Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday, 10 November 2013

Mengapa pengajaran saya tidak berkesan?

Perkara yang merungsingkan guru ialah sejauh manakah pengajarannya telah mencapai tahap optima dan sejauh manakah berlakunya pembelajaran dalam kalangan murid. Guru akan tidak merasa senang apabila menyedari pengajarannya tidak berkesan. Berikut adalah beberapa sebab mengapa pengajaran guru tidak berkesan:


1.       Saling menghormati: Lazimnya guru sangat mengharapkan agar murid-murid mereka akan menghormati guru. Contohnya, bila masuk ke dalam kelas, guru akan berdiri di hadapan dan menanti murid-murid mengucapkan salam. Bagaimana kalau sekiranya semua murid atau ada sebahagian murid yang tidak bangun untuk mengucapkan salam? Apakah yang akan terlintas di hati seorang guru (ustaz dan ustazah)? Mungkin akan terdapat andaian bahawa murid tidak beradab sopan. Dari segi adab, siapakah yang seharusnya mengucapkan salam? Adakah orang yang akan masuk ke dalam kelas atau orang yang sudah sedia ada dalam kelas / bilik darjah? Ucapan salam merupakan  doa untuk kesejahteraan. Seorang ustaz atau ustazah adalah orang yang baik dari sudut ilmu dan amalan agama. Apakah agaknya implikasi doa orang baik (ustaz dan ustazah) ke atas murid? Apakah agaknya perasaan murid apabila mereka menerima simple penghormatan daripada guru? Keadaannya agak berbeza jika pertembungan berlaku di koridor sekolah iaitu murid selaku individu yang beradab akan terlebih dahulu mengucapkan salam (dalam bentuk latihan pelaziman). Apa yang menarik perhatian saya ialah implikasi doa ikhlas seorang guru untuk murid-muridnya yang setidak-tidaknya  akan memberi kesan ke atas tingkah laku murid. Melalui sikap saling menghormati ini diharapkan guru dapat mengelakkan diri daripada dosa pedagogi iaitu mewujudkan suasana atau environment sejahtera dalam bilik darjah.

2.       Mengajar tanpa objektif yang jelas termasuk tidak mengetahui bila objektif itu akan tercapai: Dalam penulisan perancangan pengajaran, kita dilazimkan untuk menulis “Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat ……..”. Pernyataan ini bersifat penilaian sumatif. Sekiranya terdapat 5 isi penting pelajaran, bagaiamanakah untuk memastikan bahawa kelima-lima isi penting tersebut  telah difahami dan dikuasi oleh murid? Jawapannya ialah penilaian formatif. Sebaiknya satu bentuk penilaian formatif diamalkan (melalui semakan pemahaman dengan menggunakan soalan) setelah setiap isi penting disampaikan (atau dengan membuat rumusan kecil antara setiap isi utama. Dengan cara ini guru dapat memastikan keberkesanan pengajaran sebelum sesi satu waktu pengajaran itu tamat. Seperkara lagi, apabila menulis objektif khusus, lazimya guru cuba mematuhi SMART (Spesific, Measurable, Attainable, Realistic dan Timely) atau ABCD (Audience, Behaviour, Conditions, Degree). Kebiasan yang didapati, guru selalu agak lupa dua daripada empat elemen objektif iaitu conditions dan  degree atau dikenali juga sebagai criteria dan conditions. Elemen audiens dan tingkahlaku selalunya tidak dilupakan. Tanpa criteria dan conditions untuk mencapai objektif sebenarnya menunjukkan objektif yang dibina masih tidak jelas.

3.       Tersekat dalam lumpur (stuck in a rut): Buku teks merupakan buku rujukan utama para ustaz dan ustazah. Ilmu guru kadangkala tersekat sekadar apa yang terdapat dalam buku teks mengikut level tertentu. Guru seharusnya menyediakan diri dengan ilmu beyond curriculum yang ditetapkan. Berapa ramai yang merujuk Ensaiklopedia Sirah dengan tujuan memantapkan ilmu sirah nabawi? Berapa ramai pula yang merujuk kitab Ihya’ untuk meluaskan ilmu adab? Berapa ramai yang merujuk kitab Manhaj Fiqh Shafie? Tidak! Saya tidak maksudkan guru perlu membuat ulangkaji besar-besaran berkaitan konten mata pelajaran yang diajar (dan guru tidak mempunyai masa secukupnya untuk berbuat demikian) tetapi cukuplah sekadar membuka mata dan peluang untuk membuat penambahbaikan.

4.       Lembaran kerja dan ujian: Lembaran kerja dan ujian yang diberi pada akhir sesi PdP merupakan alat untuk mengesan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran atau untuk mengukur  penguasaan (masteri) ilmu dan kemahiran murid berkait topik yang diajarkan. Ia diberikan kepada murid pada lima minit terakhir pelajaran (lazimnya). Sekiranya lembaran kerja dan ujian ini digunakan untuk mengesan penguasaan seluruh pelajaran yang disampaikan (dalam 20 atau 45 minit iaitu satu atau dua waktu) maka logiknya murid memerlukan masa yang agak lama untuk membuktikan penguasaan dan …… murid tidak dapat menyelesaikanya (kesuntukan waktu). Apabila dikumpulkan, skor yang diperolehi seolah-olah menggambarkan murid tidak mencapai tahap yang diperlukan. Betulkah begitu? Perlu diingat bahawa guru perlu membuat penilaian pencapaian iaitu penguasaan pelajaran murid dan bukan menguji kepantasan menyelesaikan masalah. Pastikan lembaran kerja dan ujian dibuat berpatutan dengan konten serta masa yang diperuntukkan.

5.       Gagal menunjukkan kerelevanan topik yang diajar dengan kehidupan sebenar murid: Manusia adalah makhluk pelupa. Manusia juga mempunyai potensi untuk membuat pilihan bergantung kepada kecenderungan minat atau significant sesuatu perkara kepada dirinya. Contohnya, saya tidak meminati sukan permotoran dan saya tidak pernah ambil tahu tentang sukan tersebut baik individunya, keputusannya atau jenis kenderaannya. Bagi saya, sukan permotoran tidak relevan dengan hidup saya. Murid-murid juga demikian. Mata pelajaran Pendidikan Islam adalah mata pelajaran yang relevan dengan kehidupan murid-murid Islam tetapi bagaimanakah ustaz dan ustazah boleh menampakkan kerelevanannya kepada murid? Sekiranya sesuatu topik itu dilihat relevan hanya untuk menjawab soalan peperiksaan sahaja maka selepas peperiksaan segala maklumat mengenai topik berkenaan akan hilang dan sengaja dilupakan. Mungkin juga tumpuan untuk mempelajarinya langsung tiada sebelum tiba masa ujian atau peperiksaan.

6.       Murid bekerja dalam kumpulan tanpa diberi penegasan tentang tanggungjawab individu: Passenger adalah istilah yang digunakan untuk menjelaskan ahli kumpulan yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab keahliannya dalam kumpulan tugasan. Ia berkait dengan isu pengarahan dan penstrukturan yang perlu  diberikan oleh guru sebelum melepaskan murid menjalankan tugas mereka. Setiap kumpulan kecil murid perlu ada ketua dan Islam sangat menegaskan tentang perkara ini (selain bilangan ahli sebaiknya adalah ganjil dan bukan genap). Agihan tugasan yang jelas (penstrukturan) perlu dibuat kerana setiap ahli kumpulan merupakan individu yang penting dan tugasan hanya akan menjadi sempurna dengan penyertaan aktif setiap ahli. Seboleh-bolehnya agihkan tugas dan tanggungjawab mengikut kecerdasan  dan kebolehan masing. Elakkan daripada menyerahkan pemilihan dan pengagihan tugas kepada murid tanpa pemantauan guru. Pastikan guru mengawal murid yang terlalu dominan sehingga menyebabkan ahli lain diketepikan pandangan mereka.

7.       Gagal menggunakan pelbagai kaedah dan teknik dengan baik: Memang terdapat banyak kaedah serta teknik pengajaran yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar pendidikan. Masing-masing kaedah dan teknik mempunyai kekuatan tersendiri. Disebabkan demografi, gaya pembelajaran, pengetahuan sedia ada, kebolehan dan keupayaan murid-murid adalah pelbagai, maka satu kaedah secara tersendiri adalah kurang berkesan untuk sebuah kelas yang terdiri dari latar belakang murid yang pelbagai. Pengintegrasian dan kesepaduan kaedah dan teknik (integrated teaching and learning method) diperlukan untuk menangani isu begini. Apabila guru cuba untuk mengaplikasikan pengintegrasian kaedah dan teknik pengajaran, perkara yang penting adalah kemahiran dan kebijaksanaan guru (adakah guru benar-benar menguasai kaedah dan teknik berkenaan?) untuk memilih kaedah dan teknik yang sesuai yang dapat digunakan untuk melibatkan murid secara aktif dalam pembelajaran bermakna dengan menggunakan semua panca indera (lihat, dengar, rasa, fikir) yang dikurniakan oleh Allah swt. Begitu juga, guru gagal memaksimum penggunaan langkah-langkah model pengajaran secara bermakna yakni melaksanakan langkah-langkah pengajaran tanpa memahami fungsi dan matlamat setiap langkah tersebut.

8.       Murid sekadar menonton "wayang PowerPoint": Persembahan slaid PowerPoint hanya merupakan tool pengajaran dan pembelajaran. Lazimnya alat ini digunakan hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan aplikasi teknologi dalam pengajaran (jangan dikatakan ketinggalan). Animasi, grafik serta sound effect yang tidak compliment (saling lengkap melengkapi) dengan isi kandungan dan maklumat telah digunakan secara wewenang dan kesannya murid akan lebih tertumpu kepada kesan-kesan tersebut. Aplikasi PowerPoint kurang menepati alat kreatif SCAMPER (Substitute, Combine, Adapt, Modify, Put to another use, Eliminate, Reverse) dan bahan yang dihasilkan tidak menepati ciri persembahan bahan bantu mengajar yang baik (CASPER: Contrast, Alignment, Simplicity, Emphasis, Repetition).

9.       Tidak memberi kesempatan untuk murid berfikir dan memberikan pandangan (students' perspectives): Dalam era globalisasi (dunia tanpa sempadan), maklumat boleh diperolehi dengan mudah (lupakan sementara tentang isu maklumat yang betul atau salah) dan murid yang mempunyai akses Internet berkemungkinan mempunyai maklumat yang lebih luas daripada guru sendiri. Guru yang mengemukakan soalan dan tidak memberi ruang masa untuk murid berfikir tentang jawapannya akan menyekat pandangan murid (yang diperolehi daripada sumber bukan guru dalam kelas tetapi sumber luar yang mungkin berwibawa, sah dan boleh dipercayai). Andainya kualiti maklumat daripada guru tidak dapat menandingi maklumat yang ada pada murid, kemungkinan implikasinya ialah murid berkenaan akan hilang minat untuk belajar (dan mungkin akan mewujudkan masalah disiplin dalam kelas) selain murid lain (yang tidak mempunyai akses kepada sumber maklumat yang lain) hilang peluang untuk mendapatkan maklumat berkenaan. Pada pandangan saya, apa juga yang betul dan benar, walau pun datangnya dari seorang kanak-kanak, hendaklah diterima.

10.   Soalan yang tidak kreatif dan kritikal: Fakta dan maklumat merupakan jawapan kepada soalan. Soalan pula merupakan kunci kepada maklumat. R. W Paul (1993) telah mengemukakan enam jenis soalan sokratik yang boleh digunakan dalam kelas (lihat http://changingminds.org/techniques/questioning/socratic_questions.htm) untuk membolehkan murid berfikir secara kreatif dan kritikal. Soalan-soalan yang gagal mencabar minda murid hanya akan meletakkan murid dalam keadaan terkurung dalam tempurung ilmu yang terbatas. Oleh itu guru perlu meningkatkan soalan ke aras pemikiran yang lebih tinggi (KBAT: Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) berdasarkan Taksonomi Bloom (Benjamin Bloom,1956) serta semakannya oleh Anderson dan Krathwohl (2001). Gunakan juga soalan jenis Convergence (bercapah) dan Divergence (bertumpu), terbuka dan tertutup, kuiz, padanan dan sebagainya.

11.   Refleksi yang lebih bersifat menuding jari ke arah lain (projeksi): Apabila pembelajaran murid tidak mencapai objektif yang telah dibina, lazimnya guru akan menyalahkan murid sebagai satu mekanisma helah bela diri (defense mechanism) berbentuk projeksi (walau pun sebahagian kegagalan itu memang disumbang oleh murid) dan jarang sekali menyemak apakah kemungkinan kesilapan amalan pengajaran sendiri. Seorang guru yang baik akan melakukan refleksi dalam dan atas tindakan (Schon, 1983), refleksi untuk tindakan (Killion dan Todnem, 1991) yang lebih kritikal (mencari punca sebenar masalah atau faktor penyumbang, makna baru serta cadangan impaknya ke atas pembelajaran akan datang).Seterusnya melakukan penambahbaikan ilmu dan amalan.

12 Niat yang salah: Meskipun poin ini diletakkan sebagai yang terakhir tetapi ia merupakan aspek paling utama yang mempengaruhi kejayaan pengajaran dan pembelajaran. Guru Pendidikan Islam perlu memastikan niatnya mengajar adalah  keredhaan Allah swt iaitu menyampaikan dakwah Islam sebagai suatu bentuk kepatuhan kepada tuntutan seruan Islam. Niat ini perlu disertakan dengan doa agar dipermudahkan urusan pengajaran dan pemahaman oleh murid. Sering guru menyangkakan bahawa pengajarannyalah yang membolehkan murid memahami isi pelajaran sedangkan sebenarnya ialah kehendak dan izin Allah. Kita diminta untuk memulakan setiap pekerjaan dengan basmallah yang turut memberi makna "la hawla wala quwwata illa billah".

2 comments: