Thursday, 28 June 2012

Pedagogi: Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Strategi Pengajaran Secara Terus / Langsung (Direct Instruction / direct teaching)

Pengajaran secara terus / langsung merupakan pendekatan berpusatkan guru. Strategi pengajaran ini sangat berkesan apabila matlamat guru adalah untuk:
·         Memberikan atau menyampaikan maklumat
·         Mengajarkan prosedur (SOP)
·         Membina kemahiran langkah demi langkah

Strategi pengajaran secara terus / langsung melibatkan kaedah-kaedah berikut:
·         Demonstrasi
·         Penyoalan didaktik
·         Latih tubi
·         Pengajaran eksplisit
·         Kuliah masteri
·         Panduan dan bimbingan bacaan, mendengar dan pemerhatian
·         Gambaran keseluruhan berstruktur

Kebaikan

Sekiranya digunakan dengan bijak, strategi pengajaran secara terus / langsung membolehkan guru menyampaikan ilmu pengetahuan atau maklumat yang kompleks mengikut tahap keupayaan murid. Melalui strategi ini juga guru akan berupaya untuk menyampaikan maklumat yang tidak sedia ada (not readily available) untuk membolehkan murid mengaksesnya walau dengan apa cara pun. Ia juga merupakan strategi pengajaran yang baik untuk membolehkan guru meningkatkan keghairahan murid untuk mata pelajaran berkenaan serta meningkatkan minat murid. Guru boleh menggunakan strategi pengajaran secara terus / langsung untuk membolehkan murid menunpukan perhatian kepada isi kandungan pelajaran yang relevan agar dapat membantu murid mengaitkan maklumat baru dengan maklumat sedia ada atau dengan pengalaman lalu.

Kelemahan

Salah satu kelemahan utama strategi pengajaran secara langsung ialah penyalahgunaan strategi tersebut: ramai guru gagal untuk menyedari sepenuhnya tentang batasan strategi pengajaran secara terus atau secara langsung ini. Guru perlu akui bahawa keupayaan pengajaran secara terus / langsung sebenarnya terbatas untuk membolehkan murid  mengembangkan sepenuhnya keupayaan mereka untuk berfikir secara kritikal serta membataskan keupayaan murid untuk belajar atau bekerja dalam kumpulan. Oleh itu, pengajaran secara terus / langsung hanya boleh dilihat dan diterima sebagai salah satu strategi yang boleh digunakan oleh guru ketika mengajar.

Strategi Pengajaran Tidak Langsung (Indirect Instruction / Indirect teaching)

Bertentangan dengan strategi pengajaran secara langsung, pengajaran tidak langsung lebih bersifat tumpuan murid, walaupun kedua-dua strategi pengajaran tersebut (langsung dan tidak langsung) merupakan dua strategi yang saling melengkapi antara satu dengan lain.

Strategi pengajaran tidak langsung memerlukan penglibatan yang tinggi dari kalangan murid semasa membuat pemerhatian, penyiasatan, menghasilkan inferens daripada data atau membentuk hipotesis. Strategi pengajaran tidak langsung mengambil kira minat dan rasa ingin tahu murid yang akan menggalakkan mereka untuk menjana alternative atau untuk menyelesaikan masalah. Peranan guru beralih daripada pengajar / pengarah kepada fasilitator, pemberi sokongan dan menjadi sumber rujukan. Guru akan menyusun serta mengatur persekitaran pembelajaran dengan menyediakan peluang untuk penglibatan murid, dan apabila dirasakan sesuai, akan memberikan maklum balas kepada murid semasa mereka melakukan inkuiri (Martin, 1983).

Strategi pengajaran tidak langsung merupakan strategi berpusatkan pembelajaran yang akan menggalakkan penglibatan murid dalam proses pembelajaran. Dengan demikian strategi pengajaran tidak mlangsung ini dapat menggalakkan pemahaman pembelajaran yang sebenar-benarnya. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terlibat adalah seperti berikut:
·         Kajian kes
·         Prosedur cloze
·         Pencapaian konsep
·         Pembentukan konsep
·         Pemetaan konsep
·         Inkuiri
·         Penyelesaian masalah
·         Mencari makna
·         Pembelajaran reflektif

Kebaikan

Strategi pengajaran tidak langsung membolehkan murid terlibat secara aktif dalam pelajaran mereka. Proses dan aktiviti pembelajaran dilaksanakan oleh murid dan bukan dipaksakan ke atas murid. Guru berperanan sebagai pemudahcara atau fasilitator. Strategi pengajaran tidak langsung dapat menggalakkan kreativiti dan membantu murid membina kemahiran menyelesaikan masalah. Pembelajarn yang berasaskan sumber ini membolehkan berlaku pengalaman pembelajaran secara lebih mendalam dan luas.

Kelemahan

Strategi pengajaran secara tidak langsung lebih bersifat tumpuan pembhelajaran. Oleh yang demikian, tempoh untuk berlaku pembelajaran yang optima akan mengambil masa yang panjang jika dibandingkan dengan pengajaran secara langsung. Sebagai fasilitator, guru perlu berupaya untuk mengawal pembelajaran murid-muridnya, dan ini mungkin boleh menyebabkan rasa ketidakselesaan di kalangan murid. Selain itu, lebih banyak cabaran akan dihadapi semasa pelaksaannya untuk membolehkan murid mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.


Strategi Pengajaran Pembelajaran Melalui Pengalaman (Experiential Learning)

Pengajaran pembelajaran melalui pengalaman merupakan pengajaran pembelajaran konstruktivis di mana murid menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif. Strategi pengajaran pembelajaran melalui pengalaman boleh melibatkan salah satu atau beberapa kaedah seperti berikut:
·         Ujikaji (eksperimen)
·         Pemerhatian lapang
·         Lawatan
·         Gambaran berfokus
·         Permainan
·         Pembinaan model
·         Main peranan
·         Simulasi
·         Tinjauan

Kebaikan

Murid lebih bersedia untuk memahami apa yang mereka pelajari. Oleh itu mereka akan dapat mengekalkan ingatan tentang pelajaran dalam jangka waktu yang lebih lama. Pengalaman secara hands-on dan minds-on akan dapat memotivasikan murid untuk terus belajar. Strategi ini amat sesuai untuk topik-topik yang melibatkan pembelajaran amali seperti ibadah khusus (besuci, solat dan sebagainya) serta muamalat.

Kelemahan

Strategi Pembelajaran Melalui Pengalaman  merupakan satu strategi yang memakan masa dan melibatkan sumber pembelajaran yang agak pelbagai dan banyak. Seringkali melibatkan usaha yang lebih pada pihak guru seperti membuat persediaan untuk simulasi, ujikaji, lawatan dan sebagainya. Walau agaimanapun, impak pembelajaran melalui pengalaman ke atas pendidikan menyebabkan ia menjadi salah satu strategi yang menjadi pilihan guru.

Strategi Pembelajaran Sendirian / Individu (Independent / Individual Study)

Strategi pembelajaran secara sendiri ini melibatkan murid akan merancang pembelajarannya sendiri di bawah bimbingan guru mata pelajaran atau ibu bapa (di rumah). Strategi ini lazim digunakan oleh murid ketika akan menduduki peperiksaan pertengahan atau akhir semester dan ketika membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan awam. Biasanya hanya melibatkan kelas-kelas yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR, PMR atau SPM dan hanya dilaksanakan setelah sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Antara kaedah yang digunakan dalam strategi ini adalah:
·         Soalan-soalan tugasan
·         Pengajaran berbantukan komputer
·         Pelajaran koresponden
·         Penulisan esei (menjawab soalan latihan)
·         Kerja rumah
·         Pakej aktiviti pembelajaran (modul pembelajaran)
·         Kontrak pembelajaran
·         Projek penyelidikan

Strategi pembelajaran sendirian merupakan strategi pengajaran yang penting kerana ia direkabentuk untuk menggalakkan mempunyai kemampuan diri serta memperolehi kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.

Kebaikan

Murid yang terlibat dalam penggunaan strategi ini lazimnya merupakan murid yang bermotivasi tinggi disebabkan mereka mempunyai peluang untuk meneroka dengan lebih mendalam tajuk-tajuk yang mereka minati. Murid akan mampu untuk memperkukuhkan kekuatan yang ada tentang topic berkenaan di samping memperbaiki kelemahan tertentu yang berkaitan. Strategi ini berguna di dalam kelas yang terdapat perbezaan keupayaan, kemahiran dan penguasaan ilmu pengetahuan yang sangat luas dan ketara (contohnya di dalam kelas inklusif yang terdiri daripada murid berkebolehan tinggi, lembam, autistik dan ADHD- lihat bab 7: Pengurusan Bilik Darjah Melibatkan Murid Berkeperluan Khas dalam buku Pengurusan Bilik Darjah & Tingkahlaku tulisan Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, terbitan Freemind Horizons).

Kelemahan

Untuk memastikan strategi pembelajaran sendiri dapat dilaksanakan dengan haik dan berkesan, murid perlu mempunyai kematangan dan kebolehan untuk bekerja di bawah pengawasan dan penyeliaan guru. Strategi pembelajaran secara sendiri atau individu akan lebih berkesan sekiranya guru dapat membuat penilaian secara tepat tentang kebolehan murid-muridnya untuk melaksanakan tanggungjawab belajar di samping berupaya untuk membantu dan mebimbing murid menstrukturkan tugas serta projek sesuai dengan tahap kesukaran untuk setiap individu murid.

Strategi Pengajaran Interaktif (Interactive Instruction)
Strategi pengajaran interaktif melibatkan kaedah-kaedah berikut:
·         Sumbangsaran
·         Kitaran ilmu pengetahuan
·         Kumpulan pembelajaran koperatif
·         Perdebatan / perbahasan
·         Diskusi / dialog
·         Temubual
·         Kumpulan makmal
·         Panel dan forum
·         Amalan kumpulan rakan sebaya (peer coaching)
·         Penyelesaian masalah
·         Main peranan
·         Kumpulan tutorial

Kebaikan

Strategi ini memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi, berkomunikasi, berkolaborasi dengan rakan sebaya, pakar serta guru (More Knowledgeable Others) ndengan tujuan untuk menambahbaik kemahiran bersosial di samping mengakses maklumat serta menstruktur respons yang efektif kepada maklumat yang diperolehi. Interaksi yang berlaku lazimnya dapat memotivasikan murid. Peluang untuk berinteraksi dengan orang lain akan dapat memperluaskan pengalaman pendidikan mereka dan dapat membawa mereka menjangkau melewati batasan bilik darjah tradisional, ilmu pengetahuan, kemahiran-kemahiran serta guru-guru secara individu.

Kelemahan

Cabaran menggunakan strategi pengajaran interaktif ialah kejayaan serta kaedah-kaedahnya bergantung kepada kepakaran guru ketika menstruktur dan membina / membentuk kumpulan dinamik.

Selain daripada lima strategi pengajaran dan pembelaaran di atas, terdapat beberapa strategi yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidikan seperti strategi pembelajaran berfikrah, strategi pembelajaran kontekstual, strategi pembelajaran aktif dan sebagainya. Terdapat juga tokoh pendidikan yang mengemukakan strategi berdasarkan kepada orientasi pengajaran dan pembelajaran seperti strategi berpusatkan guru, strategi berpusatkan murid, strategi berpusatkan bahan dan strategi berpusatkan tugas. Jika diperhatikan secara terperinci, strategi-strategi ini telah termasuk ke dalam salah satu daripada lima strategi yang dinyatakan di atas. Penggunaan beberapa istilah yang bertindanan antara satu dengan lain, kadangkala boleh mengelirukan. Apa yang penting ialah keupayaan guru untuk merancang dan melaksanakan apa juga strategi (termasuk yang dibina sendiri) secara berkesan dan berupaya untuk mengoptimumkan pembelajaran.    


Strategi berpusatkan guru

Ditulis dengan menggunakan perkataan lain, strategi berpusatkan guru adalah strategi pengajran langsung (direct instruction) seperti yang telah saya kemukakan sebelum ini / di atas. Berdasarkan strategi ini, guru memainkan peranan aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala murid pula berperanan untuk menerima pengajaran secara pasif. Strategi tradisional ini meletakkan guru sebagai pakar dalam mata pelajaran yang diajarnya dan menjadi sumber utama ilmu pengetahuan. Oleh itu, tujuan pembelajaran adalah untuk mendapatkan maklumat yang telah ditetapkan kepada murid. Murid sekadar mengulangi serta mencurahkan kembali apa yang telah diajarkan kepada mereka. Kaedah yang digunakan di bawah strategi ini sama dengan kaedah strategi pengajaran langsung.

Berdasarkan strategi berpusatkan guru:

  • Tujuan murid belajar adalah untuk mencapai objektif kurikulum untuk membolehkan mereka berfikir secara kritikal
  • Murid menyempurnakan aktiviti yang telah ditentukan oleh guru untuk mencapai kejayaan akademik
  • Murid bertindak balas kepada jangkaan-jangkaan positif yang ditetapkan oleh guru dalam proses ansur maju melalui aktiviti yang telah ditetapkan.
  • Murid diberikan motivasi ekstrinsik seperti ganjaran atau gred penilaian yang akan memotivasikan mereka untuk memahami maklumat serta menunjukkan kefahaman tentang konsep yang telah diajarkan.
  • Hasil kerja murid dinilai oleh guru.

Untuk melaksanakan strategi berpusatkan guru, murid terlebih dahulu diajarkan perkara-perkara asas sebelum diajarkan konsep yang baru.  Contohnya, untuk membolehkan murid memahami konsep wudhu’ mereka perlu terlebih dahulu diajarkan tentang taharah (bersuci) serta jenis-jenis air yang digunakan untuk membolehkan bersuci.



Strategi berpusatkan murid

Sekiranya strategi berpusatkan guru adalah strategi pengajaran secara langsung, maka strategi berpusatkan murid pula adalah strategi pengajaran tidak langsung. Tidak seperti strategi berpusatkan guru, untuk strategi berpusatkan murid, peranan guru beralih daripada pengajar kepada pemudahcara atau fasilitator. Murid terlibat aktif (berfikir, mencari maklumat, merumus, membentang, menilai, berkolaborasi serta membuat refleksi pembelajaran) dalam proses pembelajaran. Murid akan membina kefahaman dengan menggunakan sumber yang telah disediakan sebagai perancah (scaffolding) secara hands-on dan minds-on dan bekerja secara koperatif dan kolaboratif dengan rakan atau orang lain. Penekanan sedemikian membuatkan murid dapat melaksanakan pembelajaran terarah kendiri serta mengikut kadar kendiri.

Untuk melaksanakan strategi berpusatkan murid, perhatian perlu diberikan kepada perkara-perkara berikut:

  • Apa yang murid ingin tahu tentang sesuatu topik atau konsep
  • Guru perlu mengambilkira tentang keperluan indivdu murid seperti keperluan inyelektual dan emosi.
  • Keperluan sosial murid: kolaborasi, komunikasi, penerimaan rakan sebaya

Kaedah yang boleh digunakan di bawah strategi berpusatkan murid ini adalah sama dengan kaedah yang digunakan dalam melaksanakan strategi pembelajaran secara tidak langsung (indirect teaching / indirect instruction) di atas.

Aplikasi strategi berpusatkan murid tidak bermakna murid akan menentukan apa yang mereka ingin pelajari atau lakukan. Seringkali strategi ini diinterpretasikan dengan murid memilih tajuk, kaedah dan aktiviti mereka sendiri. Strategi berpusatkan murid sepatut meletakkan murid sebagai tumpuan pembelajaran (contohnya, aplikasi kaedah berasaskan inkuiri). Peranan guru adalah sebagai fasilitator yang aktif untuk memudahcara pembelajaran yang akan membawa kepada pengalaman yang bermakna kepada murid, bukan sebagai fasilitator yang hanya duduk di meja guru dan menantikan murid mendatanginya.

Lea dan rakan-rakan (2003) telah membuat rumusan tentang strategi pemusatan murid daripada beberapa sumber seperti berikut:

  1. Pembelajaran lebih bersifat aktif dan bukan pasif
  2. Penekanan kepada pembelajaran dan pemahaman yang lebih mendalam
  3. Meningkatkan tangungjawab murid
  4. Meningkatkan autonomi murid
  5. Saling bergantung antara guru dan murid
  6. Saling menghormati antara guru dan murid
  7. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran refleksif untuk guru dan murid



Strategi berpusatkan bahan

Strategi berpusatkan bahan menekankan penggunaan bahan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Guru terlebih dahulu perlu memastikan bahan yang akan digunakan di dalam kelas merupakan bahan yang relevan, kemas kini dan boleh berfungsi. Penggunaan bahan dapat membantu memudahkan pemahaman murid sekiranya digunakan secara betul dan berkesan. Pengajaran boleh dilakasanakan dalam kumpulan pembelajaran koperatif, sekiranya bilangan bahan tidak mencukupi, dan murid akan menggunakan bahan untuk meneroka maklumat secara inkuiri.

Strategi berpusatkan bahan merupakan strategi yang paling kurang digunakan oleh guru disebabkan isu bahan-bahan yang lazimnya kurang mencukupi dan tidak pelbagai. Peralatan teknologi lazimnya adalah sangat terbatas bilangannya untuk membolehkan guru dan murid menggunakannya secara berkesan. Meskipun telah masuk era abad ke 21 di mana teknologi ICT telah mula diperkenalkan di sekolah, dan bahan-bahan pelajaran boleh diakses melalui Internet dan jalur lebar, namun bagi kebanyakan sekolah, bilangan komputer dan akses Internet menjadi masalah.
 
Strategi berpusatkan tugas

Menurut Merill (2002), pembelajaran akan meningkat apabila murid terlibat dalam melaksanakan tugas atau aktiviti pembelajaran termasuk demonstrasi atau aplikasi kemahiran-kemahiran belajar tertentu. Strategi berpusatkan tugas ini akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya murid terlibat sepenuhnya dengan tugas yang telah diberikan kepada mereka. Sesebuah tugas yang kompleks memerlukan murid mengaplikasikan pelbagai maklumat dan kemahiran (gagne dan Merill, 1990). Apabila guru memilih strategi berpusatkan tugas, guru perlu memastikan bahawa tugas itu diberi mengikut tahap iaitu bermula dengan aplikasi kemahiran serta maklumat asas. Setelah murid memperolehi kemahairan yang mencukupi barulah tugasan yang lebih kompleks diberikan.

Merill telah mengemukakan prinsip pertama pengajaran yang merupakan prinsip-prinsip yang saling berkaitan dan akan dapat meningkatkan pembelajaran murid iaitu prinsip berpusatkan tugas, prinsip pengaktifan, demonstrasi, aplikasi dan integrasi. Prosedur strategi berpusatkan tugas (tahap 3 strategi pengajaran) digambarkan oleh Merill seperti dalam gambar rajah di bawah.



Kaedah untuk PAI dan jQaf

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dan jQaf, terdapat kaedah-kaedah tertentu serta khusus untuk aspek atau topik tertentu sahaja seperti yang telah dikemukakan oleh para ulamak seperti Ibnu Khaldun, Al Ghazali, As’ad Hummam, Dachlan Salim Zarkasyi dan sebagainya. Sila lihat artikel Beberapa Kaedah Pengajaran Ibadah, Kaedah Pengajaran Aqidah, Kaedah Pengajaran Sirah, Kaedah PengajaranAl Quran serta perincian beberapa kaedah yang boleh didapati di dalam blog ini. Lihat juga jenis-jenis strategi di http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/11/jenis-jenis-strategi-pembelajaran.html

No comments:

Post a Comment