Instructoinal Design Model) dan Model Proses Pengajaran (Teaching Model) , saya akan tertanya-tanya tentang model rekabentuk pengajaran serta model pengajaran yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh Islam. Apa yang saya temui dan dikatakan sebagai model pengajaran Islam hanya merupakan kaedah-kaedah serta teknik-teknik pengajaran seperti kuliah, ceramah, talaqqi musyafahah, tadarrus, soal jawab, demonstrasi dan sebagainya. Malah terdapat buku-buku teks yang mengemukakan model pengajaran oleh tokoh-tokoh Islam (al Ghazali, Imam Malik, Imam Hanafi, Iman Hanbali atau Imam Syafie) lebih merupakan cerita tentang latar belakang pendidikan yang diterima oleh tokoh berkenaan, pengalaman kehidupannya sebagai seorang pengajar atau pengalaman melaksanakan proses pengajaran ilmu-ilmu Islam selain mengemukakan senarai buku-buku dan kitab yang telah dikarang. Selebihnya adalah kaedah serta teknik yang digunakan. Kalau ditanya bagaimana bentuk stau struktur atau konsep atau konstruk model al Ghazali, asy Syafie, Imam Hambali, Imam Malik atau Imam Hanafi?..... maka tiada satu bentuk “proses” yang dapat dikemukakan oleh penulis berkenaan (atau mungkin saya masih belum menemuinya walaupun telah puas membelek buku-buku dan mencari di celah-celah maklumat di Internet). 



Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah model dalam konteks ini? Kita tidak disajikan oleh mana-mana penulis yang cuba menerangkan model pengajaran Islam sebagai satu “proses” serta “piawai” (bertujuan untuk dibuat perbandingan kualiti) yang boleh dijadikan panduan tetapi lebih merupakan kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membolehkan pembelajaran optima berlaku. 



Adalah baik kalau kita lihat semula beberapa konsep yang dikaitkan dengan pengajaran seperti pendekatan, kaedah dan teknik. Secara ringkas dan mudah, "pendekatan" merupakan teori pelajaran yang menjadi asas dan akan diaplikasikan apabila guru menyampaikan isi pelajaran. "Kaedah" pula adalah merupakan satu set tindakan bersistematik seorang guru yang dilaksanakan untuk mencapai objektif pembelajaran dalam lingkungan tempoh masa tertentu (contohnya dalam tempoh satu waktu pengajaran mengikut jadual) yang mengandungi prosedur-prosedur berdasarkan kepada pendekatan yang dipilih. "Teknik" pula merupakan bagaimana guru memanipulasikan kaedah yang dipilih tersebut untuk mengoptimumkan pembelajaran murid. Seorang guru sebenarnya adalah bebas untuk membina kaedah pengajaran berdasarkan kepada pendekatan. Perhubungan dan kaitan antara pendekatan, kaedah dan teknik menghasilkan model. Sesebuah model akan menghuraikan kaedah dan strategi pengajaran yang didasarkan kepada pendekatan pengajaran.  



Jika diteliti, segala model pengajaran yang kita pelajari yang telah dikemukakan dalam bentuk gambaran konsep / konstruk / struktur oleh tokoh-tokoh pendidikan barat seperti Taba dan Ausubel (pendekatan kognitif), Vygotsky (pendekatan konstruktivisme), Model 5E (Bybee) dan Model 7E (Eisenkraft) berdasarkan pendekatan konstruktivisme), dan banyak lagi.  Rasanya tidak perlu saya masukkan gambaran model-model tersebut sebab boleh dilihat dalam Internet. Apa yang penting ialah kita dapat memahami bagaimana sesebuah model pengajaran itu terbina. Apakah yang mencirikan sesebuah model pengajaran?



Elemen-elemen utama sebuah model pengajaran

  1. Fokus Setiap model pengajaran akan mempunyai objektif yang dikenal sebagai titik tumpuan (focal point). Sebuah model pengajaran dibina dengan mengambil kira titik tumpuan ini. Dalam perkataan lain, tumpuan model pengajaran inilah yang akan menentukan pembinaan sesebuah model pengajaran yang mengandungi beberapa fasa. Beberapa kecekapan akan terbentuk melalui aplikasi model pengajaran.
  2. Sintaks  meliputi turutan langkah-langkah (sequences of steps) yang terlibat dalam pengorganisasian program pengajaran yang lengkap.
  3. Prinsip-prinsip riaksi / pengajaran merupakan cara bagaimana guru menanggap dan menjangkakan respons terhadap aktiviti yang dilakukan oleh murid. Respons ini perlu sesuai dan bersifat selektif.
  4. Sistem sosial Ia berkaitan perkara berikut:

a. Hubungan dan peranan interaktif antara guru dan murid.
b. Jenis-jenis norma dan tingkahlaku murid yang diperhatikan dan perlu diberikan ganjaran (seperti gred dan skor)

  1. Sistem sokongan  berkaitan keperluan tambahan yang diperlukan selain kemahiran guru mengajar seperti bahan bantu, prasarana dan sebagainya. 
  2. Konteks aplikasi seperti "concept development" dan sebagainya. 
Tunggu buku saya seterusnya untuk mendapatkan alternatif model pengajaran berdasarkan al Quran yang sedang dalam penghasilan. 

Monday, 19 November 2012

Jenis-jenis strategi pembelajaran

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah menyentuh dengan agak panjang lebar tentang strategi npengajaran dan pembelajaran (lihat http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/06/pedagogi-strategi-pengajaran-dan.html). Bahan ini sebenarnya tidak begitu terperinci memandangkan terdapat batasan tertentu untuk diterbitkan dalam bentuk digital. Untuk mendapatkan keperincian tentang tajuk tersebut, insyallah, saya dan rakan penulis saya, akan menerbitkan satu lagi buku baru khusus mengenai Pedagogi Pendidikan Islam.

Dalam tulisan pada hari ini, saya akan menyentuh tentang tiga jenis strategi iaitu 1) strategi pengorganisasian pembelajaran  2) strategi penyampaian konten pembelajaran dan 3) strategi pengelolaan pembelajaran.

Strategi pengorganisasian pembelajaran
Reigeluth, Bunderson dan Merrill (1977) menamakan strategi pengorganisasian pembelajaran sebagai strategi struktural (structural strategy). Menurut mereka, strategi struktural merujuk kepada cara menyusun dan mensentisis turutan fakta , konsep, prosedur dan prinsip-prinsip yang saling berkaitan. Terdapat dua pecahan strategi ini yang dinamakan sebagai strategi makro dan strategi mikro.

Strategi mikro memberi penekanan kepada pengorganisasian pengajaran berdasarkan satu topik dan melibatkan komponen strategi seperti definisi, contoh dan amalan. Strategi makro pula melibatkan pengorganisasian pengajaran untuk menunjukkan  perkaitan (interrelationships) antara aspek-aspek dalam kandungan mata pelajaran. Pada peringkat paktikal, strategi mikro memberikan garis panduan bagaimana mengajar satu topik atau konsep atau prinsip secara spesifik manakala strategi makro menunjukkan bagaimana isi kandungan pelajaran disusun mengikut sekuen untuk menggambarkan saling perkaitan antara topik, konsep atau prinsip.

Menurut Reigeluth dan Stein (1983) pengorganisasian pembelajaran dilakukan dengan mengambilkira empat perkara (4S) iaitu selection, sequencing, synthesizing, dan summarizing.

Selection atau pemilihan merupakan pemilihan idea daripada isi pelajaran yang akan diajar untuk mencapai objektif atau matlamat pembelajaran bagi setiap unit (Reigeluth & Darwazeh, 1982).

Sequencing atau menyusun mengikut turutan dilakukan dengan tujuan untuk mempercepatkan dan memudahkan pembelajaran (Reigeluth & Darwazeh, 1982) iaitu dengan mengikut prinsip daripada umum kepada spesifik (Mayer, 1981) atau turutan daripada mudah kepada kompleks.

Tujuan melakukan sintesis pula adalah untuk menunjukkan perhubungan antara idea yang saling berkaitan. Dengan cara ini murid boleh melihat bagaimana kesemua idea yang berkaitan itu dapat membentuk satu skema konsep yang lebih besar.

Summarizing atau membuat rumusan bertujuan untuk menyemak semula pelajaran dan bahan-bahan berkaitan untuk membolehkan maklumat kekal lebih lama dalam ingatan.

Strategi penyampaian isi kandungan pelajaran
Strategi ini merupakan komponen kaedah semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan strategi ini adalah untuk:
1. menyampaikan isi pelajaran
2. menyediakan maklumat dan bahan yang diperlukan untuk menyokong dan meneroka isi pelajaran

Strategi pengelolaan pembelajaran
Strategi ini pula bertujuan untuk mengatur kaedah untuk membolehkan murid dapat berinteraksi secara aktif dalam proses pembelajaran. Ia berkaitan dengan pemilihan kaedah manakah yang paling sesuai digunakan dengan mengambil kira jadual pelaksanaan, penilaian kemajuan murid dan motivasi.

Apakah implikasinya kepada guru dan perancangan pengajaran?

Friday, 9 November 2012

Buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru


Buku terbaru dalam pasaran. 

Isi Kandungan: 

Bab 1: Konsep Mengajar Sebagai Satu Profesion
Konsep profesion
Ciri Asas Profesion
Konsep profesionalisme
Ciri-ciri guru profesional
Guru efektif

Bab 2: Kod Etika dan Akauntabiliti Guru
Konsep Etika
Kod Etika Keguruan Malaysia
Standard Guru Malaysia
   Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
      Domain Diri
      Domain Profesion
      Domain Sosial
   Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman
   Standard 3: Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran
Akauntabiliti Guru
Integriti Guru
   Faktor Menjejaskan Integriti

Bab 3: Isu-isu Etika Guru
Kesantunan Guru
Kepedulian Guru
Penampiulan Guru
Berniaga di Sekolah
Kerjaya Sambilan
Pengurusan Masa
Pengurusan Kewangan

Bab 4: Peringkat Perkembangan Guru
Model Fuller dan Brown
Model Katz
Model Huberman
Model Lima Peringkat reyfus dan Dreyfus
Guru Pakar

Bab 5: Peranan Guru Sekolah Rendah
......
......
......
......

Bab 6: Kepemimpinan Guru
Asas Kepemimpinan
Gaya Kepemimpinan
Strategi Kepemimpinan Pendidikan
Teori Kepemimpinan Guru
Kepemimpinan Sekolah
Cabaran Kepemimpinan Sekolah
Cabaran Guru Masa Kini

Bab 7: Struktur Organisasi Pendidikan
Struktur Organisasi Kementerian Pelajaran Malaysia
Struktur Organisasi Sekolah
Tugas dan Tanggungjawan Guru
Jangkaan Guru
   Ketepatan
   Kajian Pygmalion
   ....
   ....

Bab 8: Perkembangan Profesional Guru
Pembelajaran Sepanjang Hayat
Pelan Pembelajaran Peribadi
......
......
......
......
......

Untuk mengetahui kandungan selengkapnya, dapatkan buku tersebut di pasaran.