Kemahiran belajar abad ke 21 dikenali sebagai 4K:
Kemahiran berfikir kreatif, Kemahiran berfikir kritikal, komunikasi dan
kolaborasi. Keempat-empat kemahiran ini akan membantu murid untuk
belajar. Oleh sebab itu guru-guru Pendidikan Islam perlu dapat menguasai dan mengaplikasikan
kesemua kemahiran ini dalam pengajaran dan melatih murid menggunakannya. Kemahiran-kemahiran
ini akan dapat membantu untuk menentukan kejayaan murid semasa mereka berada di
sekolah dan selepas tamat tempoh atau keluar daripada alam persekolahan.
Kritikal
Kemahiran berfikir kritikal memerlukan murid fokus, melakukan analisis
secara berhati-hati tentang sesuatu perkara untuk meningkatkan kefahaman mereka.
Ia melibatkan aktiviti hemisfera otak kiri. Antara aktiviti kemahiran kritikal
ialah:
- Menganalisis iaitu dengan membahagikan maklumat kepada bahagian-bahagian kecil, mengkaji dan menjelaskan setiap bahagian serta mengesan bagaimana setiap bahagian itu saling melengkapi. Contoh, murid diminta menganalisis niat solat fardu yang lima. Menganalisis ciri haiwan yang haram dimakan.
- Menghujah dengan menggunakan satu siri pernyataan yang dikaitkan secara logik, dengan sokongan bukti, untuk dibuat rumusan. Contoh, murid diminta menghujah kebolehan / keharusan bertayammum.
- Mengklasifikasi dengan cara mengenalpasti jenis, kategori atau kumpulan sesuatu perkara untuk menunjukkan bagaimana setiap kategori dapat dibezakan dengan yang lain. Contoh, murid diminta mengklasifikasikan rukun qalbi,qawli dan fi’li daripada 13 rukun solat.
- Membanding beza dengan cara menunjukkan persamaan dan perbezaan antara dua atau lebih subjek atau perkara. Contoh, minta murid membanding beza antara ibadat haji dan umrah. Membanding beza bentuk huruf jawi JIM, HA, KHO dan CHA.
- Mendefinisi ialah membuat penerangan tentang makna sesuatu istilah dengan menggunakan makna asas (dari sudut bahasa), perkaitan, cadangan, contoh, etimologi, kata semakna atau perkataan berlawan mengikut konteks. Contoh, murid diminta mendefinisikan istilah alat istinjak menggunakan perkataan sendiri.
- Menghurai iaitu menjelaskan ciri-ciri sesuatu perkara seperti saiz, berat, warna, kegunaan, asal usul, nilai, keadaan, syarat, lokasi dan sebagainya. Contoh, meminta murid menghuraikan faktor atau perkara yang membatalkan solat.
- Menilai iaitu menentukan nilai sesuatu perkara dengan membuat perbandingan dengan nilai yang telah dipiawaikan. Contoh, meminta murid menilai sesuatu perbuatan atau perlakuan dari sudut adab (belajar, berjiran, makan dan sebagainya)
- Menjelaskan iaitu menyatakan tentang apa atau bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi supaya orang lain boleh memahaminya. Contoh, meminta murid menjelaskan cara berwudhu’.
- Menyelesaikan masalah dengan melakukan analisis ke atas sebab dan akibat sesuatu masalah serta mencari jalan penyelesaian untuk menghalang punca atau terjadi sesuatu akibat / kesan. Contoh, meminta murid menyelesaikan masalah solat ketika bermusafir.
- Mengesan punca dan akibat dilakukan dengan menentukan mengapa sesuatu itu berlaku dan apakah akibat yang akan terhasil. Contoh, meminta murid mengesan punca dan akibat meninggalkan amalan berpuasa dalam bulan Ramadhan.
Kreatif
Kemahiran
berfikir kreatif bersifat terbuka dan meluas, penciptaan tidak terbatas serta
merupakan pencarian apa juga kemungkinan. Aktiviti kreatif melibatkan hemisfera
otak kanan. Antara aktiviti berfikir secara kreatif ialah:
- Sumbangsaran idea melibatkan soalan dan penyenaraian jawapan tanpa membuat pertimbangan sama ada jawapan yang diberikan itu betul atau salah, tidak praktikal atau mustahil. Contoh, menyenaraikan akibat melanggar perintah Allah.
- Mencipta sesuatu memerlukan penghasilan sesuatu bentuk atau fom dengan cara menggabungkan bahan, mungkin mengikut pelan / perancangan atau mungkin berdasarkan kepada naluri atau keinginan mengikut keadaan. Contoh, mencipta alat yang boleh digunakan untuk beristinjak bagi kegunaan mangsa fasa pasca banjir besar apabila ketiadaan sumber air bersih. Mencipta alat untuk membersihkan celah-celah tayar kereta yang terkena najis berat seperti bangkai atau tahi anjing atau babi. Mencipta baju pakai buang untuk kegunaan doktor veterinar.
- Mereka bentuk sesuatu bermakna mencari hubungan antara bentuk dan fungsi serta menghasilkan sesuatu untuk tujuan tertentu. Contoh, mereka bentuk bahan bantu belajar (bahan ciptaan murid) untuk mengecam bentuk pertukaran huruf jawi.
- Menghibur orang lain dengan cara bercerita, membuat lawak, menyanyi, bermain, berlakon dan berbual / bersembang. Contoh, meminta murid menghibur rakan-rakan dengan peristiwa hijrah Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah.
- Berimaginasi dengan berfikir tentang idea melibatkan pencapaian kepada sesuatu yang tidak diketahui atau mustahil, mungkin secara bermalas-malasan / bersenang-senang atau secara berfokus.
- Menambahbaik sesuatu perkara atau penyelesaian masalah melibatkan penggunaan sesuatu dengan cara yang baru.
- Inovasi merupakan penghasilan sesuatu yang belum pernah ada sama ada berbentuk objek, prosedur atau idea.
- Menterbalikkan sesuatu bermakna mendapatkan makna tentang sesuatu dari perspektif baru, mungkin dengan mendefinisikan semula, menterbalikkan kesan dan akibat atau melihat sesuatu dari sudut atau cara yang baru.
- Menyelesaikan masalah dengan menggunakan pelbagai aktiviti pemikiran kreatif seperti dalam senarai ini untuk mendapatkan gambaran kemungkinan jalan penyelesaian kepada mana-mana masalah lalu memilih salah satu atau lebih cara untuk dilaksanakan.
- Menyoal secara aktif sehingga mencapai tahap pengetahuan tentang apa yang belum diketahui sebelumnya, mencari maklumat atau cara yang baru untuk melakukan sesuatu.
- Menyenarai dengan menghasilkan satu senarai perkara mengikut kriteria, konteks, syarat atau ciri tertentu yang ditetapkan.
Nota: Untuk contoh-contoh yang lain, guru kena fikirlah. Kalau tidak, mana nak datang pemikiran kritikal dan kreatif.
Komunikasi dan Kolaborasi, tunggu bulan depan.